Thursday, October 03, 2013

Tegar Mengaku Pernah Hisap Gam Sebelum Terkenal!


Tidak dinafikan, walaupun ada beberapa peminat muzik yang menentang kehadiran muzik dari Indonesia ke negara ini, namun pengaruhnya masih lagi kuat.

Tegar Septian

Muzik dari negara sebarang itu pula cukup mudah diterima di negara ini.

Tidak terkecuali, salah seorang pemuzik jalanan, Tegar Septian yang bakatnya mula disedari melalui laman YouTube sehingga mencetuskan fenomena di tanah airnya.

Tempias fenomena itu turut terpalit ke Malaysia hingga lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang itu menjadi siulan masyarakat negara ini.

Menyingkap latar belakang Tegar, dia berasal daripada keluarga miskin dan menjadi penyanyi jalanan untuk membantu menyara keluarganya.

Namun, tanpa disangka-sangka, setelah videonya beraksi di muat naik ke laman YouTube, hidupnya berubah daripada hidup dalam kepayahan, kini hidup dalam limpahan wang.

Malah, Tegar sendiri bersama keluarganya yang sebelum ini mengemis sudah berjaya membelikan ibunya sebuah rumah dan beberapa buah motosikal.

Namun, sebelum diulit kekayaan mengejut itu, Tegar memberitahu kehidupan di jalanan sememangnya dipenuhi dengan sisi gelap dan ruang kotor buat dirinya.

Menginjak ke usia 12 tahun, peribadi Tegar sama sahaja seperti kanak-kanak lain. Kelincahannya memang agak sukar dibendung sehingga sukar untuk ditemubual.

Namun, pengakuan Tegar ketika ditanya mengenai perihal dirinya semasa hidup di jalanan memeranjatkan media yang berada di ketika itu.

"Saya mula menjadi pengamen jalanan (pemuzik jalanan) sejak berusia tujuh tahun dan selalunya boleh mendapat sehingga RM40 (100,000 rupiah) sehari.

"Kehidupan di jalanan memang bebas. Malah dulu jika dapat wang saya akan belanjakan dengan membeli gam, rokok dan ke kafe siber bersama rakan-rakan," katanya.

Jelas Tegar, itu adalah masa silam dirinya. Kini dia sudah bebas daripada melakukan perkara itu.

"Pengaruh di jalanan ini sangat kuat. Semuanya kerana rakan-rakan. Tetapi kini saya sudah berubah. Malah sudah tidak lagi menghidu gam mahupun menghisap rokok.

"Saya bersyukur dengan keadaan sekarang. Walaupun penat, tetapi melalui kehidupan kini, saya mampu membelikan ibu saya rumah dan kenderaan untuk kegunaan bersama," jelas Tegar yang bernaung di bawah Rusa Music.

Selain itu, wakil Harpa Records (Indonesia), Donald Dewa Kusumo yang turut hadir memberitahu, pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah novel juga filem tentang Tegar. Penggambaran filem tersebut dijangka dimulakan pada bulan hadapan.

Bertemu dengan pengurusnya, Alfas Hermasyah yang bertanggungjawab memuat naik video Tegar ke laman YouTube, dia mengakui Tegar berusaha dengan kuat untuk sampai ke tahap ini.

"Saat bertemu dengannya di jalanan, saya cukup tertarik dengan Tegar kerana sikapnya yang berusaha sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.

"Malah, Tegar menerima kritikan dengan hati terbuka dan berusaha untuk memperbaiki dan memajukan lagi dirinya," katanya.

Menurut Alfas, sewaktu bertemu Tegar yang ketika itu berusia sembilan tahun, dia mengakui hidup Tegar sangat bebas.

"Saya membawanya ke rumah dan berusaha untuk membuang segala tabiat buruknya seperti menghidu gam dan merokok.

"Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk mengubahnya. Alhamdulillah, dengan semangat yang cukup tinggi, dia bersih daripada gejala kotor itu," jelasnya yang pernah menuntut dalam jurusan psikologi.

Jelasnya, usaha kuat Tegar yang banyak menaikkan lagi namanya.

Masakan tidak, saat diberitahu dia akan ke Malaysia, dia terus mencari lagu-lagu daripada penyanyi Malaysia untuk dinyanyikan.

"Dia tahu, pasti peminatnya di Malaysia akan gembira apabila dia menyanyikan lagu-lagu oleh penyanyi Malaysia dan dia berusaha untuk menghafalnya.

"Malah, dia menghafal sehingga tidak cukup tidur. Jika kami suruhnya tidur, dia tidak akan tidur melainkan jika dia sudah menghafal lagu yang ingin dinyanyikannya itu," katanya.

Sumber: Utusan


Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon