Monday, November 25, 2013

Israel Berang Iran Bersetuju Henti Program Nuklear


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam mengutuk perjanjian di antara kuasa besar dunia dengan Iran sebagai “kesilapan bersejarah” yang menyebabkan Teheran bakal menguasai senjata atom.

Iran Nuclear

Dengan wajah berang Netanyahu menentang sekeras-kerasnya perjanjian berkenaan dan memberitahu Kabinet, mereka tidak terikat kepada perjanjian itu.

Dia juga mengulangi kemungkinan untuk bertindak secara ketenteraan terhadap Iran walaupun anggota Kabinet menyedari pilihan yang adalah terhad.

“Apa yang dicapai di Geneva bukanlah perjanjian bersejarah tetapi kesilapan bersejarah.

“Dunia menjadi semakin berbahaya kerana rejim berbahaya di dunia mengambil langkah besar untuk memiliki senjata paling berbahaya di dunia,” katanya.

Arab Saudi mahu Iran dihukum

Iran Nuclear

Penduduk Timur Tengah “tidak akan dapat tidur malam” selepas kuasa besar dunia menandatangani perjanjian dengan Iran, kata penasihat luar Arab Saudi semalam.

Pengerusi Majlis Syura Abdullah al-Askar berkata dia tidak pasti bagaimana reaksi Riyadh terhadap perjanjian berkenaan tetapi mengakui secara peribadi khuatir terhadap kesannya.

“Saya bimbang Iran akan menyerahkan sesuatu (melalui program nuklearnya) untuk mendapatkan keuntungan politik daripada kuasa besar dunia.

“Saya juga bimbang dengan ruang lebih luas diberi kepada Iran di Timur Tengah,” katanya.

Iran bersetuju menandatangani perjanjian mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.

Perjanjian itu disepakati sehari sebelum Hassan Rouhani menyambut hari ke-100 pentadbirannya sebagai Presiden Iran.

Di sebalik tindakan keras Barat - terutama AS, Arab Saudi menjadi antara negara paling menonjol mahu menghukum Iran dengan lebih keras.

Beberapa jam sebelum itu raja dari Arab Saudi, Qatar dan Kuwait bertemu untuk membincangkan isu “kepentingan bersama.”

Abdullah berkata, dari semasa ke semasa Teheran membuktikan mereka mempunyai agenda jahat di Timur Tengah.

Dalam keadaan begitu, kata Abdullah, tiada sesiapa di rantau berkenaan “tidak dapat tidur malam” dan menjangkakan keadaan akan berjalan dengan baik.

“Orang ramai tahu dasar dan cita-cita Iran dan negara itu akan campur tangan dalam politik banyak negara serantau,” katanya.

Iran kawal program nuklear

Iran Nuclear

Iran bersetuju untuk mengawal program nuklear negara itu sebagai balasan kepada pengurangan sekatan dikenakan Barat, dalam persetujuan yang dicapai dengan enam negara kuasa dunia kelmarin.

Mengikut persetujuan Iran dengan Amerika Syarikat (AS), Britain, Rusia, China, Perancis dan Jerman, Teheran akan mengehadkan aktiviti pengayaan uranium kepada tahap rendah.

Iran juga akan meneutralkan keseluruhan stok simpanan uraniumnya kepada tahap sederhana iaitu 20 peratus dalam tempoh enam bulan, menurut Setiausaha Negara AS, John Kerry di Geneva.

Selain itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) juga dibenar meluaskan pemeriksaan terhadap program nuklear Iran, tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Sebagai balasannya, Teheran akan memperolehi pelonggaran sekatan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM22.4 bilion) dan negara-negara kuasa dunia itu berjanji untuk tidak mengenakan sekatan baharu dalam tempoh enam bulan jika persetujuan tersebut dipatuhi.

White House bagaimanapun menyatakan, sebahagian besar sekatan termasuk berkaitan minyak, kewangan, perbankan dan pertanian yang dikenakan ke atas Iran masih dikekalkan dan kelonggaran itu hanya bersifat terhad serta sementara.

Presiden AS, Barack Obama dalam pada itu berkata, persetujuan awal yang dicapai selepas diplomasi selama sedekad dan peningkatan ketegangan, adalah 'langkah pertama yang penting' bagi mengurangkan kebimbangan Iran akan membuat bom nuklear.

Presiden Iran, Hassan Rohani pula menyifatkan kejayaan itu sebagai 'pilihan rakyat Iran yang mahukan kesederhanaan' dan akan 'membuka ruang baharu'.

Namun, pejabat Perdana Menteri Israel menganggapnya sebagai 'persetujuan yang buruk' kerana masih memberi keupayaan kepada Iran untuk membuat senjata nuklear.

Sumber: Reuters/AFP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon