Sep 16, 2014

16 September Hari Malaysia

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963.

16 September Hari Malaysia

Ia menandakan penyertaan bersama Malaya, Sabah, Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancang berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan yang ke-6.

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina ketika pembentukan Malaysia telah melambatkan pengisytiharan pada 16 September tahun yang sama.

Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (Sabah dan Sarawak).

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Ia bukan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Namun, bermula pada tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di seluruh Malaysia.

Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.

Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British.

Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.

Dan akhirnya pada 16 September 1963, menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Baca seterusnya disini..

Marilah kita bersyukur kerana disatukan di dalam sebuah negara aman damai bernama Malaysia. Jika dahulunya tiada penyatuan ini, mungkin..mungkin kita tidak berada pada keadaan sekarang.

Lihatlah Mindanao di Filipina, selama berpuluh tahun hidup dalam ketakutan bahana perang yang meletus.

Imbas kembali Acheh suatu ketika dahulu, berperang sesama sendiri.

Sempena Hari Malaysia 2014 ini, marilah bersama-sama menadah tangan memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT diatas limpah kurnia dan kasih sayang-Nya, kita masih lagi menghirup udara keamanan dan kekayaan.

Kaya kerana kita tidak kebuluran, aman kerana kita dijauhkan daripada bala peperangan.

Semoga nikmat ini akan kekal berterusan sehinggalah dunia ini sampai ketitik penghujungnya. Amiin..

-SENTIASAPANAS.COM

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

4 comments

terima kasih atas perkongsian sedikit sejarah hari malaysia

Semoga Malaysia terus aman & makmur... aamiin. Selamat Hari Malaysia SP!

Kita anak Malaysia... Selamat menyambut hari Malaysia!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon