Thursday, February 12, 2026

SBDJ Siri 244: Rahsia 3 Manusia Terbongkar

SBDJ Siri 244: Rahsia 3 Manusia Terbongkar

Lama juga Datuk dan Pak Habib membiarkan kedua-dua lelaki itu dalam keadaan yang tidak menentu. Terhoyong-hayang macam orang mabuk, tidak dapat mengimbangi tubuh untuk berdiri dengan betul. Salah seorang daripada mereka kerap jatuh dan kerap pula bangun.

SBDJ Siri 244 Rahsia 3 Manusia Terbongkar

Dalam saat-saat tertentu mereka bercakap dalam bahasa yang ganjil dan sukar dimengertikan. Bukan dalam bahasa Indonesia, bukan juga dalam Bahasa Melayu.

"Allaahu akbar..."

Secara tidak sengaja Pak Habib menyebut ungkapan itu, bila seekor kelawar sedar melintas di depannya. Serentak pula kedua-dua lelaki yang terhoyong-hayang tersungkur di bumi. Datuk yang berada di sisi Pak Habib menggigit ibu jari kiri.

Muka kedua-dua lelaki yang terkapar di bumi terus jadi bahan renungan Pak Habib. Ada keresahan bermain dalam hatinya.

Renungan segera dialihkan ke muka datuk buat seketika. Kemudian kembali semula ke muka kedua-dua lelaki yang terlentang, merenung bulan dan bintang di langit.

Tindak-tanduk Pak Habib mengundang rasa cemas dalam diri saya.

Sebenarnya, saya tidak mampu bertahan lebih lama lagi, di kawasan hutan dalam suasana malam yang kian mendekati waktu Isyak.

Mungkin si pemandu dan datuk juga berfikir seperti apa yang saya fikir.

Dalam melayani perasaan hati, badan terasa dingin akibat hembusan angin malam yang lemah. Nyamuk terus berpesta menyedut darah. Lelaki berdarah dahi terus berdengkur. Tidak tahu apa yang berlaku di sekitarnya.

"Bangun, berdiri."

Suara Pak Habib lantang, bergema menguasai kawasan hutan kelcil. Datuk tersintak, pemandu dan saya terkejut besar.

Lebih mengejutkan kedua-dua lelaki yang terbaring terus bangun dan berdiri dalam keadaan yang tiada bernaya.

Tindakan selanjut yang dilakukan oleh Pak Habib di luar jangkaan. Dari garang bertukar lembut, penuh sopan. Kembali pada jati diri sebenar.

Tangannya menepuk-nepuk bahu kedua-dua lelaki berkenaan penuh mesra sambil mengucapkan sesuatu.

BAIK

Walaupun dilayani dengan baik, keuda-dua lelaki tersebut tidak berani menentang muka Pak Habib. Badan mereka kelihatan seperti menggigil.

"Pandang muka saya," lembut Pak Habib merayu.

Rayuan itu tidak diendahkan.

"Kamu berdua, kalau tak salah, pernah bekerja dengan aku?"

Seperti tadi, tidak ada tindak balas dari kedua-dua lelaki tersebut. Mereka buat bodoh, tunduk renung tanah.

Pak Habib terus berlegar-legar di depan mereka sambil mengosok-gosok kedua-dua belah telapak tangannya.

"Sebaiknya, kamu berdua terterus terang saja dengan aku, kalau kamu berdua tak mahu susah," kata Pak Habib dalam nada menggugut.

Datuk senyum, kerana dia tahu itu satu taktik dari Pak Habib.

"Pernah tuan Habib," balas mereka serentak.

Pak Habib segera tenyitkan ekor mata pada datuk yang di sambut dengan senyum pendek.

"Di mana?"

Kedua-dua lelaki itu kembali membisu.

"Di mana?" Ulang Pak Habib keras.

Kedua-dua lelaki terbabit saling berpandangan. Ada kesulitan yang terjadi antara mereka. Siapa yang harus dahulu menerangkan kepada Pak Habib.

Sementara menanti jawapan dari mereka, Pak Habib merenung ke dada langit.

"Di Tanjung Balai, Tuan. Jadi penjaga gedung. Kadang-kadang menemani keluarga Tuan ke Penang," jawab yang bermuka separuh bulat.

"Kamu pula?"

Pak Habib ajukan pertanyaan pada lelaki yang berkulit agak gelap.

"Sama macam dia tapi, saya bahagian gedung yang menyimpan barang dari luar," jawab lelaki berkulit gelap.

Penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut membuat Pak Habib termenung seketika. Terus duduk atas seketul kayu. Dahinya, berkerut macam memikirkan sesuatu yang tidak pernah diduga. Dia segera memanggil datuk ke sisinya.

Mereka berbincang sesuatu dengan serius sekali. Tidak lama berikutnya, datuk meninggalkan Pak Habib yang mula bangun mendekati kedua-dua lelaki yang masih berdiri.

"Sekarang baru aku ingat, kamu berdua di tangkap pihak berkuasa Malaysia masa bekerja dengan syarikat aku," tutur Pak Habib.

"Benar Tuan," Sahut kedua-kedua lelaki tersebut.

"“Aku kurang jelas, macamana kamu boleh ditahan?"

"Eeeeee... lelaki berkulit gelap tidak meneruskan percakapan. Dengan ekor mata dia menjeling kearah kawan di sebelah.

"Berterus terang dengan saya."

"Begini tuan besar," lelaki bermuka separuh bulat mengambil alih tugas dari kawannya yang berkulit agak gelap untuk meneruskan penerangan.

"Kami kadangkala mengambil kesempatan menyeludup rokok kretek dari gedung Tuan Habib ke Batu Uban dengan bantuan orang tengah."

"Menarik cerita kamu," potong Pak Habib.

Tiada sebarang komen yang diucapkan oleh kedua-dua lelaki yang berdiri di depan Pak Habib.

TENANG

Barangkali mereka mahu mendengar kata selanjut yang bakal diucapkan oleh Pak Habib. Sepuluh saat sudah berlalu, kelopak bibir Pak Habib tidak terkuak untuk melontarkan kata.

Keresahan tidak saja di hati kedua-dua lelaki tersebut. Malah, turut terasa di hati datuk, saya dan si pemandu, kecuali lelaki berdarah dahi yang masih berdengkur.

Dalam suasana yang agak tenang itu, datuk menoleh ke arah saya dan pemandu.

"Nasib kami tidak baik, semasa bot mahu rapat ke pantai Batu Uban untuk menyerahkan kretek pada kaki di Penang, kami diserbu polis laut Malaysia, dua orang kawan kami yang jadi ketua penyeludupan lepas lari, kami berdua masuk perangkap pihak berkuasa Malaysia," lelaki yang berkulit agak gelap mengambil inisiatif menyambung cerita, bila menyedari yang Pak Habib tidak mahu membuka mulut.

"Lepas keluar penjara kamu ke mana?"

Dari jauh datuk campur tangan. Anak mata kedua-dua lelaki itu segera beralih pada datuk. Pak Habib tersenyum.

"Jawablah."

Pak Habib keluarkan arahan untuk bekas pekerjanya. Mungkin merasa kurang enak dengan campur tangan datuk.

Tetapi, tidak berani meluahkan rasa kurang senang itu pada Pak Habib atau datuk. Mereka saling berpandangan dalam usaha mencari keputusan.

"Jawab soalan sahabat saya," keras semacam suara Pak Habib.

"Lepas keluar penjara kami di hantar balik ke Medan, macam-macam kerja kami buat, termasuk ambil upah pukul orang. Suatu hari kami berdua dibelasah dengan teruk dan dicampak ke dalam sungai Deli," lelaki berwajah separuh bulat menyingkap kisah lalu.

"Kemudian..." datuk tidak meneruskan kata.

"Umur kami panjang, kami tak mati, bila pulih dari sakit kena belasah, kami pergi menuntut ilmu kebatinan hitam di kawasan perkampungan orang-orang KUBU," sambung lelaki berwajah separuh bulat dalam keadaan terketar-ketar.

NAFAS

Datuk menarik nafas panjang mendengar penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut.

Dalam hati datuk membuat kesimpulan, apa yang berlaku memang sudah dirancang sekian lama. Bukan sehari dua gerak geri Pak Habib diekori oleh mereka.

"Boleh saya cakap sikit."

Datuk minta izin dari Pak Habib.

"Silakan sahabat."

"Setelah kamu merasakan ilmu yang di tuntut cukup kuat, kamu berdua mahu melakukan apa saja kejahatan, asalkan kamu berdua senang. Betul tak?"

Satu pertanyaan dalam bentuk soalan datuk kemukakan kedua-dua lelaki berkenaan. Ternyata, Pak Habib merestui apa yang datuk lakukan.

Malangnya, kedua-dua lelaki itu tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap pertanyaan datuk.

"Kamu berdua sudah lama mahu mengkhianati bekas majikan kamu. Aku yakin kamu mahu menculiknya dan kemudian menuntut wang tebusan dari keluarganya. Jawab pertanyaan saya betul atau tidak?" Datuk terus berhujah.

Kedua-dua lelaki itu tetap macam tadi, tunduk membisu. Tidak berani menentang muka Pak Habib dan datuk.

"Katakan apakah cakap sahabat saya itu betul atau salah. Berterus-terang adalah satu perbuatan yang baik dan mengaku bersalah atas perkara buruk yang kita lakukan adalah amalan yang terpuji," Pak Habib memujuk penuh diplomasi.

Keadaan tetap tidak berubah, kedua-dua lelaki jahanam itu terus membisu, terus tunduk merenung permukaan tanah.

Suasana malam terus bergerak, membekalkan rasa dingin bersama nyanyian cengkerik. Nyamuk-nyamuk terus berpesta. Lelaki berdarah dahi tetap berdengkur.

Suara musang liar, suara anjing liar yaqng berselang seli dengan nyayian pungguk terus menyumbat lubang telinga.

Sesekali terasa seram, bila melihat pohon-pohon besar bergerak sendiri, sedangkan angin kuat tidak berlegar di sekitar saya.

Sungguh membosankan bila si pemandu yang berada di sebelah sering merungut, dia bagaikan nampak tengkorak manusia bergolek ke arahnya.

Bila direnung atau mahu dipegang tengkorak manusia bertukar menjadi katak besar dan terus melompat kepangkal pokok dan hilang di celah-celah akar pokok tersebut.

CEMAS

Hal-hal begini memang mencemaskan tetapi, apakan daya saya dan pemandu tidak mempunyai kuasa untuk memaksa datuk dan Pak Habib, supaya segera keluar dari suasana yang serba mencengkam, serba menggerunkan.

"Bagaimana? Berikan jawapan segera atau menerima habuan dari aku," lantang sekali suara datuk.

Sepasang jari-jemarinya diramas-ramas dan dikepal berkali-kali.

Pak Habib segera membisikkan sesuatu ke telinga datuk.

Perubahan segera terjadi, datuk yang tadi kelihatan agak keras dan kasar mula nampak berlembut. Datuk segera menjauhkan diri dari kedua-dua lelaki yang berdiri kaku.

"Jangan sampai sahabat saya marah, kalau dia sudah marah saya tidak boleh membantu kamu. Cakap saja hal yang benar, habis cerita," Pak Habib memujuk.

Kedua-dua lelaki itu memberikan tindak balas yang positif. Mula berani angkat muka, renung wajah Pak Habib. Mula berani menggerakkan sepasang tangan.

"Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat Tuan, kami memang mahu menculik tuan untuk di jadikan tebusan, malah kami bersedia membunuh tuan, kalau hajat kami tak ditunaikan oleh keluarga tuan."

"Hummmm..." Pak Habib menarik nafas dalam-dalam, sepasang anak matanya ditujukan ke muka lelaki yang berkulit agak gelap.

"Benarkah cakap kawan kamu ini?" Tanya Pak Habib.

"Benar," jawab lelaki berkulit agak gelap itu.

"Kamu berdua minta bantuan dia," sampuk lelaki berwajah separuh bulat.

Jari telunjuknya menunding kearah lelaki berdarah dahi yang berdengkur.

"Kenapa dengan dia?" Tanya Pak Habib.

"Dialah yang memberitahu kami yang tuan melalui jalan ini balik ke Medan. Dia ikut rombongan yang menghantar jenazah," sambung lelaki berwajah separuh bulat dengan tenang.

PENJELASAN

Mendengar penjelasan lelaki berkenaan, Pak Habib terdiam. Memang dia tidak menyangka dalam rombongan menghantar jenazah ke Pengkalan Berandar siang tadi, ada orang rela dirinya dijadikan seperti kata pepatah, musang berbulu ayam.

Datuk yang mendengar dialog antara Pak Habib dengan kedua-dua lelaki jahanam itu hanya mampu menepuk dahi dan menggeleng-gelengkan kepala saja.

Pak Habib terpaksa membayar dengan harga yang mahal terhadap kebajikan yang dilakukannya.

"Maafkan kami Tuan."

Kedua-dua lelaki itu bersuara serentak. Tanpa membuang waktu terussujud di kaki Pak Habib.

"Ampun dan maafkan kami Tuan," mereka terus merayu.

Pak Habib termenung sejenak. Setelah menarik nafas panjang-panjang, dia merenung ke langit.

"Aku maafkan kamu berdua."

Kedua-dua lelaki itu mengalami rasa terkejut yang luar biasa. Mereka berpandangan sama sendiri. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

"Maafkan kami Tuan Besar."

"Usah ragu, memang aku maafkan kamu berdua. Kalau kamu memerlukan wang ringgit atau apa saja pertolongan datang jumpa aku. Lagipun kamu dah tahu di mana aku duduk."

"Hahahaa..." mulut lelaki berwajah separuh bulat terlopong. Begitu juga dengan kawannya. Mereka termanggu-manggu. Mereka bagaikan antara percaya dengan tidak kata-kata itu lahir dari mulut orang yang mereka aniayai atau khianati.

Serentak kedua-dua lelaki yang dilambung kegembiraan itu merenung anak mata hitam Pak Habib.

Pada saat itu mereka merasakan anak mata Pak Habib memancarkan cahaya berkilauan membuat pandangan mereka gelap. Urat-urat di kepala terasa tegang. Kedua-dua jatuh lembik atas tanah.

Pak Habib menjatuhkan hujung serbannya ke atas dahi kedua-dua lelaki itu buat beberapa saat.

Kedua-dua lelaki itu tersedar dan mengulangi perkataan: Maafkan kami untuk beberapa kali. Dalam masa yang sama lelaki berdarah dahi berhenti berdengkur.

Lelaki berdarah dahi tergesa-gesa bangun, terburu-buru pula manggabungkan diri dengan dua orang lelaki jahanam lalu mengucapkan: "Maafkan kami, tuan besar."

Tiga manusia bergabung mengucapkan serangkai kata yang nada suaranya, sekejap meninggi sekejap menurun.

Tiga suara berpadu menguasai keadaan sekitar. Menenggelamkan bunyi suara tunggas dan haiwan. Tiga suara seirama itu ternyata memberikan sedikit hiburan kepada saya, mengusir rasa takut dan cemas.

"Bagaimana Tamar?"

Suara cemas di pemandu menolak gegendang telinga saya di saat dingin malam kian mencengkam.

Awan dilangit yang melindungi bulan, mula menyingkir ke tpi memberikan laluan untuk bulan menebarkan cahayanya ke permukaan bumi. Sinaran bulan itu jatuh ke wajah datuk, ke wajah Pak Habib dan apa saja yang ada di sekitar kami.

"Bagaimana Tamar?" Ulang si pemandu.

"Bagaimana apa?"

"Wajarkah mereka bertiga dibiarkan begitu, bercakap tak henti-henti."

"Kau dan aku hanya tengok saja," balas saya.

Si pemandu menarik nafas panjang. Bulan di langit kian ghairah mengembangkan sinarnya, keadaan sekitar terang seperti siang. Maklumlah, bulan mengambang penuh.

AWAL

Pada peringkat awal, Pak Habib tidak kisah dengan perangai ketiga-tiga lelaki itu. Pada sangkaannya perbuatan itu adalah perbuatan biasa.

Orang yang merasakan dirinya bersalah, tidak segan-segan melakukan apa saja asalkan perbuatannya diampunkan, demikian fikir Pak Habib.

Bila ketiga-tiga lelaki itu tidak memperlihatkan tanda-tanda mahu berhenti. Malah makin lama, makin kuat dan rancak mereka menyebut perkataan "Maafkan kami tuan besar," seperti kerasukan.

Semua yang berlaku di depan mata, membuat datuk dan Pak Habib tidak senang hati.

Kalau tadi mereka mengucapkan kata-kata tersebut dalam keadaan berdiri dan memeluk tubuh. Tidak bergerak ke mana-mana.

Tetapi, keadaan segera berubah mereka yang tadi tidak bermaya sekarang sudah bertenaga.

Malah, datuk dapat mengesan yang ketiga-tiga manusia itu mula mahu bertindak agresif.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, Datuk terus mendekati Pak Habib.

"Ada sesuatu yang tak kena, mesti diatasi sebelum keadaan menjadi lebih parah."

"Aku juga berfikir macam itu," Pak Habib menganguk dan mencadangkan supaya datuk melakukan sesuatu.

Datuk menolak saranan itu dan sebaliknya menyuruh Pak Habib yang melakukannya.

Alasan datuk amat mudah sekali, ketiga-tiga orang yang terbabit ialah orang tempatan. Dua daripadanya bekas pekerjanya sendiri. Andainya, usaha Pak Habib gagal berulah datuk masuk gelanggang.

"Satu alasan yang baik dan masuk di akal."

MENDAKAP

Dengan tenang Pak Habib meletakkan telapak tangan kirinya keatas bahu datuk. Dengan penuh keyakinan datuk mendakap telapak tangan tersebut dan menjatuhkannya ke bawah.

Mereka saling bertukar pandangan saling menyimpulkan sebuah keyakinan.

"Saya mulakan," suara Pak Habib bergetar.

Datuk anggukkan kepala. Setuju.

Setelah membaca beberapa potongan ayat yang dipetik dari Al-Quran. Pak Habib melagakan kedua-dua belah telapak tangannya berkali-kali.

Kemudian dihembusnya tiga kali berturut-turut yang disertai dengan membaca Al-fatihah.

Kemuncak dari usaha itu, Pak Habib menepuk tangan hingga melahirkan bunyi yang kuat, macam bunyi senapang kampung berlaras satu.

Sebaik saja bunyi itu hilang, Pak Habib terus menjerit dengan kuat sambil berkata: AKU MAAFKAN KAMU SEMUA.

Suara ketiga-tiga lelaki jahanam itu terhenti. Pergerakan anggota mereka yang tadi rancak terus kaku. Ketiga-tiganya berdiri tegak merenung ke satu arah, macam patung di tugu kebangsaan.

"Sekarang kamu bertiga boleh keluar dari sini. Kalau susah, datang jumpa aku," suara Pak Habib dalam nada yang sederhana tinggi.

Anehnya, ketiga-tiga lelaki itu masih ragu-ragu untuk melangkah.

"Silakan, keluar."

Ketiga-tiganya mengangguk kearah Pak Habib yang memberikan laluan.

Disaat ketiga-tiga manusia jahanam mahu melangkah menuju ke arah lorong kecil yang menuju ke jalanraya datuk segera menghalang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 244/284

BACA: SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Puasa merupakan ibadah yang bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam, malah turut wujud dalam tradisi agama-agama lain seperti Yahudi dan Kristian yang dikenali sebagai Ahli Kitab.

Walaupun tujuan asasnya hampir sama iaitu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mengawal hawa nafsu, terdapat beberapa perbezaan ketara dari segi konsep, hukum dan pelaksanaan antara puasa umat Islam dan Ahli Kitab.

Perbezaan Puasa Umat Islam Dan Ahli Kitab

Artikel ini akan menghuraikan perbezaan tersebut secara jelas dari sudut sejarah, amalan dan tujuan ibadah.

Maksud Puasa Dalam Islam

Dalam Islam, puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum, serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari, disertai dengan niat kerana Allah SWT.

Puasa wajib dilaksanakan pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)

Tujuan utama puasa dalam Islam ialah:
  • Meningkatkan ketakwaan.
  • Melatih kesabaran.
  • Membersihkan jiwa.
  • Mengawal nafsu dan keinginan.
  • Puasa Dalam Kalangan Ahli Kitab.

Puasa juga diamalkan dalam agama Yahudi dan Kristian, namun bentuk pelaksanaannya berbeza mengikut mazhab dan tradisi masing-masing.

1. Puasa Dalam Agama Yahudi

Dalam agama Yahudi, puasa yang paling terkenal ialah Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa). Penganut Yahudi berpuasa selama kira-kira 25 jam tanpa makan dan minum sebagai tanda penyesalan dan permohonan keampunan.

Selain itu, terdapat juga beberapa hari puasa lain yang berkaitan dengan peristiwa sejarah mereka.

2. Puasa Dalam Agama Kristian

Dalam Kristian, puasa biasanya dikaitkan dengan tempoh Lent, iaitu 40 hari sebelum perayaan Easter.

Namun, kebanyakan penganut Kristian tidak berpuasa sepenuhnya seperti dalam Islam, sebaliknya:
  • Mengurangkan jenis makanan tertentu.
  • Tidak makan daging pada hari tertentu.
  • Mengorbankan sesuatu kesukaan sebagai latihan rohani.

Perbezaan Utama Puasa Islam dan Ahli Kitab

1. Tempoh Masa Puasa
  • Islam: Dari fajar hingga matahari terbenam setiap hari sepanjang Ramadan.
  • Ahli Kitab: Tempoh puasa berbeza-beza, ada yang hanya sehari atau sekadar pantang makanan tertentu.

2. Hukum dan Kewajipan
  • Islam: Puasa Ramadan adalah wajib bagi Muslim yang cukup syarat.
  • Ahli Kitab: Kebanyakannya bersifat pilihan atau amalan keagamaan tertentu sahaja.

3. Cara Pelaksanaan
  • Islam: Tidak makan, minum dan menahan diri daripada perkara membatalkan puasa.
  • Kristian: Lebih kepada pengurangan makanan atau meninggalkan jenis makanan tertentu.
  • Yahudi: Ada puasa penuh tetapi hanya pada hari tertentu.

4. Matlamat Ibadah
  • Islam: Mencapai ketakwaan dan ketaatan kepada perintah Allah.
  • Ahli Kitab: Penebusan dosa, peringatan sejarah atau latihan kerohanian.

Persamaan Antara Puasa Islam dan Ahli Kitab

Walaupun terdapat perbezaan, beberapa persamaan tetap wujud:
  • Bertujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
  • Melatih pengawalan diri.
  • Menginsafi kesusahan golongan miskin.
  • Membersihkan jiwa dan rohani.

Ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa merupakan ibadah yang telah wujud sejak zaman nabi-nabi terdahulu.

Kesimpulan

Puasa dalam Islam dan Ahli Kitab mempunyai asas yang sama iaitu sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan, namun berbeza dari segi hukum, cara pelaksanaan dan matlamat utama.

Dalam Islam, puasa Ramadhan mempunyai sistem yang lebih tersusun dan menjadi rukun penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba

SBDJ Siri 243: Tepuk Bumi Petaka Tiba

Secara lembut (sebenarnya memaksa) datuk menyuruh lelaki berdarah dahi duduk di tengah-tengah, antara datuk dan Pak Habib. Kemudian secara penuh diplomasi disuruh menjerit dengan sekuat hati, mendesak agar kedua-dua kawannya berhenti dari bertarung.

SBDJ Siri 243 Tepuk Bumi Petaka Tiba

Ternyata kali ini, agak sukar mengubah pendiriannya. Dia masih seperti tadi, mahu kedua-dua kawannya itu bertarung hingga salah seorang daripada mereka menemui maut. Sudah tentu cara itu tidak diperkenankan oleh datuk dan Pak Habib.

Hasrat lelaki berdarah dahi itu harus dihalang. Ertinya, Datuk dan Pak Habib mesti bertindak. Kalau tidak melakukan sesuatu yang berkesan, datuk dan Pak Habib tetap meniadi mangsa permainan lelaki berdarah dahi itu.

Walau apapun kerenah yang dipersembahkan oleh lelaki berdarah dahi itu, datuk dan Pak Habib tetap sabar melayaninya.

Saya yang berada jauh adakalanya naik darah dengan tingkah laku berdarah dahi. Tetapi, apakan daya saya tidak boleh masuk campur. Mesti sabar menanti hingga satu keputusan muktamad yang bijak akan dilakukan oleh Pak Habib dan datuk.

Angin malam yang bertiup agak keras membuat saya terasa dingin. Api yang memamah motorsikal terus menyala dan bergerak ke arah kiri dan kanan mengikut tiupan angin.

"Biarkan mereka berlawan sampai mati."

LETUPAN

Datuk dan Pak Habib saling berpandangan. Suara lelaki berdarah dahi kali ini, sungguh luar biasa lantangnya. Saya dan pemandu yang berada jauh dari mereka turut merasa bimbang.

Terdengar letupan kecil dari tempat motor terbakar. Segumpal bunga api terbang ke uaara.

"Biarkan mereka mati," ulang leiaki berdarah dahi.

Dia ketawa sekuat hati macam orang mabuk dan mula bertindak agak agresif sedikit. Dua lelaki yang bertarung pada pusingan kedua ini, tidak serancak tadi.

Masing-masing memperlihatkan tanda-tanda keletihan. Dan ini membuat lelaki berdarah dahi itu bertambah garang dan bersemangat.

"Biarkan-biarkan mereka jatuh mati."

Dia mula bertepuk tangan dan menari-nari, seolah-olah dalam beberapa saat lagi dia akan merayakan sebuah kemenangan besar. Dan situasi yang tidak menggembirakan ini membuat datuk resah semacam.

"Biarkan mereka tersungkur, dua-duanya pengkhianat pada kawan sendiri. Mungkir janji," lelaki berdarah dahi julang sepasang tangannya keatas.

Pak Habib menarik nafas dalam-dalam. Dia juga berada dalam suasuna yang meresahkan

Mungkin datuk sudah hilang sabar dengan karenah lelaki berdarah dahi yang agak keterlaluan. Inilah yang memaksa datuk bertindak agresif di luar dari kebiasaannya.

KETAWA

Di saat lelaki berdarah dahi ketawa gamat, datuk terus menekup mulut lelaki itu dengan telapak tangannya yang kasar dan lebar.

Buat beberapa ketika lelaki berdarah dahi tergamam. Beberapa saat berikutnya dia mula bertindak dan menggigit telapak tangan datuk. Berkerut muka datuk menahan kesakitan.

Sebelum gigitan menjadi lebih parah, datuk segera memulas leher lelaki berdarah dahi dan terus diapit kecelah ketiak. Seluruh badan lelaki berdarah dahi bergoyang dan bergerak macam ikan keli menyondol selut.

Kian kuat lelaki berdarah dahi menggerakkan badan untuk melepaskan diri, makin kuat kepalanya diapit dan ditekan ke celah ketiak. Datuk pun mengheret lelaki itu ke pangkal pokok merbau.

"Duduk disini."

Kepala lelaki itu dikeluarkan dari celah ketiak dan terus ditekan supaya duduk.

"Jangan ke mana-mana, selagi tak dapat perintah dari aku," keras dan garang suara datuk.

Entah apa ayat yang dihembuskan oleh datuk kepada lelaki berdarah dahi hingga dia tidak melawan, tidak berani tentang biji mata datuk. Menurut kata, macam kerbau dicucuk hidung.

"Duduk, kau faham tak cakap aku?"

Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

Datuk menggeliat dua tiga kali sambil melihat kesan gigitan dilengannya. Bila jejarinya digenggam terasa sakit. Sehelai daun pokok 'salang' segera dipetik dan dibalut pada jejari yang terasa sakit dan bengkak.

Tidak mengambil masa yang panjang. Sepuluh minit kemudian balutan daun salang itu dibuka. Rasa sakit terus hilang. Bengkak pun susut. Jari jemari boleh dibuka dan digenggam.

Sebelum melangkah ke arah Pak Habib, datuk renung lelaki berdarah dahi untuk mempastikan, apakah dia akur dengan arahan yang diberi.

Datuk menarik nafas lega, lelaki itu memang akur.

Dengan senyum datuk melangkah ke arah Pak Habib. Belum pun sampai ke tempat yang dituju, lelaki berdarah dahi terus melompat mengambil sepotong kayu di sisinya.

Datuk tidak menyedari apa yang berlaku di belakangnya. Begitu juga dengan Pak Habib yang asyik merenung ke kawasan lapang, tempat dua insan bertarung.

Dengan kayu ditangan, lelaki berdarah buka langkah silat. Tindakan selanjutnya, dia meluru kearah datuk.

"Dari belakang tuk," jerit saya.

Datuk segera berpaling, menanti kedatangan lelaki berdarah dahi dengan dada dan tangan terbuka.

"Ahhhhh..."

KAKU

Lelaki berdarah dahi berhenti melangkah. Kayu ditangan dihumban jauh-jauh. Dia berdiri kaku di depan datuk. Perlahan-lahan datuk merapatinya lalu melepaskan sebuah hembusan ke muka.

Lelaki berdarah dahi nampak lemah, jatuh perlahan-lahan di kaki datuk dan terus tidur berdengkur di situ.

"Datuk kamu hebat Tamar."

Itu komentar si pemandu setelah melihat apa yang dilakukan oleh datuk pada lelaki berdarah dahi, di depan matanya.

"Tamar! Apa kamu tidak mengambil ilmu daripadanya?" Pertanyaan si pemandu saya jawab dengan gelengan kepala yang lemah.

"Aku mahu belajar dari datuk kamu, Tamar."

"Silakan," balas saya selamba.

"Aku bukan main-main, aku serius ni."

"Siapa kata kamu main-main. Aku merestuinya."

"Hummmmmm..." si pemandu mendengus.

Saya tidak tahu, apakah dengusan yang diluahkan itu membawa maksud kecewa atau sebaliknya. Tetapi, apa yang pasti, dia amat mengagumi dengan kebolehan yang secara tidak sengaja diperlihatkan oleh datuk di depan matanya.

CAHAYA

Cahaya api dari tempat motorsikal terbakar mula beransur kurang. Kepulan asap hitam yang tebal bertukar menjadi nipis dan berwarna kelabu.

Percikan bunga api yang halus hampir tidak kelihatan sama sekali. Tiupan angin malam masih tidak berubah, tetap keras. Dan dengkur lelaki berdarah dahi makin menjadi-jadi.

Bila melihat datuk masih belum meninggalkan lelaki berdarah dahi yang masih tidur berdengkur, muncul kesangsian dalam diri kenapa datuk berbuat demikian?

"Aku harap, kamu tidak akan mengulangi perbuatan yang tidak menguntungkan diri kamu," ujar datuk pada lelaki yang masih berdengkur itu.

Beberapa saat berikutnya, datuk pun bergerak mendekati Pak Habib yang matanya tidak berkedip menonton pertarungan hidup dan mati dua manusia di tanah lapang.

"Orang yang bawa masalah sudah saya kunci," beritahu datuk pada Pak Habib yang disambut dengan senyum hambar.

"Langkah seterusnya apa kita nak buat?"

Pertanyaan Pak Habib mahukan jawapan pasti yang boleh menyelesaikan masalah tidak diundang. Tanpa kehadiran tiga manusia pengacau, sudah lama dia sampai ke Medan.

Sambil mengerutkan dahi dan kening, Pak Habib alihkan pandangan dari tanah lapang ke arah saya dan si pemandu.

Menyedari majikannya merenung ke arahnya, si pemandu segera angkat tangan. Dan lambaiannya segera dibalas.

Pak Habib ubahkan pandangan lagi, kali ini anak matanya ditumpukan kepada datuk yang berdiri di sebelahnya.

"Biar aku cuba selesaikan."

"Jangan," tahan datuk.

"Tak mengapa, aku mencuba."

Pak Habib melangkah ke tanah lapang hingga sampai ke kawasan dua manusia yang bertarung, macam lembu. Tidak merasa penat, tidak merasa sakit, walaupun sudah hampir lebih dari dua jam bergasak. Seluar baju habis koyak, badan bermandi peluh bercampur darah.

"Hai insan Islam, berhenti bergaduh sesama sendiri. Bila kamu bergaduh untungnya iblis dan memang tujuan iblis mahu menyesatkan anak Adam," lantang sekali suara Pak Habib.

Dan dua insan yang bertarung berhenti seketika. Mereka renung muka Pak Habib sebentar, kemudian bertarung kembali.

"Berhentilah," rayu Pak Habib.

"Berhentilah," rayu datuk.

Semuanya tidak diendahkan, mereka terus beradu kekuatan tanpa mempedulikan kehadiran datuk dan Pak Habib di sisi.

BERHENTI

Sungguh mengejutkan pertarungan yang rancak terhenti dengan tiba-tiba. Dua manusia yang keletihan itu merenung ke arah datuk dan Pak Habib, mereka melahirkan senyum persahabatan dan bersedia untuk memberhentikan pertarungan.

Suasana di luar dugaan itu menyebabkan datuk dan Pak Habib menarik nafas lega.

Ternyata rasa lega itu, tidak dapat bertahan lama di hati datuk dan Pak Habib, bila mereka terpandang ada sesuatu yang melintasi di atas kepala dua manusia di kawasan tanah lapang.

Bentuk dan benda yang melintasi di atas kepala kedua-dua manusia tersebut menyerupai sehelai tikar putih.

Bila lintasan tikar putih itu hilang, mereka segera mendongak ke langit untuk beberapa detik. Kemudian kedua-duanya serentak merenung ke kiri.

Semasa merenung ke kiri, sepasang cuping telinga nampak seakan-akan bergerak-gerak. Begitu juga dengan sepasang anak mata, bergerak liar ke kiri dan ke kanan.

Tindak-tanduk mereka membayangkan yang mereka menerima sesuatu arahan dari makhluk yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar.

"Ada yang mendampmgi mereka," ujar datuk pada Habib.

Pak Habib tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kata-kata yang datuk luahkan. Pak Habib tetap setia berdiri di tepi kawasan tanah lapang. Masih yakin yang kedua-dua manusia tersebut akan mendengar cakapnya.

Kedua-dua lelaki di tanah lapang merenung kearah datuk dan Pak Habib untuk kali kedua dalam keadaan yang berbeza sekejap tenang dan sekejap bergelora.

Renungan kali ini, bukan renungan persahabatan, sebaliknya sebuah renungan seteru yang penuh dengan dendam kesumat.

Pak Habib menyedari keadaan tersebut. Tetapi, dia masih bersikap lembut. Baginya, orang yang marah harus dihadapi dengan lemah lembut.

"Berhentilah bergaduh," Pak Habib merayu dan jawapan dari rayuan tersebut, sungguh diluar dugaan. Berlaku satu letupan kecil, betul-betul di depan tempat Pak Habib dan datuk berdiri. Kayu dan tanah berterbangan.

DEBAR

Ketul-ketul tanah yang halus bertebaran, berjatuhan atas bahu Pak Habib dan datuk. Semuanya itu, tidak mematahkan semangat Pak Habib dan datuk.

Mereka tetap berpegang pada konsep, berlembut, bertolak ansur dan timbang rasa adalah pintu kedamaian yang baik. Penyelesaian masalah tidak akan masuk ikut pintu kekerasan.

Berlandaskan pada konsep tersebut, mereka (datuk dan Pak Habib} terus memujuk dan merayu.

"Kenapa memusuhi kami yang mahu membawa kamu pada jalan kebaikan," kali ini nada suara Pak Habib agak keras sedikit.

Dua lelaki di tanah lapang renung ke arah langit seketika seolah-olah mencari sesuatu. Dan angin malam kian terasa dingin, sayup-sayup terdengar bunyi deruan kenderaan bersama lolonan anjing yang memanjang.

"Kamu berdua, sesama Islam. Kenapa berkelahi, berhentilah."

Datuk tunjukkan kata-kata itu pada salah seorang lelaki di tanah lapang yang kelihatan amat letih sekali.

Sungguh mendebarkan. Kata-kata datuk dijawab oleh lelaki itu dengan jelingan biji mata yang merah menyala.

Dengan rasa geram, sepasang tumit kakinya dihentakkan dipermukaan bumi. Dengan serta merta muncul api lalu membakar apa saja yang ada di sekitar datuk dan Pak Habib.

Satu pemandangan yang mencemaskan buat saya dan sipemandu. Rasa cemas itu tidak pula dialami oleh datuk dan Pak Habib. Mereka tenang sekali, walaupun api yang kecil sudah mula membesar dan boleh mendatangkan kecelakaan pada mereka.

Suara lolongan anjing (saya kira bukan anjing tetapi serigala) terus rancak bersama bunyi suara burung hantu.

"Bagaimana? Perlukah kita menolong?" bisik si pemandu.

"Jangan musuh menggunakan bantuan luar, orang macam kita bukan lawannya," balas saya sambil merenung ke langit.

Tidak banyak bintang yang bertaburan. Suara lolongan serigala yang panjang dan mendayu-dayu mengundang rasa seram yang bukan kepalang.

KERESAHAN

Sipemandu yang berdiri di sebelah saya, mula keresahan tidak menentu. Lelaki berdarah dahi yang tidur terus berdengkur macam bunyi suara kerbau balau menguak panjang.

"Tak usah tunjuk kehebatan kamu. Apa yang kami mahu, kamu berdua berhenti bergaduh," Pak Habib menarik nafas panjang. Bahang panas mula terasa.

"Kemudian beritahu kami, kenapa kami didera begini," sambung Pak Habib bersahaja.

Api yang dihantar secara sihir oleh salah seorang dari dua lelaki tersebut, terus memamah apa sahaja yang ada di sekeliling datuk dan Pak Habib.

Walaupun keadaan agak terdesak, Datuk tetap memastikan api yang merayap tidak akan menyambar pakaian dibadan Pak Habib dan dirinya.

"Berhentilah bergaduh."

Salah seorang dari lelaki di kawasan tanah lapang memberi jawapan pada rayuan datuk dengan membongkok lalu melepaskan penumbuk kencang ke permukaan bumi.

Serentak dengan itu terdengar bunyi ledakan yang amat kuat. Rasanya semua tumbuhan dibumi pada saat itu (pada malam itu) semuanya habis tercabut.

Bukit dan gunung habis runtuh bila gema dan ledakan itu berakhir. Api yang mengelilingi tempat datuk dan Pak Habib berdiri terus lenyap.

TERNGANGA

Datuk dan Pak Habib tergesa-gesa bangun, tidak dapat dipastikan ketika mana mereka berdua jatuh.

"Habib."

Suara datuk keras. Seekor ular besar berdiri tidak jauh dan Pak Habib dengan mulut ternganga. Ular besar itu bersedia untuk menelan Pak Habib.

"Semuanya kerja iblis, kerja sihir," datuk bersuara lantang.

Pak Habib tidak menjawab tetapi, memberikan isyarat dengan mengangkat kedua-dua belah tangannya macam orang mahu melakukan takbir. Datuk anggukkan kepala.

Perlahan-lahan Pak Habib bergerak ke kanan dua langkah. Lepas itu bergerak ke belakang dua langkah. Kerana langkahnya amat perlahan pergerakan tidak dapat dikesan oleh ular besar yang berada di depannya.

"Azan," terluah kata dari datuk.

Pak Habib anggukkan kepala. Datuk memberikan laluan agar laungan azan dilaungkan oleh Pak Habib. Dua lelaki dikawasan tanah lapang, melihat saja apa yang berlaku.

Saya dan pemandu secara tidak sengaja terpandang sesuatu yang pelik datang bergolek ke arah kami. Bila diamat-amati benda yang bergolek itu ialah bungkusan mayat. Kami jadi panik. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

"Tamar, jangan kelam-kabut. Tenang. Gunakan apa yang sudah aku ajarkan kepada kamu, baca ayat-ayat pilihan dari al-Ouran," tanpa menoleh ke arah saya, datuk terus mengeluarkan kata kata tersebut.

"Datuk kamu meIihat kamu dengan indera yang ke enam Tamar?" Si pemandu menyoal.

"Tak tahu, perkara semacam itu kerap aku lalui."

"Kamu cucu yang bertuah, nanti banyak ilmu yang bakal diturunkan kepada kamu."

"Usah banyak cakap kita dalam bahaya."

Syukur, ungkapan yang saya luahkan itu berjaya menutup mulut pemandu.

Walaupun demikian, dia tetap resah. Benda putih yang bergolek itu kian menghampiri kami. Surah yang saya baca jadi tidak tentu.

Saya memberitahu pemandu, sekiranya benda bulat itu menghampiri saya dalam jarak yang amat dekat akan saya tendang.

BANTAH

Si pemandu membantah rancangan saya. Dalam masa berbincang-bincang itu, benda putih yang bergolek terus hilang.

Laungan azan mula bergema dalam hutan kecil dimalam yang kian dingin. Suara azan itu menenggelamkan bunyi lolongan serigala dan bunyi burung hantu. Malah, angin yang bertiup terhenti sama sekali.

Sebaik saja laungan azan berhenti, dua lelaki di tanah lapang rebah di bumi. Bergolek-golek macam menahan rasa sakit yang amat kuat. Lebih dari lima belas mimt mereka berkeadaan demikian. Kemudian mereka terbujur kaku. Tidak bergerak.

Dan hujung ibu jari kaki kiri kedua-dua lelaki tersebut, asap nipis keluar, seluruh kawasan dikuasai bau kemenyan naik meninggi, bertukar menjadi hitam tebal lalu membentuk lembaga tinggi besar menyerupai raksasa. Bebayang itu, makin lama makin menipis dan akhirnya hilang.

Serentak dengan kehilangan kedua-dua bebayang itu. Dua lelaki yang terbaring terus bangun terkapai.

Datuk segera mendekatinya lalu membacakan beberapa potong ayat pilihan untuk menghalau iblis. Selesai saja ayat-ayat itu dibacakan, kedua-dua lelaki itu termanggu-manggu macam baru tersedar dari mimpi yang mengerikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 243/284

BACA: SBDJ Siri 242: Jasad Jadi Batang Pisang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 11, 2026

Pertaruhan Terakhir Benjamin Netanyahu: Menolak AS Ke Dalam Perang Sebelum Kemanusiaan Menang!

Pertaruhan Terakhir Benjamin Netanyahu: Menolak AS Ke Dalam Perang Sebelum Kemanusiaan Menang!

Benjamin Netanyahu telah tiba di Washington dengan satu misi yang kini tidak lagi disembunyikan oleh pengulas Israel sendiri: Untuk mendorong Amerika Syarikat memasuki peperangan!

Ini bukan spekulasi pengkritik luar. Ia merupakan penilaian serius oleh wartawan kanan Israel, sumber risikan dan bekas pegawai kerajaan mereka sendiri.

Perang AS-Israel-Iran

Lawatan tergesa-gesa Benjamin Netanyahu — yang sengaja dipercepatkan dalam jadual kerja yang luar biasa — memberi isyarat desakan panik, kerana secara jelas masa tidak memihak kepadanya, kerana saat ini diplomasi untuk mencegah peperangan dari terjadi bergerak lebih pantas daripada ruang peluang perang yang dimahukannya!

Nahum Barnea membuat perbandingan sejarah yang tajam. Pada tahun 1973, Golda Meir terbang ke Washington kerana bimbang Amerika Syarikat akan membuat perjanjian di belakang Israel. Kebimbangan itu menjadi kenyataan.

Amerika menentukan realiti pasca perang, menghalang kemenangan ketenteraan penuh Israel dan memaksa hasil strategik yang bukan di bawah kawalan Israel.

Apa yang ketika itu dirasakan sebagai penghinaan akhirnya membawa kepada perjanjian damai Mesir–Israel. Pahit pada waktu itu, manis apabila dikenang kemudian.

Kini Benjamin Netanyahu seolah-olah mengulangi detik tersebut — tetapi dengan pengaruh yang jauh lebih terhad.

Musuhnya, menurut Barnea, bukan lagi Kissinger. Sebaliknya ia adalah lingkaran dalaman Donald Trump dan Trump sendiri.

Benjamin Netanyahu bukan sekadar cuba membentuk dasar; beliau cuba mengatasi naluri Trump, asas politiknya, rakan serantau, serta kecenderungan Trump yang lebih memihak kepada rundingan berbanding perang berpanjangan. Pujian semata-mata tidak lagi mencukupi kali ini.

Benjamin Netanyahu menawarkan satu pertaruhan kepada Trump: cuba menjual satu lagi peperangan yang singkat, tegas, gemilang dan menguntungkan dari sudut politik — khususnya ketika pilihan raya pertengahan penggal Amerika semakin hampir.

Iran katanya, akan tunduk seperti Venezuela. Rejim itu didakwa lemah. Serangan akan pantas. Manfaatnya melebihi kos.

Apa yang sengaja diperkecilkan ialah harga yang telah pun dibayar. Nyawa rakyat Israel terkorban. Tubuh cedera. Harta musnah. Infrastruktur saintifik rosak. Operasi "cemerlang" sebelum ini begitu memabukkan sehingga menghapuskan ingatan terhadap kesannya.

Kini Benjamin Netanyahu meminta Trump mempercayai bahawa yang seterusnya akan lebih bersih, lebih cepat dan muktamad.

Sumber Israel sendiri mengakui pertaruhan ini mempunyai dua kemungkinan: Kegagalan akan memalukan Netanyahu; kejayaan pula akan memerangkap Trump dalam perang tanpa jalan keluar.

Di sebalik pintu tertutup, tuntutan Benjamin Netanyahu tidak lagi kabur. Menurut laporan Ma'ariv, lawatan ini berkaitan syarat yang konkrit. Israel menolak sebarang perjanjian dengan Iran yang hanya menumpukan kepada had nuklear.

Pemantauan mesti ketat tanpa ruang longgar. Garis masa mesti tegas. Sekatan mesti tidak boleh diubah semula. Perjanjian separa dianggap tidak boleh diterima kerana ia memberi ruang kepada Iran memulihkan ekonomi sambil mengekalkan kelebihan strategik.

Apa yang benar-benar menakutkan Jerusalem bukanlah diplomasi Iran — tetapi fleksibiliti Amerika.

Isyarat dari Washington amat meresahkan kelas politik Israel. Trump dilihat bersedia mempertimbangkan perjanjian nuklear yang terhad, walaupun isu lain ditangguhkan.

Israel bimbang akan berdepan situasi fait accompli: sekatan dilonggarkan, ekonomi Iran pulih dan keseimbangan serantau berubah sehingga mengurangkan dominasi Israel.

Inilah sebabnya pesawat "Wing of Zion" berlepas. Inilah sebabnya isu lain diketepikan. Ini merupakan usaha terakhir Netanyahu untuk mengubah imbangan sebelum keputusan dimuktamadkan di Washington.

Namun, Israel sendiri mengakui satu percanggahan penting. Menurut pegawai keselamatan Israel, Iran bukan lagi berada di ambang status negara nuklear selepas serangan Jun lalu. Ancaman sebenar kini ialah peluru berpandu balistik — ribuan jumlahnya, berpanduan tepat dan berjarak jauh. Keupayaan yang menjadikan hulu ledak nuklear tidak lagi perlu.

Pengakuan ini meruntuhkan naratif yang dipertahankan selama bertahun-tahun. Senjata nuklear bukan lagi ancaman utama; peluru berpandu adalah ancaman sebenar. Dan peluru berpandu inilah yang Iran enggan lepaskan, kerana menyerahkannya bermaksud bunuh diri dari sudut strategik.

Malah Benjamin Netanyahu sendiri mengakui ketidaktentuan, walaupun koordinasi Israel–Amerika berada pada tahap luar biasa, beliau memberitahu ahli parlimen secara langsung: "Saya tidak tahu apa yang Trump akan lakukan pada akhirnya."

Israel tetap membuat persiapan. Hezbollah dilihat sebagai pelan kontingensi. Sumber ketenteraan Israel secara terbuka menggambarkan perang seterusnya sebagai bersifat eksistensial — bukan sahaja untuk Israel, tetapi juga untuk Hezbollah.

Jika Iran tumbang, Hezbollah turut runtuh. Realiti ini menjadikan pengekangan sukar berlaku. Perang yang lebih besar bukan lagi risiko — tetapi jangkaan.

Apabila segala retorik diketepikan, gambaran yang tinggal amat jelas: Benjamin Netanyahu sedang berlumba dengan diplomasi, sejarah dan tekanan politik domestik. Beliau cuba mengikat Amerika Syarikat ke dalam peperangan sebelum rundingan menutup pintu tersebut. Bukan kerana perang tidak dapat dielakkan — tetapi kerana keamanan akan menamatkan kelebihan politiknya.

Ini bukan keyakinan strategik.
Ini adalah keputusasaan strategik.
Dan Washington mengetahuinya.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 242: Jasad Jadi Batang Pisang

SBDJ Siri 242: Jasad Jadi Batang Pisang

Perkelahian dua insan yang berlaku di depan mata sungguh mendebarkan. Tetapi tidak pula bagi lelaki berdarah dahi. Perkelahian itu buatnya sungguh menyeronokkan. Setiap kali orang bertarung di tanah lapang melepaskan tikaman pada lawannya, lelaki berdarah dahi ketawa kepuasan.

SBDJ Siri 242 Jasad Jadi Batang Pisang

"Hebat," dengusnya.

Bila pihak lawan membalas dengan tikaman bertubi-tubi, lelaki berdarah dahi bertepuk tangan. Ketawanya semakin keras dan dia melompat-lompat sambil menjerit. Tidak ubah macam orang kena histeria.

"Pelik," saya merungut dalam hati.

Si pemandu hanya menggigit bibir melihat telatah lelaki berdarah dahi. Datuk memalingkan wajahnya ke arah lain. Dia tidak mahu melihat pertarungan maut yang tidak menguntungkan sesiapa.

"Leraikan mereka!" seru datuk keras tanpa menoleh ke arah orang yang bertarung.

Si pemandu tahu, saya juga tahu, begitu juga dengan Syed Hamid AI-Hadad. Kata-kata itu datuk tujukan kepada lelaki berdarah dahi. Ternyata seruan itu tidak diendahkannya.

"Berhentikan."

Syed Hamid Al-Hadad atau Pak Habib, secara mendadak menyokong datuk. Saya dan si pemandu jadi serba salah. Apakah kami juga disuruh bertindak meleraikan perkelahian tersebut?

Ertinya, ungkapan yang diluahkan Pak Habib sebentar tadi, tidak terhad pada lelaki berdarah dahi saja.

"Kamu berani meleraikannya?" Secara berbisik saya bertanya pada pemandu.

"Aku tak sanggup. Bagaimana dengan kamu?" si pemandu menyoal saya kembali.

Dengan pantas saya gelengkan kepala. Kemudian kami segera berpandangan.

"Cubalah leraikan mereka," ulang Pak Habib.

"Biarkan mereka mampus," lelaki berdarah dahi membantah.

"Haaaa..." sahut datuk.

Dengan pantas datuk memusingkan tubuhnya. Wajah lelaki berdarah dahi ditatapnya dengan seribu tanda tanya. Penuh rasa hairan dan pelik.

Situasi yang berlaku, membuat Pak Habib tidak tentu arah. Dia bimbang benar, kalau terjadi pertengkaran antara datuk dengan lelaki berdarah dahi.

Akhirnya, Pak Habib menarik nafas lega. Datuk tidak pula memperlihatkan sikap yang agresif, begitu juga dengan lelaki berdarah dahi.

Dua insan yang bertarung di tanah lapang terus memperjudikan nasib. Sukar diduga, antara mereka berdua siapa yang lebih dulu gugur ke bumi.

Satu hal yang pasti, mereka saling berbalas tikaman. Saling melepaskan buku lima dan tendangan tajam.

Ada ketikanya, kedua-dua insan tersebut saling bergulingan, berlompatan.

Dengan mata terbuka, saya melihat beberapa tikaman yang dilakukan tepat mengenai sasaran di tubuh. Tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan. Tidak luka, tidak pula berdarah.

Tubuh kedua-duanya tidak mampan atau lut dengan senjata tajam. Si pemandu mengikuti setiap gerak langkah yang diatur oleh kedua-dua insan itu.

Lelaki berdarah dahi tidak berubah tetap seperti tadi. Ada masanya melompat tinggi, di ketika yang lain menjerit dan ketawa terbahak-bahak sambil bertepuk tangan.

"Ahhhhhhh..."

Salah seorang daripada mereka yang bertarung menjerit panjang. Dia tergelincir lalu jatuh ketika menepis tikaman lawannya.

Dalam keadaan yang terkial-kial mahu bangun dia menggunakan kaki untuk mengelak dan menyelamatkan nyawanya. Segala-galanya berlaku dengan pantas sekali.

TIKAM

Di saat lawan menerkam dengan senjata terhunus ditangan lelaki yang terbaring segera mengangkat kaki kanannya.

Dia melepaskan tendangan yang padu dibahagian punggung lelaki yang menerkam. Tendangan itu menyebabkan lelaki yang menyerang terdorong ke belakang lalu jatuh terlentang.

Tetapi dengan tangkas bangun dan menerpa bagaikan singa tapar. Satu tikaman lepat dilepaskan ke bahagian depan rusuk orang yang terbaring.

Hujung senjata tajam (macam bentuk golok) bagaikan tergelincir ke arah lain dan terus terbenam ke bumi.

Sepatutnya, senjata tajam terbenam dirusuk lelaki itu tetapi, seperti ada tenaga ghaib yang menolak pergelangan tangan orang yang melepaskan tikaman.

"Kedua-duanya memang handal. Semua jenis besi tak boleh tembus kulitnya. Peluru senapang, peluru pistol, malah peluru meriam sekalipun tak lut. Guru mereka, boleh telan bara api," lelaki berdarah dahi memberitahu si pemandu penuh semangat.

"Kalau macam itu caranya, sampai pagi esok pun pergaduhan tak berhenti, susah jadinya," balas si pemandu dengan wajah yang cemas.

Saya yang dapat menangkap percakapan mereka berdua turut jadi resah semacam. Bayangkan kalau pertarungan itu berlanjutan sampai ke pagi. Siapakah yang sanggup menunggu?

"Bila salah seorang dari mereka mati dengan sendirinya perkelahian ini berhenti. Biarkan lembu-lembu tu berlawan," itu jawapan dari lelaki berdarah dahi untuk si pemandu.

"Kamu manusia pelik," songsong si pemandu.

"Mereka lagi pelik," tingkah si lelaki berdarah dahi.

Dia terus ketawa berdekah-dekah. Mengoyang-goyangkan tubuhnya macam orang menari joget.

TIDAK DISENANGI

Perbuatan lelaki berdarah dahi itu ternyata tidak disenangi oleh datuk dan Pak Habib.

"Mereka mesti diberhentikan dari pergaduhan yang tidak menguntungkan ini," Pak Habib merenung muka lelaki berdarah dahi. Seolah-olah minta lelaki itu melakukan sesuatu yang bermanfaat.

Tetapi, lelaki berdarah dahi buat tidak kisah, wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dia tak mahu merenung muka dan biji mata Pak Habib.

"Kita mesti bertindak, jangan biarkan pergaduhan sampai ada yang mati," sambung Pak Habib sambil meninggikan suaranya.

Taktik yang dilakukan itu berhasil menarik perhatian lelaki berdarah dahi. Dia terus merenung batang hidung Pak Habib semula.

"Kamu pergi leraikan. Bukankah mereka berdua kawan kamu?" Datuk yang tadi lebih banyak mendengar mula mengorak langkah.

Bahu kanan lelaki berdarah dahi digoyangnya berkali-kali. Sepasang anak mata lelaki berdarah dahi berada dalam sepasang anak matanya.

Dan lelaki berdarah dahi terkejut besar dengan tindakan datuk yang tidak disangka-sangka itu. Dia terus mengangguk seraya berkata: "Saya lebih suka mereka berlawan terus sampai mereka keletihan."

"Itu penyeksaan namanya, tak baik menyeksa manusia macam itu. Mereka bukan binatang."

"Saya tahu, sebenarnya..."

"Tahu apa?" Sebenarnya apa?" Datuk menyergah.

Suaranya keras sekali. Buat beberapa saat lelaki itu kelihatan seperti kehilangan kata-kata untuk dituturkan. Terpaksa mengkerutkan kening dan mengecilkan kelopak mata.

"Sebenarnya begini, perangai mereka berdua pun lebih kurang macam binatang," tutur lelaki berdarah dahi dengan penuh yakin.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Bagaikan mencari kekuatan dalam diri untuk berdepan dengan datuk.

"Kurang bijak menuduh orang macam binatang."

"Saya berkawan dengan mereka, saya tahulah. Awak mana tahu."

Datuk meraba hujung hidung berkali-kali. Menenangkan perasaan. Cara lelaki berdarah dahi menuturkan kata agak kasar dan keras.

SEDAR

Datuk sedar, lelaki berdarah dahi kurang senang dengan tindakannya yang menyuruh dia (lelaki berdarah dahi) meleraikan kawannya yang sedang bergaduh. Dia merasakan perbuatan datuk itu sudah keterlaluan.

"Pantang datuk nenek saya diperintah, disuruh orang tak ada sangkut paut dengan darah daging saya," lelaki berdarah dahi melahirkan protes secara terang-terangan.

Dia sengaja bercakap kuat-kuat agar dapat didengar oleh datuk. Dan datuk yang sudah dapat mengawal perasaan tetap tenang. Malah senyum pula.

Pak Habib renung muka pemandunya. Renung muka saya dan akhirnya renung muka datuk. Tetapi, wajah lelaki berdarah dahi tidak meniadi sasaran anak matanya.

Dua lelaki yang bertarung di tanah lapang, tidak serancak tadi. Sudah ada tanda-tanda keletihan pada diri masing-masing. Lelaki berdarah dahi telap menumpukan seluruh perhatian ke tanah lapang.

"Ehemmmmm..."

Lelaki berdarah dahi memalingkan mukanya ke arah datuk yang berdehem lalu menghadiahkan renungan sinis.

"Apa lagi?"

"Begini, mereka berdua kawan kamu. Sama-sama mahu menjahanamkan aku," lembut benar nada suara Pak Habib.

Kali ini batang hidung lelaki berdarah dahi jadi habuan sepasang anak mata milik Syed Hamid Al-Hadad (Pak Habib). Direnungnya anak mata lelaki berdarah dahi itu dalam-dalam.

CEMAS

Tidak ada sebarang perubahan di wajah lelaki itu. Tidak gementar. Tidak cemas. Tidak takut.

Nampak bersahaja dan memang dia mengharapkan salah seorang daripada rakannya yang bertarung akan tewas. Kalau boleh kedua-duanya sekali mati.

"Saya minta kamu berhentikan perkelahian ini. Kamu memang layak jadi pendamai, mereka kawan kamu," Pak Habib seperti merayu. Lelaki berdarah dahi tersenyum.

"Biarkan mereka mati."

Ungkapan dari lelaki berdarah dahi itu menyebabkan datuk menggenggam buku lima. Entah mengapa dia jadi marah semacam.

Dua insan yang bertarung di kawasan tanah lapang mula bergerak dalam keadaan terhad. Tercungap-cungap keletihan.

Beberapa detik berikutnya, buku lima yang tergenggam dibuka oleh datuk secara perlahan-lahan. Dan lima jari jemari tangan kiri dan kanan terkembang. Semuanya menunjuk ke bumi. Kemarahan sudah gugur di hati datuk. Sebuah ketenangan segera terukir di wajahnya.

"Jangan biarkan kawan kamu mati sia-sia," nada suara yang seakan-akan merayu dari Datuk membuat lelaki berdarah dahi tunduk merenung permukaan tanah.

Kalau tadi dia melihat kawannya yang bertarung di kawasan tanah lapang penuh dengan rasa marah dan dendam kini bertukar simpati.

"Tolong selamatkan, jangan biarkan kawan kamu mati sia-sia. Mati katak. Tolonglah mereka," datang lagi rayuan dari datuk.

Pak Habib berdebar menanti jawapan dari lelaki berdarah dahi.

"Dulu dan beberapa jam yang lalu, mereka berdua kawan saya. Sekarang mereka musuh saya."

"Heiiii..." datuk separuh terkejut.

Lelaki berdarah dahi terus ketawa. Saya dan pemandu yang tahu kedudukan sebenar, tidak merasakan apa-apa. Berbeza dengan Datuk dan Pak Habib yang kelihatan cemas dan bimbang.

LETUPAN

Dari kawasan lapang tempat kedua-dua lelaki beradu kekuatan terdengar bunyi letupan-letupan kecil, beriringan dengan sinaran cahaya seperti sinaran kilat.

Pancaran cahaya itu kelihatan seperti keluar dari telapak tangan kanan, kedua-dua lelaki itu.

"Keadaan semakin teruk," bisik pemandu pada saya.

"Kita tenang, jangan takut."

"Aku setuju," jawab si pemandu.

Pak Habib dan datuk nampak lebih bersedia untuk, menghadapi sebarang kemungkinan. Lelaki berdarah dahi terpegun. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya.

Akibat dari pancaran cahaya tersebut sebahagian daripada kawasan tempat kami berdiri, cerah sekelika.

"Mereka cuba memperlihatkan ilmu kebatinan yang ada pada diri mereka. Makin lama mereka berlawan, makin banyak ilmu batin yang ada dalam diri mereka gunakan. Dengan cara itu kita dapat mengetahui kehebatan dan kekurangan diri mereka."

"Tujuannya?" pintas datuk meningkah cakap lelaki berdarah dahi.

"Tujuannya mudah saja."

"Apa yang mudah?" Tekan datuk lagi.

Dengan berani lelaki berdarah dahi itu jegilkan sepasang biji matanya kearah datuk. Bibir tebalnya dijuihkan ke depan.

"Bila mereka letih dan menunjukkan semua ilmu yang ada, mudahlah saya mengalahkan mereka. Kedua-duanya pengkhianat. Cakap mereka tak boleh dipakai. Mereka manusia munafik."

Tergamam Pak Habib dan datuk mendengar kata-kata yang diluahkan oleh lelaki berdarah dahi itu.

"Mereka munafik," jerit lelaki berdarah dahi.

Dia segera mengambil sepotong kayu di hujung kaki untuk dilemparkan pada dua orang yang bertarung. Mujurlah perbuatannya dapat dihalang oleh datuk dengan ungkapan pujukan.

Mungkin kerana kecewa lelaki berdarah dahi terus duduk di tanah sambil memegang kepala.

Pak Habib segera mendekati datuk memberitahu sesuatu secara berbisik-bisik. Saya dan pemandu hanya berpandangan antara satu dengan lain. Bersedia menerima dan mematuhi sebarang perintah dari datuk dan Pak Habib.

Pertarungan dua manusia di kawasan lapang terus berjalan dalam keupayaan tenaga yang kian lemah. Banyak menggunakan ilmu batin yang dimanfaatkan melalui gerak udara dan pancaindera yang lima.

Masing-masing mahu menewaskan antara satu sama lain. Dari letupan dan kilauan cahaya, mereka bertukar menggunakan kepulan asap bersama percikan bara api yang kadangkala muncul dari beberapa sudut di kawasan lapang.

Di peringkat awal pergaduhan kebanyakan tikaman maut ditumpukan pada bahagian rusuk.

Kini, tempat sasaran berubah, serangan dan tikaman banyak ditumpukan pada bahagian batang leher di bawah telinga terutama di sebelah kanan. Barangkali di situ kunci kelemahan diri masing-masing.

"Bagus, hentak kepalanya."

Lelaki berdarah dahi melompat kegembiraan. Salah seorang daripada mereka mencapai sepotong kayu lalu menghayunkan kearah kepala lawan.

Orang yang diserang mengelak lalu terbabas ke kanan. Badannya terdampar pada batang pokok. Kayu yang digunakan si penyerang terlepas dari tangan.

SENJATA

Si penyerang menerkam gunakan senjata tajam dan orang yang diserang sudah bersedia dengan kedudukan yang agak baik.

Sebaik sahaja orang yang menyerang mendekatinya, maka orang yang diserang melepaskan satu tendangan padu. Si penyerang jatuh tergolek di tanah.

Dengan senjata di tangan orang yang diserang bertindak balas. Dia menerkam.

Rupa-rupanya orang yang terlentang sudah bersedia. Pergelangan tangan orang bersenjata dapat dipegangnya.

Dalam saat mengelakkan senjata tajam menembusi dadanya, ternyata tenaga orang yang terlentang makin berkurangan. Dia tidak mampu melawan dan pasrah pada keadaan.

Dalam jarak tidak sampai dua inci hujung senjata tajam mahu mencecah kulit dada orang yang terlentang. Orang yang memegang senjata tajam tergamam. Senjata dalam genggaman bertukar menjadi seketul kayu.

Jasad orang yang terlentang bertukar menjadi batang pisang. Kami melihat ada bebayang lembaga hitam berdiri di belakang orang yang mahu menikam mangsanya.

Bebayang lembaga hitam yang tinggi itu segera membongkok lalu menarik tengkuk orang yang mahu menikam mangsanya ke belakang dan dihumban-kan ke sudut tanah lapang.

Bila bebayang lembaga hitam itu hilang, kelihatan tengkorak manusia bergerak di udara dan terus hilang.

Serentak dengan kehilangan lembaga hitam dan tengkorak, jasad yang menjadi batang pisang kembali kepada asalnya. Lelaki berdarah dahi dengan tidak semena-mena terus terkulai pengsan.

Saya dan pemandu ditugaskan untuk memulihkan manusia yang berperangai bodoh sombong itu. Bila pulih, dia terus termenung tanpa banyak cakap.

DUGA

Saya menduga, setelah kejadian luar biasa yang tidak masuk diakal berlaku, pertarungan dua manusia itu akan turut berakhir.

Andaian saya (mungkin juga Pak Habib, datuk dan pemandu) tidak menjadi kenyataan. Dua manusia itu kembali bertarung.

"Leraikan mereka," bisik Datuk pada lelaki berdarah dahi yang sedang keletihan tu. Dia gelengkan kepala.

"Kamu tak mahu leraikan," datuk minta kepastian.

"Sudah tentu," jawabnya penuh bertenaga.

Dan dia mula bangun unluk melihat kedua-dua kawannya yang sudah pun memulakan pertarungan.

"Kalau begitu, kamu jangan marah bila aku bertindak," satu amaran awal dari Syed Hamid Al-Hadad yang nyata sudah bosan dan meluat melihal pertarungan dua lelaki yang tidak diketahui bila akan berakhir.

"Apa yang kita lihat, mereka menunjukkan ilmu iblis, penuh sihir," runggut Pak Habib dengan wajah yang penuh kesal.

"Biarkan mereka tuan Habib."

Lemah sahaja nada suara lelaki berdarah dahi. Dia tidak mahu menentang mata Syed Hamid Al-Hadad yang merenung tajam ke arahnya. Datuk saya lihat resah sekali, si pemandu tidak berkata sepatah apa pun.

Pertarungan dua lelaki di babak kedua bertambah hangat. Mereka seperti mendapat semangat baru.

Kalau mengikut lojiknya, mereka sudah amat penat. Sudah hancur tulang-temulang kena penumbuk dan penendang. Sudah bertaburan daging tubuh akibat tikaman senjata tajam.

Semuanya itu tidak berlaku, tidak ada setitik darah pun yang tumpah ke tanah. Macam ada tenaga luar yang melindungi dua insan itu.

"Pada hemat saya bukan manusia yang berlawan. Syaitan yang berkelahi menyerupai manusia," saya terdengar datuk berbisik dengan Pak Habib.

Tidak lama berselang Pak Habib berbisik sesuatu pada pemandunya.

Setelah faham dengan apa yang disampaikan oleh majikannya, si pemandu segera beredar secara perlahan-lahan memisahkan diri dengan Pak Habib dan datuk lalu mendekati saya.

"Pesan dari datuk kamu dan Pak Habib, jauhkan diri dengan lelaki itu. Ikut aku. mari kila cari tempat selamat."

"Di mana?"

"Ikut saja jangan banyak soal."

Saya segera mengekori si pemandu menuju ke satu kawasan yang agak terpisah dari kawasan tadi. Menyedari kami beredar, lelaki berdarah dahi mahu turut serta.

"Jangan ikut, biarkan mereka pergi," Datuk segera menghalangnya.

Tindakan datuk itu segera mendapat protes darinya. Tetapi setelah dipujuk lelaki berdarah dahi pun akur.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 242/284

BACA: SBDJ Siri 241: Dendam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 10, 2026

Sejarah Wabak Penyakit Tibi Di Malaysia & Ancaman Terkini

Sejarah Wabak Penyakit Tibi Di Malaysia & Ancaman Terkini

Penyakit tibi (tuberkulosis atau TB) bukan hanya masalah global, tetapi pernah menjadi ancaman serius di Malaysia. Walaupun sekarang rawatan moden tersedia, sejarah menunjukkan bahawa tibi pernah menjadi wabak yang menakutkan, mengorbankan ramai nyawa di negara ini, terutamanya sebelum penemuan antibiotik pada tahun 1940-an.

Sejarah Wabak Penyakit Tibi Di Malaysia

Artikel ini mengupas sejarah wabak tibi di Malaysia, kes-kes terburuk dan cabaran penyakit ini hingga hari ini.

SEJARAH WABAK TIBI DI MALAYSIA

Pada awal abad ke-20, Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Tanah Melayu) mengalami peningkatan kes tibi yang serius.

Faktor utama termasuk:
  • Kepadatan penduduk di bandar seperti Kuala Lumpur dan George Town.
  • Keadaan perumahan yang sempit dan kurang pengudaraan.
  • Kekurangan pengetahuan tentang cara penyakit merebak.

Pada ketika itu, ramai pekerja kilang, penduduk bandar dan golongan miskin menjadi mangsa utama. Tibi sering digelar sebagai "pembunuh senyap" kerana simptomnya muncul secara perlahan.

WABAK TIBI TERBURUK DI MALAYSIA

1. Era Penjajahan British (1900–1940)

Hospital tibi pertama dibuka di Kuala Lumpur pada tahun 1912.

Banyak kematian berlaku di kalangan pekerja lombong, kilang dan asrama buruh.

Jumlah kematian sukar dicatat secara tepat, tetapi rekod sejarah menunjukkan ribuan nyawa hilang setiap tahun akibat tibi.

2. Perang Dunia II dan Krisis Kesihatan

Semasa pendudukan Jepun (1941–1945), sistem kesihatan lumpuh, menyebabkan penyakit berjangkit termasuk tibi semakin merebak.

Malnutrisi dan kekurangan ubat memburukkan lagi kadar kematian.

3. Era Moden (1980–2000)

Tibi kembali mencatat peningkatan kes, terutama di kawasan bandar.

Wabak ini berkait rapat dengan golongan berisiko seperti pesakit HIV, warga tua, dan golongan berpendapatan rendah.

Malaysia mula memperkenalkan program kawalan TB, termasuk pemeriksaan awal dan rawatan percuma.

REKOD KEMATIAN TIBI DI MALAYSIA MENGIKUT TAHUN

2023
  • Jumlah kematian: 2,623 kes
  • Kadar kematian: 7.86 per 100,000 penduduk
  • Jumlah kes: 26,781 kes

Peningkatan berbanding tahun sebelumnya

2022
  • Jumlah kematian: 2,572 kes

Peningkatan 12% berbanding 2021

2021
  • Jumlah kematian: 2,288 kes

TREND SEMASA KEMATIAN TIBI DI MALAYSIA

Beberapa perkara penting yang perlu difahami:
  • Kematian tibi di Malaysia kekal melebihi 2,000 kes setiap tahun dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
  • Walaupun kadar kematian nasional menunjukkan sedikit penurunan dalam sesetengah tahun, jumlah kes masih meningkat.
  • Negeri seperti Sarawak dan Sabah mencatat kadar kematian lebih tinggi berbanding negeri lain.

KENAPA TIBI MASIH MEMBUNUH DI MALAYSIA?

Antara faktor utama:
  • Pesakit lewat mendapatkan rawatan.
  • Tidak menghabiskan rawatan antibiotik.
  • Jangkitan dalam komuniti padat.
  • Sistem imun lemah (HIV, diabetes, penyakit kronik).
  • Perokok tegar dan masalah paru-paru.

KKM menegaskan pengesanan awal dan rawatan lengkap adalah kunci utama mengurangkan kematian akibat Tibi.

CABARAN TIBI DI MALAYSIA HARI INI

Walaupun kemajuan perubatan telah banyak membantu, cabaran utama termasuk:
  • Tibi Kebal Ubat (MDR-TB) – Pesakit yang tidak menghabiskan rawatan berisiko menghasilkan bakteria kebal.
  • Diagnosis Lewat – Banyak kes hanya dikesan selepas pesakit mengalami komplikasi.
  • Kesedaran Awam – Masih ramai yang tidak tahu simptom awal tibi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, Malaysia mencatat ribuan kes tibi baru setiap tahun, menunjukkan penyakit ini masih menjadi ancaman kesihatan awam.

CARA PENCEGAHAN PENYAKIT TIBI DI MALAYSIA

Langkah pencegahan yang disarankan termasuk:
  • Pemeriksaan awal jika batuk berpanjangan lebih dari 2 minggu.
  • Menutup mulut ketika batuk atau bersin.
  • Mengamalkan pengudaraan rumah yang baik.
  • Pemakanan sihat dan gaya hidup seimbang.
  • Menghabiskan rawatan sepenuhnya jika dijangkiti.

Program DOTS (Directly Observed Treatment, Short-course) yang diperkenalkan KKM membantu memastikan pesakit menamatkan rawatan dan mengurangkan penularan.

KESIMPULAN

Sejarah menunjukkan bahawa wabak tibi di Malaysia pernah menjadi ancaman besar, membunuh ribuan nyawa sebelum era antibiotik.

Walaupun kini penyakit ini boleh dirawat, tibi tetap menjadi cabaran kesihatan awam.

Kesedaran masyarakat, pemeriksaan awal, dan kepatuhan terhadap rawatan adalah kunci utama untuk mengelakkan tragedi sejarah ini berulang di masa hadapan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 241: Dendam

SBDJ Siri 241: Dendam

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya cuba memeriksa diri. Apakah kesalahan yang telah dilakukan. Apa pula pantang larang yang dilanggar. Rasa-rasanya, tidak ada kesalahan yang dibuat. Bila menjeling ke arah pemandu. dia juga termenung panjang. Barangkali, dia juga memeriksa diri sendiri, macam saya.

SBDJ Siri 241 Dendam

"Eh, kamu berdua."

Berderau darah dalam tubuh. Lelaki berdarah dahi ini sudah melampau. Apakah dia tidak boleh menggunakan bahasa yang sopan untuk memanggil saya dan pemandu. Sungguh biadab lelaki laknat kutuk saya dalam hati.

Tetapi rasa marah yang membuak-buak terus menurun melihat si pemandu di sebelah, bersikap tenang dan bersahaja.

"Maafkan aku."

Permintaan maaf dari lelaki berdarah dahi, membuat saya terasa lemah. Kemarahan terus lupus dari kalbu. Senyum persahabatan ditujukan kepadanya.

"Begini, aku nak tegur perangai, kamu berdua..."

Kerana kata-kata selanjutnya, tidak diteruskan. Dada mula digoncang debar yang hebat.

"Silakankan, kami tak marah," si pemandu berbahasa lembut.

Saya lihat lelaki berdarah dahi menarik nafas panjang. Tangan kanannya meraba-raba pangkal paha kanan berkali-kali, macam ada sesuatu yang dirasakannya disitu.

Kemudian dia menggeliat. Fahamlah saya bahawa lelaki berdarah dahi itu mengalami lenguh-lenguh pinggang.

"Begini, mengikut petua guru aku, semasa dalam perjalanan mengesan atau memburu musuh, tak boleh bercakap, bersiul, menegur benda melintas. Tak boleh bertekak dan cepat marah. Kalau kamu berdua tak boleh ikut petua, biar aku minta diri. Kamu berdua uruskanlah hal ini," nada suaranya lembut.

Tetapi ada perkataan-perkataan tertentu yang sebutannya sengaja dikeraskan oleh lelaki berdarah dahi.

Saya dan pemandu faham, kenapa dia berbuat demikian, terutama tentang ungkapan yang berbunyi, "Biar aku minta diri kamu berdua uruskan."

Ini menunjukkan dia marah dan kecewa di samping itu cuba mengugut kami berdua.

Memang menyampah dan meluat mendengar ugutan seperti itu. Lebih-lebih lagi dari orang asing yang baru dikenali, tidak sampai seminggu.

Tetapi, kalau ugutan itu dikotakan oleh lelaki berdarah dahi. Saya dan pemandu akan berdepan dengan masalah yang sukar.

Jadi sebelum keadaan menjadi bertambah sulit. Perkara ini harus ditangani dengan baik. Biar segala-galanya berjalan dengan lancar dan teratur. Fikir saya sendirian.

PENCARIAN

Dalam usaha mencari jalan terbaik itu, otak terus berfikir dan berfikir. Kepala terus didongakkan ke langit. Awan nampak bertompok tompok. Bergerak lemah mengikut arah angin.

Juga kelihatan sekawan keluang terbang rendah menuju ke arah puncak bukit yang nampak berbalam-balam. Nyamuk dan agas mula menyerang.

"Maafkan kami."

Sungguh di luar dugaan si pemandu berkata begitu. Nampaknya, dia hertindak lebih awal dari saya, dalam usaha mencari kejernihan.

"Juga maafkan saya," dengan pantas saya mencelah.

"Kami berjanji tak buat lagi perkara semacam itu," si pemandu memberikan sebuah ikrar dan janji. Saya anggukkan kepala.

Lelaki berdarah dahi terus membisu. Sepasang matanya memanah ke arah langlt luas. Sesekali dia meraba-raba hujung taping telinga kanannya. Ditekan tekan dan dipusingnya sekali dua.

Dari dada langit, renungnya beralih ke arah pepohon yang tinggi menjulang. Agak lama juga dia menatap dedaun pokok yang tertegun kaku. Macam ada sesuatu yang dicarinya disitu. Fikirannya berkelana jauh tidak menentu.

Sesungguhnya kelakuan lelaki berdarah dahi membuat saya dan pemandu jadi resah semacam.

TENANG

Keluhan yang terhambur dari mulut lelaki berdarah dahi, membuat mata kami tertancap kewajahnya. Entah mengapa hati terasa tenang. Wajahnya yang tadi keruh nampak beransur cerah dan ceria.

Mata yang tadi merah dan bersinar garang, bertukar menjadi lembut. Hidungnya tidak lagi kembang kempis. Segala-galanya kembali pada keadaan normal, macam tadi.

"Jangan sekadar berjanji saja," bentaknya keras.

"Demi Allah, kami berjanji. Kalau salah seorang daripada kami ingkar, celakalah diri," kami berdua terus berikrar sambil mengangkat tangan separas bahu.

"Bagus!" sambut lelaki berdarah dahi.

Perjalanan yang terhenti diteruskan. Entah mengapa, setelah disergah oleh lelaki berdarah dahi, saya seperti mendapat semangat baru. Jadi berani semacam, tidak takut dengan hantu syaitan. Tidak takut dengan binatang buas.

Kerana merasakan ada kekuatan semangat serta keberanian tersendiri. Saya pun berusaha menjarakkan diri dengan pemandu sejauh mungkin.

Semangat wira menggelegak bagaikan air panas. Sentiasa mengharapkan sesuatu yang boleh diajak bertarung muncul di depan mata.

Apa yang diharapkan, tidak menjadi kenyataan. Perjalanan seterusnya cukup aman dan selesa sekali. Hari yang semakin gelap, terasa seperti berada diwaktu petang saja.

"Ooopppp..."

Lelaki berdarah dahi yang jadi kepala jalan angkat tangan kanan. Memberitahu ada rintangan dalam perjalanan.

"Ada parit, terpaksa melompat," tutur lelaki berdarah dahi.

Keberanian yang membuak-buak dalam dada terus surut, bila berdiri di tebing parit yang lebar dan dalam tanpa air.

Lelaki berdarah dahi dan si pemandu sudah pun memperlihatkan kehebatan diri masing-masing. Dengan sekali lompat, mereka lepas ke seberang.

"Lompat Tamar," si pemandu memberi arahan.

"Baik."

Saya pun mencari ruang untuk memulakan lompatan. Langkah pertama teragak-agak, saya batalkan lompatan. Kali kedua, disaat mahu melompat, teringat permukaan parit yang luas dan dalam.

Lompatan segera saya tangguhkan. Lelaki berdarah dahi dan si pemandu yang berada di seberang sana mula resah.

BUNTU

Dalam keadaan yang buntu itu saya terus berusaha dan berfikir. Entah macam mana saya berusaha mencari tempat lapang. Dari situ melakukan larian kencang.

Bila sampai tepi parit. Pejamkan mata dan terus melompat. Sama ada mahu atau tidak, perkara tersebut mesti dilaksanakan. Dengan keyakinan yang padu saya pun memulakannya.

Alhamdulillah percubaan yang ketiga berhasil. Selamat sampai ke seberang. Lelaki berdarah dahi dan pemandu segera membangunkan saya yang jatuh terduduk.

Punggung terasa sakit, maklumlah terduduk atas akar kayu yang keras. Urat-urat dipangkal peha teras tegang seketika.

SUARA

Setelah melepasi parit kecil, kami terpaksa mendaki kawasan tanah yang agak tinggi. Dan situ ternampak cahaya api. Sayup-sayup terdengar suara orang seperti membaca sesuatu.

Dalam keadaan yang gelap itu, pemandu mencuit bahu saya.

"Ada suara," bisiknya.

Saya anggukkan kepala.

Bila diamat-amati, suara tersebut adalah suara orang membaca Quran. Sukar untuk menentukan surah apa yang dibaca. Mendengar suara orang membaca Quran di tengah hutan, waktu maghrib membuat bulu tengkuk meremang. Rasa takut dan cemas memang tidak dapat dihindarkan.

Dalam cuaca gelap yang semakin berat itu, lelaki berdarah dahi angkat tangan rendah separas bahu. Semasa menyuruh saya dan pemandu berhenti berjalan, dia angkat tangan melepasi kepala. Tetapi kali ini paras bahu.

"Tanda isyarat apa tu?" Secara berbisik saya bertanya pada si pemandu

"Berjalan rendahkan badan, melangkah perlahan-lahan. Jangan pijak benda yang boleh menimbulkan bunyi," balas si pemandu.

Jalan membongkok dengan langkah yang berhati-hati dalam keadaan gelap memang menyusahkan. Makin lama kami melangkah makin rapat kami dengan cahaya api.

Suara orang membaca Ouran semakin jelas. Saya pasti suara itu, bukan suara datuk. Saya juga yakin orang itu sedang membaca surah yassin.

POHON

Dalam suasana yang penuh dengan persoalan dan pertanyaan itu, kami terus melangkah, membongkok dicelah-celah pepohon renik yang hidup subur.

Dua tiga kali ranting mencucuk rusuk dan lengan, semuanya terpaksa ditanggung. Pokoknya, kedatangan kami menghampiri cahaya tidak boleh dikesan oleh sesiapa pun.

Walaupun sudah hampir dengan api yang membara, tubuh dan wajah orang membaca Quran masih belum kelihatan. Bahang dari api yang marak itu membuat muka terasa panas dan badan berpeluh.

Dengan pertolongan cahaya api yang agak luas itu, kami terus mencari batang tubuh orang membaca surah yassin. Usaha kami gagal.

Lelaki berdarah dahi mencadangkan supaya kami meniarap di situ sehingga orang yang membaca Quran itu keluar dart tempat persembunyian. Cadangan itu diterima.

Dalam masa meniarap itu saya terhidu bau minyak yang cukup kuat. Kerana takut diherdik oleh lelaki berdarah dahi, perkara itu tidak saya sampaikan padanya dan pemandu.

"Kamu ada tercium bau minyak petrol, tak?" tanya lelaki berdarah dahi pada pemandu dan saya.

"Ada," jawab kami serentak.

"Motorsikal, kawan aku yang jahat terbakar."

Lelaki berdarah dahi terus berdiri. Renung sekitar kawasan yang diterangi cahaya api. Dia meniarap kembali.

"Kita dah sampai pada matlamatnya, bau minyak petrol itu datang dari arah sana," dia menajamkan mulutnya lalu menghalakan ke kanan.

Bila kami merenung ke arah yang ditunjuknya, memang ada cahaya api yang sedang marak. Kepulan asap hitam naik ke langit.

"Tadi mereka duduk di sini," bila menyedari ada orang mengintip mereka lari dan tak sempat nak memadamkan api lelaki berdarah dahi membuat sebuah andaian. Suara orang membaca Quran terus menyumbat lubang telinga.

Lelaki berdarah dahi menyuruh kami duduk dekatnya. Kami akur dengan permintaannya. Dia terus menerangkan tentang rancangan yang bakal dilakukannya.

Kerana dia percaya, dua orang kawannya bertelagah sesama sendiri. Dia memutuskan untuk menyusuri kawannya yang pada pendapatnya tidak berpegang pada janji.

Dia mahu membuat perhitungan peribadi dengan kedua-dua kawannya itu.

Saya dan pemandu disuruhnya bergerak perlahan-lahan ke arah perdu pokok besar yang berbanir. Tingginya melangit, sukar diduga.

"Kita bergerak sekarang."

"Baiklah," sahut saya dan pemandu.

CAHAYA

Lelaki berdarah dan segera melangkah menuju ke arah cahaya yang diduga tempat motorsikaI kawannya terbakar. Saya dan pemandu segera bergerak ke arah pokok besar.

"Suara orang membaca Ouran itu datang dari celah-celah banir pokok yang besar itu," itu yang saya beritahu pada pemandu.

"Aku juga fikir macam tu," jawabnya.

"Barangkali datuk dan tuan syed bersembunyi di situ."

"Tak tahu nak cakap," suara si pemandu lemah sekali.

Setelah berada di kawasan perdu pokok besar, dengan cahaya api saya dan pemandu dapat meninjau keadaan sekitar.

Tidak jauh dari perdu pokok besar itu, di sebelah kanan terdapat sebatang anak sungai yang airnya mengalir deras.

"Hati hati melangkah Tamar."

“Iya, aku tahu. Terima kasih atas ingatan tu," dengan ditemani cahaya api yang samar-samar, muka si pemandu saya renung. Dia nampakt tenang dan bersahaja.

Bila air sungai yang mengalir deras melanggar bebatu dan bebatang yang menghalang perjalanannya, akan menghasilkan satu macam jenis bunyi. Sekejap kuat, sekejap perlahan. Nada bunyi itu menyenangkan perasaan.

Sebahagian daripada banir atau akar besar dari perdu tersebut berada di dalam sungai.

Jika ada manusia yang bersembunyi di celah-celah banir tersebut, boleh turun naik ke sungai tanpa dapat dikesan oleh orang lain atau binatang buas. Saya dan pemandu terus melangkah. Penuh hati-hati dan teliti.

JELAS

Suara orang membaca Quran semakin jelas. Dalam masa yang sama kami terdengar bunyi beberapa letupan kecil secara berturut-turut.

"Bukan dari tempat kita meniarap tadi," si pemandu menudingkan jarinya kearah cahaya api yang lagi satu, iaitu tempat yang ditujui oleh lelaki berdarah dahi.

"Biarkan orang itu uruskan."

Mendengar kata¬kata saya itu, si pemandu senyum panjang.

Sebaik saja mendekati perdu pokok besar, terdengar suara orang berdehem. Cukup hampir dengan saya. Si pemandu terus memberi isyarat, menyuruh meniarap dan mengawasi keadaan sekeliling.

Malangnya suara orang berdehem itu tidak muncul. Puas saya mengawasinya tetapi, kelibatnya pun tak ada. Kami berdua terus mematikan diri.

Sepuluh minit kemudian, terdengar lagi suara orang berdehem. Kali ini betul¬betul di belakang kami. Saya tidak pula merasa cemas. Saya yakin, suara itu adalah suara datuk.

Sudah jelas kini, suara yang mengalunkan surah Yassin itu adalah suara Syed Hamid Al-Hadad.

"Macamana kamu berdua boleh berada di sini."

Belum pun sempat kami menoleh ke belakang dan menjawab pertanyaan. Tubuh saya dan pemandu diheret ke celah banir besar, terus ditolak didepan Syed Harnid Al-Hadad yang terpaksa berhenti membaca Quran.

Saya kagum dengan lelaki keturunan Arab itu. Dia seorang hafiz Quran.

"Kamu berdua belum solat maghrib lagi?" soal datuk

Saya dan pemandu pemandu mengangguk serentak.

Syed Hamid Al-Hadad yang tidak terkejut dengan apa yang berlaku.

Dia merenung ke arah kami dengan wajah yang lembut sambil berkata, "Pergi ambil wuduk terus solat. Waktu maghrib belum habis. Lepas itu kita keluar dari sini. Agaknya orang membuat aniaya pada kami dah lari."

"Ikut cakap Pak Habib tu," datuk menyokong.

Tanpa berlengah-lengah lagi kami pun menuruni tebing yang curam sambil berpaut pada akar pokok besar.

Selesai solat dan berdoa, Datuk dan Syed Hamid Al-Hadad minta kami bercerita tentang pengalaman yang dilalui, setelah berpisah dengan mereka.

Kerana merasa kikuk bercakap depan datuk, saya suruh pemandu kepada Pak Habib (Syed Humid Al-Hadad) bercerita.

PERASAAN

Dengan penuh perasaan si pemandu mengungkapkan detik-detik cemas yang kami lalui. Beberapa kali datuk dan Pak Habib menarik nafas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Tak mengapa ini ujian untuk kita semua," tenang benar datuk bersuara.

Pak Habib tidak memberikan sebarang komentar. Bunyi air sungai yang melanggar bebatu di tengah sungai, cukup menyenangkan. Macam ada irama tersendiri. Gelap malam terus menguasai maya. Badan pun mula terasa dingin.

"Kata kamu, seorang musuh dah jadi kawan kamu berdua. Mana dia?" Pak Hamid mengajukan pertanyaan pada pemandunya yang setia.

Buat beberapa saat si pemandu melemparkan pemandangan kearah saya. Cepat-cepat saya genyitkan mata, beri laluan pada padannya supaya menjawab dengan pantas berhubung dengan pertanyaan yang diajukan oleh Pak Habib.

"Dia tengok motorsikal terbakar."

Datuk dan Pak Habib kerutkan kening. Mereka berpandangan sama sendiri. Dan semua yang berada di celah banir terkejut mendengar bunyi ledakan yang kuat.

Seluruh kawasan diterangi dengan cahaya api seketika. Suasana kembali normal.

"Berapa buah yang terbakar?" Soal datuk.

Si pemandu kerutkan kening, macam mengingati sesuatu. Kemudian perlahan-lahan gelengkan kepala ke kiri dan kanan.

"Saya tak tahu, sebab tak nampak," jawab si pemandu spontan.

Saya anggukkan kepala menyokong penjelasan si pemandu.

"Mari kita tolong mereka."

DIHALANG

PAK HABIB segera bangun dan bersedia untuk melangkah keluar dari celah banir. Perbuatan itu segera dihalang oleh pemandunya yang setia.

"Kenapa halang saya?"

"Dia musuh Tuan Habib."

Syed Hamid Al-Hadad tersenyum. Muka pemandu direnung sebentar. Kemudian bahu si pemandu ditepuknya berkali-kali.

"Mereka dalam kesusahan, kita harus menolong, lagi pun mereka satu agama dengan aku, begitu juga dengan kamu. Orang Islam yang baik tidak menaruh dendam kesumat. Soal dia mahu membunuh aku, itu soal lain. Begitu iuga kalau dia berdendam dengan aku. Itu urusannyanya dengan Allah. Aku tak memusuhinya, aku maafkan kesalahanya."

Satu penjelasan yang saya kira cukup sulit untuk diterima oleh si pemandu dan kebanyakan orang Islam termasuk diri saya.

Pada hemat saya, musuh tetap musuh. Mesti dimusnahkan. Tidak kira dia orang Islam atau sebaliknya, kalau musuh diberi kesempatan rnelepaskan diri. Lambat laun musuh akan datang semula kepada kita. Mungkin bertindak lebih kejam lagi.

"Jangan simpan sifat dendam dalam diri kita. Orang berdendam tidak disukai Allah," kata Pak Habib (Syed Hamid Al-Hadad) pada pemandunya.

Anehnya saya rasakan kata-kata itu seperti ditujukan pada diri saya.

"Mari."

Dia pun memulakan langkahnya. Datuk segera mengekori Pak Habib, begitu juga dengan saya dan pemandu.

Perjalanan menuju ke tempat motorsikal terbakar tidak begitu sukar. Selain dari keadaan permukaan tanah yang dilalui agak rata, tidak ada pepokok besar yang tumbuh di situ bagi menghalang perjalanan.

Cahaya api tidak jauh dari perdu pokok besar memberi pertolongan yang amat besar pada kami. Begitu iuga dengan cahaya dari tempat motorsikal terbakar di depan, memudahkan perjalanan ke tempat yang dimaksudkan.

Sebaik sampai dekat kawasan motorsikal terbakar, api yang marak menjulang mula perlahan. Kepulan asap juga tidak sebanyak dan sehebat tadi.

"Subhanallah..."

Pak Habib dan datuk serentak menepuk dahi. Saya dan pemandu tergamam, sedangkan lelaki berdarah dahi yang muncul secara tiba-tiba di sisi kami, tersenyum melihat dua orang kawannya bertarung sama sendiri menggunakan keris.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 241/284

BACA: SBDJ Siri 240: Di Pegang Jin Tanah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Wabak Penyakit Tibi Terburuk Di Dunia: Penyakit Lama Yang Pernah Membunuh Jutaan Manusia

Wabak Penyakit Tibi Terburuk Di Dunia: Penyakit Lama Yang Pernah Membunuh Jutaan Manusia

Ramai menganggap penyakit tibi (tuberkulosis) hanyalah penyakit lama yang sudah tidak berbahaya. Hakikatnya, tibi pernah menjadi antara wabak paling mematikan dalam sejarah manusia, mengorbankan jutaan nyawa sebelum dunia mengenali antibiotik moden.

Wabak Penyakit Tibi Terburuk Di Dunia

Lebih mengejutkan, penyakit ini masih wujud hingga hari ini dan terus menjangkiti berjuta-juta manusia setiap tahun di seluruh dunia.

FAKTA MENGEJUTKAN TENTANG WABAK TIBI
  • Pada abad ke-19, 1 daripada 4 kematian di Eropah berpunca daripada tibi.
  • Tibi pernah digelar sebagai White Plague kerana jumlah kematian yang sangat tinggi.
  • Sebelum tahun 1940-an, hampir tiada rawatan berkesan untuk pesakit tibi.
  • Sehingga hari ini, tibi masih antara penyakit berjangkit paling membunuh di dunia.

Fakta ini menunjukkan bahawa tibi bukan sekadar penyakit biasa, tetapi wabak yang pernah mengubah sejarah manusia.

WABAK TIBI PALING DAHSYAT DALAM SEJARAH DUNIA

1. Wabak Tibi Di Eropah (1700–1900)

Ketika Revolusi Industri, bandar-bandar besar menjadi sangat sesak. Pekerja tinggal dalam rumah kecil tanpa pengudaraan yang baik, menyebabkan bakteria tibi mudah merebak.

Ramai pesakit mati secara perlahan akibat kerosakan paru-paru, dan pada masa itu masyarakat belum memahami bagaimana penyakit ini merebak.

2. Tibi Sebagai "Pembunuh Senyap" 

Tibi digelar pembunuh senyap kerana simptomnya muncul secara perlahan:
  • Batuk berbulan-bulan.
  • Berat badan menurun.
  • Demam waktu malam.
  • Badan semakin lemah.

Ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap serius.

3. Kebangkitan Semula Tibi Era Moden (1980-an)

Wabak HIV/AIDS menyebabkan peningkatan kes tibi secara mendadak di beberapa bahagian dunia kerana sistem imun pesakit menjadi lemah.

Ini membuktikan bahawa tibi boleh kembali menjadi wabak besar apabila keadaan sesuai.

MENGAPA WABAK TIBI MUDAH BERLAKU?

Sejarah menunjukkan beberapa faktor utama:
  • Kawasan tempat tinggal yang sesak.
  • Sistem imun lemah.
  • Kekurangan zat makanan.
  • Kurang kesedaran kesihatan.
  • Rawatan tidak lengkap.

Keadaan ini masih wujud di banyak negara membangun hari ini.

ANCAMAN BAHARU: TIBI KEBAL UBAT (MDR-TB)

Salah satu kebimbangan terbesar dunia kesihatan sekarang ialah tibi kebal ubat, iaitu bakteria yang tidak lagi berkesan dirawat dengan ubat biasa.

Ini berlaku apabila pesakit:
  • Berhenti makan ubat sebelum tempoh rawatan tamat.
  • Tidak mengambil ubat secara konsisten.

Rawatan MDR-TB boleh mengambil masa bertahun-tahun dan lebih sukar untuk sembuh.

PENGAJARAN BESAR DARI SEJARAH WABAK TIBI

Wabak tibi mengajar dunia bahawa penyakit berjangkit boleh menjadi sangat berbahaya apabila:
  • Masyarakat memandang ringan simptom awal.
  • Pemeriksaan kesihatan ditangguhkan.
  • Rawatan tidak dipatuhi sepenuhnya.

Kesedaran awam menjadi senjata paling penting dalam mengawal penyebaran penyakit ini.

KESIMPULAN

Wabak penyakit tibi terburuk di dunia membuktikan bahawa penyakit lama tidak pernah benar-benar hilang.

Walaupun teknologi perubatan semakin maju, tibi masih menjadi ancaman global jika langkah pencegahan diabaikan.

Pengesanan awal, rawatan lengkap dan kesedaran masyarakat adalah kunci untuk memastikan tragedi wabak tibi tidak berulang pada masa hadapan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com