Wednesday, February 27, 2013

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Gara-gara Terlalu Mabuk Besi Payung Tertusuk Di Muka

Jessica Yates dilaporkan terlalu mabuk dan secara tidak sengaja terjatuh dari katil hotel dan mukanya tercucuk dawai rangka payung yang baru digunakan.


Disebabkan payung itu tidak ditutup dengan betul, dawainya yang terbuka kemudian menusuk gusi dan tembus ke mulut.

Bagaimanapun, Jessica, 22, dari Solihull, West Midlands, mengakui dia terlalu mabuk ketika itu dan tidak dapat merasai kesakitan itu pada peringkat awal. Rakan Jessica, Laura Sullivan, menghubungi talian kecemasan selepas mendapati kecederaan itu serius dan terlalu berbahaya untuk ditarik sendiri.

Jessica kemudian dibawa berjumpa dengan anggota paramedik dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan payung itu masih tergantung di mukanya.

Kata Jessica, di hospital, pegawai perubatan memotong patung berkenaan dan membiarkan kira-kira 15 sentimeter dawai itu masih tercucuk ke mulutnya.

Keadaan Jessica bersama sebahagian daripada dawai 
rangka payung yang terlekat di mukanya.

Dia kemudian dibawa ke hospital kedua dan diberi ubat pelali sebelum membolehkan pembedahan untuk membuang dawai berkenaan dijalankan.

Pengurus kedai kasut itu dibenarkan pulang keesokan harinya dengan beberapa jahitan berserta cebisan payung itu yang masih kekal di gusinya.

Kata Jessica, kemalangan itu berlaku ketika dia dan beberapa kawan berkongsi bilik di Watford selepas puas berpesta.

“Kami menghabiskan malam dengan minum di bar tempatan dan pulang berpayung kerana hujan jam 2 pagi,” katanya. Ketika tiba di bilik, kata Jessica, dia mencampakkan payung kecil itu ke lantai dan tidak menyedari ia dibiarkan dalam keadaan terbalik.

–Daily Mail

Tuesday, February 26, 2013

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Pembuat Sos Pedas Terkenal Meninggal Dunia

Ketua pegawai eksekutif dan pengerusi lembaga Syarikat McIlhenny, syarikat yang membuat tanda niaga sos pedas Tabasco dan produk lain, Paul C. McIlhenny meninggal dunia, menurut syarikat itu, Ahad. Beliau berusia 68 tahun.


Satu kenyataan syarikat yang dikeluarkan di ibu pejabat Pulau Avery di selatan Louisiana berkata McIlhenny meninggal dunia pada Sabtu.

McIlhenny merupakan salah seorang ahli keluarga yang mempunyai syarikat berusia 145 tahun dan menghasilkan sos Tabasco yang terkenal di dunia untuk beberapa generasi.

Menurut kenyataan, beliau menyertai syarikat itu pada tahun 1967 dan secara langsung menyelia pengeluaran dan kualiti semua produk yang dijual di bawah jenama Tabasco selama 13 tahun.

Di bawah bimbingan McIlhenny, syarikat itu mengalami pertumbuhan rekod dalam jualan dan pendapatan selama bertahun-tahun dan turut memperkenalkan beberapa perisa baru, sos dan produk lain.

"Semua di syarikat McIlhenny dan keluarga McIlhenny dan Avery amat sedih dengan berita ini," kata Tony Simmons, presiden Syarikat McIlhenny dan ahli keluarga McIlhenny.

"Kami jelas akan merindui kepimpinan Paul tetapi secara khususnya lebih akan merasakan kehilangan kepintaran, daya tarikan dan kelucuannya yang tidak memberikan tekanan."

-mStar

Friday, February 22, 2013

Penjualan Rokok Elektronik Tidak Haram

Penjualan Rokok Elektronik Tidak Haram

Penjualan rokok elektronik tidak haram, namun cecairnya yang mengandungi nikotin perlu didaftar dengan Kementerian Kesihatan.


Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, kegagalan berbuat demikian mungkin boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952.

(Baca: Menjual Dan Memiliki Rokok Elektronik Adalah Satu Kesalahan)

Menurutnya, operasi akan terus dijalankan bagi memastikan penjual cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin dapat mendaftarkan bahan itu dengan segera.

“Rokok elektronik tidak haram dan boleh dibeli, tetapi jika cecairnya mengandungi nikotin maka ia (cecair) perlu didaftar dengan Kementerian Kesihatan.

“Namun jika cecair tidak mengandungi nikotin, tiada masalah untuk menjualnya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Beliau berkata, sekatan penjualan bahan itu yang berlaku sebelum ini sepatutnya tidak berlaku kerana ada antara individu menghisapnya untuk berhenti merokok.

“Kontroversi yang timbul sebelum ini mungkin disebabkan cecairnya mengandungi nikotin.

“Namun, ada antara mereka yang hendak berhenti merokok dan menghisapnya memerlukan nikotin… jika tidak mungkin akan timbul masalah kesihatan kerana berhenti (merokok) mengejut,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan menjelaskan, menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Beliau dipetik sebagai berkata, ini kerana pihaknya telah mengesan kehadiran nikotin di dalam cecair rokok elekronik dalam pelbagai kepekatan tertentu.

-Borneo Post

Thursday, February 21, 2013

Binatang Paling Merbahaya Serang Pemandu Pelancong

Binatang Paling Merbahaya Serang Pemandu Pelancong

Seekor biawak komodo dipercayai menyerang pemandu pelancong di Taman Negara Komodo, timur, Indonesia.


Pegawai taman negara berkenaan, Heru Rudiharto berkata, biawak spesies naga yang bersaiz 2.5 meter panjang tiba-tiba muncul dan menyerang Abdul Rachman ketika sedang memberi penerangan kepada empat pelancong.

“Mangsa gagal mempertahankan diri menyebabkan betis kanannya cedera,” katanya.

Serangan itu adalah yang kedua dalam bulan ini di taman negara yang sama.

Komodo spesies naga itu hanya boleh ditemui di pulau Komodo, Padar dan Rinca.

-JP

Doktor Tersilap Buang Buah Zakar

Doktor Tersilap Buang Buah Zakar

Seorang lelaki menyaman hospital yang menyebabkan dia tidak lagi mampu mempunyai zuriat selepas pakar perubatan di situ tersalah membuang buah zakarnya.

Gambar hiasan

Pengarah syarikat berusia 48 tahun itu berkata, dia mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Salisbury selepas disyaki mengalami kanser Katanya, dia menjalani pembedahan dengan harapan buah zakar yang bermasalah itu dapat dibuang.

“Bagaimanapun, 40 minit selepas pembedahan dijalankan, doktor menyedari mereka melakukan kesilapan kerana memotong buah zakar yang sihat,” katanya. Menurut sumber, buah zakar itu dibawa semula ke dewan pembedahan dan doktor cuba menyelamatkan keadaan tetapi gagal.

Lelaki terbabit yang berasal dari Wiltshire menuntut hospital membayar pampasan kepadanya atas kecuaian doktor mereka. Walaupun mempunyai anak daripada hubungan terdahulu, kesilapan itu menghalang lelaki terbabit mendapat zuriat.

Kata lelaki yang dirahsiakan identitinya itu, dia tertekan kerana tidak lagi mampu menjadi bapa. “Isu ini dikendalikan peguam saya,” katanya. Sementara itu, satu badan pemantau pesakit menggesa kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh atas insiden berkenaan. Jurucakap Rangkaian Pembabitan Wiltshire berkata, kejadian menimpa lelaki terbabit sangat tragik. “Adalah jelas siasatan perlu dijalankan oleh hospital bagi mengetahui bagaimana kesilapan ini berlaku.

“Dengan pembedahan ini, seseorang lelaki meletakkan sepenuh keyakinan mereka kepada hospital,” katanya. Badan yang mengendalikan hospital itu berkata, kejadian berkenaan sangat dikesali dan mereka meminta maaf kepada lelaki terbabit.

-Daily Mail

Tuesday, February 19, 2013

Amah Lambung Dan Hempas Budak Di Penjara

Amah Lambung Dan Hempas Budak Di Penjara

Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melambung dan menghempas anak majikannya pada 15 Februari lalu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun bagi dua pertuduhan mendera bayi itu di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi tadi.

Amah

Tertuduh, Yuliana, 23, dari Acheh, Indonesia kelihatan bergenang air mata sebaik saja hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu.

Rakaman video litar tertutup amah lambung bayi 4 bulan di Kuantan.



BACA INI JUGA: Misteri Jenazah Kanak-Kanak ‘Terapung’!

Doktor Dari Malaysia Cabul Pesakit Di Australia

Doktor Dari Malaysia Cabul Pesakit Di Australia

Mahkamah Majistret Elizabeth di Adelaide pada Isnin mensabitkan seorang doktor Malaysia atas dua tuduhan melakukan serangan seksual ke atas pesakit wanitanya di Australia Selatan.


Majistret Greg Fisher menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara, gantung kerja selama dua tahun dan diikat jamin berkelakuan baik ke atas Dr Mohd Zaki Ibrahim, 37, kata seorang pegawai mahkamah.

Mahkamah diberitahu Mohd Zaki melakukan kesalahan itu pada 31 Mac 2010 dan 16 Julai tahun sama.

Mohd Zaki, seorang penuntut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dipercayai bekerja di sebuah bandar di kawasan desa di Australia Selatan sebelum berpindah bersama keluarganya ke Elizabeth, di pinggiran bandar Adelaide.

–BERNAMA

Monday, February 18, 2013

Stesen TV Ditutup Gara-gara Siar Tarian Gelek

Stesen TV Ditutup Gara-gara Siar Tarian Gelek

Mahkamah Kaherah mengarahkan sebuah stesen televisyen di negara itu ditutup selepas ia menyiarkan klip tarian gelek yang mengandungi aksi ghairah.


Selain itu, ElTet juga didapati bersiaran tanpa lesen.

Hakim yang membuat keputusan itu memutuskan bahawa tarian gelek itu adalah menghina dan membangkitkan syahwat penonton.

Klip itu merupakan sebahagian daripada iklan untuk produk seks dan perkhidmatan mencari jodoh.

Ia disiarkan menerusi internet selama 24 jam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, stesen televisyen Al-Hafez turut diarahkan tidak bersiaran selama 30 hari kerana menyiarkan pandangan seorang aktres Mesir yang menyokong rejim di bawah pimpinan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Selain itu, pemilik siaran tv satelit, Baligh Hamdy turut ditangkap tahun lalu kerana didakwa menyediakan perkhidmatan pelacuran.

[Sumber]

12 Wanita Ditahan Sertai Parti Liar

12 Wanita Ditahan Sertai Parti Liar

Kegembiraan 38 lelaki dan wanita ketika mengadakan pesta liar serta mengambil dadah di sebuah kondominium mewah di ibu kota membawa padah apabila ditahan dalam satu serbuan, awal pagi tadi.


Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi, 26 lelaki dan 12 wanita berusia 18 hingga 31 tahun ditahan ketika leka berseronok di sebuah unit di tingkat 18 kondominium yang terletak di Jalan Anjung Putra, Off Jalan Sultan Ismail, dengan 22 daripadanya positif dadah dan enam orang pula memiliki dadah.

Ketika serbuan dijalankan, kesemua mereka dikatakan berada di premis terbabit dan asyik bersuka ria menikmati alunan muzik ala disko.

Dalam serbuan itu juga, polis merampas sejumlah dadah jenis ganja, pil Estacy dan Eramin 5.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kondominium mewah itu disewa pada harga RM800 antara RM1,000 semata-mata untuk mengadakan parti lalok.

–myMetro

Sunday, February 17, 2013

Bob Lokman Akan Bertanding PRU13?

Bob Lokman Akan Bertanding PRU13?

Pelawak, pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman yang kini penceramah agama dan politik Pas mengesahkan beliau tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).


Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman berkata, wakil Pas pernah menawarkan beliau untuk menjadi calon di kawasan Subang, Selangor akhir tahun lalu, namun tawaran itu terpaksa ditolak atas sebab kesihatan.

“Saya mengalami sakit jantung sejak tujuh tahun lalu. Biarpun berminat dalam bidang politik, saya menolak tawaran Pas sebab saya tidak bertenaga, jadi wakil rakyat perlu kuat dan bertenaga untuk bekerja siang dan malam.

“Kalau dikira dalam bidang politik, jika untuk bantu orang, saya memang berminat. Walaupun tidak bertanding, saya kini giat membantu parti dengan memberi ceramah kepada orang ramai bergantung kepada jemputan penganjur,” katanya semalam.

Bob Lokman sememangnya dikenali dalam industri hiburan dan keputusan beliau menjadi ahli Pas 19 Februari 2011 di Kedah lalu memulakan fenomena penyertaan ramai selebriti ke dalam parti itu termasuk Aishah, Abby Abadi, Renggo Arrow dan Hairie Othman.

Beliau berkata, ceramah disertainya bagi memudahkan orang ramai berfikir untuk menentukan parti terbaik yang perlu dipilih pada PRU13 nanti.

“Dalam semua parti, perjuangan Pas mempunyai jalan yang paling panjang kerana kalau kita mendengar ceramah Pas, ia berkisarkan tentang dunia dan akhirat.

“Berlainan pula dengan parti lain yang berceramah hanya cenderung kepada dunia sahaja termasuk hal ekonomi,” katanya.

Kata beliau, selagi Islam tidak menang, ini bermakna Pas belum menang secara keseluruhan, sebaliknya jika Islam diterima oleh semua orang, ia membawa Pas berada di atas.

Ditanya mengenai rakan artis iaitu penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin, 48, yang dikhabarkan menjadi calon pada PRU13 nanti, beliau berkata, khabar angin itu diterima secara positif.

“Beliau layak bertanding kerana mempunyai personaliti menarik. Lagipun beliau (Aishah) memang belajar dalam bidang Sains Politik sebelum ini,” katanya.

–SinarHarian

Adakah Malaysia Akan Muflis Dengan Hutang RM69 Bilion Sekarang?

Adakah Malaysia Akan Muflis Dengan Hutang RM69 Bilion Sekarang?

Nisbah kadar hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berada pada tahap 53 peratus masih dianggap ‘baik’ untuk negara disokong oleh pendapatan dan dagangan yang terus meningkat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Kita masih boleh membayar (hutang). Kita masih boleh membayar kerana kita nampak pelaburan (memberikan) keuntungan (yang) tinggi,” kata bekas Perdana Menteri dalam satu temu ramah dengan Bernama.

Dr Mahathir berkata ketika zaman pentadbirannya, keuntungan Maybank sebanyakRM300 juta sudah dianggap besar.

“Sekarang Maybank untung RM6 billion,” kata beliau. Dr Mahathir berkata terdapat negara di Eropah seperti Greece yang tidak mungkin dapat membayar hutangnya kerana nisbah hutang negara itu kepada KDNKnyamelebihi 100 peratus.

“Ia (Greece) tidak mungkin (mampu) bayar,” kata beliau. Dr Mahathir berkata Bank Negara Malaysia (BNM) kini mempunyai simpanan kira-kira US$140 bilion (US$1=RM3.08) berbanding di semasa pentadbirannya hanya berada sekitar US$30 bilion.

Setakat 31 Jan, 2013, rizab antarabangsa BNM berjumlah US$140.2 bilion.

Paras rizab ini memadai untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Keseluruhan aset BNM, termasuk rizab antarabangsa, berjumlah US$158 bilion.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata Malaysia juga mempunyai simpanan yang besar di institusi seperti Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd dan juga melalui Skim Felda.

“Kita ada simpanan yang cukup besar …cukup tinggi,” kata beliau.

Semasa ditanya adakah dagangan Malaysia masih bergantung kepada Barat walaupun ekonominya yang lemah, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak lagi bergantungkepada Barat. Barat sudah merosot. Eksport kita ke Barat pun tidak boleh meningkat dan Barat juga tidak mampu untuk melabur sekarang ini.”

Dr Mahathir berkata kini pelaburan dilihat datang dari Timur dan dagangan negara juga semakin meningkat.

““Dagangan kita dengan negara China umpamanya sudah baik (dan ia) cukup tinggi. Dagangan kita dengan Asean juga meningkat. Jadi kita tidak perlu nilai kemajuan ekonomi negara kita berasas kepada Barat,” kata beliau.

Sebaliknya, kata beliau, penilaian harus mengambil kira kemajuan ekonomi di seluruh dunia.

“Dari segi keseluruhan dunia kita dapati bahawa eksport kita masih meningkat, surplus (lebihan dagangan) kita masih meningkat,” kata Dr Mahathir.

Perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tiga peratus pada 2012 meskipun krisis kewangan dan kelembapan ekonomi global serta permintaan dunia yanglembap.

Walaupun pertumbuhan di bawah unjuran, negara mencatatkan jumlah dagangan tertinggi pada RM1.31 trilion tahun lepas berbanding dengan RM1.27 trilion yang dicatatkan pada 2011.

Bagi tahun 2012, eksport berkembang sebanyak 0.6 peratus kepada RM702.19bilion manakala import meningkat 5.9 peratus kepada RM607.36 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM94.82 bilion pada 2012, tahun ke-15 berturut-turut lebihan dagangan bagi Malaysia.

Antara lima rakan dagang utama, pengembangan dagangan dicatatkan dengan Asean (+8.2 peratus) dan China (+8.0 peratus) manakala dagangan dengan AmerikaSyarikat (-2.8 peratus).

–BERNAMA

Saturday, February 16, 2013

Klinik Kesihatan Telupid, Sabah Terbakar Angkara Khianat?

Klinik Kesihatan Telupid, Sabah Terbakar Angkara Khianat?

Bangunan utama Klinik Kesihatan Telupid yang terletak di Pekan Telupid musnah dalam kebakaran malam tadi.


Yang turut musnah dalam kebakaran 10 malam itu ialah dua buah kenderaan.

Kebakaran nyaris memusnahkan bilik x-ray yang berhampiran.

“Nasib baik kerana bilik x-ray yang sangat hampir dengan bangunan terbakar tidak terlibat sama. Sekiranya bilik tersebut terbakar, akan berlaku letupan besar kerana terdapat bahan radioaktif di dalamnya,” kata Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Devi Rashedee Ensoi.

Beliau berkata seramai 16 anggotanya turut menyelamat sebuah tangki minyak berhampiran daripada terbakar.

Anggota Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan Anggota Dewan Undangan Negeri Labuk, Datuk Michael Asang yang sedang berada di Telupid turut melawat tempat kebakaran yang puncanya belum diketahui.

Sementara itu kira-kira 5 pagi tadi, sebuah rumah di Kampung Segaliud, Simpang Merotai, Kota Kinabatangan dilapor turut musnah.

–BERNAMA

Bangladesh Henti Siaran Kartun Doraemon

Bangladesh Henti Siaran Kartun Doraemon

Bangladesh telah menyekat kartun Jepun iaitu Doraemon daripada disiarkan dalam televisyen negara itu berikutan kebimbangan generasi muda yang ketagih dengan versi alih bahasa Hindi yang sukar untuk mempelajari bahasa ibunda mereka, Bengali.


Menteri Penerangan, Hasanul Haque Indu pada Khamis memberitahu Parlimen bahawa saluran televisyen yang menyiarkan Doraemon telah menerima notis rasmi arahan supaya ia menghentikan siaran program itu.

“Kerajaan tidak mahu suasana pendidikan kanak-kanak dipengaruhi oleh Doraemon,” kata menteri itu.

Sekatan itu susulan beberapa akhbar harian tempatan yang menggesa supaya kartun itu disekat, kerana bimbang terhadap mereka yang ketagih Doraemon akan bercakap Hindi antara satu sama lain berbanding Bengali.

Seorang anggota parlimen, Shahriar Alam pada minggu lepas meminta supaya stesen televisyen hanya boleh menyiarkan kartun asing sekiranya ia dialih bahasa ke dalam Bengali.

Direka oleh artis manga Fujiko F. Fujio, Doraemon merupakan kucing robot yang mengembara dari abad ke-22 ke zaman kanak-kanak pra-remaja, Nobita.

Menteri luar Tokyo melantik Doraemon sebagai duta animasinya pada 2008 atas usaha untuk menarik minat pihak asing terhadap budaya Jepun.

Bangladesh sering sensitif terhadap pengaruh budaya daripada jiran besarnya iaitu India dengan berjuta-jua isi rumah yang lebih gemar menonton siaran televisyen dalam bahasa Hindi yang dipancarkan menerusi satelit.-AFP

BACA INI JUGA: Berakhirnya Manga Naruto Selepas 17 Tahun!

Friday, February 15, 2013

Tahi Bintang Jatuh Dan Meletup 400 Cedera Di Rusia

Tahi Bintang Jatuh Dan Meletup 400 Cedera Di Rusia

Serpihan tahi bintang meletup dan jatuh di tengah Rusia pada Jumaat sehingga mencetuskan panik apabila ia mengakibatkan gegaran yang menyebabkan tingkap pecah dan lebih 400 orang cedera.


Keadaan itu menyebabkan trafik tergendala di bandar Chelyabinsk apabila sebahagian tahi bintang yang jatuh terbakar di paras rendah atmosfera di bandar itu.

Menteri dalam negeri berkata, lebih 250 orang cedera, tiga daripada mereka cedera parah, apabila gegaran gelombang itu tercetus di Chelyabinsk dan beberapa bandar yang lain.

Kementerian kecemasan berkata, komunikasi mudah alih dihentikan sementara.

“Pada pukul 9.20 pagi (waktu Rusia), sebuah objek dilihat di atas Chelyabinsk di mana ia terbang dengan kelajuan yang tinggi dan meninggalkan kepulan asap di belakangnya. Dalam masa dua minit, terdapat dua letupan,” kata pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.

“Gelombang itu memecahkan tingkap dan kaca di Chelyabinsk dan beberapa bandar lagi di kawasan itu,” katanya.

-mStar

Psy Terima Ugutan Bunuh Sewaktu Di Malaysia

Psy Terima Ugutan Bunuh Sewaktu Di Malaysia

Kawalan ketat dan langkah keselamatan terpaksa diambil polis selepas menerima maklumat mengenai ancaman terhadap bintang popular Korea Selatan, Psy yang dikenali di seluruh dunia dengan lagunya, Oppa Gangnam Style ketika kunjungannya ke negeri ini pada Isnin dan Selasa lalu.


Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi e-mel mengesahkan ada menerima maklumat mengenai ancaman terhadap penyanyi itu.

Menurutnya, kawalan ketat dan nasihat keselamatan juga diberikan kepada Psy ketika penyanyi itu mengadakan persembahan di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 1Malaysia anjuran Barisan Nasional (BN) di padang Kolej Han Chiang, Georgetown pada Ahad lalu.

Katanya, polis turut mengatur kepulangan penyanyi terbabit tanpa diketahui umum pada keesokan harinya.

Abdul Rahim berkata demikian ketika mengulas penjelasan Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mendakwa terdapat satu ancaman terhadap nyawa Psy yang menjadi punca Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diminta meninggalkan pentas lebih awal selepas acara menggaul yee sang di majlis rumah terbuka itu.

Teng menjelaskan kejadian itu ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di Jelutong, di sini, semalam.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan oleh polis bahawa mereka menerima maklumat terdapat cubaan ancaman terhadap Psy dan itulah sebabnya mengapa orang ramai ditempatkan agak jauh dari pentas.

-Hmetro

Wednesday, February 13, 2013

Buaya Paling Besar Di Dunia Akhirnya Mati!

Buaya Paling Besar Di Dunia Akhirnya Mati!

Seekor buaya jantan air masin terbesar yang pernah dipelihara di dalam kurungan, Lolong mati selepas 17 bulan reptilia itu ditangkap.


Lolong yang berukuran 6.17 meter (m) panjang mati pada malam Ahad lalu akibat penyakit misteri di sebuah taman ekopelancongan di Bunawan, Pulau Mindanao.

Taman itu dibina oleh kakitangan perbandaran untuk mempamerkan buaya berkenaan.

Kehadiran haiwan tersebut menyebabkan ramai pelancong datang ke Bunawan sekali gus memberi pulangan ekonomi yang besar kepada bandar kecil itu.

“Ia merupakan hari yang paling sedih buat kami. Lolong telah membawa kemasyhuran kepada bandar kami,” kata jurucakap bandar itu, Welinda Elorde kepada agensi berita AFP.

Reptilia itu ditangkap di sebatang anak sungai pada September 2011 selepas ia dipercayai membaham kepala seorang kanak-kanak perempuan.

Perangkap besi digunakan untuk menangkap haiwan itu. Buaya itu juga dipercayai membaham seorang nelayan.

Kira-kira 100 orang yang diketuai Elorde menarik buaya tersebut dengan menggunakan tali dari anak sungai kecil sebelum ia diangkut dengan kren ke atas sebuah trak.

Selepas ditangkap oleh sekumpulan penduduk tempatan dan pakar-pakar haiwan itu, ia diletakkan di dalam kurungan untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Akhbar The Philippine Star melaporkan semalam bahawa Lolong menelan tali pntal tiga minggu lalu.

“Kami telah memberikan haiwan itu daging, ayam dan itik.

“Tidak mungkin, ia makan makanan lain,” kata Elorde.

Pada tahun lalu, Guinness Book of World Records secara rasminya mengisytiharkan Lolong sebagai buaya terbesar pernah hidup dalam kurungan.

Menurut Elorde, haiwan itu diberi nama Lolong sempena nama seorang pegawai alam sekitar yang mati disebabkan serangan jantung selepas dia pergi ke Bunawan untuk membantu menangkap buaya tersebut.

Satu majlis pengebumian khas akan diadakan untuk Lolong yang seberat hampir satu tan. Badannya mungkin diawet untuk dipamerkan di sebuah muzium.

Penduduk Bunawan merancang untuk melakukan majlis ritual dengan menyembelih ayam bagi mengucapkan terima kasih kepada roh hutan kerana populariti yang dibawa haiwan berkenaan.

Sekumpulan penganut Kristian juga akan berdoa sebelum reptilia itu dibedah siasat.

Lolong menewaskan pemegang rekod sebelum in, Cassius yang sepanjang 5.48m.

Cassius dipamerkan di sebuah taman di Pulau Green di luar perairan Queensland, Australia.

–Agensi