Jun 30, 2015

Fenomena “Leap Second”, Dunia Terima Bonus Satu Saat

Hari ini waktu harian di seluruh dunia akan bertambah satu saat berikutan fenomena dikenali sebagai “Saat Lompat” atau “Leap Second”.

1-Saat

Dan pada hari ini juga, International Earth Rotation and Reference Systems (IERS) yang berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran bumi yang sebenar.

Menurut Pegawai Sains Agensi Angkasa Negara, Mohd Zamri Shah Mastor, ini bermaksud waktu keseluruhan pada hari ini akan menjadi 24 jam satu saat.

Beliau menarik perhatian bonus satu saat ini adalah berikutan faktor kadar putaran bumi di atas paksinya yang semakin perlahan.

Kadar putaran bumi antara lain, beliau menjelaskan, dipengaruhi faktor pergerakan kutub, geseran pasang surut air laut, interaksi pusat bumi dengan lapisan tengah bumi dan cuaca.

“Faktor-faktor ini boleh menyebabkan putaran bumi sama ada semakin perlahan atau cepat, jadi fenomena Saat Lompat ini juga bukan sesuatu yang tetap, ia bergantung kepada putaran bumi,” katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Bernama, di ibu negara pada Isnin.

Mohd Zamri berkata bonus satu saat itu akan diperoleh di penghujung hari ini.

Dalam hal ini, beliau berkata InternationalEarth Rotation and Reference Systems (IERS) yang berpangkalan di Paris dan berfungsi sebagai badan pemantau putaran bumi akan menyeragamkan waktu piawaian dunia (UTC) mengikut kadar putaran bumi yang sebenar.

“Walaupun bertambah cuma satu saat dan ramai yang terlepas pandang, namun pertambahan waktu ini memberi kesan kepada industri yang berorientasikan pemasaan kepersisan (berketepatan) tinggi,” katanya.

Setakat ini, menurut Zamri, UTC telah ditambah satu saat sebanyak 25 kali sejak tahun 1972 dengan kali terakhir pada Ahad, 1 Julai 2012.

Sementara itu, Pengetua Kanan Metrologi, Makmal Metrologi Kebangsaan, SIRIM Berhad, Dr Mohd Nasir Zainal Abidin, ketika ditanya sama ada masa pada peranti elektronik seperti di telefon bimbit perlu diselaraskan secara manual berkata, semua alat elektronik akan disegerakan secara automatik ke masa rangkaian pelayan protokol.

Begitu juga dengan komputer saling berkaitan atau rangkaian, katanya sambil menambah bahawa isu kemasukan Saat Lompat hanya kritikal pada pelayan (server).

Ditanya mengenai kemungkinan pelayan komputer gagal berfungsi dengan baik pada Selasa, beliau menceritakan apa yang berlaku pada fenomena yang sama pada 1 Julai 2012 yang jatuh pada hujung minggu.

“Walaupun begitu, 10 peratus masa protokol rangkaian pelayan di seluruh dunia melakukan kesilapan.

“Kebanyakan pelayan dapat ditetapkan dalam masa sejam tetapi beberapa pihak lain mengambil masa sehari,” katanya, sambil menambah di Australia, sistem daftar masuk penerbangan ekoran saat tambahan telah menjejaskan laman web popular.

Oleh itu, bagi hari kerja biasa hari ini, beliau menasihatkan langkah berjaga-jaga diambil terutama dalam perniagaan dalam talian, sistem rangkaian, pembekal perkhidmatan internet, perkhidmatan notari masa digital dan aplikasi seperti MySQL, Hadoop dan Cassandra.

“Beberapa pembekal perkhidmatan sedang mengambil langkah untuk menggantung atau menghentikan operasi untuk beberapa jam sebelum dan selepas perubahan masa.

“Adalah sukar untuk menyatakan dengan tepat kerana ini tidak banyak dilaporkan.

“Bagaimanapun masalah ini tidak boleh diabaikan kerana jumlah besar transaksi perniagaan boleh berlaku dalam masa sesaat. Tambahan pula, transaksi tidak terhad kepada zon masa tunggal,” katanya.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Betapa Luasnya Alam Semesta?

Sumber: Therakyatpost.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon