Sunday, December 23, 2012

Gadjet Terbaru Mesti Di Miliki 2013!


bakal melabuhkan tirainya kurang dari dua minggu sahaja lagi. Bagi peminat tegar gajet, kehadiran tahun baharu tentunya sesuatu yang dinanti kerana seperti biasa, pelbagai gajet terkini bakal menemui mereka.

Berikut disenaraikan gajet yang diramal bakal memasuki pasaran pada tahun 2013, atau paling lewat pada tahun berikutnya.

Fujitsu Lifebook 2013


Sungguhpun memiliki nombor 2013 pada penghujung namanya, Fujitsu Lifebook 2013 ini sebenarnya peranti konsep yang menggabungkan komputer riba, telefon pintar, tablet dan kamera.

Kombinasi ini bukanlah gabungan ciri yang disatukan di dalam satu peranti tetapi lebih tepat, gabungan peranti fizikal yang boleh dicantum dan dileraikan daripada peranti induknya.

Sebagai contoh, komputer riba ini tidak mempunyai papan kekunci biasa seperti komputer riba biasa, sebaliknya terdapat satu slot kosong di tengahnya dengan penyambung 16-pin untuk disambung dengan tablet yang kemudiannya berfungsi sebagai papan kekunci.

Sama seperti tablet, kamera dan telefon juga boleh ditanggalkan dari badan komputer apabila hendak digunakan dan dipasangkan semula untuk mengecas bekalan bateri atau untuk memuat naik gambar, video dan fail ke komputer. Walaupun ramai yang menganggarkan ia tidak mungkin akan menjadi realiti seawal tahun hadapan, tetapi sekurang-kurangnya ia akan menemui pengguna dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

Telefon dengan skrin boleh lentur


Penganalisis teknologi meramalkan telefon pintar dengan skrin boleh lentur bakal menjadi realiti pada tahun 2013. Desas-desus mengatakan bahawa Samsung dijangka melancarkan telefon itu pada tahun hadapan sekali gus menjadi peneraju dalam teknologi skrin.

Paparan yang fleksibel tersebut membolehkan skrin telefon digulung, dibengkok atau dilipat tanpa merosakkannya. Samsung telah memperkenalkan teknologi kepada umum ketika pameran konsumer elektronik atau CES pada tahun 2011 di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Menggunakan teknologi OLED boleh lentur, Samsung dijangka dapat menghasilkan telefon yang lebih nipis, ringan dan fleksibel berbanding teknologi LCD konvesional.

Pencetak 3D untuk konsumer


Pencetakan 3D merupakan satu proses menghasilkan objek tiga dimensi, dari model digital. Dengan erti kata lain, pencetak 3D membuat salinan model digital dan menghasilkan objek fizikal dan bukannya hasil cetakan di atas kertas seperti pencetak biasa.

Sungguhpun pencetak 3D telah wujud pada awal abad ke-21, aplikasinya terhad digunakan di dalam pembuatan kasut, reka bentuk industri, automotif, aero angkasa dan industri lain bagi menghasilkan prototaip kepada sesuatu produk.

Hanya sejak kebelakangan ini, pencetak 3D untuk pengguna rumah mula dipasarkan, akan tetapi pasarannya masih kecil. Pasaran pencetak 3D dijangka akan berkembang pada tahun hadapan dan tahun-tahun mendatang dengan bertambahnya pengimport yang membawanya masuk ke Malaysia.

Apple TV


Terkenal dengan reka bentuk yang agak luar biasa, Apple dikhabarkan bakal memperkenalkan televisyen (TV) keluaran mereka.

Walaupun berita ini, tidak dapat disahihkan lagi, para penganalisis teknologi mengandaikan produk ini bakal muncul pada 2013.

Ini disokong oleh kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook awal tahun ini yang telah memberi bayangan ‘sesuatu yang lebih besar dan lebih baik dari Apple TV bakal diperkenalkan’.

Andainya ia menjadi kenyataan, ia dilaporkan bakal dikuasakan unit pemproses A5 dengan video berdefinisi tinggi dan dijangkan akan ditawarkan di dalam beberapa saiz termasuk 32 dan 55 inci.

Samsung Galaxy S4


Samsung Galaxy S3 baru sahaja dilancarkan pada Mei yang lalu, tetapi Samsung dikhabarkan telahpun menyusun strategi untuk mengeluarkan penggantinya - Samsung Galaxy S4.

Diramalkan akan menggunakan pemproses quad-core 1.8GHz dengan kamera berkuasa 13-megapiksel. Jika dibandingkan antara Samsung Galaxy S2 dengan Samsung Galaxy S3, yang memperlihatkan penambahan saiz skrin dari 4.3-inci kepada 4.8-inci, tidak mustahil jika S4 dibekalkan dengan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan berdefinisi tinggi (HD).

Telefon pintar ini juga dijangka bakal menggunakan sistem operasi Android 5.0 dengan kod nama Key Lime yang dikatakan akan menggantikan versi Android 4.2 Jelly Bean.

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon