Monday, March 24, 2014

MH370: Hipotesis Pe­ngarang ‘Understanding Air France 447’


Kapten Bill Palmer yang pernah menerbangkan pesawat Airbus A330 di beberapa syarikat penerbangan terkemuka dunia mendapat perhatian media apabila cuba menimbulkan beberapa keraguan terhadap siasatan kehilangan MH370.

Understanding Air France 447 Captain Bill Palmer

Beliau yang juga pe­ngarang ‘Understanding Air France 447’ mahu semua pihak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat diperoleh daripada siasatan kehilangan pesawat itu dengan lebih teliti.

Beliau bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pesawat itu terbang selama beberapa jam selepas terputus hubu­ngan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara adalah tindakan yang disengajakan.

Namun, ia bukan satu-satunya penjelasan logik untuk menerangkan laluan penerbangan tersasar dari arah sebenar.

Sebagai contoh, kenyataan bahawa besar kemungkinan Sistem Penghantaran Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) sengaja dimatikan meninggalkan fakta bahawa ACARS diperlukan untuk menghantar isyarat kepada satelit.

Palmer berkata, pesawat itu mempunyai pelbagai fungsi dan saluran yang bersambung dengan ACARS dan sekurang-kurangnya salah satu daripada sambungan masih boleh digunakan.

“Sebagai contoh, satu bahagian sistem komunikasi ini digunakan untuk menghubungkan pesawat dengan pusat kawalan trafik udara.

“Satu lagi digunakan untuk berkomunikasi menerusi mesej teks, antara pesawat dengan syarikat penerba­ngan. Mesej juga boleh dihantar secara automatik untuk tujuan penyelenggaraan seperti melaporkan kerosakan dan menghantar data enjin rutin.

“Jadi, tindakan mematikan semua fungsi ini de­ngan sengaja masih belum jelas,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya satu laporan berita menerangkan ketinggian pesawat diterbangkan antara 45,000 dan 23,000 kaki.

Tindakan itu mungkin dilakukan dengan sengaja untuk memastikan penumpang tidak sedarkan diri.

“Namun, saya berpendapat fakta itu mungkin konsisten dengan keadaan pesawat yang terbang sepenuhnya tanpa pengawasan dan pengaktifan sistem autopilot.

“Malah, ia boleh jadi benar jika sistem ‘auto throttles’ pesawat dimatikan atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Katanya, kenyataan yang menyebut tindakan menukar laluan hanya boleh dilakukan juruterbang mahir memang tepat tetapi mengapa seorang juruterbang mahir tidak mampu menangani situasi pada ketinggian 20,000 kaki?

“Mungkin berlaku sesuatu yang menghalang anak kapal mengawal pesawat itu termasuk kebakaran, perlanggaran atau letupan.

“Semua itu boleh berlaku tanpa sebarang insiden pelanggaran kokpit,” katanya.

Kapal terbang dilaporkan membuat pusingan mencurigakan. Perkara ini boleh merungkai persoalan sama ada perubahan arah itu dikawal seseorang atau sebaliknya.

“Jika sistem autopilot tidak diaktifkan dan pesawat terbang dengan sendiri, saya jangka akan ada banyak perubahan arah.

“Bagaimanapun, jika hala tuju pesawat dikawal dengan tetapan lokasi atau menerusi program komputer, laluan penerbangan akan menjadi sangat lurus,” katanya.

Ketika analisis dilakukan untuk mengenal pasti laluan pesawat itu, katanya nampak jelas pihak berkuasa gagal memastikan sama ada ia terbang ke arah barat laut menghala Pakistan atau ke barat daya menghala ke Lautan Hindi.

“Dari segi teknikal, Boeing 777-200ER adalah pesawat yang diterbangkan dengan kawalan digital sepenuhnya.

“Dengan tetapan autopilot off, pesawat akan melaraskan pergerakan ke atas atau bawah hidung kapal terbang bagi mengekalkan kelajuan,” katanya.

Menurutnya, satu sistem perlindungan turut dibina untuk memastikan pesawat terlalu laju atau perlahan.

Input sementara pada roda kawalan atau perubahan berat kapal terbang, suhu mahupun lain-lain perubahan atmosfera sepanjang perjalanan boleh mendorong pesawat terbang lebih tinggi.

“Kerana itu, saya juga mahu melihat perubahan hala tuju pesawat yang boleh dijangka dalam keadaan autopilot dimatikan,

“Apa yang pasti, pergerakan Boeing 777 biasanya tertakluk kepada gangguan atmosfera di hujung sayap.

“Walaupun pesawat konvensional cenderung melingkar ke bawah dalam keadaan itu (membuat pusi­ngan), 777 mampu berada stabil dalam ketinggian tertentu.

“Malah, dengan sistem kawalan digital itu, 777 menjadi pesawat yang stabil, mampu terbang berjam-jam dengan sistem autopilot dimatikan,” katanya.

Katanya, maklumat konsisten dalam misteri kehilangan pesawat itu hanyalah sedikit dan keadaan sebenarnya masih kabur dan boleh berubah-ubah.

“Apa saja senario boleh menyumbang kepada punca kehilangan pesawat. Ia mung­kin tindakan sengaja anak kapal, kehilangan transponder atau terputus komunikasi.

“Kerana itu, saya menyeru supaya semua pihak tidak terus membuat kesimpulan berdasarkan bukti tidak meyakinkan. Bukti yang ada mungkin ‘konsisten dengan perbuatan sengaja’, tapi ia juga perlu bersesuaian de­ngan penjelasan yang lain,” kata­nya.

BACA INI JUGA: Misteri Simbol MH370 Dalam Filem-filem Hollywood

Sumber: Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon