Thursday, April 18, 2013

Pertarungan Paling Panas PRU 13 Di Sabah

Pertarungan Paling Panas PRU 13 Di Sabah

Dalam pertembungan akhir antara adik-beradik terkenal di Sabah, keluarga Kitingan, Presiden Parti Bersatu Sabah(PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sekali lagi akan bertemu adiknya Datuk Dr Jeffrey, di kerusi Parlimen Keningau.

Pairin Kitingan (kiri) dan Jeffrey Kitingan

Pertarungan itu menghangatkan suasana pilihan raya dalam komuniti Kadazandusun Murut, yang menganugeah gelaran Huguan Siou atau Ketua Agung kepada Pairin.

Semalam, Pairin yang ditemui selepas pelancaran Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) dan jentera pilihan raya negeri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Penampang di sini, berkata beliau akan mempertahankan kerusi Keningau dan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.

Kini berusia 72 tahun, Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri menyifatkan PRU13 sebagai perjuangan akhirnya untuk mengekalkan kedua-dua kerusi berkenaan, yang merupakan kubu kuat BN, dan untuk penduduk Sabah.

PBS ialah antara parti anggota komponen BN Sabah.

Dr Jeffrey, 65, yang juga Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star), pada Isnin mengesahkan akan sekali lagi bertanding di Keningau setelah kalah kepada abangnya pada pilihan raya umum lepas, dan kerusi DUN Bingkor, yang beliau turut tewas pada masa yang sama.

Pada pertarungan pertama kedua beradik itu pada 2008, Pairin menang kerusi Keningau dengan 4,264 majoriti dalam perlawanan tiga penjuru, termasuk Jeffrey.

Beliau mengekalkan kerusi Tambunan dengan majoriti 2,781 menewaskan Mozes Michael Iking, dari PKR.

Pairin yang menceburi politik pada 1974, dan tokoh yang dipandang tinggi di Sabah, menggesa penduduk supaya terus menyokong BN bagi merealisasikan Program Transformasi Kerajaan dan Wawasan 2020 untuk mencapai status negara maju.

"Kami tahu rakyat akan membuat penilaian bijak dan memilih BN berbanding pembangkang yang tidak bersatu dan tidak boleh dipercayai," katanya.

Pada PRU13, beliau berkata PBS akan menurunkan beberapa muka baharu. PBS memenangi tiga kerusi parlimen dan 12 DUN pada 2008.

-Bernama

Monday, April 15, 2013

Lelaki Parah Ditetak Ketika Pasang Bendera Parti

Lelaki Parah Ditetak Ketika Pasang Bendera Parti

Seorang lelaki parah akibat ditetak ketika sedang memasang bendera sebuah parti politik di Kemaman kelmarin.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam itu dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan untuk memasang bendera parti.

Katanya mangsa berusia 40-an bersama empat lagi rakannya sedang memasang bendera parti apabila dihampiri sekumpulan lelaki yang kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan menetak mangsa menggunakan parang.

“Akibat tetakan itu mangsa mengelami kecederaan parah di bahagian hadapan dan belakang badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ampuan Afzan, Kuantan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya polis sedang memburu kumpulan suspek yang dipercayai dianggotai 10 orang berusia antara 30 hingga 40 tahun.

Tiam berkata sehingga kini sebanyak tujuh laporan polis dibuat berhubung kes pergaduhan melibatkan parti politik dan ini merupakan kes pertama yang mendatangkan kecederaan.

Beliau mengingatkan penyokong parti politik supaya jangan bertindak di luar batasan dan sebaliknya membuat laporan polis sekiranya bendera dan poster parti mereka dirosakkan.

–BERNAMA

Saturday, March 30, 2013

Jutawan Wanita Malaysia Yang Ditahan Rupanya Isteri Ashaari

Jutawan Wanita Malaysia Yang Ditahan Rupanya Isteri Ashaari

Isteri Allahyarham Ashaari Muhammad, Hatijah Aam, yang ditahan di Makkah kelmarin kerana disyaki memimpin ajaran sesat dipercayai memiliki aset ratusan juta ringgit.


Hatijah bersama lima anaknya dan 84 rakyat Malaysia dan sembilan warga Indonesia ditahan dalam tiga operasi berasingan di Makkah kerana didakwa mengamalkan amalan meragukan, bidaah dan menjalankan aktiviti nasyid berunsur syirik.

(Baca: Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi)

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen Arab Saudi, tinggal tanpa permit.

Kelmarin media tempatan negara itu, SABQ melaporkan kumpulan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pergerakan Al-Arqam yang diharamkan di Malaysia sejak Disember 2006.

Wanita berusia 52 tahun itu dan anak-anaknya tinggal di banglo mewah milik mereka yang dinamakan Istana Rasulullah Saidi Abuyya (RSA), manakala pengikutnya tinggal di chalet Nur Muhammad dan Mat’am Asaari, juga di kawasan mewah di Makkah.

Tujuh pemimpin yang turut ditahan bersama Hatijah ialah Hasnan Abd Hamid, Abd Rahman Said, Abd Rahman Ahmad, Johari Murad, Azri Mohd Yunus, Dr Hamzah Osman dan Inamullah Asaari.

Menurut sumber, semua mereka ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Jeddah, Arab Saudi bagi siasatan lanjut. Mengikut rekod, semua yang ditahan masuk ke Arab Saudi menggunakan pas lawatan sosial, yang sudah tamat tempoh. Bagaimanapun, pasport Hatijah masih aktif sehingga Oktober 2014.,” katanya ketika ditemui BH, di sini, semalam.

BH difahamkan, tangkapan yang diketuai Mejar Turkey bin Mohamad As-Sowat dengan Imigresen Arab Saudi itu hasil maklumat awam berhubung kegiatan Hatijah, yang dipercayai mempengaruhi jemaah Umrah dan Haji dari Malaysia supaya menetap dan bekerja untuknya di Makkah.

Sumber itu berkata, kumpulan Hatijah ini memperoleh keuntungan hasil pelbagai rangkaian perniagaan pelancongan, ternakan, restoran, industri makanan dan pelbagai rangkaian yang beroperasi di lebih 20 negara, termasuk Jerman, London, Australia, Indonesia, Thailand dan negara lain di seluruh dunia.

“Modus operandi kumpulan ini lebih bertujuan mengekalkan dan menguatkan pengaruh sesama ahli bagi memastikan rahsia kegiatan kumpulan mereka selamat,” katanya.

Selain itu, sumber berkata, di negara ini kumpulan itu mempunyai lebih 3,000 pengikut di tujuh lokasi, yang beribu pejabat di Makkah.

Tujuh lokasi itu dikenal pasti di Sungai Penchala, Bandar Country Homes, Selangor; Batu Hampar, Perak; Kampung Pilin, Negeri Sembilan; Kampung Pochan, Kedah; Rompin, Pahang dan Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay mengesahkan penahanan terbabit, bagaimanapun berkata, jumlah sebenar penahanan dan pertuduhan hanya akan diketahui pada hari ini kerana semalam adalah cuti hujung minggu di Arab Saudi.

-Bharian

Friday, March 29, 2013

Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi

Jutawan Wanita Malaysia Ditangkap Polis Arab Saudi

Seorang jutawan wanita dan 95 orang pengikutnya yang terdiri daripada warga Malaysia dan Indonesia ditahan dalam satu serbuan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di sebuah villa di sini semalam.


Berumur 52 tahun, dia dan pengikutnya diberkas kerana disyaki menjalankan kegiatan ‘mencurigakan’ dan ‘penyelewengan’ dalam agama.

Serbuan dibuat di tiga buah lokasi banglo mewah iaitu dua buah di daerah Al Khalidiya dan sebuah lagi di kawasan di antara Mekah dan Jeddah.

Difahamkan, wanita berkenaan yang juga KETUA KUMPULAN itu kini hidup mewah di sini hasil daripada kegiatan ‘mencurigakan’ dia dan pengikutnya itu.

Kesemua banglo itu dipercayai disewa untuk memudahkan kegiatan dan pergerakan ahli kumpulan tersebut.

-Mynewshub

Kapal Perang Amerika Di Potong Di Perairan Sulu

Kapal Perang Amerika Di Potong Di Perairan Sulu

Badan depan sebuah kapal pembersih periuk api milik tentera Amerika Syarikat (AS), USS Guardian dipotong selepas ia terperangkap di Terumbu Tubbataha di Laut Sulu, lapor akhbar Philippine Daily Inquirer semalam.

Bahagian depan kapal itu diangkat dengan menggunakan sebuah 
kren selepas ia dipotong di Terumbu Tubbataha, Laut Sulu.

Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina, Leftenan Komander Armand Balilo berkata, sebuah pasukan berjaya melakukan operasi tersebut.

Badan kapal yang dipotong itu diletakkan di dalam sebuah tongkang kelmarin. Menurutnya, pasukan penyelamat akan melakukan operasi memotong baki bahagian badan kapal itu.

Operasi memotong bahagian kapal sepanjang 68 meter itu bermula sejak 22 Februari lalu. Bagaimanapun, operasi memotong itu terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Operasi memotong kapal itu dilakukan dengan menggunakan sebuah kren di atas sebuah kapal lain. Kapal itu terkandas pada 17 Januari lalu selepas ia tersilap memasuki kawasan terumbu karang.

-Agensi

Tuesday, March 26, 2013

Kerajaan Filipina Berkeras Mahu Tuntut Sabah

Kerajaan Filipina Berkeras Mahu Tuntut Sabah

Kerajaan Filipina mungkin mengemukakan tuntutannya ke atas Sabah selepas Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima hari ini membayangkan akan berbuat demikian.


Akhbar Filipina melaporkan, perkara itu mungkin berlaku selepas De Lima mengesahkan bahawa Jabatan Kehakiman telah mengemukakan satu cadangan daripada sudut undang-undang kepada Presiden Benigno Aquino III berhubung tuntutan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan dokumen berkenaan.

De Lima berkata, Filipina mungkin mengemukakan isu tersebut kepada 'tribunal berkaitan'.

"Persoalan yang timbul sekarang, adakah kami mempunyai alasan kukuh dan sah jika membawa perkara ini kepada tribunal berkaitan," katanya kepada wartawan di Persidangan Kumpulan Pakar Persaingan ASEAN di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kehakiman telah melakukan kajian daripada aspek undang-undang berhubung tuntutan ke atas Sabah dan mengemukakan cadangan itu kepada Aquino untuk diluluskan.

"Terpulang kepada Presiden sama ada beliau mahu menimbang kajian itu atau tidak," katanya.

Aquino sebelum ini dilapor menugaskan Jabatan Kehakiman dan Jabatan Luar supaya meneliti kesahihan tuntutan Kiram ke atas Sabah.

Menurut beliau, isu pemilikan Sabah oleh pengikut Jamalul Kiram III adalah satu pengulangan sejarah, ketika bekas Presiden, Ferdinand Marcos melancarkan rancangan untuk menceroboh Sabah pada 1968, yang dikenali sebagai pembunuhan Jabidah.

-Agensi