Sunday, June 07, 2015

Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

Kehebatan dan bakat seni yang ada dalam diri P. Ramlee amat dikagumi oleh semua orang. Namun, dalam suka ada duka, selain diminati dan dikagumi, P. Ramlee juga menjadi mangsa hasad dengki orang lain pada masa itu.

P Ramlee

Periuk nasi P. Ramlee ditutup oleh 2 syarikat yang dinaikkan oleh P. Ramlee

1. Jaafar Abdullah, Eksekutif Shaw Brothers telah mengeluarkan surat pemberhentian khidmat P. Ramlee atas arahan RunRun Shaw dan RunMe Shaw. Alasannya, “Karya P. Ramlee tak bagus..”

2. EMI menamatkan kontrak P. Ramlee, Mrs Devan berkata, “Lagu P. Ramlee dah tak laku.. orang tak beli”. EMI Malaysia juga kata kontrak P. Ramlee adalah dengan EMI Singapura.

Harus diingat, P. Ramlee pulang ke Malaysia  atas arahan Shaw Brothers apabila pekerja Studio Jalan Ampas yang dibayar gaji yang amat rendah membentuk kesatuan pekerja Melayu dan melakukan banyak protes. Lee Kuan Yew telah mengarahkan Shaw Brothers ditutup untuk menyekat kesatuan itu. Apa tujuan LKY?

EMI pula seolah-olah tidak lagi mengenang jasa P. Ramlee. Seniman Agung ini telah memberikan pulangan yang sangat lumayan kepada EMI hasil ratusan lagu dan album P. Ramlee, Saloma dll. Kenapa perlu 'buang' P. Ramlee? Ikon terbesar industri musik masa itu? Bukankah kompilasi lagu P. Ramlee dan hasil lirik serta lagu P. Ramlee masih popular?

Itulah dua punca utama yang telah menjatuhkan karier P. Ramlee. Ianya satu bentuk pengkhianatan. P. Ramlee adalah seorang pejuang seni yang berjuang memartabatkan budaya Melayu dalam filem dan lagu Melayu dalam nyanyian.

Tak cukup dengan itu, wartawan tempatan juga kerap memperlekeh usaha P. Ramlee ketika irama Pop Yeh Yeh, Blues, Rock dan Pop sedang meresap ke dalam jiwa anak bangsa. P. Ramlee terpaksa memboikot media yang sering memutarbelit kenyataannya.

Karyawan pula ramai yang dengki dan merasakan mereka lebih baik. Apabila P. Ramlee menubuhkan PERFIMA bersama HM Shah dan turut disertai Jaafar Abdullah, Jins Shamsuddin dan Salleh Ghani, BOD memutuskan bahawa P. Ramlee tidak bagus sebagai pengarah filem kerana ‘tiada kelayakan akademik’. Maka Jins Shamsuddin yang dilantik jadi Pengarah Filem kerana dia baru balik dengan sijil pengarahan filem dari London. Maka P. Ramlee dan HM Shah keluar dari PERFIMA pada Februari 1973.

Segala usaha P. Ramlee disabotaj. 3 bulan selepas itu, P. Ramlee menjadi bertambah tertekan apabila menerima saman mahkamah.

Beliau telah menjadi penjamin kepada seorang kawan untuk satu pinjaman. ‘Kawan’ ini lesap, P. Ramlee berhadapan tindakan mahkamah yang boleh menjatuhkan hukuman bankrupsi, sedangkan P. Ramlee ketika itu tidak mempunyai wang untuk melangsaikan hutang.

Beliau mengalami kemurungan dan kekecewaan yang teramat sangat. Nasir P. Ramlee pula telah berkahwin ketika berusia 19 tahun dan keluar dari rumah.

P. Ramlee kecewa dan marah kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan itu. Beliau menjadi tidak terurus, tak bercukur sehingga hari tragik. Sedih, kecewa, tertekan...

Seminggu selepas menerima surat saman, P. Ramlee meninggal dunia menjelang subuh 29 Mei, 1973 akibat serangan jantung. Sebelumnya beliau mengadu sakit dada dan dalam kesakitan sempat berpesan kepada Sazali..

”Jaga Mama baik-baik walau apapun yang terjadi…”

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Sumber: Ahmad Husni Ahmad Basri [Edited by SP]

Wednesday, August 28, 2013

Haram Membaiki Pusara P.Ramlee-Saloma Yang Telah Dirosakkan!

Haram Membaiki Pusara P.Ramlee-Saloma Yang Telah Dirosakkan!

Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Saloma yang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.

Pusara yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.

“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

“Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

(Baca: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri)

Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.

Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.

Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.

Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.

Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.

“Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib,” tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.

Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.

“Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.

“Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.

Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.

“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.

Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati. -mStar

Friday, August 09, 2013

Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

Artikel ini tidak sama sekali bertujuan untuk mengaibkan atau mempersalahkan sesiapa tetapi sekadar untuk mengingati dan mengetahui kisah suka duka penghibur nombor satu Malaysia yang abadi.


Kisah rakan karibnya yang menangis bila mendengar lagu 'Di manakan Ku cari ganti' yang sedang digubah oleh P Ramlee membuatkan kita sebak.

Apatah lagi apabila Aziz Sattar bercerita tentang anak-anak P Ramlee hanya makan nasi kosong dengan telur goreng kerana Tan Sri tidak mempunyai wang akibat dikhianat oleh bangsa sendiri.

Begitu juga kata-kata P Ramlee yang berharap agar warisan bangsa terus menjaga muzik asli telah membuat kita rasa terbelakang dengan pendapatnya.

Amat memalukan apabila wujud sikap hasad dengki daripada prodesur filem tempatan dan pelakon di Singapura yang merupakan bangsa sendiri semasa nama Tan Sri di kemuncak.

Anda harus tonton sendiri video selama 1 jam lebih di bawah.

Pengkhianat seni P Ramlee pula yang hidup senang-lenang hari ini.. Shame on you! [Sumber]



Sunday, July 28, 2013

Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

Semasa di usia kanak-kanak dan remaja, kita menonton filem Pendekar Bujang Lapok hanya untuk ketawa, santai dan berhibur melihat telatah Ramlee, Aziz dan Sudin berpencak silat.


Hanya setelah dewasa barulah kita sedar P. Ramlee mahu menyampaikan pesanan yang penting kepada bangsanya.

Samseng-samseng yang bekerja di jeti penambang ini adalah lelaki-lelaki pongah, kasar dan mempunyai akhlak yang rendah.

Samseng berbaju hitam dan baju dalam berbelang hitam-putih seperti badan nyamuk aedes ini suka memaki-hamun sesama sendiri.

Mereka bertangan panjang, mencuri buah-buahan yang dibawa oleh penumpang. Menyamun duit tambang perahu, menindas para penumpang yang terdiri daripada orang bawahan serta mendahulukan gadis-gadis cantik untuk menaiki perahu.

Ah! Hipokrit! Kemudian mampirlah sebuah sampan mendekati jeti dengan membawa beberapa orang penumpang.

Daripada raut wajah si pengayuh dan penumpangnya dapat dilihat kepayahan memperjuangkan hidup. Potret lazim Melayu desa yang sentiasa dipanggang matahari panas dan berkeringat mencari sesuap nasi.

Daripada barang-barang dibawa ternyata mereka menaiki sampan untuk menjalankan kerja-kerja harian ataupun berdagang.

Apabila sampai di jeti penambang, ada ramai penumpang yang menunggu untuk menaiki sampan. Orang-orang yang menunggu di situ juga semuanya kelihatan sugul.

Antara yang menunggu lama itu adalah Wak Mustar bergelar 'Pendekar Pinang Sebatang', Wak Mustar merayu untuk menaiki sampan.

Kata Wak Mustar dengan lemah lembut: "Nak...bila pak cik boleh naik? Sudah lama tunggu di sini..."

Wak Mustar juga tidak mempunyai pilihan selain menunggu kerana jalan lain hanyalah berenang di sungai yang besar.

"Bising pulak! Pergi berenanglah Wak! Sungai besar, Wak!", kata salah seorang samseng penambang itu.

Apabila si tauke itu datang, samseng-samseng itu pergi menyambutnya dengan penuh hormat. Hal ini dikritik oleh Wak Mustar: "Mentang-mentang aku orang miskin kau tolak-tolakkan ya. Kamu semua pengampu, pengampu orang kaya!".

Kata-kata yang keluar daripada mulut Wak Mustar mungkin tidak pernah didengar oleh tauke. Dia terkejut dan berasa terhina.


Sebagai orang kaya, selalunya dia menerima puji-pujian atau seperti kata Wak Mustar, setiap masa dia diampu kerana dia orang kaya.

Mereka mengampu tauke yang merupakan pemilik penambang tersebut dan sanggup menolak penumpang lain ketika tauke hendak menaiki perahu, hinggalah Pendekar Mustar menyingsing lengan.

Nah, tibalah masanya buaya di sebalik sungai yang tenang sudah muncul menunjukkan diri! Satu persatu samseng diajar oleh Wak Mustar!


Pemberontakan Pendekar Mustar ini merangsang Ramlee, Azizi dan Sudin yang pada mulanya sekadar duduk di satu sudut bersenandung menggembirakan hati sendiri.

Walaupun tanpa gerak silat yang tersusun, kegigihan tiga bujang lapok ini menentang golongan samseng membuahkan hasil. Dan pemberontakan ini bukan untuk membunuh dan menjadi pemenang. Sekadar untuk mendapatkan sampan sahaja untuk ke seberang.

Tauke iaitu pengusaha sampan tambang ini hanya berseorangan sebenarnya. Kuasa yang ada padanya ialah kuasa wang.

Dengan wang dia menggaji samseng-samseng untuk menjalankan operasi di penambang, menjadi pengayuh sampan dan sebagainya.

Pekerja-pekerja ini merasakan diri mereka lebih tinggi kedudukan daripada penumpang-penumpang itu lalu berlagak dan menunjukkan kuasa.

Mereka juga bergantung kepada tauke yang menjadi pemodal untuk mendapatkan kerja. Hakikatnya, kesemua orang yang dipaparkan oleh P. Ramlee di dalam filem ini tidak ada pilihan.

Mereka ini bergantung kepada golongan penindas yang memiliki kemudahan untuk mendapatkan kerja dan memenuhi keperluan hidup.

Oleh kerana pergantungan ini, mereka tidak dapat bertindak walaupun dizalimi. Pergantungan ini menyebabkan mereka tertekan, kehilangan maruah diri dan menikus di hadapan penindas yang berkuasa.

Dengan kebijaksanaan P. Ramlee, filem Pendekar Bujang Lapok memberitahu kita bahawa peniaga yang menindas dan peniaga bersikap samseng dapat diajar jika masyarakat bersatu-padu, berilmu dan bangkit membela hak kepenggunaan masing-masing.

Dulu kita ketawa melihat adegan kemuncak di penambang di mana samseng, penindas dan orang asing dihumbankan ke dalam sungai.

Sekarang kita harus membantu Aziz Satar yang aktif membantu seniman Melayu yang dipinggirkan. Janganlah bila tiba masanya Pak Aziz sudah keseberang sana kita baru sibuk hendak mengangkat jasa-jasanya.


Usah lupa kirimkan doa kepada Sudin yang baru-baru ini telah menghadap Ilahi. Ramlee dan Sudin telah menyeberangi alam dunia yang fana ke alam baqa yang kekal nan abadi.

Pasti dua sahabat baik ini sudah tiba di seberang sana dan berbahagia hendaknya. Manakala melalui memori yang menjentik menerusi skrin hitam putih, perahu yang digunakan Ramlee, Aziz dan Sudin bersama Wak Mustar sudah berjaya menyeberangi sungai.

Tiga bujang ini pun menuntut ilmu silat bagi mempertahankan diri dan menuntut ilmu akademik untuk mengubah nasib diri yang mewakili nasib bangsa Melayu.

Inilah pesan P. Ramlee kepada kita yang masih berdiri di seberang sini. Memang patutlah P. Ramlee diangkat sebagai lagenda dan budayawan bangsa bahkan dunia!

Mungkin sebab inilah juga mengapa filem-filem P. Ramlee termasuk filem Pendekar Bujang Lapok terus popular tiada tandingannya sehingga kini!

BACA INI JUGA: Video Channel History - P. Ramlee Dikhianati Bangsa Sendiri

-SENTIASAPANAS.COM