Sunday, December 09, 2012

DJ Radio Australia Di Ancam Bunuh Dari Seluruh Dunia


Kematian jururawat yang berdedikasi, Jacintha Saldanha semalam mencatatkan peristiwa hitam dalam kisah kehamilan Duchess of Cambridge. Pasangan diraja Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton amat terkejut mendengar berita kematian Jacintha yang dipercayai membunuh diri.


Jacintha, 46, diperdaya apabila menyambungkan panggilan palsu daripada juruhebah stesen radio Australia, 2DayFM, Mel Greig dan Michael Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles kepada jururawat yang merawat Kate. Ibu dua anak itu ditemui mati di kediamannya dekat Hospital Raja Edward VII di pusat bandar London, di mana Kate dirawat.

Dalam kenyataannya, Istana St James berkata: “Duke dan Duchess of Cambridge sangat bersedih apabila mendapat tahu mengeanai kematian Jacintha. “Mereka dilayan dengan baik sekali oleh semua kakitangan di hospital berkenaan. Doa dan ingatan mereka ditujukan khas buat Jacintha, keluarga dan rakannya dalam detik sukar ini,” kata kenyataan itu.

Ketua Eksekutif Hospital terbabit, John Lofthouse berkata, semua kakitangan hospital terkejut dengan kehilangan jururawat yang sangat disayangi dan dihargai ramai itu.

“Jacintha seorang jururawat yang hebat, sangat dihormati dan popular di kalangan kakitangan kami. “Kami dapat mengesahkan Jacinta adalah mangsa kepada panggilan palsu yang dibuat ke hospital ini,” katanya.

Sementara itu, Mel dan Christian yang bertanggungjawab membuat panggilan palsu dan dikaitkan dengan kes bunuh diri Jacintha tidak bertugas semalam selepas menerima ancaman bunuh dari seluruh dunia.

Mel dan Christian yang berbangga dengan panggilan palsu dilakukan, bagaimanapun, turut terkejut dengan berita kematian jururawat terbabit dan meminta maaf selepas dihujani mesej kebencian di Twitter dan Facebook ekoran tragedi itu.


Mereka juga membatalkan akaun Twitter masing-masing sejurus mendapat tahu mengenai komen pengguna Twitter yang tersebar dengan meluas mendakwa “ada darah di tangan mereka”. Dalam satu kenyataan, stesen radio Australia itu berkata: “Dua juruhebah kami memutuskan untuk tidak bertugas hingga notis diberitahu kelak sebagai tanda menghormati tragedi yang berlaku.” Personaliti media dan bintang The Apprentice BBC1, Lord Sugar berkata di Twitter, kematian Jacintha adalah kes bunuh diri yang tragik sambil menambah pihak yang memperdayanya “patut ditahan dan didakwa”.

Bagaimanapun, menurut polis Australia, kedua-dua juruhebah itu tidak melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang. Jurucakap polis New South Wales berkata: “Juruhebah radio itu tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang Australia,” katanya.

-DM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon