Monday, February 05, 2018

'Apa Salah Aku Pada Cikgu?'


Kita tidak wajar melabel guru secara pukal. Sama seperti tidak patutnya kita menganggap pemandu teksi itu penipu dan keji semunya hanya kerana ada satu dua daripada mereka jenis 'cap ayam'. Guru tetaplah guru yang tanggungjawabnya mulia.

'Apa Salah Aku Pada Cikgu'?
Gambar hiasan.

Tarikhnya, 1985. Aku berpindah dari Ipoh, Perak ke Flat Cheras. Sejak berumur lima tahun sehingga tiga tahun kemudian, aku menetap di Ipoh menemani Opah yang keseorangan.

Hidup aku di kampung umpama syurga. Kasih sayang yang aku terima daripada Opah, melimpah-ruah.

Namun atas keadaan tertentu tiba-tiba aku di bawa ke Kuala Lumpur oleh kedua orang tua untuk tinggal dengan mereka.

Macam kulat di celah kaki

Runtunnya jiwa, jangan dikatalah. Sedihnya ya amat kerana terpaksa berpisah daripada Opah tersayang.

Dan aku kemudian dimasukkan di Sekolah Kebangsaan Jalan Hang Tuah. Tidak jauh dari bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dan bermulah sejarah hitam dalam hidup aku. Sekolah pertama aku di Kuala Lumpur yang kuharap jadi tempat yang memungkinkan aku menemui rakan pengganti rupanya menjadi jerangkap neraka paling azab.

Sejak minggu pertama aku menjejak ke sekolah, aku dimalukan oleh cikgu kelas aku sendiri. Aku tidak lagi ingat nama dia, tetapi dia seorang yang garang, gempal dan tidak memandang aku sebagai murid.

Kewujudan aku dalam kelas umpama kulat di celahan jari kakinya yang didendami kerana tidak dapat dia ubati.

Aku baru berumur sembilan tahun ketika itu. Dan aku yang paling kurus di dalam kelas.

Kekurusan aku itulah menjadi modal untuk cikgu berkenaan aku memanggil aku ke depan setiap hari, memaksa aku menanggalkan baju dan berdiri di depan kelas sambil menuduh aku menghisap dadah.

Soalan-soalan seperti mengapa aku kurus adalah tanda tanya yang wajib aku jawab setiap hari.

Dan jawapan yang mampu aku berikan hanyalah "tidak tahu" atau sekadar berdiam diri. Sebabnya, apa saja yang aku buat hasilnya tetap sama, menambah amarah guru itu yang bertasbih setiap hari kononnya aku menghisap dadah.

Hakikatnya sewaktu umur begitu, dada ayam pun aku tidak tahu macam mana, inikan pula dadah.

Anak tiri, luar nikah

Sejak situ, 'efek rama-rama' pun bermula. Daripada menjadi mangsa ejekan kawan-kawan, dipulau, dibuli, kena pau - semuanya memberi kesan sehinggalah pelajaran aku merosot.

Dan itu kemudian membangkitkan kemarahan kepada ibu bapa aku kerana selalu gagal dalam peperiksaan.

Tapi mereka tidak tahu. Kalau sudah separuh dari masa sekolah aku kena berdiri di depan kelas tanpa memakai baju, bilalah masa aku hendak belajar?

Anehnya, aku tidak pernah mengadu kepada ibu bapa aku. Kenapa? Entah, aku pun tidak tahu.

Daripada tuduhan menghisap dadah, cikgu itu semakin berani melempar pelbagai tuduhan lain. Ia termasuklah kononnya aku anak tiri dan tidak dipedulikan di rumah, atau aku ini anak luar nikah.

Lebih menyakitkan, dia sudah pula menuduh ibu aku menghisap dadah sehingga menjadikan aku kurus.

Tidak cukup dengan itu, bapa aku pula dikatakannya penagih dadah, dan aku adalah baka seorang penagih.

Pilu di hati bukan kepalang. Pada usia begitu aku hanya mampu tunduk, membiar air mata menitis sambil berdoa semoga mimpi ngeri itu segera berakhir.

Nak dijadikan cerita, suatu ketika aku terkena demam campak. Setelah aku sembuh, dengan badan masih berparut kesan demam itu, aku kembali ke sekolah.

Sewaktu cikgu tersebut nampak saja aku di dalam kelas, aku dihalau keluar. Entah apa yang ada dalam kepalanya. Sudahnya aku hanya berdiri di koridor sehingga tamat waktu sekolah.

Keesokannya juga sama. Aku dihalau dari kelas. Mujur guru kelas sebelah memanggil aku masuk dan duduk di dalam kelasnya.

Puas dapat mendera

Aku hanya mampu tunduk dan mengucapkan terima kasih. Sedang di dalam hati aku sudah menangis dalam menerima belas.

Ketakutan aku kepada cikgu tersebut memang melampau sehinggakan jika aku mahu ke tandas pun, aku tidak mengangkat tangan meminta kebenaran daripadanya.

Aku hanya menahan rasa itu sehingga loceng rehat atau loceng tamat sekolah berbunyi.

Mujur aku hanya bersekolah di situ selama setahun.

Tahun berikutnya, 1986. Ibu bapa aku membeli rumah di Ampang. Dan aku di pindahkan bersekolah di Ampang.

Pada hari terakhir aku di sekolah awal, tidak ada ucapan selamat tinggal atau selamat maju jaya daripada murid sekelas aku. Tidak ada juga permohonan maaf, apa lagi salam dan lambaian sesiapa.

Yang ada cuma aku - dengan senyum penuh lega - berlalu tanpa menoleh kebelakang lagi.

Sampai sekarang, walau nama cikgu tersebut tidak lagi aku ingati, tetapi aku tetap ada perasaan khusus padanya. Aku masih ingat wajahnya yang tersenyum puas apabila dapat mendera aku.

Tidak sekali-kali aku memaafkannya kerana perlakuan dia meninggalkan calaran emosi yang sangat mendalam. Hingga sekarang aku masih terkesan dengannya, dan kecacatan dalaman itu nampaknya akan kekal.

Aku terpaksa bersusah-payah hidup dengannya selagi hayat dikandung badan.

Nyawa tak dapat diganti

Tetapi seperti yang aku katakan tadi, tidak juga aku melabelkan semua cikgu begitu walau sepanjang penderaan emosi tersebut aku berulang kali memikirkan tentang mati.

Aku bersyukur aku tidak tahu - apa lagi terfikir - mengenai bunuh diri. Apa yang aku ingat waktu itu ialah doa agar tuhan mencabut nyawa aku di situ juga.

Ya, percayalah, tidak kira kau siapa - guru, polis, tukang masak malahan ibu bapa - kanak-kanak juga memikirkan soal mati.

Lebih-lebih lagi jika emosinya didera tanpa belas. Hentikanlah bersikap zalim pada anak-anak. Pupuklah kembali sifat ihsan dan santun pada mereka.

Jika terlanjur, sebesar mana pun penyesalan, setebal mana kata maaf atau sederas mana air mata, nyawa itu tiada galang ganti.

Jika aku dapat bertemu lagi dengan cikgu tersebut, aku hanya mahu tanya satu soalan sahaja: apa dosa aku pada dia? Aku mahu tahu itu. Dan jika benar aku yang bersalah, demi bulan dan matahari, ampunkanlah aku cikgu.

***

MUHD IQBAL mekanik dan pakar bateri kapal terbang yang menikmati manga, filem dan sastera. Dia kini berkelana di sebuah negara padang pasir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Mengalirnya Air Mata Seorang Guru

sumber: mk

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon