Monday, August 05, 2013

Sayu! Video Pertama Dan Terakhir Ucapan Hari Raya Chua Boon Huat


Siapa sangka video yang disertakan merupakan detik pertama dan terakhir penyerang hoki sensasi negara Mendiang Chua Boon Huat membuat ucapan Aidilfitri kepada peminat sukan tanah air.


Video dikongsikan oleh wartawan Bernama TV yang membuat liputan dan merakamkan ucapan Chua pada Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan kepada pemain pada Rabu lepas.

Ia sekaligus menjadi pertemuan terakhir mendiang Chua dengan rakan sepasukan sebelum pemain hoki kebangsaan itu maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi keesokan harinya.

Lebih menyedihkan, ketika pemain tersebut ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 10.4, Lebuh Raya Damansara-Puchong dekat Stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi semalam, dia masih memakai kemeja putih dan seluar hitam yang dipakainya pada majlis tersebut.

Pada majlis di Hotel Park Royal di ibu negara itu, dia menerima insentif RM7,500 atas kecemerlangannya ketika mewakili negara pada kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bulan lepas dan Trofi Juara Asia hujung tahun lalu. Sepanjang bersama rakan sepasukan, dia mesra dan ceria.

Malah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang hadir pada majlis tersebut juga sempat bergurau dengan pemain itu dengan berkata: “Chua (Boon Huat) nampak makin berisi masa puasa ini.”

Gurauan tersebut hanya dibalas dengan senyuman oleh Boon Huat dan gelak ketawa rakan sepasukannya.

Sewaktu ditemuramah oleh wartawan dari Bernama TV untuk ucapan Hari Raya Aidilfitri, dia sempat bergurau sebelum membuat ucapannya.

“Ini kali pertama saya beri ucapan Hari Raya,” katanya.



Ucapan tersebut menjadi ayat terakhir Boon Huat kepada wartawan.

Lebih 1,000 Beri Penghormatan Terakhir Kepada Chua Boon Huat


Mayat pemain hoki kebangsaan Chua Boon Huat yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, di ibu negara Khamis lepas, dibakar di Melaka Memorial Park di sini, Isnin.

Upacara pukul 3.30 petang itu dihadiri lebih 1,000 orang termasuk anggota keluarga, rakan-rakan sepasukan, atlet negara, serta peminat mendiang.

Antara yang dilihat hadir ialah ketua jurulatih skuad hoki negara Paul Revington dan pembantu jurulatih Arul Selvaraj; bekas jurulatih hoki negara Tai Beng Hai, Steven Stephen Van Huizen; bekas pemain hoki kebangsaan Nur Saiful Zaini Nasiruddin dan bekas ketua pasukan bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun.

Peminat dan rakan mendiang dilihat memakai baju-T berwarna hitam yang bertulis "We Love Chua Boon Huat" pada bahagian hadapan dan nombor 3 di bahagian belakang baju itu.

Abu mendiang akan ditempatkan di Tokong Seck Kia Eenh di Gajah Berang, Melaka.

Terdahulu, mayat mendiang Chua diberi penghormatan terakhir di kediaman keluarganya di Semabok Perdana, sebelum kerandanya yang diselubung dengan bendera Malaysia diusung secara bergilir oleh rakan dan atlet negara ke kenderaan untuk dibawa ke Melaka Memorial Park.

Revington ketika menyampaikan eulogi pada upacara itu menyifatkan mendiang sebagai seorang pemain hoki yang tangkas dan berbakat besar.

"Mendiang adalah pemain bertaraf dunia dan seorang yang berdiri teguh untuk semua... kami akan merindui rambut panjang beliau dan ikatan ekor kudanya," katanya.

Beliau berkata mendiang sentiasa memberi sepenuh komitmen ketika beraksi bagi membantu skuad negara memperoleh kejayaan di padang.

Katanya Chua akan dikenang selamanya sebagai ikon dan hero hoki Malaysia.

-Mynewshub/Bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon