Tuesday, September 17, 2013

Wasiat Chin Peng Mahu Abu Mayat Dibawa Ke Malaysia


Seorang bekas anggota Parti Komunis Malaya berkata pemimpinnya Chin Peng yang meninggal dunia kelmarin berhajat agar abu mayatnya dibawa pulang ke kampung halaman di Sitiawan, Perak. Fang Shan berkata perkara itu dinyatakan kepadanya ketika bertemu Chin Peng pada tahun 2012 lalu.

Chin Peng Mahu Abu Mayat

"Pada kali terakhir saya bertemunya adalah setahun lalu di Bangkok.

"Dia beritahu saya perkara sama: Dia mahu pulang ketika masih hidup. Jika tidak, dia mahu abu mayatnya dibawa pulang.

"Dia tidak dapat pulang semasa hayatnya. Inilah kekesalannya yang paling besar," kata Fang, 75 yang pernah menjadi pemimpin propaganda PKM.

Fang berkata beliau akan pergi ke Bangkok untuk bertemu anggota keluarga Chin Peng yang akan memutuskan sama ada akan membawa pulang abu mayat berkenaan.

Katanya, beliau percaya bahawa bahawa rakan-rakan bekas anggota PKM, berjumlah sekitar 300 orang, juga mahu abu mayat Chin Peng dibawa pulang/

Seramai kira-kira 340 orang bekas anggota KPM dibenarkan pulang ke Malaysia dan ditempatkan semula ke pelbagai kawasan di negara ini.

Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan pada 1924. Beliau meninggal dunia pada jam 6.20 pagi di Bangkok.

Abu Mayat Chin Peng Tidak Dibenar Dibawa Pulang Ke Malaysia!

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan mempertimbang sebarang permintaan daripada anggota keluarga Chin Peng supaya mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya itu dibawa pulang ke negara ini untuk urusan pengebumian.

Perdana Menteri berkata bekas ketua komunis yang meninggal dunia di Bangkok kelmarin akan diingati sebagai pemimpin pengganas yang terlibat melakukan pelbagai kekejaman terhadap rakyat dan serangan ke atas pasukan keselamatan.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan tidak akan terlibat dalam urusan pengebumian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) itu sama ada di negara ini atau di Thailand.

“Kita tidak akan benarkan mendiang dikebumikan di Malaysia sebab sejarah hitam yang dia lakukan. Tambahan lagi Chin Peng bukan warganegara Malaysia.

“Dia tidak mahu jadi warganegara Malaysia, jadi kita tidak ada apa-apa ikatan dengannya sama sekali,” kata Najib pada sidang akhbar ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbang sekiranya anggota keluarga Chin Peng memohon untuk melakukan urusan pengebumiannya di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia percaya urusan pengebumian akan dilakukan di Thailand,” kata Najib sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50.

Najib menarik perhatian bahawa keganasan komunis yang dipimpin Chin Peng terutama di era darurat telah menyebabkan ribuan nyawa terkorban terutama anggota keselamatan di samping beribu yang lain mengalami kecederaan atau kecacatan.

“Rakyat juga menderita kerana kemusnahan harta benda sepanjang PKM melancarkan peperangan ke atas kerajaan selain melakukan sabotaj terhadap ekonomi negara,” katanya.

Pemimpin pengganas yang hidup dalam buangan di Thailand itu pernah membuat permohonan untuk pulang ke Malaysia, namun ditolak.

Chin Peng Lebih ‘Aman’ Di Bangkok

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng bukanlah seorang warganegara Malaysia kerana mendiang tidak pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak kerakyatannya di negara ini.

Beliau pada masa sama berkata, Chin Peng akan lebih aman sekiranya disemadikan di tempat beliau menghabiskan sisa hidupnya.

“Dia tidak pernah mendapatkan kerakyatan (Malaysia) ketika dia menyertai PKM… Saya tidak pasti sama ada beliau mendapat kewarganegaraan dari Thailand tetapi dia bukan seorang warga Malaysia,” katanya menerusi laman mikro Twitter.

Kematian Chin Peng Bukan Satu Kehilangan

Kematian Chin Peng tidak akan dianggap sebagai satu kehilangan berikutan pengkhianatan dan keganasan yang pernah dilakukannya satu ketika dulu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Malah, Chin Peng yang pernah mengetuai parti komunis di negara ini bertanggungjawab penuh atas kematian beribu-ribu askar, anggota keselamatan dan rakyat kita dalam mempertahankan kedaulatan negara pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan semalam.

“Malah, ketika mendiang tenat sebelum inipun, saya yang ketika itu Menteri Dalam Negeri tidak membenarkan sama sekali beliau dibawa pulang ke Malaysia.”

Beliau bersetuju dengan pandangan supaya mayat atau abu Chin Peng tidak dibenarkan ditanam di bumi Malaysia.

“Sejarah membuktikan betapa perbuatan Chin Peng satu ketika dulu telah menimbulkan pelbagai keresahan dan kacau-bilau kepada negara serta rakyat kita,” tegas menteri itu.

Sementara itu, Ketua MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui berkata keputusan kerajaan itu harus diterima rakyat.

“Jangan ada yang politikkan isu ini kerana ia melibatkan sensitiviti anggota keluarga mangsa kekejaman dan keganasan komunis dan kumpulan gerila yang dipimpin Chin Peng,” katanya.

Kematian Chin Peng Satu Kebetulan Yang Unik

Seorang Penganalisis politik, Dr Ismail Sualman menyifatkan kematian bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai kebetulan yang unik iaitu pada Hari Malaysia yang ke-50.

“Mungkin ia takdir yang dikatakan satu yang simbolik. Takdir menentukan segalanya. Tetapi secara kebetulannya Chin Peng meninggal pada hari yang sama kita memperingati penubuhan Malaysia.

“Apa pun sejarah komunis merupaka satu sejarah hitam yang terpalit dalam politik negara kerana kita tak boleh lupa tentang yang dilakukan oleh komunis pada suatu ketika dahulu,” demikian menurut Ismail.

Menurut laporan laman web Antarapos, Chin Peng dikaitkan dengan kematian beribu penduduk dan pasukan keselamatan negara ini dalam usahanya menjatuhkan penjajah negara, kerajaan British.

Selepas membebaskan Tanah Melayu daripada British, PKM pula yang menjajah bumi bertuah ini.

Ismail menambah, keganasan dan kezaliman yang dibuat Chin Peng perlu diambil iktibar oleh generasi muda pada hari ini agar sejarah hitam itu tidak menular.

Malah dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negara seperti yang dikecapi sehingga kini, Ismail mahu semua pihak berganding bahu dan bersatu-padu agar unsur murni ini dapat dikekalkan sehingga masa akan datang.

“Dengan wujudnya penubuhan Malaysia pada 16 September ia menjadi titik tolak kepada usaha serantau dalam menekankan keamanan, kestabilan dan sikap berkecuali.

“Itu yang saya fikir ia perlu menjadi ingatan kepada generasi muda supaya mereka menghargai perjuangan pejuang bangsa dan kita tak mahu lagi ditawan dan berkompromi dengan komunis,” jelasnya.

Beliau dilarang kembali ke Malaysia setelah PKM bersetuju untuk mengikat perjanjian damai dengan Malaysia pada tahun 1989.

Larangan itu dibuat sebagai menghormati balu dan anggota keluarga pejuang-pejuang negara yang terkorban akibat serangan gerila komunis pada satu masa dahulu.

UPDATE (27/11/2019)

'Abu Chin Peng telah ditabur di Lumut, banjaran Titiwangsa'

Selepas enam tahun berada di “perantauan”, abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan telah dibawa masuk ke Perak pada 16 September 2019 lalu.

Sebelum ini, Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Menurut penyelaras kumpulan yang menguruskan kepulangan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand ke Malaysia dan sebahagiannya ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak, serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Chin Peng pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Namun, selepas kematian Chin Peng, kerajaan Malaysia menegaskan untuk tidak akan membenarkan abu mayat Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon