Tuesday, June 16, 2015

Trend Pelancong Berbogel Diseluruh Dunia Cetus Kontroversi


Sebelum ini, Rodolphe Fourgeot, 21: Alexandre Vix, 21, dan Vincent Bocquet, 20, mencetuskan kontroversi selepas mereka ditangkap mengambil gambar bogel di Tapak Warisan Dunia berkenaan.

Kinabalu Pelancong Bogel

“Apa yang tidak kena dengan pelancong Barat sejak akhir-akhir ini. Itulah persoalan yang bermain-main di fikiran Kerya Chau Sun, jurucakap Pihak Berkuasa untuk Perlindungan dan Pengurusan Angkor serta Wilayah Siem Reap (APSARA) mengenai tindakan pasangan adik-beradik, Lindsey Kate Adams, 22, dan Leslie Jane Adams, 20, yang ditangkap mengambil gambar dalam keadaan berbogel di kuil Preah Khan pada 8 Februari lepas.

Insiden tersebut merupakan kejadian kali kedua yang dilaporkan berlaku dalam tempoh hanya dua minggu membabitkan kes seumpama itu, selepas tiga orang pelancong warga Perancis ditangkap pihak berkuasa Kemboja atas kesalahan serupa.

Langgar tatasusila

Menurut Chau Sun, tindakan mereka merakam gambar tidak senonoh di salah satu lokasi suci di dalam kompleks Angkor Wat itu bukan sahaja menyinggung perasaan penduduk setempat, malah menjejaskan kesucian lokasi berkenaan.

“Kuil ialah tempat ibadah. Tindakan mereka yang berbogel tidak bertempat itu amat tidak sesuai. Sesiapa pun tidak patut mengambil gambar bogel di situ,” katanya seperti dipetik portal Cambodia Daily.

Sebagai hukuman, kesemua pelancong itu dikenakan denda sebanyak 1 juta riel (RM936) setiap seorang dan penjara enam bulan yang ditangguhkan pelaksanaannya selain dilarang masuk ke Kemboja selama empat tahun.

Kedua-dua kejadian tersebut seolah-olah menjadi pembuka trend kepada isu pelancong asing berbogel di lokasi bersejarah serta menjadi tumpuan ramai.

Buktinya, pada bulan Mei lalu, seorang pelancong wanita muda dari Hong Kong sanggup menanggalkan pakaiannya ketika mencuba sukan ekstrem bungee jumping di Chang Mai, Thailand.

Kisahnya mendapat perhatian ramai selepas video terjunan yang dimuat naik itu menjadi viral di beberapa laman media sosial.

Akibatnya, pusat sukan berkenaan, X Centre Bungee Jump yang terletak di Mae Rim didenda gara-gara membenarkan pelancong itu berbogel semasa melakukan aktiviti berkenaan.

Salah seorang pelancong yang pernah bergambar bogel di Taman Negara Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat berkata, perbuatan itu bagi melahirkan rasa teruja selepas berpeluang menjejakkan kaki ke salah satu destinasi ikonik di dunia.

“Ia sebagai simbol persahabatan dan sesuatu yang di luar kebiasaan. Pemandangan lokasi yang ikonik itu menambah nilai istimewa kepada momen berkenaan.

"Lagipun, tiada orang lain ketika gambar-gambar ini dirakam, jadi saya fikir, tiada sesiapa yang akan berasa tersinggung,” katanya seperti dipetik portal BBC.

Terbaharu, sekumpulan 10 pendaki warga Eropah dilaporkan berkelakuan kurang sopan dengan beraksi bogel di kawasan South Peak berketinggian 3,933 meter di Gunung Kinabalu, Sabah.

Kejadian yang berlaku pada 30 Mei lalu itu lantas mendapat kecaman dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya penduduk Sabah lebih-lebih lagi tindakan tidak beradab tersebut didakwa menjadi punca kepada kejadian gempa bumi yang menggegarkan Negeri Di Bawah Bayu itu baru-baru ini.

Ia berdasarkan kepercayaan masyarakat kaum Kadazan Dusun yang membentuk 30 peratus populasi penduduk Sabah yang menganggap gunung tertinggi di Asia Tenggara itu sebagai tempat suci persemadian roh nenek moyang mereka.

Kejadian gempa bumi yang paling kuat pernah direkodkan di Malaysia dengan kekuatan 5.9 skala Ritcher itu mengorbankan 18 nyawa termasuk enam rakyat negara ini.

Selain itu, salah satu puncak Gunung Kinabalu yang juga menjadi ikon gunung tersebut, Donkey’s Ear Peak patah akibat gegaran gempa tersebut.

“Apabila menjejakkan kaki ke tempat orang, perlu diingat negara itu mempunyai tradisi dan undang-undang yang perlu dipatuhi. Mungkin anda tidak bersetuju dan menganggap ia kepercayaan karut atau konservatif tetapi tidak bagi penduduk setempat yang lebih arif tentang selok-belok negara mereka,” kata Editor Pelancongan Kanan akhbar Independent, Simon Calder.

Tidak bertamadun

Pelancong-Hong_Kong-Berbogel
Pelancong Hong Kong yang berbogel di Thailand.

Persoalannya, adakah insiden-insiden berkenaan hanya satu kebetulan atau sememangnya terdapat komuniti dalam internet yang cuba mencipta trend berbogel ketika melancong.

Manakan tidak, trend itu dilihat melonjakkan populariti beberapa blog seperti My Naked Trip dan Naked at Monuments yang merencanakan percutian pengembara backpackers dalam keadaan bogel di beberapa mercu tanda terkenal dunia.

Bagi golongan berkenaan, merakam momen berada di mercu tanda terkenal sesebuah negara dilihat masih belum cukup untuk mengabadikan ia sebagai kenang-kenangan.

Dalam mencari kelainan, mereka sanggup melanggar norma-norma sosial dengan berani berbogel bagi memenuhi kepuasan diri.

Namun, tanpa disedari, tindakan mereka itu menimbulkan perasaan marah dan tidak puas hati dalam kalangan penduduk setempat.

Malah, tindakan tidak senonoh itu dikritik masyarakat dunia kerana memperlihatkan ketidakmatangan pihak terbabit yang tidak mengendahkan sensitiviti, adat, budaya serta agama negara yang dilawati.

Menurut Pensyarah Kanan Psikologi Universiti Central Lancashire, England, Sandi Mann, kemahuan sesetengah orang yang ingin menjadi popular dan berharap diri mereka disukai di laman sosial media dilihat sebagai sesuatu kelakuan yang menyedihkan.

“Perbuatan berbogel dengan berlatar belakangkan dinding kosong tidak memberi kesan mendalam berbanding menonjolkan tubuh telanjang bersama monumen terkenal.

“Tindakan pelancong Barat ini seolah-olah perbuatan menunjuk-nunjuk bahawa mereka telah merasai pengalaman menjejakkan kaki ke destinasi tertentu sedangkan realitinya tidak.

“Sebetulnya, anda perlu benar-benar merasai serta mendalami budaya masyarakat di situ. Itulah tujuan sebenar melancong,” jelasnya seperti dipetik portal BBC.

Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar berkata, perbuatan berbogel itu adalah satu pencabulan terhadap batasan sosial yang diguna pakai sesebuah tamadun.

“Tindakan mereka seperti orang tidak bertamadun dan bercanggah dengan adat ketimuran yang diamalkan oleh negara-negara Asia,” ujarnya.

BACA INI JUGA: Nasihat Seorang Perogol Untuk Wanita

Sumber: Kosmo.com.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon