Wednesday, April 23, 2014

Brunei Tangguh Pelaksanaan Hukum Hudud


Brunei menangguhkan pelaksanaan undang-undang Islam yang sepatutnya bermula semalam ketika negara itu menerima kecaman Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Brunei Laksana Hukum Hudud

Pembantu Pengarah Unit Undang-undang Islam Brunei, Jauyah Zaini berkata, tiada tarikh baru ditetapkan untuk memulakan pelaksanaan undang-undang syariah itu yang menyediakan peruntukan hukuman sebat, memotong tangan atau kaki serta rejaman hingga mati.

Namun, Jauyah berkata, undang-undang itu akan tetap dilaksanakan “dalam masa terdekat.” Katanya, pelaksanaan undang-undang itu terpaksa ditangguh atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengumuman itu dibuat ketika Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan lawatan rasmi ke Singapura dan kerajaan dipercayai menunggu pemerintah berkuasa itu kembali sebelum memperkenalkan undang-undang sensitif berkenaan.

Namun, penangguhan pelaksanaan hukuman itu mampu mengubah pendirian sultan berusia 67 tahun itu.

Pihak berkuasa baru-baru ini menjalankan beberapa taklimat untuk agensi rasmi dan organisasi bukan kerajaan bagi menerangkan mengenai hukuman berkenaan.

Peguam dan aktivis hak asasi, Nizam Bashir berkata, pengenalan undang-undang itu bagaikan satu tembok bagi mengatasi globalisasi.

“Jika anda cuba melompat tembok itu, akan timbulnya beberapa isu.

“Setiap kali anda menerima jawapan, soalan lain akan bermula dan memberikan mereka idea yang tidak selari dengan konsep yang difahami,” katanya.

Sementara itu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB menyatakan “sangat bimbang” dan mendakwa, hukuman seperti merejam dengan batu diklasifikasi undang-undang antarabangsa sebagai hukuman “penderaan kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Hampir 70 peratus daripada 400,000 rakyat Brunei adalah Melayu Muslim, manakala kira-kira 15 peratus lagi etnik Cina bukan Islam. -AFP

Hudud bukan mudah pelaksanaannya

Brunei Laksana Hukum Hudud [2]

Sejarah membuktikan hudud pernah dilaksanakan di Tanah Melayu (kini Malaysia) ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka selepas kemasukan Islam di Melaka pada 812 Hijrah (1409 Masehi).

Hudud daripada segi bahasa bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan dan pada sudut istilah pula bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda dan ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau hakim.

Terdapat enam kesalahan hudud yang disepakati oleh semua ulama, iaitu zina, qazaf (menuduh seseorang melakukan zina tanpa saksi), mencuri, hirabah (rompakan), minum arak dan murtad.

Hakikatnya, orang Islam pada dasarnya memang tidak boleh menafikan hukum-hakam yang disebut di dalam al-Quran, tetapi harus diketahui bahawa terdapat batas-batas dalam mentafsirkannya.

Ini kerana apabila manusia mentafsir hukum-hakam dalam al-Quran, dikhuatiri tidak sama dengan maksud yang terkandung dalam kitab suci itu. Sebagai contoh, hudud yang dilaksanakan di Pakistan dan Somalia telah mengundang banyak kritikan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, orang bukan Islam juga perlu diberi pendedahan tentang tujuan sebenar pelaksanaan hudud kerana kita tidak mahu mereka kata hudud adalah sesuatu yang kejam.

Anggapan negatif hukum hudud bahawa ia undang-undang zalim termasuk hukuman kerat tangan bagi kesalahan mencuri telah sekian lama dipropagandakan oleh media Barat sehingga menakut-nakutkan orang bukan Islam.

Namun ia tidak bermaksud tidak boleh dilakukan asalkan masyarakat dan kerajaan bersetuju secara dasar untuk melaksanakannya. -Utusan Malaysia

-Sentiasapanas.com

1 comment

  1. Utusan..?! Hmm...dengar boleh...per aya jangan...

    Bagi aku "Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih".

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon