Nov 12, 2015

Penangan ‘Ustaz Jin’

“Aku takkan keluar selagi perempuan ini tak mampus” jerit seorang wanita setengah abad membuatkan jantung orang sekeliling yang memerhati berdegup kencang dan sebahagian daripada mereka mula seriau serta meremang bulu roma.

Norazman Al-Banjary
Norazman memeriksa keadaan Mira akibat derita disantau.

Beberapa lelaki dan wanita terpaksa memegangnya apabila dia mula meronta serta menjerit bagaikan hilang akal.

Bagaimanapun dalam ratusan mata yang memerhati, tiada siapa pun berganjak dari tempat duduk masing-masing dan mereka terus menunggu penuh sabar dan debar.

Bukan pekikan wanita yang kerasukan itu membuatkan mereka terus menanti, tetapi ada perkara lebih penting dihajati iaitu ingin bertemu dengan pengamal perubatan tradisional atau perubatan Islam, Norazman Al-Banjary, 44, dan tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk menjalani rawatan akibat disihir, mengalami gangguan jin dan saka.

Hebatnya penangan lelaki itu yang lebih popular dengan panggilan 'Ustaz Jin' hingga membuatkan orang ramai sanggup menunggu berjam-jam lamanya dan sebahagiannya juga sanggup menunggu sehingga Subuh.

Hanya dengan bacaan ayat suci al-Quran untuk merawat pesakit yang didakwa terkena gangguan jin, saka, disantau dan pelbagai lagi masalah berkaitan makhluk halus, 'Ustaz Jin' terus menjadi buruan.

Sinar Harian berpeluang bertemu dengan lelaki berkenaan ketika sesi rawatan yang dijalankan di Kampung Nibong, baru-baru ini, dan merungkai apa sebenarnya keistimewaan bapa kepada lapan cahaya mata itu serta turut menyaksikan sendiri sesi rawatan yang dijalankan secara terbuka.

Pesakit datang dari serata tempat

Norazman berkata, kehadirannya ke Paka bagi memenuhi permintaan ramai dan rawatannya tidak tertumpu di satu-satu tempat sahaja, tetapi sering bertukar lokasi.

Menurutnya, ilmu perubatan yang diamalkan adalah warisan nenek moyang dan menjadi prinsipnya untuk menentang perkara tahyul atau cara yang boleh mendatangkan syirik.

“Sebelum ini saya aktif menjalankan rawatan di Indonesia iaitu kira-kira lapan tahun lalu dan sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya berada di Kelantan.

“Pesakit yang datang dari serata tempat di seluruh negara. Walaupun jauh mereka sanggup datang semata-mata untuk berubat dan mahu bebas dari gangguan jin atau sebarang serangan makhluk halus.

"Atas permintaan ramai sejak beberapa bulan lalu, saya berada di Kerteh dan selepas itu barulah di Paka,” katanya.

Salasilah keluarga beliau di Indonesia dan Melaka memang terkenal dengan rawatan seumpama itu dan beliau merupakan generasi keempat mewarisinya.

Kebiasaannya sesi rawatan bermula selepas Isyak iaitu kira-kira jam 9 malam dan ia berterusan sehingga Subuh, malah masih ramai yang datang tidak sempat dirawat.

400 pesakit setiap malam

Kata suami kepada dua isteri itu, setiap malam tidak kurang 400 pesakit menanti untuk melakukan rawatan, tetapi dengan masa yang ada, tidak semua dapat dipenuhi.

“Saya lakukan rawatan di Paka, tapi yang datang bukan saja penduduk di sini, tapi ada dari negeri lain.

“Walaupun lakukan rawatan secara percuma tapi saya tidak anggap ia satu kerugian dan niatnya untuk bantu masyarakat kerana jika terkena gangguan jin, sihir, saka atau makhluk halus.. bukan sahaja yang terkena menanggung seksa, tapi ahli keluarga lain akan terheret sama.

“Kaedah digunakan memang berbeza dengan bomoh atau pengamal perubatan yang ada membaca jampi serapah atau mantera kerana kekuatan hanya bergantung kepada ayat al-Quran.

"Apa yang saya amalkan ialah bacaan Al-Fatihah, Ayatul Qursi dan tiga Qul tetapi caranya mestilah betul,” katanya.

Menurutnya, merawat gangguan sebegitu tidak akan hilang sekelip mata dan dengan sekali rawatan ia tidak akan sembuh.

“Masa yang ada banyak dihabiskan bersama pesakit dan dalam sehari saya hanya tidur selama empat jam kerana setiap waktu ada yang menunggu. Saya tak sanggup hampakan mereka,” katanya.

Berhadapan pelbagai kerenah pesakit

Cabaran ketika menjalankan rawatan adalah perkara biasa baginya dan beliau sudah berdepan dengan pelbagai kelakuan pesakit ketika kerasukan.

“Ketika menjalankan rawatan, sekiranya ada gangguan, pesakit akan kerasukan dan mereka boleh bertindak di luar kawalan.

“Sekiranya perempuan, kudratnya boleh melampaui kekuatan lelaki dan perlu dipegang enam atau tujuh orang.

"Ada yang bersilat, ada mengaum, ada yang bercakap dalam bahasa Siam, Arab, Cina dan pelbagai lagi bahasa yang tidak difahami.

“Ada yang terjerit, terpekik melolong, melompat dan pelbagai lagi, tapi itu bukan perkara pelik bagi saya serta sukarelawan yang membantu.

“Ada juga pandangan negatif daripada segelintir masyarakat membuat fitnah dan tohmahan terhadap kaedah rawatan diamalkan, tetapi apa yang penting niat serta kita percaya kepada ALLAH SWT,” katanya.

Ditanya sampai bila beliau akan terus merantau untuk membantu masyarakat, lelaki itu hanya tersenyum dan menjawab selagi orang ramai memerlukan serta hingga ke akhir nyawa.

“Bila dapat merawat pesakit dan melihat mereka sembuh, saya rasa amat gembira serta bersyukur. Kita perlu berkeyakinan dan yang menyembuhkan adalah ALLAH.

“Kepada yang terkena gangguan, mereka perlu dekatkan diri dengan ALLAH dan jauhkan amalan pemakaian azimat atau tangkal kerana ia satu perbuatan syirik.

“Rawatan yang diberikan tiada pencennya dan saya sentiasa bersedia berkhidmat untuk masyarakat,” katanya.

Lapan tahun derita disantau

Mereka yang datang untuk bertemu 'Ustaz Jin' mempunyai penyakit dan terkena gangguan berbeza serta salah seorang yang berkongsi kisah derita bertahun-tahun lamanya akibat disantau ialah gadis berusia 23 tahun.

Mira (nama samaran) berasal dari Kota Bharu, Kelantan, sanggup bermalam berhari-hari di Paka semata-mata untuk menjalani rawatan.

Katanya, sejak berusia 15 tahun dia menanggung derita apabila mengalami sakit di bahagian belakang, muntah darah disertai benda asing seperti kaca, paku, rambut dan pelbagai lagi dipercayai akibat disantau.

“Saya sudah berubat di merata-rata tempat, tetapi semuanya hampa dan penyakit dialami semakin teruk. Ada yang bagi tangkal tetapi berbeza dengan Ustaz Norazman kerana dia hanya bacakan ayat-ayat al-Quran dan bagi minum air yang dibaca ayat suci sahaja.

“Saya amat terseksa kerana tidak boleh melelapkan mata dan saban hari terus muntah darah serta dihantui perkara menakutkan.

“Alhamdulillah menerusi rakan-rakan, saya mengetahui rawatan yang dilakukan ustaz dan mula mengikuti perkembangan beliau di laman sosial Facebook," katanya.

Jelasnya, rawatan kali pertama di Kok Lanas menunjukkan perubahan positif dan tidak lagi muntah darah, dia kemudian meneruskan rawatan susulan di Kerteh dan sekarang di Paka.

“Keadaan saya makin sihat dan saya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk berubat serta sangat berharap dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Saya pernah bertemu doktor tetapi mereka kata saya tidak berpenyakit sedangkan keadaan saya amat menyeksakan,” ujarnya.

Hidup bagai dalam filem seram

Mendengar kisah seorang suri rumah, liza (nama samaran), kita mungkin menganggapnya bohong tetapi itulah kesengsaraan yang perlu dihadapinya.

Katanya, seperti melihat aksi menakutkan di dalam filem seram, begitulah yang dialaminya sejak 13 tahun lalu.

“Saya mengalami pelbagai mimpi buruk dan di dalam nyata pula menyaksikan perkara mengerikan. Tidak ubah di dalam filem seram, ada lembaga berambut panjang dan pelbagai lagi jelmaan menakutkan tetapi lama-lama kelamaan rasa takut semakin hilang.

“Bukan saja melihat lembaga menakutkan, tapi saya turut alami sakit belakang dan kepala keterlaluan malah jika ia menyerang saya tidak boleh lakukan sebarang kerja.

“Dalam tempoh 24 jam saya tidak makan dan minum serta hanya tidur. Bukan saya saja diganggu, anak-anak juga sering melihat lembaga menakutkan di dalam rumah," katanya.

Disebabkan derita ditanggung, katanya, dia turut mencuba nasib untuk menjalani rawatan dengan 'Ustaz Jin' dan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dan sakit dialami semakin berkurangan.

Suaminya, Abdullah Abd Ghanu, 51, berkata, sepanjang tempoh 13 tahun merata-rata tempat dia membawa isterinya berubat, malah terpaksa menjual tanah untuk menampung kos rawatan.

“Saya sanggup jual tanah semata-mata untuk bawa isteri berubat dan bila terdengar saja berita tentang pengamal perubatan di mana-mana, memang saya akan pergi.

“Walau merata negeri berubat tetapi penyakit isteri tetap menjadi-jadi dan apa yang saya harapkan menerusi kaedah rawatan dilakukan Ustaz Norazman, ia mampu mengubah kehidupan kami.

“Saya tidak kisah menunggu dari jam10 malam hingga jam 4.30 pagi, asalkan isteri dapat berubat dan selepas beberapa sesi, keadaan isteri nampaknya semakin baik.

“Besar harapan kami supaya tiada lagi gangguan jahat menghantui kehidupan kami sekeluarga dan derita ditanggung isteri akan berakhir,” katanya.

BACA INI JUGA: Misteri Kitab Iblis, Codex Gigas!

Sumber: Sinarharian

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon