Thursday, November 07, 2013

Syarikat Telco, Tolong Jangan Tipu Pengguna Broadband Di Malaysia!


Tawaran pakej-pakej jalur lebar terutamanya pra-bayar ketika ini memang amat menarik sekali, sebab murah, tetapi bila sudah dilanggani, baru tahu banyak masalahnya dan caj-caj lain yang dikenakan.

Penipu

Masalah paling utama adalah gangguan liputan. Dalam sehari menggunakannya memanglah laju, masuk hari kedua sehingga memakan berminggu-minggu, liputan sering terganggu dan berlakunya kekerapan tiada liputan langsung!

Dalam pada itu, ada kuota penggunaan yang dihadkan oleh syarikat telco berkenaan tetapi yang menjadi masalahnya baru sekejap membuka beberapa laman web kuota sudah habis tidak sampai dua hari, nampak macam ada yang tidak kena.

Jika ditambah kuota, kena bayar lagi. Jika begitu, tawaran yang mulanya dikata murah, tidaklah murah sebenarnya.

Dengan pakej di bawah RM100 sebulan, katanya, ramai yang terpengaruh dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telco terbabit.

Lebih-lebih lagi yang berpendapatan rendah dan pelajar-pelajar sekolah dan universiti, tentunya mencari yang paling murah.

Tetapi bukankah itu satu penipuan namanya, pelanggan terpaksa membayar penuh bulanan untuk perkhidmatan yang teruk, yang hanya elok sehari dua saja.

Penipu

Bila sudah perlahan, ramailah yang mengaitkannya dengan siput. Tetapi kata seorang pengguna di laman sosial yang membincangkan mengenai isu ini, siput lagi cepat, sekurang-kurangnya siput bergerak juga!

Sememangnya, perkhidmatan jalur lebar di negara ini sewajarnya murah jika kita mahu menyamakan kedudukan kita dengan negara-negara maju.

Di kebanyakan tempat di negara-negara ini internet boleh di akses dengan kelajuan yang pantas dan mudah di mana-mana.

Bagaimanapun, apabila menawarkan pakej-pakej jalur lebar kononnya dengan harga yang sudah cukup murah, janganlah pula mengabaikan tentang mutu perkhidmatan dan liputan.

Pengguna perkhidmatan internet dan jalur lebar di negara ini berjuta-juta orang bilangannya. Kemudahan ini bukan saja milik orang mewah tetapi setiap peringkat dalam masyarakat termasuk murid-murid sekolah. Perkhidmatan ini adalah satu keperluan ketika ini.

Penipu

Jika mengambil kira soal keuntungan, rasanya syarikat -syarikat telco di negara ini sudah cukup untung. Jarang kita baca di akhbar-akhbar ada syarikat telco yang rugi.

Untung yang sering dicatatkan pula nilainya berjuta-juta dan ada yang berbilion ringgit.

Maka, sudah tentu banyak penambahbaikan boleh dilakukan tanpa menaikkan bayaran perkhidmatan atau mengenakan caj- caj yang tersembunyi dengan penggunaan yang semakin hari semakin bertambah.

Kita pun selalu mendengar syarikat-syarikat telco ini sedang menaik taraf kawasan-kawasan tertentu apabila berlakunya gangguan liputan sehingga berhari-hari lamanya.

Tetapi masalahnya, gangguan terus juga berlaku walaupun setelah dilakukan naik taraf. Pengguna tentunya rasa keliru dan tertipu dengan penjelasan in.

Dan janganlah mengambil aduan-aduan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan ini secara lewa. Ini kerana ada syarikat telco yang akhirnya mencadangkan agar pengadu menutup saja akaun sekiranya tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan mereka. Apakah ini jalan penyelesaiannya?

Penipu

Jika keadaan ini terus berlaku, sudah tentu pengguna yang berterusan menanggung bebannya. Dan kebanyakan daripada kita telah memasukkan peruntukan untuk membayar perkhidmatan internet ini dalam bajet bulanan kita.

Ia sama seperti membayar ansuran rumah, kereta dan bil-bil lain. Bila perkara seperti ini sering berlaku, tidak pasal-pasal saja kita membayar untuk perkhidmatan yang entah apa-apa.

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon