Tuesday, October 01, 2013

Moyes Tak Peduli Nasihat Ferguson Punca MU Terus Tersungkur


Alex Ferguson menasihatkan David Moyes agar tidak menyingkirkan barisan jurulatih yang telah membantunya membawa Manchester United merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, malangnya permintaan Ferguson tidak diendahkan oleh Moyes.

Moyes vs Ferguson
Moyes tidak mempedulikan nasihat Alex Ferguson agar tidak memecat 
pembantunya ketika beliau menjadi pengurus Manchester United.

Ferguson telah mengadakan perbincangan dengan Moyes sebelum menyerahkan tugas kepada bekas pengendali Everton itu, dan dengan jelasnya memberitahu agar tidak sesekali membuang pasukan kejurulatihan yang sedia ada.

Bagaimanapun sebaik diumumkan sebagai pengurus baharu Red Devils, Moyes menyingkirkan pembantu Ferguson, Mike Phelan, jurulatih, Rene Meulensteen dan jurulatih penjaga gol, Eric Steele.

Beliau kemudian melantik Steve Round sebagai orang No. 2 United, selain Phil Neville dan Jimmy Lumsden dalam barisan kejurulatihan. Chris Woods pula bertanggungjawab melatih penjaga gol.

Tindakan Moyes nyata memakan diri apabila United kini mengharungi musim terburuk dalam tempoh 24 tahun. Mereka menghuni tangga ke-12 ekoran tiga kekalahan daripada enam perlawanan.

“Dia (Moyes) memberitahu saya, Mick dan Rene bahawa kami tidak diperlukan.

“Saya beritahu dia, ini adakah keputusan yang berani.

“Saya tidak mahu pergi, kenapa saya patut pergi? Saya sedar, David akan masuk dan saya tertanya-tanya, siapakah yang akan dibawa dalam pasukan ini," kata Steele kepada majalah Inside United.

Steele mengakui, sebagai pengurus tindakan Moyes tidak salah, namun secara logiknya apakah wajar untuk menyingkirkan sebuah pasukan yang telah membawa kelab merangkul kejuaraan.

“Itu ironik bukan? Anda sebahagian daripada barisan yang jurulatih membantu pasukan mengharungi musim terbaik dan merangkul Liga Perdana."

Manchester United tiada taring - Moyes

Manchester United

Pengendali Manchester United, David Moyes mengakui, jentera serangan pasukannya yang kurang menyengat menimbulkan kebimbangan besar dan menjadi punca mereka kalah mengejut 1-2 kepada West Brom di tempat sendiri pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Menurut Moyes, sejak mencatat kemenangan 4-1 ke atas Swansea City dalam aksi pembukaan liga, kebanyakan gol United diperoleh sama ada menerusi situasi bola mati atau gerakan yang berpunca daripada sepakan percuma dan sudut.

Anak-anak buah Moyes gagal untuk menghasilkan gol daripada permainan terbuka, dan keadaan tersebut amat membimbangkan pengurus kelahiran Scotland itu, terutama selepas ia berulang lagi dalam pertemuan dengan West Brom.

Kekalahan kelmarin menyebabkan penyandang juara itu mencatat permulaan terburuk liga dalam sejarah kelab sejak 1989, malah sejak Moyes mengambil alih pasukan daripada Alex Ferguson, mereka telah mengalami tiga kekalahan musim ini.

“Saya sangat bimbang, bukan hanya kerana kami tidak bermain dengan baik (menentang West Brom) tetapi ada faktor lain yang menganggu pasukan daripada mencatat kemenangan. Ada banyak perlawanan lagi menunggu selepas ini, jadi kami harus segera memperbaiki kelemahan itu.

“Masalah utama kami bukan kurangnya percubaan dibuat atau ketiadaan pemain penyerang dalam pasukan. Kami ada ramai penyerang, tetapi mereka tidak beraksi seperti yang diharapkan dan kami kena buat lebih baik daripada sekarang.

“Kami hilang faktor peledak yang boleh membawa pasukan ke atas, kalau benda itu ada ia sudah tentu membawa perbezaan. Kalau kami berjaya menghasilkan lebih gol, keadaan akan berubah.

“Tiada persoalan lagi, West Brom memang berhak memenangi perlawanan ini," kata Moyes.

Moyes sebelum ini merungut tentang kempen pembukaan United yang sukar apabila mereka terpaksa berdepan tiga kelab gergasi, Chelsea, Liverpool dan Manchester City dalam tiga daripada lima perlawanan pertama liga.

United seri tanpa jaringan dengan Chelsea di Old Trafford, sebelum kalah 0-1 kepada Liverpool dan dibelasah 4-1 oleh City. -Agensi/AFP

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon