Wednesday, September 11, 2013

Kes Rogol Dan Gangguan Seksual Sangat Menakutkan Di India!


Bagi wanita di India, kemerosotan nilai Rupee dan kemelesetan ekonomi bukanlah menjadi tumpuan utama mereka saban hari. Perkara yang paling merunsing dan sentiasa berlegar dalam minda mereka adalah keselamatan diri di tempat awam atau dalam hal ini, rumah, pejabat dan di mana jua.

Kes rogol India

Sejak kebelakangan ini heboh seantero dunia insiden demi insiden serangan seksual yang mengerikan berlaku di India. Dan jika dilihat insiden terbaru di Jodhpur, Rajasthan, wanita India memang tidak selamat walaupun berada dalam kalangan tokoh agama yang dihormati.

Namun ironinya perkara ini berlaku di negara di mana ramai wanita memegang jawatan tinggi - perdana menteri Indira Gandhi, presiden Prathibha Patel dan begitu ramai lagi artis popular Bollywood yang sudah bagaikan duta negara itu di mata dunia: Aishwarya Rai, Deepika Padukone, Katrina Kaif dan ramai lagi.

Dan di bumi inilah jua begitu ramai menyembah dan mengagungkan pelbagai dewi.

Di bumi ini jugalah Shah Jahan mengabadikan cintanya kepada isteri tersayang Mumtaz Mahal dengan membina satu daripada tujuh keajaiban dunia, Taj Mahal, namun wanita terus diperlakukan bagai sampah, dari liang rahim hingga ke liang lahad.

Ini termasuk pengguguran bayi perempuan, pembunuhan bayi perempuan, dirogol, disimbah asid, dilacur, diseksa atau dibakar hidup-hidup semata-mata kerana tidak memenuhi tuntutan hantaran perkahwinan.

Kesal

Jenayah terhadap wanita bagaikan endemik di benua kecil berpopulasi 1.2 bilion ini. Kes berprofil tinggi rogol bunuh dalam sebuah bas ke New Delhi pada Disember 2012 menyingkap satu gejala yang telah lama berakar umbi di India.

Benar, jenayah terhadap wanita berlaku di mana-mana saja di dunia, termasuk di negara maju. Namun di India, masalah itu begitu meruncing sehinggakan wanita di India hidup dalam ketakutan dan paranoia.

Mereka tidak tenteram di tanah air sendiri.

Masyarakat India cukup kecewa dengan kes keganasan terhadap wanita yang saban hari kian meningkat walaupun pihak kerajaan melakukan pelbagai usaha untuk membendungnya.

Ini termasuk hukuman lebih berat, pengenalan talian bantuan dan penambahan polis wanita.

Kaum wanita dan pihak berkuasa seakan sudah mati akal memikirkan cara untuk membendung atau mengurangkan insiden keganasan terhadap wanita.

Seorang warga siber di laman Twitter yang menggunakan gelaran @captain_speakin menyifatkan reaksi warga India terhadap isu itu sebagai tidak banyak membantu.

"Kita melalui lima peringkat yang sama setiap kali dikejutkan insiden seperti ini - 1. Marah 2. Mengamuk 3. Rasa tidak berdaya 4. Mengalah 5. Melupakan saja. Maka tiada apa pun yang berubah," katanya.

Menurut laporan "Jenayah di India 2012", sejumlah 244,270 jenayah termasuk rogol dan pukul wanita dalam kalangan pelbagai peringkat umur dilaporkan pada 2012. Ini peningkatan 6.8 peratus berbanding 228,650 pada 2011.

Tidak dilapor

Namun statistik itu tidak memberi gambaran sebenar. Masyarakat India amat konservatif menyebabkan banyak kes tidak dilaporkan untuk mengelakkan stigma sosial.

Penulis ini yang berpangkalan di New Delhi, melalui pemerhatian dan pahit maung pengalaman sendiri sudah cukup memahami mengapa ibu negara ini mendapat gelaran negatif "ibu negara rogol India".

Berita mengenai kanak-kanak seawal dua tahun dan lima tahun dirogol yang dilaporkan hampir setiap hari sudah cukup untuk menggambarkan betapa mendalam dan menggerunkan masalah itu.

Julai lepas, seorang budak perempuan lima tahun dirogol dan ditikam 80 kali di Lucknow, Uttar Pradesh. Dalang di sebalik jenayah kejam ini bukan sahaja individu atau geng.

Yang amat mengecewakan apabila ia turut melibatkan mereka yang dianggap tokoh agama yang disanjung dan dihormati di India. Reputasi kebanyakan mereka sebagai pemangsa seks bertopengkan agama telah lama diketahui.

Contohnya, baru-baru ini Asaram Bapu, seorang yang mengangkat dirinya sebagai Guru yang berpengaruh di Jodhpur dengan berjuta-juta pengikut dari serata dunia, ditangkap atas dakwaan merogol seorang gadis 16 tahun.

Sebelum itu, India digegarkan dengan kes di Mumbai melibatkan seorang wartawan foto berumur 23 tahun yang dirogol lima lelaki ketika menjalankan tugasan.

Pendek kata, wanita di India bagaikan menyabung kehormatan dan nyawa mereka setiap hari. Tiada tempat yang selamat untuk berlindung.

Asalkan wanita

Beberapa pelancong wanita Malaysia ke New Delhi memberitahu penulis pengalaman menakutkan yang hampir menjadi mangsa.

Seorang daripada mereka yang berumur lingkungan 30-an menceritakan insiden menggerunkan dalam kereta api, apabila seorang penumpang lain cuba menyentuh tubuhnya ketika beliau sedang tidur.

"Saya rasa begitu trauma sehinggakan bersengkang mata sepanjang lapan jam perjalanan ke destinasi," katanya yang enggan namanya disiarkan.

"Saya nekad tidak mahu menaiki kereta api di India lagi, kecuali berteman," tambahnya.

Bagi seorang lagi wanita Malaysia, impian percutian indah ke India bertukar kepada mimpi ngeri apabila pengurus hotel yang diinapinya berkeras untuk memasuki biliknya dengan alasan ingin memberi "perkhidmatan istimewa".

Wanita itu bertindak pantas dengan menyengkang daun pintu menggunakan meja dan menelefon sahabat dari Malaysia di New Delhi meminta bantuan.

Pengalaman

Adakah penulis telah melihat dengan mata kepala sendiri gangguan seksual terhadap wanita di India? Ya, banyak kali. Walaupun di tempat awam dan luas seperti di pejabat pos, pasar dan pusat membeli-belah, kaum lelaki akan cuba bergeser dengan kaum wanita.

Walaupun telah membuat banyak persediaan mental bagi menghadapi tugasan sebagai wartawan di India, penulis tetap terasa amat sukar untuk berhadapan dengan golongan lelaki yang tiada rasa hormat terhadap wanita.

Masih terbayang-bayang beberapa lelaki yang merenung tajam kepada penulis di atas kereta api metro. Ketika itu bantahan terhadap kes rogol berkumpulan Delhi sedang berlangsung. Penulis telah menjegilkan mata kepada mereka dan berpindah ke koc lain.

Bagaimanapun, ini hanyalah satu sisi India, dan sisi satu lagi masih indah untuk diterokai.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon