Mar 27, 2015

Bahlul Itu Bukan Bodoh Tapi Bijaksana

Pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Abbasiyah, terdapat seorang ulama sufi bernama Syeikh Junaid Al-Baghdadi yang tersohor dengan ketinggian ilmunya.

Bahlul

Selain menjadi pelopor kepada ilmu tasawuf Islam, beliau juga cukup dikenali sebagai seorang pedagang yang berjaya di jazirah Arab.

Suatu ketika, Syeikh Junaid telah berangkat ke kota Baghdad bersama pengikutnya atas urusan perniagaan.

Sebaik urusannya selesai, Syeikh Junaid telah bertanya tentang seorang lelaki dan berhasrat untuk menemui sosok yang dimaksudkan.

"Kenalkah kalian lelaki bernama Bahlul di kota ini?", tanya ulama tersebut kepada anak muridnya.

Mereka menjawab, "Ya, dia seorang yang gila. Apakah yang tuan perlukan daripadanya?"

"Cari lelaki itu kerana ada sesuatu yang aku perlukan daripadanya", kata Syeikh Junaid.

Tanpa banyak bicara, anak-anak murid Syeikh Junaid segera mencari lelaki bernama Bahlul itu disegenap pelosok kota Baghdad.

Setelah puas menjejak, akhirnya mereka menemui lelaki itu di dalam sebuah pondok digurun yang agak terpencil.

Keadaan Bahlul dilihat tidak terurus. Pakaiannya compang-camping dan rambut kusut masai. Memang sah, itulah lelaki yang dicari mereka.

Anak-anak Syeikh Junaid segera kembali ke kota dan membawa guru mereka untuk bertemu dengan lelaki berkenaan.

Ketika Syeikh Junaid mendekati Bahlul, dia melihat Bahlul sedang gelisah sambil menyandarkan kepalanya ke dinding.

Syeikh Junaid kemudian memberi salam dan menyapanya. Bahlul menjawab dan bertanya semula, "Siapakah engkau?"

"Aku adalah Junaid Al-Baghdadi", jawab ulama sufi itu.

"Adakah engkau Abul Qasim (nama sebenar Syeikh Junaid)? Adakah engkau yang sering mengajak manusia ke arah jalan kebaikan dan mencintai akhirat?, tanya Bahlul.

"Ya!", jawab Syeikh Junaid.

"Adakah engkau tahu bagaimana cara makan?, tanya Bahlul sekali lagi.

Lalu Syeikh Junaid menjawab, "Aku mengucapkan Bismillah. Aku makan yang ada dihadapanku, aku menggigitnya sedikit, meletakkan disisi kanan dalam mulutku dan perlahan mengunyahnya.

"Aku tidak menatap suapan berikutnya. Aku mengingati Allah sambil makan. Apa pun yang aku makan, aku ucapkan Alhamdulillah.

Aku cuci tanganku sebelum dan selepas makan".

Bahlul berdiri, menyebakkan pakaiannya dan berkata, "Kau ingin menjadi guru yang dihormati di dunia, tetapi kau tidak tahu pun bagaimana cara makan!"

Sambil berkata demikian, Bahlul berlalu pergi.

Salah seorang murid Syeikh Junaid berkata, "Wahai tuan, dia adalah seorang gila".

"Ya, dia adalah orang gila yang bijak dan cerdas. Dengarkan kebenaran daripadanya", jelas Syeikh Junaid. Dia kemudian mendekati Bahlul sekali lagi.

"Siapakah engkau?", tanya Bahlul.

"Syeikh Baghdadi yang tidak tahu bagaimana cara makan", jawab Syeikh Junaid.

"Engkau tidak tahu cara makan, tapi adakah engkau tahu bagaimana cara berbicara?", tanya Bahlul.

"Ya", jawabnya.

"Aku berbicara tidak kurang dan tidak lebih. Aku tidak terlalu banyak berbicara. Aku berbicara supaya pendengar mudah memahami.

"Aku tidak berbicara terlalu banyak supaya orang ramai tidak mudah bosan.

"Aku mengajak manusia ke jalan Allah dan Rasul", kata Syeikh Junaid.

"Lupakan saja tentan makan, kerana kau juga tidak tahu bagaimana cara berbicara", kata Bahlul.

Dia berdiri, menyebakkan jubahnya dan berlalu pergi.

Anak murid Syeikh Junaid berkata, "Wahai tuan, anda lihat sendiri dia seorang yang gila. Apa yang tuan harapkan daripada orang gila sepertinya?"

"Ada sesuatu yang aku perlukan darinya yang kalian tidak tahu", jawab Syeikh Junaid.

Dia kemudian bangun dan berjalan mendekati Bahlul sekali lagi.

"Apa yang engkau mahu dariku? Kau yang tidak tahu cara makan dan cara berbicara, adakah kau tahu bagaimana cara tidur?", tanya Bahlul sebaik Syeikh Junaid mendekatinya.

"Ya, aku tahu. Selepas solat Isyak, aku mengenakan pakaian tidur. Aku berwuduk, berdoa dan..." jawab Syeikh Junaid.

Dia kemudian menerangkan adab-adab tidur sebagaiaman lazim yang diunjurkan oleh para ulama.

"Sudah! Kau juga tidak tahu bagaimana cara tidur!", kata Bahlul dengan tegas.

Dia bingkas bangun, menyebakkan pakaian dan cuba berlalu pergi. Namun kali ini Syeikh Junaid menahannya.

"Wahai Bahlul, aku tidak tahu. Kerana Allah, ajarilah aku", pinta Syeikh Junaid kepada lelaki gila itu.

"Sebelum ini kau mengatakan bahawa engkau tahu, maka aku menghindarimu. Sekarang, setelah kau mengakui dirimu tidak tahu, maka aku akan mengajarmu bagaimana cara makan, berbicara dan tidur.

"Ketahuilah bahawa, kebenaran yang ada disebalik makan adalah makanan yang halal. Jika engkau makan makanan yang haram dengan seribu adab sekalipun, ia tidak bermanfaat, melainkan menyebabkan hatimu menjadi hitam!

"Hati harus bersih sebelum berbicara dan percakapanmu hendaklah menyenangkan Yang Maha Pencipta.

"Sekiranya bicaramu hanya untuk urusan duniawi dan sesuatu yang sia-sia, maka ia akan mendatangkan malapetaka. Sebab itu diam adalah lebih baik daripada berkata-kata.

"Dan kebenaran disebalik tidur adalah hatimu perlu bebas daripada sifat permusuhan dan kebencian.

"Hatimu tidak boleh tamak akan dunia dan kekayaan didalamnya.

"Maka, ingatlah Allah ketika kamu ingin tidur", kata Bahlul kepada Syeikh Junaid.

Kata-kata itu membuatkan Syeikh Junaid tersenyum. Itulah yang dia perlukan daripada lelaki gila itu.

Syeikh Junaid kemudian menghulurkan salam dan mencium tangan Bahlul, lantas berdoa untuk kesejahteraannya.

Siapa sebenarnya lelaki gila bernama Bahlul itu?

Bahlul atau nama sebenarnya Wahab Bin Amr dilahirkan di Kuffah, Iraq. Beliau merupakan sepupu kepada Khalifah Harun Ar-Rashid.

Ketika hayatnya, Bahlul dikenali sebagai seorang ilmuwan Islam dan pernah menjawat jawatan sebagai seorang hakim kerajaan Bani Abbasiyah.

Namun, Bahlul telah meninggalkan kekayaan da kemewahan hidupnya untuk hidup dengan gaya selekeh dan sederhana.

Disebabkan itu dia diberikan julukan Bahlul oleh penduduk tempatan.

Bahlul sebenarnya tidak gila, tetapi dia berperwatakan begitu bagi menyembunyikan kebijaksanaan yang dimiliki daripada diketahui oleh orang lain.

Sekarang, anda sudah tahu siapa sebenarnya Bahlul.

Ingat, 'bahlul' itu bukan 'bodoh', tapi seorang yang bijaksana.

Dan siapa tahu umpatan keji zaman sekarang yang memanggil seseorang itu 'bahlul' mungkin boleh jadi satu doa yang baik untuk ditujukan.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon