Thursday, July 17, 2014

RM79,800, Model Honda Yang Akan Membunuh Proton!


Penggemar kereta jenis ‘compact’ atau ‘hatchback’ kini boleh berkira-kira untuk membeli kereta terbaru keluaran Honda apabila model Jazz generasi ketiga dilancarkan kelmarin.

Honda All New Jazz

Jazz serba baru yang hadir dalam pelbagai variasi amat sesuai menjadi kereta untuk si muda mudi, eksekutif mahupun yang sudah berkeluarga.

Jazz generasi ketiga ini dijual dengan harga bermula dari RM72,800 bagi variasi S. Bagi variasi E; harganya ialah RM79,800 dan bagi variasi V; ia dijual dengan harga 87,800.

Model ini ada kemungkinan menjadi pembunuh model-model kereta keluaran Perusahaan Automobil Negara (Proton) apabila variasi S lebih murah daripada model Proton Suprima S dengan rupa yang lebih kurang sama.

Proton Suprima S dijual pada harga bermula RM76,701.50 berbanding Honda Jazz baru hanya RM72,800.

Bagi variasi V yang paling tinggi harga dengan ciri-ciri keselamatan maksimum, Honda Jazz generasi ketiga masih lagi tampil lebih murah dengan hanya RM87,800 berbanding Proton Suprima S iaitu 87,942.95.

Dalam soal ini, para pengguna akan melihat peluang mendapatkan kereta buatan pengeluar ternama iaitu Honda dengan harga yang lebih murah berbanding kereta keluaran dalam negara.

Honda Jazz generasi ketiga dilancarkan dalam satu majlis eksklusif di tepi Kolam Pancuran Air di pusat membeli-belah Suria KLCC di ibu negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd; Yoichiro Ueno berkata Honda Jazz generasi kedua sebelum ini mendapat tempat di hati orang ramai apabila terjual sebanyak 5.2 juta unit di seluruh dunia.

“Untuk model ini, Honda mensasarkan untuk mendapatkan jualan untuk semua variasi sebanyak 1,200 unit sebulan dan sasaran 76,100 unit untuk tahun 2014,” katanya dalam ucapan pelancaran model berkenaan.

Yoichiro berkata Honda Jazz yang baru ini bakal menarik minat para pelanggan yang mahukan sebuah kereta yang bukan sahaja seronok untuk dipandu, malah versatil dan memiliki fungsi terbaik demi keperluan gaya hidup penggunanya.

“Jazz serba baru didatangkan dalam satu pakej menarik yang ideal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, daripada pelajar kolej, eksekutif muda hinggalah pasangan yang sudah berkahwin serta keluarga,” katanya.

Honda All New Jazz [2]

Sementara itu, dalam ucapan penerangan berkenaan model terbaru itu, Pembantu Ketua Projek Besar All-New-Jazz Daisuke Uragami berkata Jazz baru menampilkan reka bentuk baru dari Honda iaitu ‘H Design’ yang membuatkan kereta ini kelihatan garang dan sporty.

Kereta Honda Jazz baru dikuasakan oleh enjin 1.5 Liter SOHC i-VTEC yang telah ditambahbaik dengan Transmisi Bersambung (CVT) yang baru direka bentuk.

Jazz generasi ketiga, didatangkan dalam lima variasi warna iaitu warna baru perak (New Tinted Silver), biru (Brilliant Sporty Blue Metallic), putih (Taffeta White), hitam (Crystal Black Pearl), dan kelabu (Modern Steel Metallic).

Sumber: Mynewshub.my

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon