Sunday, October 14, 2018

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Orang awam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji kiriman hadiah oleh sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan yang telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, yang dipercayai didalangi sindiket warga asing.

Awas Parcel Scam

Walaupun telah diwar-warkan dan diberi peringatan oleh polis dan media massa, namun masih ada yang terpedaya dengan taktik berkenaan, yang mencari mangsa melalui pelbagai medium media sosial.

Mangsa kebanyakannya wanita, mengenali suspek daripada Facebook, Twitter atau mana-mana laman sosial lain dan kemudian mula menjalinkan persahabatan dengan mereka.

Modus operandi suspek masih sama, berkenalan di media sosial untuk tempoh tiga hingga empat bulan dan kemudian memberitahu mangsa, terdapat bungkusan dihantar untuk mereka, namun perlu memasukkan sejumlah wang ke satu nombor akaun untuk mendapatkan pelepasan Kastam KLIA.

Namun, apabila mangsa menyedari tidak wujud penghantaran barang tersebut, barulah mereka sedar sebenarnya telah ditipu dan membuat laporan polis.

MODUS OPERANDI

Mangsa dalam kes-kes penipuan bungkusan pada lazimnya akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial.

Suspek seterusnya akan meyakinkan mangsa bahawa dia telah jatuh cinta dengan mangsa dan seterusnya berhasrat mengirimkan bungkusan kepada mangsa sebagai tanda cinta.

Setelah bungkusan tersebut dikirim, mangsa akan dihubungi oleh seseorang yang mendakwa sebagai pegawai kastam atau syarikat perkhidmatan penghantaran dan memaklumkan bungkusan yang dikirim kepada mangsa telah sampai.

Mangsa kemudiannya diarahkan membayar cukai atau insuran kerana bungkusan tersebut dikesan mengandungi wang/barang berharga yang tidak diisytihar.

Mangsa turut menerima panggilan daripada warga tempatan yang mengatakan wang pelepasan perlu dibayar ke dalam akaun tertentu yang lazimnya dimiliki warga tempatan.

Mangsa hanya sedar ditipu apabila barang yang dijanjikan tidak diterima dan pihak sindiket berterusan meminta wang daripada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan yang berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian | ccid