Thursday, October 11, 2018

Cuti Sekolah Berperingkat, Apa Kebaikan Dan Keburukannya?


Cadangan bagi cuti sekolah secara berperingkat adalah usaha menangani kesesakan di kawasan tumpuan pelancongan dan bagi memacu industri itu mendapat reaksi berbeza, dengan ada pihak menyatakan ia mungkin baik untuk sektor pelancongan manakala ada yang berpendapat ia mungkin akan mengganggu proses pembelajaran dan kehidupan berkeluarga.

Cuti Sekolah Berperingkat
Gambar hiasan.

Dalam reaksi terhadap cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu yang dilaporkan sedang menyediakan kertas kerja berhubung perkara berkenaan, pihak berkepentingan termasuk warga pendidik dan kalangan ibu bapa menyenaraikan kebaikan dan keburukan idea itu.

Jika dilaksanakan, ia bakal menimbulkan masalah kepada murid dan warga pendidik itu sendiri.

Contohnya jika anggota keluarga bertugas di negeri berlainan, mereka sukar menyelaraskan cuti dengan baik untuk bersama keluarga atau mengatur sesuatu program.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan Razali Mustafa pula menarik perhatian tentang kesukaran menganjurkan acara seperti kejohanan sukan peringkat kebangsaan jika cuti sekolah tidak sama.

Ada juga yang berpendapat, ia akan mengganggu proses pembelajaran umpamanya dari segi keperluan memenuhi silibus sebelum peperiksaan.

Bagi pasangan berkahwin yang tinggal berasingan contohnya seorang di utara dan seorang lagi di selatan semenanjung, bagaimana hendak uruskan cuti ini dan bertemu untuk berkumpul sedangkan cuti mereka berbeza?

Cuti sekolah tidak seragam antara negeri akan menyukarkan penganjuran acara seperti kenduri kahwin atau majlis keraian lain bagi membolehkan keluarga dan sahabat hadir bersama.

Ada juga ibu bapa yang anak mereka bersekolah di negeri berlainan, sekiranya cuti sekolah tidak serentak sukar untuk berjumpa, secara tidak langsung boleh membuat hubungan kekeluargaan renggang.

Cuti persekolahan yang terbaik hendaklah mengambil kira semua pihak seperti ibu bapa yang bekerja dan anak-anak yang bersekolah supaya dapat bercuti serentak.

Kalau ada negeri sesak sekalipun akibat kebanjiran pelancong, ia tidak menjadi masalah kerana kita mempunyai banyak pilihan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar pula menjangka jika cadangan itu dilaksanakan, kos untuk melancong akan menjadi lebih tinggi kerana pengusaha industri pelancongan dikhuatiri menaikkan harga sepanjang masa berbanding secara bermusim sekarang.

Sebagai contoh sekarang harga (tiket) kapal terbang hanya akan naik semasa musim cuti sekolah, dan jika cadangan itu dilaksanakan, harga tiket akan naik setiap bulan kerana setiap negeri bercuti secara berperingkat.

Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir berkata, kebanyakan rakyat Malaysia gemar bercuti beramai-ramai termasuk mengadakan akitiviti hari keluarga di Tasik Kenyir, namun mungkin sukar berbuat demikian jika cuti sekolah berperingkat dilaksana.

Dalam pada itu, guru sekolah menengah di Alor Setar yang hanya mahu dikenali sebagai Balqis, berkata cadangan cuti sekolah berperingkat akan menjadi kekangan kepada pasangan guru berkahwin yang tinggal berjauhan untuk bercuti bersama.

Orang yang PJJ (perhubungan jarak jauh) memang susahlah. Sebab tak sama tarikh cuti. Seorang cuti sekolah, seorang sekolah (cadangan) ini ada pro dan kontra kalau nak ubah dari kebiasaan.

Namun, ada yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, "Bila cuti sekolah berperingkat dilaksana, masalah kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan dan kita dapat bercuti dengan lebih tenang dan santai kerana tak perlu bersesak dengan kehadiran pelancong yang padat di sesuatu kawasan.

Ada juga berpendapat, kos percutian akan turun jika cadangan cuti sekolah berperingkat itu diterima selain tempat tumpuan pelancong tidak terlalu sesak untuk dikunjungi.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Pendidikan menjalankan kajian bersama untuk mengenal pasti keberkesanan cadangan itu.

Antara perkara yang perlu diteliti adalah program yang melibatkan aktiviti di peringkat kebangsaan yang telah dirangka secara bersama dengan sekolah di negeri-negeri berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon