Monday, March 10, 2014

MH370: 5 Teori Kehilangan Misteri


Berdasarkan kepada perkembangan sehingga malam tadi, timbul sekurang-kurangnya lima teori yang mungkin boleh menjawab misteri kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia awal pagi kelmarin.

MH370 Mystery - Misteri Pesawat MH370

1. Serangan pengganas

Ada spekulasi penerbangan MH370 itu menjadi mangsa serangan pengganas selepas pihak berkuasa Malaysia mendedahkan dua daripada penumpang menaiki pesawat udara itu menggunakan pasport curi.

Namun pegawai dan pakar segera menyanggah dengan mendakwa, tiada bukti berlaku jenayah - setakat ini - dan penggunaan dokumen palsu itu mungkin disebabkan faktor lain.

Bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) John Goglia berkata, tanpa panggilan kecemasan daripada juruterbang membayangkan pesawat berkenaan meletup.

“Jika itu berlaku, ia mesti terjadi dengan sangat pantas,” katanya.
Bekas pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan AS Kip Hawley berkata, maklumat diperoleh setakat ini membayangkan “banyak kejadian silam.”

Antaranya, kata Hawley, tindakan pengganas pada 2006 yang mahu memusnahkan pesawat itu ketika berada di Lautan Atlantik menggunakan bahan letupan cecair.

Namun, ia digagalkan oleh agensi keselamatan AS dan British.

Pihak lain pula mengaitkan insiden kelmarin dengan berakhirnya Kongres Rakyat Kebangsaan di Beijing dan ketika China semakin berdepan dengan serangan keganasan.

Bekas pegawai antipengganas Britain Richard Kemp berkata, kemungkinan seranga pengganas perlu dipertimbangkan dengan serius.

Pegawai Keselamatan Jabatan Negara AS pula berkata, hanya kerana memiliki pasport curi tidak bermakna seseorang itu pengganas.

“Mereka mungkin seorang pencuri biasa, atau mendapatkan pasport berkenaan dari pasar gelap,” katanya.

2. Letupan dalam kabin

Beberapa juruterbang dan pakar berkata, letupan kemungkinan menjadi punca pesawat berkenaan ‘ghaib.’

Bekas juruterbang Penerbangan Malaysia berkata, jika terkena petir atau penyahmampatan, pesawat berkenaan sepatutnya boleh bertahan.

“Namun jika berlaku letupan, tidak ada peluang untuk mereka terselamat,” katanya.

Pihak lain pula menjangka mungkin berlaku kehilangan tekanan mendadak dalam kabin, seterusnya menyebabkan letupan.

3. Kegagalan mekanikal

Maklumat semalam membayangkan berkenaan membuat pusingan U sebelum hilang dari radar serta hubungan komunikasi terputus.

Keadaan itu, menurut pakar, mungkin disebabkan juruterbang menyedari berlaku kerosakan mekanikal pada pesawat terbabit.

Kata pakar yang enggan dikenali, langkah berpusing balik (atau dikenali dengan istilah ATB) dilakukan apabila juruterbang mengesyaki berlaku kerosakan pada pesawat berkenaan.

"Namun, dalam keadaan begitu juruterbang sepatutnya menghubungi menara kawalan," katanya.

Ada pula pihak meramalkan kemungkinan kedua-dua enjin pesawat rosak tetapi jika itu berlaku, ia masih boleh meluncur sehingga 20 minit - memberi masa mencukupi kepada juruterbang membuat panggilan kecemasan.

4. Kegagalan tiba-tiba pada pesawat

Beberapa penganalisis berpendapat, ada persamaan antara misteri MH370 dan kehilangan pesawat Air France yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.

Penerbangan 447 itu berlepas dari Rio de Janeiro ke Paris dan kemalangan mengorbankan semua 228 penumpang dan anak kapal.

Pada mulanya, kejadian itu dipercayai berlaku akibat ribut tetapi penyiasat mendapati alat pengesan kelajuan di luar pesawat Airbus itu diselaputi ais menyebabkan kawalan automatik tidak berfungsi.

Siasatan juga mengesan berlaku kesilapan juruterbang. Ketika penerbangan, sesebuah pesawat boleh berada dalam situasi pegun (stall) apabila ia berhenti terbang dan mula menjunam.

5. Kegagalan juruterbang

Kekeliruan juruterbang memang mungkin berlaku walaupun peratusannya sangat kecil.

Juruterbang mungkin meletakkan pesawat itu dalam keadaan panduan automatik tetapi tiba-tiba terkeluar daripada laluan tanpa disedari sehingga keadaan sudah terlewat.

Namun, pakar penerbangan berkata, dalam keadaan begitu pun, ia masih boleh dikesan radar.

Pernah juga berlaku kejadian juruterbang membunuh diri.

Sebuah pesawat EgyptAir dari New York ke Kaherah terhempas di selatan Massachusetts pada tahun 1991 dan membunuh semua 217 penumpang dan anak kapal.

Penyiasat mendapati kejadian itu berpunca daripada tindakan pembantu juruterbang, Gamil el-Batouty, sengaja melakukannya sebagai membalas dendam kerana dituduh melakukan salah laku seksual.

Pesawat itu membawa seorang eksekutif yang menghukumnya.

Mesir bagaimanapun mendakwa pesawat itu terhempas akibat kerosakan mekanikal. -Reuters/AFP

BACA INI JUGA: #QZ8501: Tun Mahathir Persoal Syarikat Boeing!

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon