Wednesday, April 10, 2013

Dalang Penceroboh Lahad Datu Terus Di Buru

Dalang Penceroboh Lahad Datu Terus Di Buru

Polis masih mengumpul bukti bagi membolehkan dalang insiden pencerobohan kumpulan militan di Kampung Tanduo,Lahad Datu dan Semporna sejak Februari lepas dibawa ke muka pengadilan.


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata siasatan menjurus kepada penyelesaian kes itu berpandu kepada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh di mahkamah.

"Kami tidak kata orang ini (individu ditahan) terlibat sebagai perancang atau pembunuh kes menembak mati pasukan keselamatan pada 2 Mac, kami ada keterangan mereka yang ditahan dan dituduh...," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan apabila ditanya mengenai kemungkinan dalang yang disyaki adalah daripada kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik dalam laporan akhbar tempatan hari ini sebagai berkata pihak ketiga yang mendalangi tindakan pencerobohan pengganas Jamalul Kiram di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan beberapa lokasi lain di Sabah telah dikenal pasti, namun masih memerlukan bukti untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Mengenai 32 individu yang ditahan di perairan Sabah, kira-kira 12 batu nautika dari Tambisan, Lahad Datu awal pagi semalam, Hamza berkata kesemuanya adalah lelaki yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 72 tahun.

"Kami tangkap kerana mereka memasuki negara ini tanpa dokumen dan bersenjata api yang menyalahi undang-undang negara ini," katanya.

Hamza berkata tiada pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi di semua daerah serta tiada laporan mengatakan pengganas bersenjata memasuki negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata pasukan keselamatan masih mengesan tiga lagi mayat militan Sulu yang ditembak mati pada pertempuran 1 Mac lepas.

-Bernama

Friday, April 05, 2013

Kenapa Kubur Mayat Pengganas Suluk Bertebaran Di Seluruh Sabah?

Kenapa Kubur Mayat Pengganas Suluk Bertebaran Di Seluruh Sabah?

Difahamkan bahawa mayat-mayat Pengganas Suluk telah dibawa ke beberapa daerah diseluruh Sabah untuk siasatan polis. Bagaimanapun sesuatu yang tidak difahami ialah, kenapa mayat-mayat itu dikebumikan disitu dan bukan di Lahad Datu atau dibuang saja ke laut?

Adakah kerana mereka ini memang dilahirkan disini?

Adakah ini untuk menakut-nakutkan penduduk ditempat tersebut?

Kubur pengganas Sulu di daerah Pitas

Kubur pengganas Sulu di daerah Ranau

Kubur pengganas Sulu di daerah Keningau

Kenapa?

[Sumber]

Edited by SP

Wednesday, April 03, 2013

Azzimuddie Kiram Kini Di Buru Unit Risikan

Azzimuddie Kiram Kini Di Buru Unit Risikan

Pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan saki-baki puak pengganas Sulu yang dianggarkan kurang daripada 10 orang sudah keluar dari kawasan operasi penggeledahan dan pembersihan.


Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, usaha untuk menjejaki kumpulan musuh itu kini giat dijalankan dengan menggunakan taktik risikan.

"Kita akan mendapatkan maklumat daripada orang ramai selain menggunakan kepakaran risikan pasukan kita untuk menjejaki saki-baki musuh yang ada," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

-Kosmo

Jamalul Kiram Nafi Bayar Pengganas Ceroboh Lahad Datu

Jamalul Kiram Nafi Bayar Pengganas Ceroboh Lahad Datu

Pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III menafikan dia membayar upah kepada askar-askar pasukan Keselamatan Diraja untuk memasuki Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu, lapor akhbar dalam talian Philstar semalam.


Jurucakapnya, Abraham Idjirani berkata, Jamalul Kiram tidak mampu untuk membayar mereka dan para pengikutnya itu.

Idjirani turut berkata, Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman telah mengaku tidak menyalurkan dana kepada Jamalul Kiram.

Bagaimanapun, katanya, Muhammad Ridhwan mengaku menyalurkan sumbangan kepada Muedzul Lail Tan Kiram yang didakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu yang sah.

“Muhammad Ridhwan mengaku tidak kenal Jamalul Kiram dan adiknya, Azzimuddie Kiram. Itu bermakna wujud konspirasi di Malaysia. Mereka (Malaysia) menggunakan yayasan amal untuk mencabar kesahihan Kesultanan Sulu,” kata Idjirani.

Menurutnya, Muhammad Ridhwan merupakan individu yang membiayai istiadat pertabalan Muedzul sebagai Sultan Sulu pada Disember lalu.

Idjirani menegaskan bahawa walaupun Muedzul yang merupakan anak saudara Jamalul Kiram, dia sebenarnya berada pada kedudukan ke-14 sebagai pengganti Sultan Sulu.

Dia menyatakan, Malaysia kini terlibat dalam kempen memberikan maklumat yang palsu.

Idjirani turut menyelar Malaysia kerana mendakwa lapan orang lelaki yang dilaporkan telah ditangkap sebagai para penyokong Tentera Kesultanan Sulu.

Katanya, daripada lapan nama itu hanya seorang sahaja merupakan anggota tentera Kesultanan Sulu.

Para pengikut Jamalul Kiram memasuki Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu bagi menuntut tanah yang didakwa milik nenek moyang mereka.

Sementara itu, menurut portal berita, ABS-CBNnews.com kelmarin, Jamalul Kiram menemui Ketua Persidangan Biskop Katolik Filipina, Jose Palma dengan harapan tuntutannya ke atas Sabah akan mendapat perhatian Pope Francis I yang merupakan Ketua Gereja Roman Katolik.

Jamalul Kiram menemui Palma hampir sejam di pejabatnya di sini.

Palma berjanji untuk membawa kes itu ke Majlis Vatican di Vatican.

-Agensi

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Nur Misuari Penyokong Tegar Pengganas Sulu

Kelantangan bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menyuarakan bantahan serta kritikan terhadap Malaysia berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini telah menimbulkan kemarahan rakyat di negara ini.


Ramai pihak mempersoalkan campur tangan Misuari dalam konflik di Sabah dan kenyataannya menyokong ketua penggans Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu menceroboh Sabah.

Kenyataan-kenyataannya itu jelas menggambarkan satu tindakan daripada seorang pemimpin yang gagal, kecewa dan dipinggirkan, bukan sahaja oleh masyarakat antarabangsa tetapi juga oleh kerajaan Filipina dan juga oleh bangsanya sendiri - BangsaMoro.

Kenyataan-kenyataannya juga jelas menunjukkan perasaan cemburunya terhadap kejayaan seterunya dalam Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang diketuai Murad Ebrahim mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina, baru-baru ini.

Tindakan pengasas MNLF itu jelas sekadar mahu menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan BangsaMoro, serta cuba menebus kegagalannya membawa kemajuan di Mindanao, ketika menjadi gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di selatan Filipina selepas mengadakan perjanjian damai dengan kerajaan Filipina pada 1996.

Perjuangan Misuari bersama MNLF mula dipertikaikan apabila beliau secara rasmi menggugurkan tuntutan kemerdekaan Mindanao dalam Perjanjian Tripoli I pada 1976, sekali gus menunjukkan kegagalannya memperjuangkan nasib Bangsamoro di selatan Filipina.

MNLF di bawah pimpinannya mula mengalami perpecahan pertama pada 1976 apabila satu kumpulan dalam MNLF diketuai Hashim Salamat menubuhkan MILF dan perpecahan MNLF kali kedua berlaku pada 1991, apabila Khadaffy Janjalani pula menubuhkan kumpulan Abu Sayyaf.

Namun dengan sokongan Arab Saudi dan Libya, Misuari bijak mengambil kesempatan untuk menaikkan semula reputasinya apabila beliau sebagai pengerusi MNLF menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Fidel Ramos pada 1990-an.

Justifikasi perdamaian itu membolehkan Misuari dilantik sebagai Gabenor ARMM dari 1996 hingga 2002.

Sepanjang tempoh enam tahun bertugas sebagai Gabenor ARMM ketiga, pentadbiran Misuari diselubungi pelbagai kontroversi termasuk isu rasuah, nepotisme dan salah tadbir.

Malah dana yang disalurkan kerajaan Filipina tidak digunakan untuk pembangunan di Mindanao, meski pun banyak projek dalam kertas kerja ARMM telah diluluskan.

Ada laporan menyebut, banyak pelaburan daripada Malaysia juga lesap tanpa dikesan.

Bagi menyembunyikan kegagalannya memerintah ARMM, Misuari kembali melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Filipina di Jolo, Sulu pada November 2001, selepas kerajaan Filipina ketika itu di bawah pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo melucutkan jawatannya sebagai Gabenor ARMM.

Misuari menghadapi tamparan hebat kali ini, apabila kerajaan Arab Saudi dan Libya dengan tegas menyatakan pendirian tidak mahu lagi membantu Misuari kerana menyifatkan konflik yang berlaku antara MNLF dan Filipina ketika itu merupakan isu dalaman negara terbabit.

Dendam Misuari terhadap Malaysia dikatakan bermula apabila kerajaan Malaysia menangkapnya dan menyerahkannya kepada kerajaan Filipina untuk dibicarakan atas kesalahan melakukan keganasan selepas beliau melancarkan pemberontakan dan melarikan diri dari negara itu.

Pasukan keselamatan Malaysia menangkap Misuari di perairan Sabah kerana memasuki negara ini secara haram.

Beliau cuba menggunakan nama beberapa anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang mengiktiraf MNLF sebagai badan pemerhati OIC, untuk memburukkan nama Malaysia kerana tidak memperjuangkan nasib umat Islam di Mindanao.

Namun taktik meraih simpatinya itu menemui kegagalan selepas duta negara-negara terbabit menafikan dakwaan Misuari.

Sejak itu, Misuari dilihat bersungguh-sungguh menuntut Sabah sebagai hak Kesultanan Sulu dan mencemburui kejayaan MILF dan kerajaan Filipina yang baru-baru ini, menandatangani rangka pelan damai, hasil usaha sama kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaik-baik sahaja perjanjian MILF- Manila ditandatangani, Misuari dengan lantang mengeluarkan kenyataan provokasi yang menyatakan perjanjian tersebut hanya akan mencetuskan lagi perang yang lebih besar.

Sikap itu jelas menunjukkan kekecewaan Misuari apabila beliau tidak dapat mencapai kejayaan seperti yang diperoleh pemimpin MILF untuk mewujudkan wilayah autonomi Islam yang lebih baik daripada pimpinannya sebelum ini.

Tidak hairanlah jika Misuari terus membabitkan dirinya dalam isu pencerobohan di Lahad Datu kerana ingin membalas dendam terhadap Malaysia yang menjayakan rundingan damai antara MILF dan Filipina.

Jika Misuari benar-benar ikhlas untuk mewujudkan wilayah Islam yang berdaulat, kenapa beliau tidak menyokong perjanjian damai antara MILF dan kerajaan Filipina yang ketika ini telah mencapai satu tahap yang lebih baik untuk merealisasikan impian BangsaMoro.

Sebaliknya, Misuari dilihat cuba mencari jalan untuk menggagalkan usaha damai tersebut dan menjadikan isu tuntutan Sabah sebagai batu loncatan untuk menaikkan semula reputasinya sebagai pemimpin MNLF yang disegani.

-Utusan

Tuesday, April 02, 2013

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tali Barut Polis Didakwa Bersama Tujuh Pengganas

Tujuh warga selatan Filipina pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di sini atas pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas.


Tiada pengakuan direkodkan daripada tujuh lelaki berumur lingkungan 20-an hingga 63 tahun itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Rajalingam a/l S.S.Maniam yang bersidang sebagai Majistret.

Pertuduhan asal dalam bahasa Melayu diterjemah ke dalam dua bahasa iaitu Bajau dan Suluk.

Lima tertuduh didakwa terhadap dua pertuduhan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati dan menjadi ahli kumpulan pengganas di bawah Seksyen 130KA kanun sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 121, 130KA dan Seksyen 130E iaitu merekrut orang sebagai ahli kumpulan pengganas atau untuk menyertai perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda dan Seksyen 130K iaitu melindungi orang yang melakukan perbuatan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh didenda atau penjara maksimum 20 tahun dan boleh denda jika sabit kesalahan. Seorang lagi tertuduh pula menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 130KA.

Pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Sabah Jamil Aripin dan Timbalan Pendakwa Raya Lahad Datu Shukor Abu Bakar.

Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 177A (2) Kanun Acara Jenayah bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu seorang anggota polis berpangkat Koperal juga didakwa di tempat sama Jumaat lepas mengikut Seksyen 130M iaitu dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat mengenai tindakan pengganas, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

(Baca: Gambar Anggota Polis Yang Menjadi Musuh Dalam Selimut)

Ini menjadikan sehingga hari ini 16 orang didakwa di mahkamah.

Pada 20 Mac lepas, lapan warga Filipina didakwa di tempat sama mengikut Seksyen 121 dan Seksyen 130KA dan sehari selepas itu kes berkenaan disebut di Mahkamah Tinggi Tawau.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Tinggi 12 April ini bagi mengetahui perkembangan perbincangan Peguam Negara dengan Persatuan Undang-Undang Sabah, Majlis Peguam dan kerajaan Filipina berhubung khidmat guaman yang akan diberikan kepada tertuduh.

-BERNAMA