Wednesday, July 02, 2014

Penjawat Awam Terima Bonus RM500 Sempena Aidilfitri

Penjawat Awam Terima Bonus RM500 Sempena Aidilfitri

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Bonus-Raya-2014

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta, katanya.

Kerajaan berharap bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut hari lebaran pada hujung bulan ini, katanya. -Bernama

Bonus Sebulan Gaji Untuk Penjawat Awam Selangor

Bonus Sebulan Gaji Untuk Penjawat Awam Selangor

Sementara itu, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus tahunan dan sempena sambutan Aidilfitri ini kepada semua kakitangannya, hari ini.

Menurut Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Negeri Selangor bersetuju memberi bonus ekoran prestasi laporan kewangan negeri menunjukkan peningkatan.

"Exco negeri bersetuju beri bonus sebulan gaji ikut tempoh perkhidmatan bertarikh 31 Jun ini, sejumlah RM32.7 juta diperuntukkan bagi tujuan pemberian bonus ini.

"Keputusan ini dibuat kerana laporan kewangan negeri menunjukkan pertumbuhan kutipan hasil meningkat dari tahun 2013 sehingga 30 Jun 2014," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.-Sinar Online Harian

-Sentiasapanas.com


Thursday, July 25, 2013

'Bonus' RM500 Untuk Penjawat Awam Dibayar 31 Julai

'Bonus' RM500 Untuk Penjawat Awam Dibayar 31 Julai

Kerajaan bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebagai persiapan Hari Raya Aidilftri kepada penjawat awam dari Gred1 – Gred54 bernilai RM500 yang akan dibayar pada 31 Julai depan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata ia melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM670 juta.

Sementara itu, Najib berkata bagi menghargai pesara kakitangan awam kerajaan turut bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 kepada 660,000 orang penjawat awam yang bersara dan menerima pencen.

Bayaran itu juga akan dibuat pada 31 Julai depan dengan peruntukan kewangan sebanyak RM165 juta.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.7 bilion bagi pembayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan Aidilfitri.

“Bagi tahun 2013, semua penjawat awam akan menikmati dua KGT, pertama adalah kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang diterima pada 25 Julai depan,” katanya.

Menurut beliau, ini dilaksanakan berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember tahun ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.3 bilion untuk 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

Kerajaan Selangor Bagi Bonus Sebulan Gaji

Sementara itu kerajaan negeri Selangor bersetuju memberikan bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM30 juta untuk tujuan itu kepada 21,776 kakitangan tetap, kontrak serta sambilan dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Jika Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini.

“Saya berharap bonus ini meringankan tanggungan warga kerja kerajaan negeri bagi menghadapi persiapan raya.

“Kita juga berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus untuk simpanan dan kegunaan masa depan,” katanya.

-SP

Wednesday, July 17, 2013

CUEPACS Tuntut Kerajaan Bayar Bonus

CUEPACS Tuntut Kerajaan Bayar Bonus

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam tetap meminta kerajaan memberi bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.


Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus itu dapat mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

“Sekarang ramai peniaga yang menaikkan harga barang sempena musim perayaan. Jika diberi bonus setengah bulan itu diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menyatakan kerajaan masih belum membincangkan mengenai pemberian bonus Aidilfitri itu.

Pada Isnin, Ali dilapor berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini yang boleh dianggap sebagai bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata pemberian bonus itu juga dapat menaikkan semangat bekerja dalam kalangan penjawat awam, sekali gus turut membantu meningkatkan produktiviti mereka.

“Bonus setengah bulan yang diberikan secara ‘advance’ kepada penjawat awam bukan sahaja dapat memberi semangat kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat, malah menggembirakan anggota keluarga mereka kerana persiapan hari raya lebih mudah dan tidak membebankan,” katanya.

Omar juga berkata kenaikan gaji tahunan dan bonus setengah bulan haji sempena Aidilfitri untuk penjawat awam adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata pemberian KGT dua kali pada tahun ini telah dijanjikan oleh kerajaan dan merupakan kenaikan sama rata mengikut gred jawatan tetapi bonus setengah bulan Aidilfitri adalah khusus untuk musim perayaan.

Justeru, katanya Cuepacs amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri itu. –BERNAMA