Tuesday, April 08, 2014

Baghdad Bandar Raya Paling Teruk Di Dunia


Pada awal tahun 1970-an, bandar Baghdad telah diangkat sebagai bandar model kepada dunia Arab.

Baghdad Before The War

Namun kini, selepas sedekad tercetusnya konflik yang tidak berkesudahan, bandar tersebut digelar sebagai bandar paling teruk di dunia.

Menurut kaji selidik terbaharu oleh kumpulan perunding Mercer, Baghdad berada pada kedudukan terakhir daripada 239 buah bandar utama dunia.

Kajian agensi itu melibatkan penilai terhadap faktor kestabilan politik, jenayah dan pencemaran.

Ibu kota Iraq itu disamakan dengan Bangui di Republik Afrika Tengah dan ibu negara Haiti, Port-au- Prince. Kedudukan terbaharu bandar raya berusia 1,250 tahun itu menyebabkan ia tidak lagi dianggap sebagai pusat intelektual, politik dan ekonomi global.

Setiap hari penduduknya berdepan dengan insiden serangan bersenjata, kekurangan bekalan elektrik dan air bersih, sistem pembetungan dan perparitan yang lemah, rasuah berleluasa, kesesakan lalu lintas dan pengangguran.

"Kami seperti tinggal di berek tentera," keluh seorang jurujual kertas, Hamid al-Daraji.

Katanya, penduduk terpaksa berhadapan dengan pemeriksaan ketat tentera dan polis selain kesan psikologi akibat serangan bom.

"Orang kaya dan miskin berkongsi penderitaan sama. Mereka juga berisiko menjadi mangsa letupan, penculikan atau pembunuhan.

"Nyawa kami boleh hilang pada bila-bila masa sahaja," katanya yang berusia 48 tahun.

baghdad kini bandaraya paling teruk

Pembinaan bandar pertama di Sungai Tigris bermula pada tahun 762 Masihi ketika pemerintahan Abbasiyah iaitu Khalifah Abu Jaafar al-Mansur. Sejak itu, ia telah memainkan peranan penting dalam masyarakat Arab dan dunia Islam.

Pada abad ke-20, Baghdad diiktiraf sebagai bandar contoh Arab moden dengan kewujudan beberapa universiti dan muzium terbaik, golongan elit berpendidikan tinggi, pusat kebudayaan dan kesihatan terbaik.

Para pegawainya sentiasa dijadikan rujukan di rantau itu. Gergasi gabungan minyak negara-negara Islam iaitu Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga ditubuhkan di ibu kota Iraq itu.

Baghdad menjadi kediaman kepada penduduk beragama Islam, Kristian, Yahudi dan lain-lain etnik.

Profesor sejarah politik di Universiti Mustansiriyah, Issam al-Faili berkata, Baghdad mewakili pusat ekonomi negara Abbasiyah.

Universiti Mustansiriyah katanya merupakan institusi bersejarah yang berusia hampir 800 tahun.

Ujar beliau, Baghdad telah dijadikan tempat asas mengawal negara jiran bagi mengukuhkan pengaruh Islam."

"Dahulu bandar ini dijadikan rujukan dunia namun kini, ia menjadi salah satu bandar paling sengsara di dunia," kata Faili.

Sepanjang bulan Februari sahaja, sebanyak 57 insiden keganasan telah berlaku termasuk 31 serangan bom kereta.

baghdad kini bandaraya paling teruk [2]

Pada 5 Mac sahaja, sebanyak 12 insiden tembakan dan pengeboman dilaporkan yang membunuh 20 orang. Keesokan harinya, empat lagi pengeboman berlaku menyebabkan 11 maut.

Pasukan keselamatan biasanya bertindak balas dengan mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Baghdad dan menyekat pergerakan keluar masuk.

Dinding konkrit pula telah dibina bagi menahan impak letupan di beberapa lokasi penting sehingga membahagikan kawasan kejiranan.

Bangunan kerajaan misalnya berada di Zon Hijau yang turut menempatkan kediaman ahli-ahli parlimen, pejabat kedutaan Amerika Syarikat dan Britain. Ia merupakan kawasan larangan kepada penduduk.

Walaupun kadar pertumbuhan ekonomi negara masih pesat kerana aktiviti pengeluaran minyak tetapi kadar pengangguran masih tinggi disebabkan industri tersebut tidak berintensifkan buruh.

Faktor geopolitik dan ketenteraman awam telah menyukarkan usaha untuk memulihkan wajah bandar Baghdad. -AFP

3 comments

  1. aduhaiii..menakutkan sungguh, kesian mereka disana. Kita patut bersyukur negara kita Malaysia tak macam tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bersyukur tinggal di negara yang aman.

      Delete
  2. semua angkara barat la ni nk jahanam kan negara islam yg lain last2 terbiar mcm tu je kata mcm2 nk bangunkanlah negara ni selepas kene tawan last2 yg mendapat rakyat iraq tu sendiri what the fish

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon