Sunday, September 29, 2013

Giler! Empat Pegawai Genneva Gold Dihadapkan Dengan 900 Pertuduhan!


Empat pegawai atasan syarikat perniagaan perdagangan emas Genneva Gold hari ini dihadapkan ke mahkamah dengan 900 pertuduhan dibacakan kepada mereka, dipercayai memecahkan rekod pertuduhan terbanyak di negara ini.

Genneva Gold

Mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Dua bekas Pengarah syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd itu ialah Datuk Philip Lim Jit Meng dan Datuk Tan Liang Keat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan membuat kenyataan palsu dalam iklan syarikat berkenaan dengan mengatakan bahawa pelaburan emas dengan syarikat berkenaan mengikut undang-undang Syariah.

Mahkamah memerintahkan kes itu disebut semula pada 28 Oktober depan dengan kedua-dua mereka RM20,000 setiap seorang. Mereka kemudiannya dibawa pula ke Mahkamah Sesyen lain untuk menghadapi pertuduhan lain pula.

Di Mahkamah Sesyen yang lain, Lim, Tan dan Datuk Lim Hah Heng dan Datuk Ng Poh Weng didakwa dengan enam pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah melalui satu skim perlaburan emas di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Keempat-empat mereka menghadapi dua pertuduhan setiap seorang di bawah akta itu.

Mereka juga dijangkakan akan menghadapi 915 tuduhan pengubahan wang haram.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10 Januari 2011 higga 1 Oktober 2012.

Pada 1 dan 5 Oktober 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu beberapa syarikat pelabur emas bersama anggota polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan terhadap syarikat Genneva Malaysia, Pageantry Gold, Ceasar Gold dan Worldwide Far East Berhad.

Selain itu pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli. Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman.
  2. Berdasarkan laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13 hingga 15 Oktober 2011.
  3. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau undang-undang negara.

Pada 1 Ogos 2012 pula, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang ke atas syarikat Genneva Malaysia oleh tiga wakil persatuan Pegawai Kerja Mohd Mustaffa Hamzah dan juga Pengarah Latihan PPIM Dr Izham Nayan.

Mohd Mustaffa atau lebih dikenali dengan Abang Muss berkata PPIM kesal dengan tindakan syarikat Genneva yang mengaku menjalankan urusniaga mengikut hukum syari’ah seperti dinyatakan di laman web mereka.

Menurut beliau, laporan polis dibuat untuk menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap syarikat Genneva Malaysia yang sewenang-wenangnya melakukan perbuatan berkenaan.

Syarikat berkenaan turut didakwa mengambil deposit sebanyak RM5 juta tanpa kebenaran dari Bank Negara Malaysia. Lebih perit lagi, pelabur yang terlibat dalam urus niaga Genneva ini didakwa terdiri daripada orang kenamaan, syarikat dan yayasan serta tidak diketahui punca pendapatan mereka.

Butiran terperinci mengenai kesemua 900 pertuduhan berkenaan masih belum diperolehi, laporan lanjut bakal menyusul tidak lama lagi.

Sumber: Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon