Thursday, November 07, 2013

Kisah Gadis Melayu Ditarbiah Syiah


Info Syiah. Apabila si gadis Melayu itu menjejakkan kaki di bumi Iran, perkara pertama yang dilihatnya ialah busana rakyat Iran yang berwarna hitam. Warna hitam pada pandangannya menandakan perkabungan yang berpanjangan.

Syiah Sesat

Terdapat juga gadis Iran berseluar jean dan dipadankan dengan baju berkain hitam dan cadur iaitu sejenis cadar yang panjang dipegang di tangan. Namun, si gadis Melayu kekal berpakaian wrna-warni dan ada kalanya berbaju kurung sahaja.

Hari-hari terawal di Universiti Az-Zahra, si gadis Melayu itu hanya berkenalan dengan gadis-gadis Iran menerusi bahasa Isyarat. Gadis Iran hanya menguasai bahasa ibundanya sahaja. Ini menyebabkan si gadis Melayu itu cepat menguasai bahasa Iran.

Si gadis Melayu itu juga tiada rakan senegara atau dari Indonesia untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Bahkan berjam-jam dia mahu mengakses talian internet tapi laman sosial Friendster (ketika itu belum ada Facebook) juga disekat pemerintah.

Namun, uniknya Universiti Az-Zahra hanya menempatkan mahasiswi sahaja. Justeru si gadis Melayu itu punya lebih kebebasan untuk bergerak dalam kawasan asrama, melakukan aktiviti sukan dan berenang.

"Pritttttt!!!"

Wisel berbunyi nyaring menandakan terdapat tukang baik peralatan dan juruteknik lelaki memasuki kawasan universiti. Lalu cepat-cepat si gadis Melayu itu dan gadis-gadis Iran memakai tudung.

"Ia bukan aneh bagi kami. Kami sudah diasingkan dari kaum lelaki sejak tadika lagi", rungut rakannya, si gadis Iran itu kepadanya.

Si gadis Melayu itu dapat merasai ketidakpuas hati kecil gadis-gadis Iran yang terkongkong lalu lambat mendapat jodoh akibat peraturan demikian.

Gadis-gadis Iran bersifat terbuka dengan kehadiran si gadis Melayu itu di negara mereka. Cuma agak memelikkan bagi si gadis Melayu itu apabila mendapati kaki gadis Iran ditumbuhi banyak bulu kaki.

Lama-kelamaan barulah dia faham itu tandanya gadis tersebut belum berkahwin. Hanya wanita Iran yang telah berkahwin sahaja akan mencukur bulu kakinya.

Kecantikan gadis Iran.

Namun, rupa paras gadis-gadis Iran membuatkan lelaki kecur air liur. Gadis Iran dikurniakan kulit seputih susu dengan tekstur kulit yang halus mulus. Sepasang bibir terukir indah. Hidungnya mancung bak seludang kelapa.

Keningnya hitam dan lebat melengkung bagai bulan sabit. Matanya bulat dan bersinar tajam apabila merenung. Rambut mereka pula panjang mengurai. Semua kecantikan dan aurat wanita Iran terlindung di sebalik kain tudung hitam tanpa mengira Muslim atau bukan Muslim.

Bagi gadis-gadis Iran dunia ini suatu perjalanan yang panjang. Sebab itu rakan-rakan si gadis Melayu itu sentiasa menjamakkan solatnya walaupun tidak menggasarkannya.

"Awak datang jauh-jauh ni pasti Tuhan mahu kamu masuk Syiah. Solat pun mudah. Berwuduk pula tidak perlu susah-susah membasuh kaki", kata rakannya. Si gadis Melayu itu sekadar tersenyum lalu bertanya: "Solat Subuh berapa rakaat ya?".

"Empat rakaat kut...", jawapan dari gadis Iran itu tidak menghairankan si gadis Melayu.

Bagi gadis-gadis Iran, menjadi Syiah lebih penting daripada segala-galanya. Oleh sebab rakan si gadis Melayu itu tidak solat dan kalau solat pun sentiasa jamak sahaja, maka dia terpaksa mencari waktu solat dengan cara mengukur sendiri bayang-bayang matahari.

Ada rakan si gadis Melayu itu sangat baik akhlaknya. Bahkan mengingatkan dia untuk mendirikan solat. Tapi gadis Iran itu sendiri tidak bersolat. Selalulah dia diceramahkan dan ditarbiahkan tentang ajaran Syiah oleh rakan-rakannya.

"Okey, nanti saya fikirkan", jawab si gadis Melayu itu untuk mengelakkan pertengkaran.

"Cuba awak berdoa. Satu doa atas nama Sayidina Ali. Satu doa lagi atas nama Sayidina Abu Bakar. Mesti doa atas nama Sayidina Ali itu akan termakbul", ucap rakannya.

"Tak apalah, saya hendak berdoa atas nama Allah sahaja", balas si gadis Melayu itu bersahaja.

"His!! Degilnya awak ni!", kata gadis Iran itu geram.

Pernah si gadis Melayu itu solat dengan pengikut Syiah di sebuah masjid. Cuma yang peliknya, mereka membaca doa qunut antara dua solat yang dijamakkan. Sujud pula di atas seketul batu.

Apabila si gadis Melayu itu berkunjung ke masjid Syiah, wajib ada sekurang-kurangnya sebuah kubur yang dibina indah di dalam masjid. Siap berdinding dan berbumbung.

Pada dinding tersebut ada lubang. Dia meneropong ke dalam lubang itu yang terdapat keranda kosong sebagai simbolik kepada jenazah yang ditanam dalam tanah.

Anehnya dalam ruang tersebut selain keranda kosong terdapat banyak anak patung dan duit syiling. Di sekeliling dinding cermin yang memagari kubur terdapat besi terikat benang-benang.

Salah satu makam Imam penganut Syiah.

Daripada pemerhatian si gadis Melayu itu, orang Syiah sangat memuliakan kubur imam mereka. Bermula dari pintu masuk masjid lagi, pengikut Syiah akan mencium dinding masjid. Kemudian mencium dinding makam tanpa henti sambil mengikatkan benang pada besi itu dan memasang hajat masing-masing.

Apabila benang itu terurai maka dianggap hajat tercapai. Ada juga yang membawa mangga kunci, lilin dan lain-lain lagi barangan menuju ke kubur di tengah masjid itu. Selain itu, masjid Syiah mempunyai banyak cermin-cermin memenuhi hiasan dalaman masjid dengan ukiran tertentu hingga membuatkan pandangan bersilau.

Sepanjang si gadis Melayu itu tinggal di Iran, dia mendapati Iran banyak cuti umum. Antaranya cuti umum bagi menyambut ulang tahun hari kematian 12 imam mereka dan hari bersejarah perjuangan bangsa Parsi.

12 imam pengikut Syiah.

Setiap tahun baru Nuruz, seluruh negara akan bercuti hingga dua minggu.

Jika tahun hijrah mengikut peredaran bulan, tahun baru Nuruz bagi orang Iran ialah mengikut pusingan matahari.

Sambutan Awal Muharam merupakan hari perayaan terbesar. Secara tidak langsung si gadis Melayu akan turut serta bersama gadis-gadis Iran berpesta, bergendang, berarak dan membuat majlis di rumah-rumah. Perarakan mereka seolah-olah perarakan tentera Hassan dan Hussein dengan irama lagu tertentu.

Sepanjang jalan juga, semua orang akan menghulurkan air kepada si gadis Melayu itu. Apabila dia bertanya orang yang menghulurkan air kepadanya menangis sambil meraung.

"Ingatkah lagi peristiwa kematian Sayidina Hussein yang mati kerana kehausan akibat kezaliman musuh!", jerit mereka.

Selain itu, mereka juga ada Hari Ibu dan Hari Bapa. Bagi mereka, Hari Ibu ialah hari kelahiran Fatimah Az-Zahrah. Manakala Hari Bapa ialah hari kelahiran Sayidina Ali. Hari Guru ialah hari kematian cerdik pandai Syiah.

Bukan saja cantik bahkan gadis Iran rajin membaca.

Menariknya, orang Iran amat rajin membaca. Semasa si gadis Melayu itu ke perpustakaan, terdapat banyak sekali karya cendekiawan Iran tersusun elok di atas rak yang tinggi-tinggi.

Antaranya, Qanun fi Tibb yang ditulis oleh Ibnu Sina seorang doktor kelahiran Iran. Karya penyair agung Iran seperti Hafiz, Sa'di dan Rumi telah diterjemahkan ke dalam puluhan bahasa dan tersebar ke seluruh dunia.

Oleh sebab orang Iran tidak menekankan sangat penguasaan bahasa Inggeris, maka banyak buku berbahasa Inggeris, Brazil, Rusia dan lain-lain negara diterjemahkan ke dalam bahasa Parsi.

Jika kita mempunyai Pesta Buku Antarabangsa, Iran mempunyai satu kawasan saujana mata memandang yang menempatkan ratusan bahkan ribuan gudang menjual buku sahaja.

Nisbah besarnya kawasan itu ialah seluruh kawasan yang menempatkan Pesta Buku Antarabangsa Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) bersamaan dengan segudang kedai buku kanak-kanak. itu belum lagi buku dalam bidang-bidang lain.


Di situlah si gadis Melayu itu menelaah dan befikir menilai dan menapis antara intan dan permata. Antara fakta dan imaginasi dalam membentuk keperibadiannya sebagai gadis Timur.

Si gadis Melayu itu melalui detik mendebarkan apabila hampir tercetusnya perang antara Iran dengan Amerika pada tahun 2004-2007. Media antarabangsa menggembar-gemburkan Iran akan diserang. Namun tiada sebutir bom pun meletup di Iran.

Cuma apabila jiran Iran iaitu Iraq dicerobohi Amerika dan Presiden Saddam Hussein terbunuh, seluruh rakyat Iran dan rakan-rakannya saling bertukar manisan dan berpesta di setiap pelosok negara termasuk di jalan raya.

Apabila menjejakkan kaki kembali ke bumi Malaysia, terkial-kial si gadis Melayu itu mahu mengingati kembali hari, tarikh, tahun bahkan bahasa ibundanya sendiri!

Barulah dia menyedari betapa beruntungnya dilahirkan di bumi Malaysia dan kembali ke pangkuan keluarga tercinta. Bayangkan jika si gadis Melayu ini tidak mempunyai 'kedegilan' dan jati diri yang kuat semasa ditarbiahkan oleh rakan-rakan Syiahnya semasa menuntut di Iran...

Nota: Si gadis Melayu yang di maksudkan itu ialah Firuz Akhtar Muhammad Bukhari Lubis, mantan Ustazah Pilihan Musim Pertama Astro. Sepanjang lima tahun pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Kesusateraan Parsi di bumi Iran, beliau tidak pernah pulang ke Malaysia walaupun semasa cuti semester.

Masa terluang itulah digunakan untuk meneroka bumi Iran untuk melihat budaya, mempelajari bahasa dan menambahkan pengalaman hidup yang unik dan amat berharga selain mengenal yang mana intan yang mana permata.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon