Selasa, Jun 25, 2019

Mencari Sinar Keadilan Buat Mohammad Adib


Loading...

Kenapa sukar benar untuk mencari keadilan dan kebenaran kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan kuil Maha Mariamman, Seafield di USJ 25 pada malam 26 November 2018 yang lalu?

Keadilan Buat Muhammad Adib
Muhammad Adib.

Pada asalnya, polis telah pun mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh dan mempunyai beberapa orang suspek, malangnya tiada perbicaraan jenayah dijalankan dan Peguam Negara, Tommy Thomas memutuskan untuk membuat prosiding inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Namun, selepas 37 hari bersidang, Peguam Negara mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang merupakan majikan anggota bomba yang terkorban, menamatkan khidmat peguam pemerhati mereka, Syazlin Mansor.

Peguam Negara memberi empat alasan punca arahan tersebut iaitu tiada fiat (kelulusan bertulis Peguam Negara), peguam melakukan peranan aktif dan sering mengambil kedudukan bercanggah dengan pegawai pengendali, wujud konflik kepentingan kementerian dan kedudukan suami beliau sebagai Setiausaha Akhbar Menteri KPKT.

Kita tidak berhasrat mengulas empat alasan itu kerana ia sudah pun dijawab dengan terang dan jelas oleh Syazlin dalam sidang medianya sebelum ini.

Persoalan yang menarik ialah, mengapa semua isu itu hanya berbangkit selepas 37 hari inkues berjalan?

Pada tarikh pengurusan kes pada 18 Januari 2019, Syazlin telahpun memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa beliau mewakili keluarga, KPKT dan JBPM.

Justeru, alasan-alasan Peguam Negara ini menimbulkan kegusaran masyarakat bahawa wujud usaha untuk menutup keadilan dan kebenaran.

Ini diyakinkan lagi apabila laporan-laporan media mengenai inkues yang memberi gambaran ada usaha untuk 'memandu' dapatan inkues ke arah kematian bukan sebab tindakan perusuh.

Peguam Syazlin Mansor dilapor beberapa kali mematah hujahan Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Ini termasuk membawa saksi Pakar Perunding Kanan Forensik Patologi United Kingdom, Profesor Dr Shahrom Abd Wahif untuk membantu inkues.

Kemuncak sebelum pemecatan Syazlin sebagai peguam KPKT apabila Dr Ahmad Hafizam melahirkan rasa kecewa kerana dimalukan oleh Syazlin dalam inkues tersebut dan mengakui beliau bukan pakar fizik yang boleh membuat kesimpulan tepat mengenai daya hentakan ke atas arwah Muhammad Adib.

KepentinganPerdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas pemecatan tersebut dilaporkan berkata, “Peguam itu (Syazlin) mewakili dua pihak yang bertelingkah. Jadi, setidak-tidaknya harus menarik diri dari menjadi peguam bagi pihak kerajaan.”

Tampaknya pendirian terbaharu kerajaan ialah keluarga Adib perlu urus sendiri proses memastikan kepentingan Adib dalam inkues terpelihara.

Adib adalah anggota bomba di bawah KPKT yang terkorban ketika bertugas. Mudahnya kerajaan lepas tangan terhadap anggota keselamatan negara yang bertugas.

Adib sungguhpun anggota perkhidmatan kerajaan jelas tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada majikan beliau sehinggakan peguam yang menjalankan tugas secara pro bono (tanpa bayaran) pun ditamatkan khidmat.

Persoalan lebih penting mengapa Peguam Negara dan Perdana Menteri menggunakan alasan konflik kepentingan ini?

Inkues sepatutnya proses mencari kebenaran punca kematian. Semua pihak dalam inkues wajar membantu Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Koroner untuk membuat keputusan yang tepat menentukan punca kematian.

Alasan pihak yang bertelingkah dalam inkues sangat mencurigakan.

Pertelingkahan hanya boleh berlaku jika ada pihak sudah membuat pendirian atas isu yang dibincangkan.

Apakah kerajaan dan Pejabat Peguam Negara telah membuat keputusan mengenai punca kematian Adib sebelum diadakan inkues?

Ketika dilihat tiada lagi harapan keadilan untuk Adib, Ahmad Soffian Mohd Shariff, suami kepada Syazlin Mansor, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKT.

Beliau dilaporkan meletak jawatan bagi membolehkan isteri beliau meneruskan khidmat kepada keluarga Adib dalam inkues tersebut.

Sehari kemudian, Syazlin mengumumkan keputusannya meneruskan khidmat sebagai peguam keluarga Adib.

Sudah tentu kita tidak menemui kejanggalan sebegini dalam proses mencari keadilan kes kematian Teoh Beng Hock dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan suspek jenayah polis seperti mendiang K Kugan.

Kerajaan boleh menafikan bahawa ada usaha menghalang pencarian kebenaran dalam kematian Adib, namun tingkah laku beberapa menteri dan Peguam Negara memberi isyarat yang sebaliknya kepada rakyat, terutamanya penjawat awam.

Marilah kita berdoa supaya inkues kematian Muhammad Adib menemui keadilan dan kebenaran.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

Kesian keluarga arwah Adib masih tak dapat keadilan. Dah lebih setengah tahun kes ni masih tak selesai lagi.

agak lama juga kes ni tapi masih segar dalam ingatan, alfatihah

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon