Monday, November 04, 2013

Pemberi Maklumat Tuntut USD$25 Juta Bocorkan Lokasi Osama Bin Laden!


Seorang lelaki Amerika Syarikat menuntut wang tawaran AS$25 juta (RM80 juta) sebagai pemberi maklumat lokasi rahsia pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, di Pakistan.

Osama Bin Laden Location

Warga Michigan, Tom Lee berkata, dia sudah mengupah peguam untuk tujuan itu kerana memberitahu penyiasat persekutuan mengenai lokasi Osama di Abbottabad, lapan tahun sebelum pemimpin al-Qaeda itu dibunuh.

Osama dibunuh komando SEAL tentera laut Amerika di sebuah kediaman tiga tingkat di bandar itu pada Mei 2011.

Pegawai Amerika berkata, kediaman tidak wujud sebelum 2005 manakala pegawai Pakistan percaya Osama mula menginap di situ pada tahun itu.

Surat firma guaman Chicago, Loevy & Loevy, mewakili Lee dari Grand Rapids, menyatakan peniaga batu permata berusia 63 tahun itu melaporkan lokasi Osama di Abbottabad pada 2003.

Surat Loevy & Loevy dihantar kepada Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey pada Ogos lalu.

Seorang ejen perisikan Pakistan memberitahu Lee, dia mengiringi Osama dan keluarganya dari Peshawar ke Abbottabad.

AP sudah memohon untuk menemuramah Lee dan peguam yang menandatangani surat itu, Michael Kanovitz, menerusi Loevy & Loevy.

Menurut surat itu, Lee, warga Amerika keturunan Mesir, memberitahu perkara itu kepada ejen kastam dan FBI.

Lee melaporkan, ejen Pakistan itu, sebahagian anggota keluarga yang berurusan dengannya selama beberapa dekad, memusuhi Osama, kata surat berkenaan.

Surat itu mendedahkan, Lee berulang kali cuba untuk mendapatkan ganjaran berkenaan tetapi tidak menerima sebarang jawapan.

“Lee beritahu lokasi tepat pengganas paling dikehendaki pada era ini yang bertanggungjawab atas serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan serangan lain ke atas warga Amerika,” kata surat itu. -AGENSI

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon