Wednesday, January 18, 2017

Tun Mahathir Jawab Bidasan Sultan Johor Isu Forest City

Tun Mahathir Jawab Bidasan Sultan Johor Isu Forest City

Tun Mahathir Mohamad tampil menulis jawapan balas berhubung kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar terhadap dirinya berhubung isu Forest City.

Forest City

Dalam kenyataannya, Tun Mahathir berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang didakwa 'tersinggung dan terluka dengan kenyataannya' mengenai Forest City benar-benar mencabarnya atau ia sekadar tafsiran akhbar.

Artikel ini dipetik daripada catatan terbaharu Tun Mahathir diblognya, chedet.

1. Saya tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan oleh DYMM Sutan Johor terhadap saya berkenaan pembangunan JB.

2. Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya.

3. Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar.

4. Saya mengaku bahawa saya berada di dalam keadaan yang agak lemah. Sementara sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian, saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya.

5. Apakah yang telah diperkatakan oleh saya? Tidak lebih daripada apa yang dilaporkan Bloomberg di dalam akhbar. Tetapi saya boleh terima kenapa laporan Bloomberg tidak akan dicabar atau dinafikan.

6. Apakah yang diperkata oleh Bloomberg di dalam laporannya pada 22hb November lepas? Ia mengatakan yang sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Ianya juga melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar) dan mereka ini sudah, malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

7. Saya tidak fikir ramai Melayu atau Cina Johor telah beli atau akan beli apartment ini. Malaysia tidak mempunyai penduduk yang begitu ramai untuk membeli kesemua hartanah ini.

8. Bloomberg, di dalam laporan yang sama turut menyatakan tentang 60 pembangunan lain yang mirip Forest City, dan ini juga sedang dijual kepada rakyat tanah besar China.

9. Melihat kembali pada tahun 1819, apabila Sutan Johor, Sultan Ali tidak mahu memajak Singapura kepada British, Temenggung telah menandatangani pajakan tersebut. Lihatlah Singapura hari ini. Sebahagian daripada Johor kini adalah negara asing – memanglah ia dibangun dengan mudah, tetapi ia tetap negara asing.

10. Lebih sejuta rakyat asing akan tinggal di Forest City JB dan 60 pembangunan lain disekitarnya. Semua tempat baru ini tidak akan menjadi negara asing tetapi akan mengandungi peratus orang asing yang tinggi. Jika mereka tinggal untuk satu tempoh yang lama yang ditetapkan, mereka layak untuk menjadi rakyat Malaysia.

11. Ya, saya yang mempromosi Pelaburan Langsung Asing (FDI – Foreign Direct Investment). Tetapi ianya bukan bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjualnya kepada rakyat asing, yang akan tinggal di sana.

12. FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

13. Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

14. Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

15. Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai.

16. Benarkanlah semua transaksi dibuat dengan telus. Terbitkanlah semua dokumen berkaitan pelaburan, jumlah pekerja asing, negara asal mereka, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman serta kesemua penghantaran balik wang keluar. Keluarkanlah ini dengan jujur. Jangan berselindung. Janganlah pulak disuruh seseorang yang bernama Tunku Aziz untuk mengesahkannya. Mungkin dia ini pada satu masa mengetuai Transparency International, tetapi dia menerima tanpa belah bagi rompakan dan rasuah yang terjadi dalam 1MDB.

17. Jadi biarlah Transparency International yang benar-benar “International” memeriksa dokumentasi rasmi yang dikeluarkan. Biarkan rakyat meneliti dokumen tersebut untuk buktikan kesahihannya.

18. Pandang ke Timur bukan bermakna mengajak negara-negara di Timur membeli tanah di Malaysia, membangun dan menjual kepada rakyat dari negara-negara mereka. Ya, kita menggalakkan orang asing untuk jadikan Malaysia rumah kedua mereka (Malaysia My Second Home). Tetapi jumlah mereka ini sedikit. Dasar Pandang ke Timur bukan untuk membenarkan migrasi secara besar-besaran melibatkan ratusan ribu. Ianya adalah untuk rakyat Malaysia mempelajari bagaimana negara-negara di Timur ini membangun dan memajukan negara mereka.

19. Mudah sekali untuk menuduh saya ini racist, atau bersikap perkauman. Sebelum ini pun saya pernah digelar Malay ultra.

20. Label atau panggilan serta usaha untuk memburukkan imej ini lebih menunjukkan kegagalan untuk mematahkan apa yang saya buat atau katakan.

21. Ia mencerminkan ketiadaan asas untuk hujah bagi melawan hujah saya.

22. Ini adalah negara berbilang kaum. Rakyat berlainan keturunan, bahasa, agama, budaya dan pencapaian ekonomi telah tinggal dengan aman.

23. Di banyak negara, hanya kerana perbezaan interpretasi yang sedikit pada agama yang dianuti bersama menyebabkan pergaduhan dan peperangan. Tetapi Malaysia stabil dan aman.

24. Ianya stabil dan aman kerana kita terima keadaan sesama kita. Selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak terdapat pergaduhan kaum yang serius. Konflik ada. Tetapi tanpa keganasan. Dan negara dapat dibangun.

25. Jika saya amalkan perkauman, zaman saya akan terlihat ketidaktentuan dan kemuduran di negara ini.

26. Sesiapa boleh pertikai apa yang saya katakan. Itu hak demokratik sesiapa.

27. Saya cabar The Star untuk siarkan apa yang saya katakan ini secara keseluruhan. Tanda ketakutan Kerajaan terhadap kebenaran boleh digambarkan dengan sejauhmana media arus perdana dikawal.

28. Saya terima jika penulisan ini tidak disiarkan sama sekali kerana kita hidup di dalam sebuah negara kleptocratic di mana kebenaran merupakan satu bala, hanya boleh dibisik tetapi tidak boleh diperkatakan secara terus terang.

29. Saya rakyat Malaysia yang dilahirkan di Kedah.

30. Malaysia adalah rumah saya dan objek kesetiaan saya. Jika saya harus dituduh sebagai penderhaka kerana apa yang saya perkatakan, tuduhlah.

Dr Mahathir bin Mohamad
16 Januari 2017

P/s: Di dalam kes Hong Kong and Macau, Pondicherry, Goa dan lain-lain wilayah Peranchis dan Portugis di India, sebaik sahaja penjajah melepaskan empayar mereka, tempat-tempat ini terus dilepaskan dan dipulangkan semula kepada negara asal. Demikian juga semua tanah jajahan dikembalikan kepada pemilik asal wilayah-wilayah ini.

Surat asal yang disunting telah disiarkan di dalam akhbar The Star bertarikh Jan 17, 2017, di ruangan surat

BACA INI JUGA: Manisfesto PPBM (BERSATU) Dan Ikrar Selamatkan Malaysia

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, January 16, 2017

Manisfesto PPBM (BERSATU) Dan Ikrar Selamatkan Malaysia

Manisfesto PPBM (BERSATU) Dan Ikrar Selamatkan Malaysia

Tun Mahathir menggariskan latar belakang penubuhan PPBM dan konteks sejarahan negara dan kewajipan setiap rakyat jelata bersatu padu menyelamatkan Malaysia daripada kemungkaran Umno dan Barisan Nasional.

PPBM

Beliau menyuarakan aspirasi menjadikan PPBM pengganti yang lebih bak kepada Umno dan dengan kerjasama parti-parti yang sehaluan menawarkan wadah perjuangan bagi membentuk sebuah kerajaan yang lebih bertanggungjawab, meringankan beban rakyat jelata dan mereformasikan sistem pemerintahan serta pentadbiran negara.

Hadir bersama adalah pemimpin parti-parti Pakatan Harapan, Parti Warisan Sabah dan badan-badan bukan kerajaan yang seperjuangan dan sehaluan.

Berikut adalah teks lengkap ucapan Dr Mahathir:

1. Kita berhimpun di sini untuk melancarkan sebuah parti politik baru.

2. Kita lancarkannya untuk mengganti sebuah parti politik yang sudah usang, yang sudah lari daripada landasan yang ditentukan oleh pengasasnya.

3. Parti UMNO bukan sahaja usang tetapi sudah menjadi parti kleptokrat, parti yang dipimpin oleh penjenayah, penyamun dan pengamal rasuah yang tidak terhingga skalanya.

4. Parti ini juga menjadi penindas keatas rakyat, mendera mereka tanpa sebab, menangkap, memasuk dalam tahanan dan menghadap mereka ke mahkamah dengan tuduhan palsu yang tidak munasabah. Peguam yang menasihat anak guam juga ditangkap.

5. Parti ini juga telah dan sedang menjual wilayah-wilayah negara sehingga wilayah-wilayah ini menjadi kawasan yang terasing dari negara, dengan penduduk asing yang berideologi bertentangan dengan kepercayaan dan pegangan bangsa kita.

6. Itulah sebahagian daripada sebab parti baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia ditubuh. Ianya ditubuh sebagai menyahut teriakan rakyat yang mahu supaya diselamatkan dari kleptokrasi pemerintah penyangak dan penyamun, yang bernama Barisan Nasional dengan UMNO sebagai tunggaknya.

7. Tiada ada satu usaha yang lebih mulia daripada usaha yang kita Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersama rakan-rakan kita usahakan untuk mengamal ma’aruf dan membasmi kemungkaran UMNO dan Barisan Nasional.

Saudara dan Saudari.

8. Saya akui saya sudah tua, sudah berusia lebih dari 90 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang yang berasa terancam, saya kononnya sudah menjadi lemah, lemah tubuh badan, lemah akal fikiran, lemah ingatan, seorang pelupa yang nyanyuk yang sepatutnya diam sahaja.

9. Tetapi sedarlah bahawa usia yang panjang ini juga memberi kepada saya peluang melihat dengan mata sendiri akan pergolakan dan nasib bangsa saya selama lebih 80 tahun di waktu dijajah oleh tiga kuasa asing, keadaan sebelum merdeka dan setelah merdeka.

10. Saya pernah bertuan penjajah di negara sendiri. Perasaan terhina menyelubungi diri, apabila terpaksa bertuankan orang asing, yang menjajah negara.

11. Demikianlah perasan terhina menekan diri sehingga timbul kepercayaan bahawa memang pun bangsa saya bangsa yang kerdil, yang tidak berkebolehan. Kedudukan dijajah memang nasib yang tidak boleh dielak oleh bangsa yang serba kurang ini.

12. Tetapi Alhamdulillah, bangsa yang lemah dan kerdil ini, bangsa yang tidak berkebolehan ini, bangsa yang serba miskin, miskin dengan duit ringgit, miskin dengan ilmu, miskin dari kekuatan semangat juang, miskin senjata - bangsa ini apabila disedari akan dipisah dari tanah air dan menjadi orang asing di negara sendiri, bangsa ini tiba-tiba terjaga, bangun, bersatu dan melancarkan serangan balas bertalu-talu untuk menebus balik maruah dan tanahair.

13. Ya. Melayu memang lemah dan mudah lupa. Tetapi kesedaran mendatangkan kekuatan yang tidak pun dimimpi berada kepada mereka.

14. Rakyat dan Raja negeri masing-masing tiba-tiba sedar bahawa mereka adalah dari satu bangsa, yang berbahasa, berbudaya dan beragama yang sama. Mereka sedar bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah hak mereka, warisan nenek moyang yang perlu mereka pertahan.

15. Kesedaran ini membawa kepada perpaduan dan perpaduan membuahkan kekuatan. Biar betapa kuat sekali musuh yang menjajah, namun Tanah Melayu adalah milik bangsa Melayu dan tidak akan diserah menjadi tanah jajahan selama-lamanya oleh bangsa lain.

16. Demikianlah kesedaran terhadap kehilangannya tanahair, kesedaran akan menjadi pendatang di negara sendiri, sehingga segala keperitan lain diketepikan oleh semua dan perjuangan membebaskan negara diutamakan.

17. Semua berkumpul dalam satu badan, pegawai tinggi dan rendah yang berpelajaran Melayu atau Inggeris, yang berpelajaran agama dan berbahasa Arab; semuanya bersatu dan berbaris rapat menentang penjajah.

18. Dan Raja yang telah serah segala-galanya kepada penjajah British, tiba-tiba mereka berasa kuat dan berani. Rakyat bangsa Melayu bersama mereka, dan mereka pun menolak segala perjanjian yang telah ditandatangani mereka.

19. Penjajah berasa takut kerana yang tertidur sudah pun jaga dan bangun, sanggup melakukan apa yang kononnya mereka tidak mungkin lakukan.

20. Meringkaskan cerita, negara yang selama 400 tahun dijajah, di belenggu oleh siapa sahaja, oleh Portugis, oleh Belanda, oleh British, oleh Jepun dan oleh Siam, tiba-tiba merdeka.

21. Dan merdeka memberi kuasa, kuasa untuk memperbaiki nasib bangsa, untuk menebus maruah, untuk selamatkan warisan nenek moyang.

22. Tanggungjawab dipikul dan keadilan serta timbang rasa ditunjuk kepada bangsa-bangsa lain yang setia kepada negara. Tidak ada perasaan tamak untuk merampas harta dan hak mereka yang sudah setia kepada negara. Mereka diberi hak sebagai warga negara.

23. Sesungguhnya bangsa Melayu ini berbudi bahasa, bermurah hati dan sanggup berkongsi yang sedikit yang ada pada mereka. Maka tertawanlah hati dan akal fikiran seluruh permastautin dari pelbagai kaum atau agama. Pada masa itu budi bahasa bukan slogan pilihanraya tetapi memang pun budaya asli kita.

24. Dan amanlah negara dan terbangunlah tanahair. Penanam padi, penangkap ikan, penoreh getah tiba-tiba memiliki anak yang profesional, doktor, lawyer, engineer, arkitek, professor, pentadbir dan diplomat. Pesawat terbang yang canggih diterbang dan diselenggara oleh anak penoreh dan pesawah.

25. Di seluruh dunia terdapat penuntut Melayu yang mengejar ilmu sains, matematik, nuklear sains, elektronik, IT dan bermacam ilmu lagi.

26. Lulus, mereka mengepalai kementerian, syarikat gergasi, industri pembuatan, nakhoda kapal, bahkan menjadi angkasawan. Mereka boleh. Bangsa Melayu dan Pribumi lain boleh. Bangsa Malaysia boleh.

27. Ya. Malaysia boleh. Melayu boleh. Negara pesat dibangun dan menjelma menjadi negara maju, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

28. Inilah kepercayaan kita pada masa itu, terutama kita yang sudah mengalami pedih perit dijajah orang. Orang Melayu akan dapat bahagian mereka tanpa merampas hak orang lain, Kita bukan penyamun. Kita bukan perompak. Kita adalah bangsa bertamadun, bermaruah tinggi, adil yang tidak merampas harta orang. Apa yang kita dapat, kita dapat dengan usaha kita sendiri, dengan titik peluh kita sendiri.

29. Tetapi kemewahan mempunyai racun yang boleh racuni fikiran dan menghapuskan nilai hidup yang mulia. Dari semangat yang membakar api kebangsaan, yang menyatupadu bangsa, yang memberi kekuatan kepada kita; dari semua ini kemewahan kebendaan merasuk sehingga segala yang mulia dalam nilai hidup kita diganti dengan sifat tamak yang tidak terhingga.

30. Bangsa dan negara dilupakan dan diganti dengan ketamakan untuk diri sendiri, ketamakan kuasa, duit Ringgit, harta dan pangkat.

31. Maka bertanyalah mereka ini "Apa aku dapat". Begitu lama aku berjuang apa aku dapat. Mereka yang lain menjadi Yang Berhormat, bergaji tinggi, berkenderaan mewah. Ada yang jadi Menteri pun, Menteri Besar, Perdana Menteri. Tapi "apa aku dapat".

32. Bukankah aku yang berjuang, yang bermati-matian untuk menaikkan mereka. Mereka dapat. Apa aku dapat?

33. Dan kecewalah mereka ini. Dan terpadamlah semangat yang dahulu begitu suci. Dan digantikan dengan iri hati dan hasad dengki.

34. Tetapi apakah pula sikap mereka yang sudah "dapat", dapat menjadi wakil rakyat, gaji dan elaun, pangkat darjat, kuasa dan sebagainya.

35. Apakah mereka berpuas hati kerana mereka "dapat". Tidak juga. Mereka masih berpendapat mereka sepatutnya mendapat lebih lagi dengan lebih mudah. Yang dapat ke puncak juga demikian. Demikianlah apabila perasan tamak menguasai mereka.

36. Maka berhempas pulaslah mereka, mengejar secara halal atau haram apa yang dianggap sepatutnya dimiliki oleh mereka.

37. Maka berlakulah pencurian dan rasuah kerana tamak tak terhingga. Biarlah negara hancur asalkan yang dituntut didapati. Biarlah bangsa merana asalkan aku dapat.

38. Lupakanlah semua yang telah dicapai - ketepikan nikmat kesejahteraan hidup, pangkat darjat, kemewahan yang dikecapi.

39. Lupa juga akan pemulihan maruah bangsa, bangsa yang dahulu dihina yang kemudian dihormati dan disanjung tinggi. Apabila dihormati, apa sahaja boleh dilakukan, termasuk mencuri dan menyamun. Benarkah setelah dihormati, akan terus dihormati.

40. Lupa akan penjajahan 400 tahun dahulu, lupakan hantaran bunga emas dan bunga perak, untuk selamat dari diserang, dibunuh sesuka hati jiran dan kuasa luar, dijajah.

41. Tak usah cakap pasal lama, kata yang tamak ini. Itu dahulu. Ini sekarang. Sekali merdeka tetap merdeka. Tak akan Melayu hilang di dunia.

42. Ya Melayu tidak akan hilang. Tetapi Melayu jenis apa yang tak akan hilang? Melayu kuli orang selama 400 tahun. Inilah Melayu yang tak hilang selama itu. Apakah Melayu yang tak akan hilang di masa hadapan juga Melayu hamba yang tinggal sebagai setinggan menumpang di belakang rumah orang lain, dijadikan bahan pameran untuk pelancong asing.

43. Tetapi ini bukanlah yang disedari oleh ramai dari kita. Sekali makmur selama-lamanya makmur. Sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Benarkah? Kamu merdeka dahulu. Tetapi apabila datangnya Portugis, maka berlarilah kamu ke Selatan. Kamu dijajah selama 400 tahun.

44. Kemudian kamu merdeka sekali lagi. Kamu dapat nikmat, dapat rezeki, makmur. Apakah Portugis baru tidak akan datang untuk menjajah kamu lagi? Fikir. Allah memberi akal fikiran kepada kamu untuk fikir. Fikirlah.

45. Ya. Kamu mungkin dapat apa yang kamu tuntut. Tetapi kamu akan hilang apa yang masih ada pada kamu.

46. Rata-rata kamu lihat bangsa Melayu kerana daif menjual tanah. Bukan sahaja yang sekangkang kera – tetapi juga yang seluas wilayah. Beribu-ribu hektar dijual, bukan sahaja kepada orang tempatan tetapi juga kepada orang asing.

47. Maka teringatlah mereka yang melihat dan sedar akan pantun lama:

Pulau Pinang Negerinya Baru,
Kapten Light menjadi Raja,
Bila dikenang zaman dahulu,
Duduk mengalir air mata.

Tetapi ini pantun lama. Tak ada kena mengena dengan sekarang. Demikian respon mereka yang lain, yang tamak.

48. Tetapi inilah budaya kita. Tanah dijual untuk wang tunai. Kecil atau besar, tanah dijual. Tanah yang sudah dijual bukan milik kita lagi. Duit yang didapati tidak kekal. Dibelanja sehingga merosot dan hilang akhirnya. Kalau masih ada pun tidak boleh di bawa mati. Akan dihabis oleh zuriat dalam sekelip mata. Itulah rasmi duit.

49. Maka berundurlah penjual tanah ke kawasan yang terpencil dan mendirilah mereka pondok bertiang kayu, berdinding papan atau pelupuh, dengan bumbung atap nipah atau zink karat.

50. Bandar berkembang lagi sehingga sampai ke pondok yang didirikan. Nilai tanah pun naik. Sekali lagi datang pembeli menawar harga yang tidak dapat ditolak. Dan sekali lagi tanah dijual dan penjual berpindah ke desa. Akhirnya kediaman terletak dipinggir hutan, menunggu masa menjadi penginap hutan.

51. Besar atau kecil, sedarlah tanah yang dijual bukan milik kita lagi. Jika dimiliki oleh warganegara Malaysia yang lain, Alhamdulillah. Tetapi jika dimiliki, dibangun dan diduduki oleh pendatang baru dari luar negara, maka terasinglah kita dari mereka di negara kita, terdirilah kawasan asing di dalam negara, di mana kita akan jadi pendatang yang daif, terasing dan berlainan.

52. Kawasan milik orang asing ini akan dibangun dengan pesat, dengan indah, dipenuhi dengan pencakar langit dan mahligai di mana tinggal hartawan mereka yang kaya tidak terhingga. Bolehkah kita berbangga dengan kemewahan orang lain ini, berbangga dengan keindahan harta yang tidak dimiliki kita. Berbanggakah kita dengan kekayaan dan keindahan Singapura umpamanya, wilayah kita dahulu tetapi tidak lagi sekarang.

53. Jika kita fikir sedikit, akan kita sedar ini sedang pun berlaku sekarang. Warisan kita dijual, dan dijual sehingga tidak ada apa lagi yang akan diwarisi anak cucu, sehingga mereka akan bangsat di negara sendiri.

54. Jika kita belajar dan mengambil iktibar dari sejarah dan bertindak, semua yang merosakan ini tidak akan berlaku. Tetapi kita suka dengan jalan yang mudah. Biarkanlah sahaja. Duit buta, makan buta. Apa yang lebih sedap dari yang terdapat buta. Kata Mat Salleh "there is no such thing as a free meal." Bah. Itu Mat Salleh.

55. Sekarang ini kita disedarkan walaupun daif dan miskin kita ada sedikit kuasa. Tak banyak tetapi bernilai juga. Kuasa mengundi rupanya ada harganya.

56. Apa dianya kuasa mengundi? Tak lain, tak bukan, ia adalah kuasa untuk menaikkan seseorang sehingga jadi Perdana Menteri. Wah. Kita boleh tentukan siapa menjadi Perdana Menteri. Ini kuasa. Apa harganya? Jangan fikir akan apa yang akan berlaku, kepada negara. Fikir sahaja akan Ringgit yang didapati sekarang.

57. Dan dijuallah kuasa undi seperti tanah yang telah kita jual. Malapetaka hari depan perkara lain. Anak cucu tidak akan ada negara sendiri. Itu masalah mereka. Dan dalam iklim ini terbentuklah pemimpin perasuah yang berslogan Wang tunai itu Raja.

58. Siapa sahaja boleh dibeli. Yang besar yang sudah kaya, yang sudah berada, berpangkat tinggi, tinggi harganya. Yang kerdil, murah. Murah atau mahal, jika kena harga, semua boleh dibeli. Ya: kuasa boleh dibeli jika ditawar harga yang dikehendaki pemilik. Jika tidak million, boleh tawar billion.

59. Bagi yang menyuap, keupayaan untuk suap perlu ditingkatkan. Jika kemampuan tidak ada, lakukanlah apa sahaja, halal atau haram, jenayah atau tidak. Maka perasuah pun merompak, menyamun, menipu, menyalahguna kuasa untuk menambah ongkos, dana untuk menyogok lagi.

60. Ya, semua tahu akan jenayah yang telah dilakukan. Dunia tahu dan mempunyai bukti akan jenayah yang telah dilakukan. Tetapi dedak menutup mata supaya menjadi buta, menutup telinga supaya menjadi pekak, dan menutup mulut supaya menjadi bisu. Apabila dedak disumbat ke dalam hidung bukan sahaja yang busuk tidak dapat dibau, tetapi ajal sampai pun tak disedari.

61. Pedulikan. Dunia tidak dapat bertindak terhadap penjenayah yang dikenal pasti. Hanya undang-undang negara penjenayah sahaja yang boleh dikuatkuasakan. Dan undang-undang serta penguatkuasanya boleh dibeli dengan harga tertentu, boleh kongsi sebahagian dari wang yang dicuri.

62. Institusi penguatkuasa sudah dibeli, sudah dijadikan rakan sejenayah, berkongsi hasil jenayah, dan tidak lagi dapat bertindak menguatkuasakan undang-undang dan menjalankan tugas. Dengan lebih banyak orang yang perlu disuap, curi lagi dan kongsi lagi dengan mereka yang bersekongkol. Akan ada yang dimuftikan untuk menghalal yang haram.

63. Jika wang yang hendak dicuri tidak ada, dengan kuasa yang diberi, pinjam sahaja wang untuk dicuri. Apa guna kuasa jika ia sama sahaja dengan orang yang tidak berkuasa.

64. Hari ini negara bangsa sudah dijual, dijual oleh penjenayah, dibantu oleh mereka yang bersubahat untuk sebahagian hasil jenayah. Mereka bersumpah tetapi sumpah mereka terhad di mulut yang bersuara. Oleh itu curilah. Neraka lambat lagi. Rasuah tidak berada dalam hudud. Ada mufti yang boleh menghalalkan yang haram. Tak semua. Tapi ada.

65. Bagi yang tolak dedak, ugutan sedikit sudah mencukupi. Aku tahu tapi aku takut, takut terkurang sedikit keselesaan hidupku. Bagi mereka ini perjuangan boleh dibuat tanpa pendedahan. Berjuang mesti berjuang. Akan ditentukan rahsia mereka dirahsiakan.

66. Melayu mudah lupa. Kebanyakan Melayu mudah lupa atau sengaja lupa.

67. Mereka yang mudah lupa ini tidak akan berhenti melakukan kesilapan-kesilapan yang lama. Kata seorang pujangga barat, "those who forget the lessons of history are condemned to repeat their mistakes over and over again", "Mereka yang lupa akan pengajaran sejarah akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali".

68. Tetapi, Alhamdulillah. Ada segelintir yang tidak lupa. Ada yang sedar. Dan dengan kesedaran ini, berasa takut akan apa yang sedang berlaku dan apa dianya malapetaka yang akan timpa di masa hadapan.

69. Apakah respon mereka yang sedar, mereka yang sayang kepada negara, kepada bangsa dan agama, mereka yang tidak tamak, yang masih beramanah. Mereka yang berani sedikit.

70. Respon mereka yang mengingati sejarah ialah akan mustajabnya perpaduan dalam mempertahankan diri. Untuk ini perkara-perkara kecil yang memisah mereka, yang menyebabkan mereka bermusuh sesama mereka dan melemahkan mereka akan diketepikan.

71. Korban yang perlu mereka buat kecil berbanding dengan kehilangan yang besar, malapetaka yang akan timpa mereka jika tidak rela korban sedikit.

72. Hari ini disedari bahawa negara yang dahulu dihormati kerana kejayaan pembangunannya, kerana ketelusan pentadbirannya, kerana sikap keterbukaannya sudah tidak ada lagi.

73. Hari ini negara ini dibawah pemimpin yang bergelumang dengan rasuah, dengan jenayah pencurian duit rakyat, dengan penipuan, dengan penindasan, sudah menjadi negara ini negara pariah, negara yang dihina oleh dunia, dipimpin oleh orang yang terhina.

74. Negara ini sekarang dikenali sebagai negara rasuah yang tertinggi. Sebabnya pemimpin tertinggi sekali yang menjadi perasuah terbesar dalam negara. Dunia tahu bahawa pemimpin inilah yang mengguna kedudukan tertingginya untuk mencipta 1MDB, kononnya dana kekayaan negara, meminjam wang berbilion dan melesapkan wang ini. Dunia tahu dan rakyat Malaysia juga tahu berkenaan berbilion Ringgit yang tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri, yang tidak mungkin ada kepadanya melainkan jika ia diseludup dan dicuri.

75. Kita tahu Perdana Menteri Malaysia tidak mungkin menjadi “billionaire” kerana gaji dan pendapatan Perdana Menteri, walaupun mencukupi tetapi tidaklah sebegitu besar.

76. Dan keluarga PM bukanlah begitu kaya sehingga dapat membeli mahligai di London, New York dan Hollywood, mengeluarkan filem lucah dengan pelaburan ratusan million Dolar Amerika. Kononnya wang ini sepeninggalan keluarga. Bilakah terdapat keluarga Melayu yang dikenali dahulu sebagai billionaire. Millionaire Melayu yang boleh tinggal ratusan juta kepada waris pun tidak pernah ada dahulu. Yang boleh dipercayai ialah wang ini dicuri. Dan memang pun Jabatan Keadilan Negara (Amerika) berkata demikian. Jika tidak benar adakan saman malulah. Tetapi tidak. Hanya cuba melobi - menyogok. Negara sudah tidak ada undang-undang. Polis tidak ambil tindakan keatas laporan yang dibuat kepadanya. Sebaliknya yang melapor di masukkan dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan palsu. Peguam yang menasihat anak guam juga ditahan, dihadapkan ke mahkamah. Apabila hakim mendapati mereka tidak bersalah, keputusan hakim tidak dipedulikan. Mereka masih dianggap bersalah dan pasport mereka dirampas.

77. Dan jabatan-jabatan Kerajaan diguna untuk menindas. Jika dibantah atau diumum kepada orang ramai akan perlakuan jabatan, maka penindasan dilipatgandakan. Pasport dirampas dan perniagaan diganggu.

78. Buat kali pertama Kerajaan mengguna samseng untuk mengugut, mempertahankan Kerajaan dengan mengasar, membelasah rakyat yang memprotes secara aman akan penindasan oleh Kerajaan. Ketua samseng dilayan, bahkan disuap dedak oleh pihak tertentu setelah bertindak ganas. Rakyat tahu dan samseng mengakui mendapat wang dari pihak tertentu.

79. Pemimpin samseng ini mendakwa mendapat derma. Penderma perlu bayar cukai keatas wang yang di derma. Demikian juga penerima perlu bayar cukai. Bolehkah Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat pengakuan terhadap cukai yang telah dipungut dari penderma dan penerima. Oh! Rahsia. Dengan ini jenayah boleh dilindungi. Curilah. Kamu akan dilindungi oleh Pendakwa Raya dan polis melalui OSA dan juga LHDN.

80. Pemerintahan sekarang cuba melaga-lagakan kaum-kaum di Malaysia. Sempadan kawasan pilihanraya diubah untuk memisah pengundi mengikut kaum. Pendaftaran pengundi diganggu dan disekat supaya Gen Y tidak boleh undi. Segala-galanya dilakukan untuk merampas hak rakyat untuk mengundi dalam pilihanraya.

81. Kewangan Kerajaan merosot dengan teruk. Peruntukan bagi Jabatan dan Kementerian tidak diberi mengikut belanjawan yang telah dilulus. Demikian juga peruntukan kepada Universiti-Universiti.

82. Hutang berbillion Ringgit oleh 1MDB dialih kepada Kerajaan untuk membayar.

83. Di masa Kerajaan tidak pun dapat membayar faedah hutang 1MDB, Najib berhutang lagi. Beratus billion dihutang kononnya untuk keretapi laju, keretapi pantai timur dan lain-lain.

84. Tanah dalam Kuala Lumpur, di Johor, di Melaka dan Pulau Pinang dijual kepada orang asing. Jualan tanah ini ditafsir sebagai FDI, Foreign Direct Investment. Tetapi menjual sebahagian dari wilayah negara kepada orang asing bukan FDI. Jikalau menjual tanah pusaka adalah FDI, jual sahajalah negara. Akan kamu dapat lebih banyak duit. Tetapi kamu tidak akan mempunyai negara lagi.

85. Sesungguhnya Najib telah rosakkan politik, ekonomi, kewangan dan masyarakat Malaysia. Kerosakan ini amatlah teruk. Tetapi Najib bersedia memburukkan lagi keadaan negara ini.

86. Tidak syak lagi jika Najib terus menjadi Perdana Menteri, kerosakan negara akan menjadi lebih teruk lagi sehingga tidak dapat dirongkai dengan mudah.

87. Jika kita, rakyat Malaysia, yang begitu sayang kepada negara bertuah ini, jika kita ingin selamatkan Negara tercinta ini, usaha mesti dibuat dari sekarang untuk singkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.

88. Kita akui penyingkirannya tidak mudah kerana sokongan buta tuli yang diberi kepadanya oleh wakil rakyat UMNO, dan wakil rakyat BN, pegawai penguatkuasaan Kerajaan, oleh polis dan pendakwaraya, dan penghapusan pemerintahan mengikut undang-undang.

89. Rayuan kepada Raja-Raja juga gagal menghasilkan apa-apa.

90. Maka cara yang tinggal kepada rakyat hanyalah dengan mengalahkan Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya.

91. Untuk inilah kita tubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Tujuannya ialah untuk menggembeling tenaga rakyat dan bekerjasama erat antara parti-parti pembangkang untuk menukar kerajaan pimpinan Najib dalam Pilihanraya Umum ke-14.

92. Percubaan oleh parti-parti pembangkang dahulu gagal. Mereka gagal kerana penyatuan mereka tidak menyeluruh dan kuat. Tetapi kali ini kita semua bersetuju untuk mengadakan parti campuran yang lebih kukuh ikatan antara mereka.

93. Parti Pribumi Bersatu akan menjadi komponen dalam parti campuran ini. Kita, Campuran Pembangkang akan guna satu simbol, satu manifesto dan meletakkan satu calon sahaja dalam tiap satu kawasan. Semua parti-parti komponen akan sokong calon yang satu ini. Tidak akan ada calon lain yang mewakili parti campuran kita.

94. Mungkin akan ada parti lain yang kononnya akan menentang BN. Tak usahlah mereka menyangkal kerana perletakan calon mereka hanya akan memecah sokongan rakyat kepada campuran pembangkang supaya Najib akan menang.

95. Bagi kita dalam parti campuran sebarang perbuatan untuk kononnya melawan BN dengan meletakkan calon oleh parti lain, tidak lain tidak bukan, ianya adalah untuk mengkhianati rakyat yang berhasrat menjatuhkan Najib melalui pilihanraya.

96. Namun demikian PPBM dan campuran pembangkang akan sanggup menghadapi cabaran perlawanan tiga penjuru atau lebih. Rakyat, pengundi, yang sayang kepada negara dan bangsa mesti faham akan hasrat parti diluar campuran parti-parti pembangkang meletakkan calon. Mereka sebenarnya menyokong Najib. Mereka sendiri tidak akan menang. Terutama di kawasan yang mereka kalah pun akan dituntut oleh mereka, guna untuk memecah perpaduan musuh Najib supaya Najib menang. Rakyat perlu faham mengundi pihak ketiga atau keempat bermakna mengundi untuk Najib, untuk UMNO, untuk BN, untuk kleptokrasi.

97. Jika dengan sokongan rakyat parti campuran pembangkang menang dan dapat mendiri Kerajaan, apakah yang boleh dilakukan oleh Kerajaan baru ini?

98. Yang pertamanya ialah mengembalikan negara ini sebagai Negara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang.

99. Ini bermakna rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin Kerajaan, jika terdapat salahlaku atau jenayah dilakukan mereka.

100. Tidak akan ada pilih kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara. Pendakwaraya tidak boleh letak tuduhan dan laporan oleh orang awam atau agensi Kerajaan dalam OSA (Akta Rahsia Rasmi), untuk melindungi jenayah sesiapa.

101. Kebebasan bersuara dan kebebasan media melapor kebenaran akan dijunjung oleh Kerajaan baru. Walaupun demikian keselamatan dan keamanan dalam masyarakat dan negara akan diambilkira mengikut kehendak majoriti rakyat.

102. Kebebasan berpolitik juga akan dihormati oleh Kerajaan Parti Campuran Pembangkang.

103. GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan sales tax (cukai jualan) mengikut selera rakyat.

104. Nilai matawang akan dipertahan tanpa penjualan Dolar Amerika dalam simpanan (reserve) negara.

105. Akan kita cipta cara yang lebih berkesan untuk pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat, terutama yang mempunyai anak belajar di luar negeri.

106. Kita akan selidik habis-habisan akan wang 1MDB yang diselewengkan. Hutang-hutang baru untuk projek yang membazir akan kita kenalpasti dan kita kaji semula dari segi kemampuan kita berhutang. Kita akan kejar semua wang 1MDB dan Kerajaan yang telah dilesapkan, yang kita tahu berada di tangan orang tertentu.

107. Tafsiran FDI, Foreign Direct Investment (pelaburang asing secara langsung) akan dikembalikan kepada pelaburan dalam industri pengeluaran barangan untuk pasaran tempatan dan eksport.

108. Pembelian tanah secara besar-besaran oleh orang asing dengan tujuan menempatkan orang mereka akan diteliti dari segi kesan terhadap masa depan politik negara.

109. Segala salahguna kuasa oleh jabatan atau agensi Kerajaan akan diselidik dan pihak yang teraniaya akan dipulih dengan adil.

110. Kemiskinan dalam negara akan dikurangkan melalui pengwujudan peluang kerja dan latihan kemahiran; melalui pemulihan nilai Ringgit dan pengurangan kos sara hidup.

111. Yang miskin tegar kerana sebab-sebab tertentu akan dibantu dengan wang yang mencukupi bagi kehidupan yang dianggap selaras dengan sebuah negara yang prihatin.

Luar Negara

112. Umumnya Malaysia akan mengadakan dasar bebas dari sebarang ikatan dengan blok-blok di dunia.

113. Tumpuan akan diberi kepada sebarang ketidak adilan yang dilakukan oleh mana-mana pihak di dunia. Sebarang rampasan wilayah oleh mana-mana pihak akan ditentang oleh Malaysia.

Saudara-Saudari, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

114. Percayalah kerajaan yang akan mengganti BN pimpinan Najib mempunyai cukup kepakaran dalam bidang pentadbiran, politik, ekonomi, kewangan dan kesejahteraan hidup masyarakat untuk melaksana program pemulihan negara dalam perkara-perkara yang tersenarai di atas. Kerajaan ini akan hormati sistem pentadbiran negara dengan memisahkan kuasa antara legislature (pembuat undang-undang dan dasar), eksekutif (pelaksana keputusan pembuat undang-undang dan dasar Kerajaan) dan kehakiman.

115. Pihak Kerajaan (Perdana Menteri yang dipilih oleh legislature) tidak boleh menguasai eksekutif atau judiciary.

116. Perdana Menteri pula mesti mendapat persetujuan Kabinet sebelum mengemukakan dasar kepada Dewan Rakyat untuk mendapat persetujuan majoriti daripada ahli Dewan,

117. Kejatuhan nilai Ringgit akan dipulih melalui pentadbiran dan pengurusan kewangan negara secara bertanggungjawab (prudent) mengikut aturan peraturan. Segala perbelanjaan Kerajaan akan dirancang dengan teliti melalui budget yang sah yang dikemuka kepada Parlimen.

118. Jabatan Audit Negara akan dibebaskan daripada Perdana Menteri dan laporan disampaikan kepada Parlimen, Kerajaan dan orang ramai. Laporan audit tidak perlu dikemukakan kepada Peguam Negara. Laporan Audit tidak akan diletak dibawah OSA.

Bersih

119. Penyertaan lebih seratus ribu rakyat dalam tunjuk perasaan Bersih jelas menunjuk betapa mereka anggap Kerajaan sekarang adalah kotor, tidak berprinsip, tidak bersih.

120. Rakyat berkehendak Kerajaan yang bersih. Kita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga sependapat dengan persepsi kebanyakan NGO dan rakyat dan ramai daripada kita telah pun menyertai tunjuk perasaan Bersih.

121. Parti kita bersama dengan parti-parti pembangkang yang akan tubuh parti campuran akan berusaha mendirikan Kerajaan yang bersih, terutama dalam pengurusan Pilihanraya di negara tercinta ini. Segala reformasi yang diperlukan akan dilakukan.

122. Kita akan tentukan rasuah berbentuk wang atau barangan lain tidak akan diberi kepada pengundi di apa juga peringkat untuk mendapat sokongan dalam pilihanraya.

123. Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai Kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti.

124. Jika dipersetujui oleh rakyat BR1M akan dijadikan bantuan statutory yang ditentukan oleh undang-undang dan budget biasa. Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya.

125. Sesungguhnya yang miskin dan daif akan diberi bantuan supaya mereka boleh hidup sempurna. Soal mereka sokong atau tidak parti campuran pembangkang tidak akan diambilkira dalam bantuan yang akan diberi.

126. Saya sebagai bekas ahli dan bekas presiden UMNO menyeru kepada ahli- ahli UMNO supaya tinggal parti pimpinan orang yang terlibat dengan rasuah dan rompakan, seorang kleptokrat. Tinggallah UMNO seperti saya dan ramai pemimpin dan ahli UMNO meninggalkan UMNO.

127. Janganlah sesiapa meyokong parti UMNO dan BN secara buta tuli. Parti yang dahulu banyak berjasa, hari ini sudah menjadi parti pengkhianat kerana mendokong dan mempertahankan pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

128. Apabila pemimpin sudah tidak lagi berpandu kepada dasar yang mulia dan bahagia yang ditentukan oleh pengasas parti, ia perlu ditukar. Perlembagaan parti mengizin dan memberi panduan akan cara menyingkir pemimpin yang sudah tidak lagi layak.

129. Jika penyingkiran pemimpin tidak dapat dilakukan kerana sebab-sebab tertentu, pilihan yang ada ialah dengan meninggalkan parti.

130. Tetapi perjuangan asal parti perlu dikekalkan. Perjuangan ini telah diambilalih oleh pihak lain, parti lain, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Oleh itu tinggallah UMNO dan sertailah PPBM.

131. Rakyat berbilang kaum di negara ini akui akan keistimewaan kedudukan orang Melayu dan Pribumi lain.

132. Mereka yang menyertai parti campuran pembangkang menghormati Perlembagaan Malaysia termasuk Artikel 153. Sudah tentu PPBM menjunjung tinggi Perlembagaan Malaysia dan akan mempertahankannya.

133. Penubuhan PPBM bertujuan untuk mewakili orang Melayu dan bumiputra lain dalam parti campuran pembangkang supaya penyelewengan UMNO dapat diatasi dan diganti. PPBM bukan milik pengasasnya sahaja. Ia adalah milik semua Melayu / Pribumi yang menyertainya. Ia juga adalah milik penyokongnya.

134. Inilah hasrat PPBM. Tidak ada niat oleh PPBM untuk merampas hak mana- mana kaum, atau hak rakyat.

135. Sebaliknya niat PPBM ialah pemulihan pemerintahan yang demokratik di negara ini bersama dengan kaum lain seperti yang diwasiatkan oleh pejuang kemerdekaan negara bertuah ini.

136. Inilah sahaja niat kami. PPBM adalah milik semua orang Melayu dan Pribumi Malaysia. Sebagai parti pribumi ia mendapat pengiktirafan dan sokongan semua kaum.

137. Kami berikrar akan berpegang kuat kepada amanah untuk menyelamatkan negara ini, dan berpegang kepada perlembagaan negara untuk memelihara hak dan kedudukan orang Melayu dan pribumi lain tanpa merampas hak kaum-kaum lain.

138. "Ya Allah Ya Tuhan kami. Bersempena dengan perasmian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kami memohon inayah dan taufikMu, Ya Allah, Kurniakanlah akan kami kesejahteraan dan kebahagiaan dan kesihatan jasmani dan rohani. Bukakanlah hati-hati kami, dan hati mereka yang bersama kami supaya sedar akan kemungkaran yang sedang berlaku di negara kami. Ya Allah Ya Tuhan Kami, Ingatkanlah kami semua bahawa Engkau tidak akan ubah nasib buruk bangsa kami melainkan kami sendiri berusaha mengubahnya kepada yang baik. Oleh itu makbulkanlah doa kami ini dan berilah kepada kami kejayaan supaya akan terselamatlah bangsa dan negara kami ini. Walhamdulillahi rabil ala min......"

139. Inilah doa kami dan inilah janji kami.

140. Oleh itu dengan keikhlasan janji kami, saya dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim merasmikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Nota editor: Artikel ini disiarkan buat pertama kali di blog kadirjasin dan disiarkan semula di blog ini.

BACA INI JUGA: Sejarah Perubahan Waktu Di Malaysia Dan Kuasa Melentur Masa Tun Mahathir Yang Ramai Tidak Tahu

Monday, May 16, 2016

'Pengkhianatan Akan Dibalas Dengan Cara Setimpal', Tun Mahathir

'Pengkhianatan Akan Dibalas Dengan Cara Setimpal', Tun Mahathir

Melalui tulisan terbaru Tun Mahathir di blog beliau chedet, Tun memberi peringatan kepada pemimpin-pemimpin UMNO, bahawa pengkhianatan mereka akan dibalas dengan cara yang setimpal di dunia dan di akhirat.

Najib Pengkhianat Bangsa
Gambar hiasan.

Mari kita hayati dan fikirkan bersama.

1. Sesungguhnya apa yang sedang berlaku di negara bertuah ini tidak pernah diduga, dimimpi atau diramal oleh sesiapa, samada rakyat negara ini atau orang asing.

2. Semasa kita berjuang untuk kemerdekaan semua pemimpin dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang dipilih oleh mereka tetap akan bersikap dan bertindak sebagai nasionalis yang berkhidmat, bahkan berkorban untuk negara, untuk rakyat dan kesejahteraan mereka. Inilah sebabnya yang mereka terima tanpa soal sistem demokrasi, sistem yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih Kerajaan mereka.

3. Dan seperti yang mereka jangka, pemimpin demi pemimpin pilihan mereka tidak mengecewakan mereka. Negara dibangun dengan baiknya dan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik dan lebih makmur dari dahulu.

4. Perdana Menteri-Perdana Menteri tidak menimbul banyak masalah. Apabila masa datang untuk mereka undur mereka pun pergi. Rusuhan untuk menjatuhkan Perdana Menteri tidak pernah berlaku.

5. Tun Abdullah juga berundur apabila prestasinya dalam PRU 12 tidak begitu baik. Dia undur kerana sudah jelas rakyat tidak lagi sokongnya. Najib juga mendesak supaya dia undur dan Najib menggantinya.

6. Rakyat lega. Inilah Malaysia. Peralihan kuasa diperingkat tertinggi berlaku dengan licin dan tertib. Rakyat menunggu akan nikmat yang mereka akan dapat daripada pemimpin baru. Mereka percaya yang baru tetap lebih baik dari yang lama. Jika tidak lebih baik pun tentu sekurang-kurangnya sama dengan ayahnya, Tun Razak.

7. Tetapi impian rakyat tidak menjadi kenyataan. Awal-awal lagi diperhatikan cara hidup yang luar biasa mewahnya berbanding dengan PM yang terdahulu. Ini dilihat terutamanya semasa perkahwinan anaknya. Tumpuan tidak diberi kepada pembangunan negara, kepada pengwujudan peluang pekerjaan dan perniagaan. Sebaliknya dicipta BRIM, pemberian RM500/- kepada rakyat yang dikatakan miskin.

8. Rakyat kecewa. Jauh dari menyokong. Prestasi Najib dalam PRU 13 menurun berbanding dengan PM yang dia ganti. Namun pemimpin diperingkat bahagian dan wakil rakyat UMNO khususnya ternampak tidak faham tentang kekurangan sokongan rakyat kepada Najib.

9. Kemudian datang 1MDB. Dengan modal satu million Ringgit, syarikat yang ditubuh dan dipimpin oleh Najib meminjam empat-puluh-dua ribu kali ganda lebih daripada modal. Maka bermulalah cerita-cerita tentang berbagai-bagai salah laku oleh 1MDB ini. Berbillion Ringgit dilabur tanpa kajiselidik yang mendalam, dipindah kesana kesini, meresap dan hilang. Soalan tidak dijawab. Faedah hutang tidak dibayar. Auditor di buang, diganti dan dibuang lagi.

10. Terdengar cerita Jho Low yang tidak memegang apa-apa jawatan tetapi berkuasa. Jika Ahli Lembaga Pengarah menyoal, Jho Low menalipon Dato Sri Najib dan menyuruh Pengarah bertanya sendiri. Pengarah tidak bertanya. Terima sahaja arahan Jho Low. Yang tak senang hati menarik diri dari Lembaga.

11. Cerita berkenaan Rosmah juga menimbulkan kemarahan Rakyat. Tersebarnya cerita berkenaan pembelian beg tangan sahaja menelan berjuta Ringgit dan juga kononnya banyak perniagaan memberi saham percuma kepada Rosmah melalui proksi beliau.

12. Segala urusan 1MDB tertutup, tidak dilapor oleh akhbar kerana tidak dibenar, atau takut atau diberi amaran. Mesyuarat Agung UMNO tidak dibenar bercakap berkenaan 1MDB.

13. Kemudian di dalam akhbar luar negera, Wall Street Journal, terdapat laporan bahawa akaun persendirian Dato Sri Najib memiliki Dolar Amerika sebanyak 681 juta, bersamaan 2.6 billion Ringgit Malaysia. Seluruh rakyat terkejut. Mereka bertanya apakah benar PM Malaysia memiliki wang sebanyak itu. Ini tidak mungkin. Ini akhbar asing yang suka memburukkan Malaysia.

14. Najib nafi. Katanya tak akan dia begitu bodoh memasukkan wang sebanyak itu dalam akaun peribadinya. Katanya cerita ini tidak berasas. Dia tidak memiliki wang sebegitu banyak.

15. Tetapi akhirnya Dato Sri Najib mengaku wang sebanyak 2.6 billion Ringgit itu ada dalam akaun peribadinya. Kononnya derma dari Putera Arab Saudi. Kemudian didakwa dari Raja Arab Saudi yang sudah mangkat.

16. Tetapi pengesahan dengan dokumen yang boleh dipercayai tidak ada. Hanya pengakuan Najib. Peguam Negara disingkir dan yang baru dilantik yang mendakwa Najib tidak menyalahguna wang dalam akaunnya. Kononnya wang ini telah diberi balik kepada penderma. Sekali lagi tidak ada dokumen yang mengesah kenyataan ini. Hanya pengakuan oleh Peguam Negara.

17. Kalau tidak bersalah kenapa tidak dibuat saman malu terhadap Wall Street Journal dan Sarawak Report yang membuat laporan berkenaan 2.6 billion Ringgit yang berada dalam akaun Najib. Saman malu boleh dibuat di Britain atau Amerika jika yang didakwa enggan dibicara di Malaysia. Tetapi Najib tidak membuat saman malu, selain daripada bertanya kenapa laporan itu dibuat. Ini bermakna laporan Wall Street Journal dan Sarawak Report adalah benar dan berasas.

18. Sekarang dunia tahu dan percaya Najib sudah selewengkan banyak daripada modal 1MDB. Dan dunia ketawa sinis terhadap Malaysia yang sudah jadi negara rasuah yang terbesar di dunia. Dan Najib didakwa adalah Menteri Kewangan yang terburuk di Asia.

19. Ketua-Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Dewan Rakyat UMNO takkanlah pekak dan buta sehingga tidak sedar berkenaan salah laku Najib. Tetapi mereka terus sokong Najib dan mempertahankannya. Tidak berasa malukah mereka mengetahui PM mereka sebegini buruk, dihina secara terbuka oleh dunia tanpa disangkal oleh Najib.

20. Tetapi nampaknya mereka tidak tahu malu dan lebih utamakan kepentingan diri daripada kepentingan dan maruah negara.

21. Rata-rata rakyat berhimpun dan mendesak untuk Najib disingkir daripada jawatan Perdana Menteri. Ahli-ahli dan pemimpin UMNO tahu parti mereka akan kalah jika Najib terus memimpin BN dan UMNO dalam PRU 14. Hanya yang bisu dan pekak sahaja yang tidak ambil kesah akan kehancuran UMNO yang tetap berlaku.

22. UMNO adalah parti yang mengalahkan Malayan Union dan memerdekakan negara. UMNO juga berjaya membangunkan negara.

23. UMNO juga yang memberi kepada negara Perdana Menteri, Perdana Menteri yang memajukan negara sehingga ketahap yang tinggi.

24. Tetapi hari ini kerana UMNO mempertahankan Najib sebagai Perdana Menteri walaupun jelas dia terlibat dengan skandal yang amat buruk, dan menjadikan UMNO parti yang terburuk di Malaysia, pemimpin-pemimpin bahagian dan Ahli Dewan Rakyat UMNO masih bersekongkol dengan Najib untuk musnahkan UMNO. Anak cucu mereka akan kutuk mereka kerana ini.

25. Wahai pemimpin UMNO, ingatlah akan masa depan kamu. Pengkhianatan kamu akan dibalas dengan cara yang setimpal di dunia dan di akhirat.

BACA INI JUGA: Melayu Tidak Di Hormati Golongan Cina Kerana Suka Terima Rasuah

Wednesday, April 27, 2016

Penipuan Dalam 1MDB, Tun Mahathir

Penipuan Dalam 1MDB, Tun Mahathir

Melalui tulisan terbaru di dalam blog beliau, Tun Mahathir berkata, IPIC mengakui Aabar Investments PJS adalah syarikat kumpulan itu, tetapi bukan Aabar PJS Ltd (British Virgin Islands) yang menerima wang daripada 1MDB.

1MDB+PENIPUAN

Mari kita baca tulisan Tun;

Akhirnya penipuan yang dilapor oleh media cetak dan elektronik di seluruh dunia diakui benar oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Arul mengaku akan kegagalan 1MDB membayar US 1 billion (RM 3.9 billion) kepada IPIC (International Petroleum Investment Company – Abu Dhabi), syarikat yang menjamin hutang 1MDB.

Mengikut IPIC syarikat bernama Aabar PJS Ltd (British Virgin Islands) yang menerima bayaran dari 1MDB bukanlah miliknya walaupun IPIC mempunyai sebuah syarikat dengan nama yang hampir sama, iaitu Aabar PJS Ltd.

Jika 1MDB membayar USD 1 billion kepada syarikat palsu, ada kemungkinan syarikat berkenaan ditubuh dengan pengetahuan 1MDB sendiri dan duit itu akhirnya dimasuk dalam akaun persendirian.

Sangkaan seperti ini memang dibuat oleh ramai orang, dan kenyataan Arul bahawa ada penipuan besar berlaku dalam 1MDB hanya mengesahkan sangkaan.

Arul akan cuba membetulkan yang salah tetapi benang basah sukar ditegak selepas pengakuan olehnya. Adalah lebih baik Arul cerita semua, berkenaan juruaudit dibuang, 1 billion US dilabur dalam JV 1MDB/Petro Saudi, tanpa kelulusan pengarahnya, tanpa pemeriksaan due diligence, dan kemudian dibubar tetapi modal tidak dikembali kepada 1MDB, sebaliknya diberi pinjam kepada Petro Saudi, duit yang pergi ke Cayman Islands yang tidak balik ke Malaysia tetapi ke Singapura yang menjelma jadi unit, yang dilihat oleh Arul tetapi tidak dilihat olehnya, peranan bank BIS dan lain-lain milik Jho Low perjalanan wang 1MDB ke Hong Kong, Switzerland, London, Amerika, British Virgin Islands, Seychelles, Abu Dhabi, penyalahgunaan duit KWAP, duit SRC mengalir ke dalam akaun Najib, konsesi minyak di Argentina dan Turkmenistan yang menjadi aset dan kemudian tidak menjadi aset dan beribu lagi cerita yang melibatkan wang 1MDB, dijelas, dinafi, diakui dan hilang tidak disebut lagi.

Sesungguhnya negara Malaysia tidak pernah melihat skandal yang sebegitu besar seperti skandal 1MDB.

Rakyat yang sukar memahami berapa besarkah satu juta, sekarang mencuba menggambarkan banyak manakah satu bilion, dan empat puluh dua billion.

Bagaimanakah wang berbilion boleh kesana kesini sehingga akhirnya berada dalam akaun peribadi Najib. Rakyat menjadi bingung dengan cerita-cerita wang begitu banyak yang merata ke semua pelusuk dunia.

Dicerita pula pembiayaan pengeluaran filem lucah dengan ratusan juta Ringgit yang dibuat oleh anak tiri Najib, Waah! Banyaknya duit.

Dari mana datangnya. Mudah. Duit Keluarga. Rupa-rupanya multi-milionaire Melayu sudah lama ada.

Dan banyak lagi pengakuan yang boleh dibuat oleh Arul, oleh pengerusi jawatankuasa penasihat, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara dan jangan lupa Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang begitu berani bertindak sendiri meminjam dan melabur berbillion Ringgit dan USD bagi pihak 1MDB tanpa kebenaran, tanpa kelulusan badan pengarah dan orang atasan.

Waah! Confident sungguh Shahrol. Apakah dianya juga yang terlibat dengan bayaran kepada Aabar PJS Ltd (Virgin Islands).

Satu filem drama boleh dibuat berkenaan 1MDB dan tokoh-tokoh serta lokasi diseluruh dunia yang terlibat. Red Granite boleh labur dan beberapa tokoh terkenal boleh jadi pelakon. Mungkin akan menang Oscar.

Demikianlah cerita 1MDB yang berjaya memperkenalkan Malaysia ke seluruh dunia. Akan lebih ramailah pelancong yang akan datang ke negara 1MDB.

Memang hebat Malaysia dizaman Najib!!

BACA INI JUGA: 6 Kesalahan Besar Terbaharu 1MDB!

Sumber: Chedet.cc

Saturday, April 16, 2016

RM14 Bilion Wang 1MDB 'Ditipu' Syarikat Palsu!

RM14 Bilion Wang 1MDB 'Ditipu' Syarikat Palsu!

Tun Mahathir menyindir Perdana Menteri, Najib Razak berhubung dakwaan sebelum ini di mana beliau menandatangani dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa mengetahui kandungannya.

RM14 Bilion 1MDB

"Tandatangan (dokumen) tapi tidak tahu apa-apa. Macm mana orang macam ini boleh jadi perdana menteri?" katanya pada Forum Laporan PAC 1MDB: Najib - Bersubahat atau Tidak Bersalah?

Sebelum ini, persoalan dibangkitkan sama ada Najib tetap tidak bersalah walaupun menandatangani dokumen berkaitan 1MDB.

Terdapat laporan menyatakan bahawa Najib selaku penasihat 1MDB menyedari dan turut menandatangani kerjasama antara syarikat tersebut dengan Petro Saudi bernilai RM3.92 bilion (AS$ 1 bilion).

Namun, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nazri Aziz menyifatkan tindakan Perdana Menteri Najib Razak menandatangani dokumen berkaitan 1MDB sebagai amalan biasa memandangkan beliau adalah penasihat firma pelaburan negara itu.

Dalam pada itu, Tun Mahathir berkata, berasaskan sikap kurang cerdik berkenaan, beliau menasihatkan agar pemimpin nombor satu negara itu meletakkan jawatan.

"Tandatangan dokumen tanpa baca, lebih baik letak jawatan sekarang. Ini perdana menteri tandatangan tapi tak baca. Agaknya cek pun beliau tandatangan tanpa baca. Ini perdana menteri kita.

"Orang begini tidak layak jadi PM, tiada pendirian," katanya.

IPIC Sahkan RM14 Bilion Wang 1MDB Hilang?

RM14 Bilion 1MDB [2]

Sejak pengesahan dari IPIC bahawa 1MDB telah membayar sejumlah USD3.5 bilion kepada sebuah syarikat palsu yang mana IPIC tidak punya kaitan, TIDAK ADA langsung respon dari mana-mana pemimpin kerajaan! Kenapa?

Tidakkah pemimpin-pemimpin kerajaan ini sedar impak kenyataan IPIC itu?

Tolak ke tepi dulu soal sokong atau tidak sokong 1MDB, tolak ke tepi sentimen politik, isu ini juga adalah satu isu rakyat yang mana sebagai wakil kepada rakyat, pemimpin seharusnya menyuarakan suara hati rakyat.

Kenyataan IPIC itu mengundang satu persoalan utama - Ke mana perginya hampir RM14 bilion wang rakyat yang telah diamanahkan kepada 1MDB itu?

Didakwa sebagai bayaran kepada IPIC tapi kini IPIC kata mereka tak terima. Jadi SIAPA yang terima?

SIAPA pemilik akaun bank syarikat palsu yang 1MDB telah bayar duit sebanyak itu?

Jika IPIC tidak terima pembayaran itu, adakah jumlah dana itu masih perlu dibayar kepada IPIC?

Sebab di pihak IPIC, 1MDB BELUM BAYAR lagi sebagaimana sepatutnya. Dalam akaun IPIC, 1MDB masih 'berhutang' sebanyak USD3.5 bilion (RM14 bilion).

RM14 bilion telah HILANG, DICURI dan sebanyak RM14 bilion itu terpaksa digantikan oleh 1MDB bagi memenuhi komitmen asalnya. Soal 1MDB telah ditipu dan dirompak wang, bukan masalah IPIC. Itu adalah masalah 1MDB.

Duit RM14 bilion hilang itu satu hal, adakah sekarang HUTANG 1MDB sudah bertambah sebab dalam akaun 1MDB sebelum ini telah dinyatakan RM14 bilion itu telah dibayar kepada IPIC, tapi kini IPIC kata jumlah itu masih belum diterima?

Dikatakan sebahagian besar adalah sebagai bayaran deposit dan selebihnya bayaran bagi melupuskan option (mencecah bilion-bilion ringgit juga) tapi deposit itu juga dikatakan akan dijadikan sebahagian aset pertukaran dalam Pelan Rasionalisasi 1MDB dengan IPIC.

Nah... sekarang aset deposit itu sudah hilang!

Dimana lagi 1MDB nak cari RM14 bilion bagi menjelaskan hutang dan bagi menggantikan aset buat tukaran dalam Asset Swap dengan IPIC kelak?

Tinggal dua bulan lagi sebelum perjanjian Aset Swap dengan IPIC itu dimuktamadkan.

Bukankah itu melibatkan duit rakyat juga? Jangan lupa, perjanjian Aset Swap dengan IPIC itu adalah antara IPIC dengan 1MDB DAN KEMENTERIAN KEWANGAN.

Jadi kenapa tidak ada respon langsung dari pemimpin-pemimpin kita? Adakah anda menganggap ini satu isu kecil yang hanya melibatkan 1MDB saja?

Kita tidak nampak 'kerisauan' di pihak 1MDB dalam respon mereka kepada kenyataan IPIC itu. Langsung tidak ada keinginan mahu menyiasat perkara ini selain dari mengulangi kenyataan yang 1MDB sudah bayar kepada Aabar BVI.

1MDB+SOMBONG

Nada sombong pun ada kalau di baca kenyataan itu. Sekarang bukan masanya nak menuding jari tapi seharusnya usaha dimulakan untuk menyiasat perkara ini, kalau boleh BERSAMA IPIC!

1MDB juga seharusnya telah buat laporan Polis dan meminta pihak Interpol turut bantu dalam menyiasat dalang di belakang Aabar BVI.

Dan jangan lupa siasatan dalaman 1MDB sendiri. bagaimana perkara ini boleh berlaku. Siapa yang harus bertanggungjawab? Siapa yang SAIN?

IPIC bukan syarikat kecil yang boleh dipermainkan. IPIC syarikat bertaraf global yang berdaftar dalam London Stock Exchange.

Kenyataan di LSE itu tidak akan dibuat begitu saja oleh IPIC tanpa siasatan dalaman yang rapi.

London Stock Exhange dan pelabur-pelabur di sana tidak akan menerima alasan-alasan atau jawapan-jawapan putar belit sebagaimana yang diberikan oleh pihak 1MDB ketika di soal oleh PAC!

Dari segi kredibiliti, jauh sangat bezanya antara kenyataan oleh IPIC dengan kenyataan oleh 1MDB.

Bila menteri-menteri dedak mahu bersuara?

Duit RM14 bilion hilang dan RM14 bilion perlu dicari untuk ganti. Tidakkah ini bermakna isu ini sebenarnya bernilai RM28 Bilion!?

BACA INI JUGA: Sejarah Politik Zahid Hamidi Yang Ramai Tak Tahu!

Sumber: SH/DTO

Wednesday, April 06, 2016

Tun Mahathir Bongkar Rahsia Kegagalan Proton!

Tun Mahathir Bongkar Rahsia Kegagalan Proton!

Dalam tulisan terbaru diblog chedet, Tun Mahathir menghuraikan sebab-sebab beliau berundur sebagai Pengerusi Proton.

Proton Dan Fitnah Terhadap Tun Mahathir

Tun Mahathir turut mengambil kesempatan menjawab tuduhan pengkritik sebelum ini yang seolah-olah mengatakan syarikat kereta nasional itu hanya tahu meminta bantuan untuk memberinya nafas kehidupan dan tidak menyumbang apa-apa kepada kerajaan.

Sebelum itu, apa kata kita ketahui dulu segala fitnah-fitnah dan dakyah-dakyah yang telah digarap terhadap Tun dalam isu Proton dalam usaha untuk menanamkan kebencian rakyat terhadapnya.

Apa kata Datuk Abdul Rahman Dahlan?
  1. Dr Mahathir perlu perjelas masalah melanda Proton.
  2. Tun (Dr Mahathir) perlu tampil ke hadapan dan menjawab mengapa Proton dilanda masalah kewangan yang serius walaupun berbilion wang rakyat telah disalurkan kepada Proton.
  3. Sejumlah RM13.9 bilion telah disalurkan kepada Proton sejak 1983.
  4. Ahli lembaga pengarah dan pemegang saham Proton perlu berani untuk menyelesaikan masalah legasi yang ditinggalkan oleh bekas pengerusi.

Apa pula fitnah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Anuar Musa terhadap Tun?
  1. Sikap degil bekas pengerusi Proton Holdings Berhad (Proton), Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara punca kegagalan syarikat pengeluar kereta tempatan itu menjadi kompetitif dalam saingan industri automotif.
  2. Kerajaan sukar untuk memperbetulkan keadaan kewangan syarikat milik kerajaan itu kerana bekas perdana menteri itu enggan menerima pendapat orang lain.
  3. Sekiranya sesiapa dalam syarikat itu menawarkan idea yang berbeza dengan pandangannya (Dr Mahathir), maka orang itu akan menghadapi masalah."
  4. Semasa di bawah Mahathir juga, katanya, Proton telah melakukan beberapa urusniaga yang menyebabkan syarikat itu berada dalam keadaan terumbang ambing antaranya termasuk kerjasama dengan Group Lotus Plc.
  5. Walaupun Proton menghadapi masalah kewangan yang serius namun Proton dilihat kebal serta terkongkong dengan idea dan kepercayaan Dr Mahathir.
  6. Beliau berkata pada satu ketika dahulu, Proton pernah menguasai 70 peratus pasaran kereta tempatan dan kini tidak sampai 30 peratus.
  7. Ini bermakna Proton semasa di bawah Tun Dr Mahathir sebagai penasihat, bertahun-tahun menghadapi masalah kewangan yang besar, malah kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang sangat besar untuk memastikannya untuk terus beroperasi," katanya.
  8. Justeru, katanya, pengunduran Mahathir dilihat sebagai peluang terbaik kerajaan untuk memulih dan menyelamatkan syarikat kereta nasional negara itu daripada terus mengalami kerugian.

Lihatlah bagaimana busuknya fitnah yang ditabur dalam memfitnah dan menghentam Tun Mahathir dalam usaha mempertahankan seseorang?

Tun Mahathir dengan begitu selamba, walaupun Tun bukanlah seorang pahlawan Bugis yang sauhnya tersangkut, menyenaraikan pemberian kerajaan kepada Proton iaitu:-
  • RM1.320 bilion dalam bentuk insentif cukai yang juga layak diterima oleh kereta lain.
  • RM773.8 juta dalam bentuk geran penyelidikan dan pembangunan, geran khas, pakej rangsangan yang turut dinikmati oleh pengeluar automitif lain.
  • RM12.533 bilion insentif khusus yang turut dinikmati oleh pemain industri automotif.

Secara keseluruhannya bermula 1985 sehingga kini, sumbangan (BAILOUT?) kerajaan kepada Proton ialah RM14.63 bilion!!!!! GILA!

MALANGNYA..

Sumbangan Proton kepada kerajaan yang disenaraikan oleh Tun Mahathitr pula:-
  • duti eksais sejak 1985 hingga sekarang berjumlah RM11.785 bilion.
  • cukai jualan sejak 1985 hingga sekarang sebanyak RM9.470 bilion.
  • cukai korporat sejak 1985 hingga sekarang sebanyak RM1.410 bilion.
  • duti import sejak 1985 hingga 2008 ialah RM1.403 bilion.
  • cukai GST sejak 1 April 2015 sebanyak RM28 juta.

Secara keseluruhannya SUMBANGAN Proton kepada kerajaan sejak 1985 hingga sekarang ialah RM24.095 BILION.

JOM KIRA

BAYAR KEPADA KERAJAAN RM24.095 bilion
BAILOUT RM14.63 bilion
JAWAPAN = Kerugian BESAR, menurut kiraan menteri-menteri dedak!???

Patutlah 1MDB tak pandai selesai-selesai, sebab ramai Menteri BENGONG!

Selain itu, menurut Tun Mahathir, suntikan dana sebanyak RM400 juta oleh kerajaan kepada Proton juga sudah pun dibayar serta dalam masa yang sama telah membiayai sepenuhnya kilang di Tanjung Malim bernilai RM1.8 bilion dengan menggunakan tabungannya sendiri.

Sebagai tambahan, kata Tun Mahathir lagi, Proton juga telah menyediakan 12,000 peluang pekerjaan secara langsung dan 250,000 secara tidak langsung kepada rakyat.

Kepada MENTERI-MENTERI DEDAK, pengkritik Proton dan pemuja 1MDB, cuba bandingkan antara kedua-duanya?

Berapakah sumbangan 1MDB kepada kerajaan sejak ia ditubuhkan, meskipun kerajaan menyediakan modal awal sebanyak RM1 juta dan menyerahkan tanah TRX dan Bandar Malaysia dengan harga paling murah kepadanya?

Apa jadi kepada tanah-tanah itu sekarang?

Berapa sumbangan cukai dan jumlah pekerja yang telah mendapat nikmat daripada 1MDB?

Siapa yang kaya kerana Proton dan siapa pula yang mendapat laba daripada 1MDB?

Jika ada perbandingan lain selain "antara langit dengan bumi", apa agaknya yang sesuai untuk membezakan Proton dengan 1MDB? Syurga dan Neraka? ERKK..

Kalau ada rakyat Malaysia ingin berbangga kerana 1MDB hanyalah barangkali popularitinya yang telah 'melonjakkan' nama Malaysia dan Najib menjadi semakin 'fofular' di seluruh dunia.

BACA INI JUGA: Risiko Sambung Bayar Kereta Yang Ramai Tidak Tahu!

Sumber: Shahbudindotcom

Tuesday, March 01, 2016

22 Sebab Tun Mahathir Keluar UMNO Kali Kedua!

22 Sebab Tun Mahathir Keluar UMNO Kali Kedua!

Semalam, Tun Mahathir mengumumkan meninggalkan parti Umno buat kali kedua. Tun Mahathir pernah meninggalkan parti keramat itu pada Mei 2008‎, bagaimanapun menyertai semula Umno pada tahun 2009.

Tun Mahathir keluar umno

Difahamkan, tindakannya meninggalkan parti pada waktu itu dibuat kerana kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan parti tersebut.

Berdasarkan kepada surat kenyataan akhbar, difahamkan 22 sebab dibawah adalah alasan Tun Mahathir meninggalkan UMNO pimpinan Najib kali ini.

1. Dengan ini saya ingin maklum bahawa saya serta isteri saya tidak lagi menjadi ahli UMNO atau Perkembar (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).

2. Sebabnya ialah oleh kerana UMNO sebagai parti politik sudah tidak wujud lagi. Pertubuhan ini sudah dihijack oleh Dato Sri Najib dan menjadinya Parti Najib.

3. Matlamat dan perjuangan parti yang dihijack ini hanyalah untuk Dato Sri Najib, pengekalannya sebagai pemimpin dan mempertahan dirinya dari sebarang tindakan undang-undang keatasnya.

4. Saya tidak rela menjadi ahli pertubuhan yang dipimpin oleh seorang yang terlibat dengan berbagai skandal yang memalukan. Khususnya pemimpin ini sebagai Perdana Menteri Malaysia memegang kepada kepercayaan, "Wang itu raja" atau "Cash is King" yang bermakna menjadikan rasuah (sogokan wang) sebagai cara utama untuk mendapat sesuatu. Kepercayaan ini sudah merebak keseluruhan pertubuhan sehingga ia dipandang hina oleh masyarakat.

5. Najib sendiri mengaku memiliki wang sebanyak dua ribu enam ratus juta Ringgit (2,600,000,000) dalam akaun peribadinya yang dirahsiakan sehinggalah didedah oleh akhbar asing.

6. Seorang Perdana Menteri tidak boleh ada wang sebanyak ini walau dari apa punca sekalipun. "Derma" sebanyak ini oleh sesiapapun perlu ditolak bulat-bulat oleh seorang Perdana Menteri samada secara rahsia atau terbuka.

7. Walaupun didakwa wang ini tidak digunakan oleh dirinya, tetapi cara hidup mewah yang bukan-bukan tidak mungkin dibiayai dari gaji dan elaun Perdana Menteri. Ia tentu datang dari wang sebanyak 2.6 bilion yang ada dalam akaun peribadinya dan lain-lain punca yang dikhuatir tidak halal.

8. Pengakuan bahawa wang ini diberi oleh Arab tidak masuk akal. Lagi pun tidak ada bukti-bukti dalam akaun atau dokumen bank "penderma" yang dikemukakan bahawa wang yang sebegitu banyak dipindah kedalam akaun peribadi Najib dalam AmBank Malaysia.

9. Tuduhan bahawa wang ini datang dari 1MDB tidak dapat ditangkis oleh Najib.

10. Untuk menutup siasatan oleh agensi-agensi Kerajaan, Najib menyingkir Abdul Gani sebagai Pendakwa Raya, melantik Pendakwa Raya baru secara tidak sah, yang kemudian menolak laporan Bank Negara dengan alasan yang tersembunyi, mengancam orang ramai dan pegawai MACC (Pencegah Rasuah) dan memindah mereka. A.G. baru ini sekali lagi menolak laporan MACC. Najib melumpuhkan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam) dan melantik pengerusi baru yang dipercayai memihak kepadanya.

11. Selain itu, Najib menubuh syarikat milik penuh kerajaan, 1MDB yang meminjam 42 bilion Ringgit (RM42,000,000,000) dari pasaran dengan faedah dan komisyen yang amat tinggi. Ini meningkatkan beban hutang kerajaan dengan banyaknya sehingga tidak mampu membayar faedah pun.

12. Sebahagian dari hutang ini dilupuskan dengan menjual balik stesyen jana kuasa yang telah dibeli dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran. Penjualan balik ini merugikan 1MDB sebanyak lebih satu bilion Ringgit.

13. Tanah Kerajaan ditengah bandar yang bernilai hampir RM7,000 satu kaki persegi dibeli oleh 1MDB dengan harga RM60/skp. Harga murah ini sudah tentu dipengaruhi oleh Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

14. Selain dari pembelian stesyen janakuasa, baki wang dari 42 bilion yang dipinjam telah dilabur dalam berbagai syarikat, perniagaan usahasama yang tidak memberi apa-apa keuntungan. Dimana semua duit-duit ini berada sekarang tidak diketahui.

15. Akhbar asing telah melapor bagaimana Najib memiliki 2.6 bilion Ringgit (2,600,000,000) dalam akaun peribadinya dan penglibatan Jho Low dalam pengurusan wang 1MDB, memindah wang 1MDB dari bank ke bank, di Singapura, Malaysia dan Hong Kong. Laporan-laporan ini tidak dinafikan oleh Najib dan ianya tidak membuat saman malu terhadap akhbar. Malaysia juga sekarang dilapor sebagai satu daripada 10 buah negara yang tertinggi amalan rasuahnya.

16. Dan banyaklah lagi perbuatan Najib yang memalukan bangsa dan negara.

17. Pemerintahannya pula mencerminkan pemerintahan kuku besi. Laporan polis berkenaan kehilangan wang 1MDB tidak disiasat oleh polis. Sebaliknya polis menyiasat orang yang membuat laporan, memasukkannya dalam tahanan, menuduhnya mensabotaj kewangan dan demokrasi dalam negara. Tuduhan ini dibuat dibawah undang-undang anti-pengganas walaupun tidak ada bukti yang dituduh melakukan apa-apa yang boleh ditafsir sebagai keganasan.

18. Yang lebih anehnya ialah peguamnya juga dsoal siasat, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan undang-undang yang sama, walaupun tidak ada perbuatan ganas oleh peguam ini. Ia hanya memberi nasihat undang-undang kepada pelanggannya.

19. Pertubuhan milik Najib ini yang berasal dari UMNO menghapuskan sebarang laporan terhadap 1MDB dan wang dalam akaun peribadi Najib. Pemimpin dan ahli pertubuhan Najib ini disingkir darinya jika mereka cuba tegur akan kesalahan perlakuan yang dibuat oleh Najib sebagai darinya. Yang tinggal dalam parti ini hanyalah mereka yang sokong Najib secara buta tuli.

20. Saya berasa amat malu kerana peralihan parti UMNO yang begitu berjasa kepada bangsa dan negara menjadi parti Najib yang penuh dengan skandal.

21. Pertubuhan yang dipimpin oleh Najib bukan lagi UMNO yang ditubuh pada 11 Mei 1946. Pertubuhan ini hanya alat untuk Najib melindungi perbuatannya yang salah termasuk pemilikan wang berbilion-bilion secara tersembunyi dan rahsia dalam akaunnya.

22. Oleh itu saya dan isteri pisahkan diri dari pertubuhan milik Najib ini. Ia bukan UMNO. Ia tidak boleh kembali menjadi UMNO dengan perjuangan-perjuangannya yang asal selagi Najib mengepalainya.

29 Februari
Dr Mahathir bin Mohamad
Dr Siti Hasmah binti Hj Mohd Ali

BACA INI JUGA: PANAS! Kenyataan Arab Saudi Bukti Najib Menipu Lagi!?

Kenyataan akhbar Tun Mahathir keluar umno
Kenyataan akhbar Tun Mahathir keluar umno [2]