Friday, August 30, 2013

Persiapan Perang Untuk Menyerang Syria!?


Britain menghantar enam jet pejuang jenis RAF Typhoon ke Cyprus bagi mempertahankan kedaulatannya di rantau itu ketika meningkatnya ketegangan di Syria dan rundingan berhubung campur tangan tentera Barat di Damsyik.

RAF Typhoon
Jet pejuang RAF Typhoon.

Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, jet pemintas udara ke udara itu akan ditempatkan di Pangkalan Akrotiri Britain di Cyprus, hari ini.

"Ini adalah semata-mata sebagai langkah berjaga-jaga untuk melindungi kepentingan Britain dan mempertahankan kedaulatan pangkalan kami di rantau itu ketika ketegangan di rantau itu sedang memuncak.

"Langkah ini juga adalah untuk mempertahankan operasi aset udara ke udara dan bukan untuk terlibat dalam tindakan ketenteraan ke atas Syria," kata jurucakap itu.

Cyprus terletak kira-kira 200 kilometer dari perairan Syria.

Britain turut mempunyai kapal-kapal perang di Laut Mediterranean.

Rusia hantar 2 kapal perang ke Laut Mediterranean

Russia's Moskva missile cruiser
Gambar fail merakamkan kapal pelancar peluru berpandu Rusia, Moskva. 
Rusia dilapor akan menghantar dua kapal perangnya ke timur Laut Mediterranean.

Rusia dilaporkan akan menghantar dua kapal perang ke timur Laut Mediterranean ketika kuasa Barat bersedia melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Syria ekoran dakwaan negara itu menggunakan senjata kimia dalam perang saudara di negara itu pada minggu lepas.

Agensi berita Interfax yang memetik sumber melaporkan kapal pelancar peluru berpandu dan kapal antikapal selam Rusia itu akan tiba di perairan tersebut tidak lama lagi kerana situasi 'yang sudah diketahui'.

Bagaimanapun, tentera laut Rusia menafikan arahan tersebut mempunyai kaitan dengan konflik di Syria, sebaliknya menyatakan ia merupakan sebahagian daripada rutin bagi menyusun kapal-kapal di sana.

Tentera laut Rusia tidak pula memberikan maklumat lanjut mengenai jenis dan jumlah kapal yang terlibat dalam arahan tersebut.

Laporan awal Interfax menyatakan bahawa tujuan penghantaran kapal-kapal tersebut adalah untuk mengukuhkan kedudukan tentera laut Rusia di rantau tersebut dan bukan bagi menggantikan kapal yang sedia ada.

Obama belum buat keputusan

dont attack syria

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama masih belum membuat keputusan, sama ada akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas Syria atau tidak, namun Washington berkata, tindakan itu dijangka akan diteruskan jika usaha mendapatkan mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung konflik di Syria menemui kegagalan.

Obama berkata, Washington telah menyimpulkan bahawa kerajaan Presiden Syria, Bashar al-Assad bertanggungjawab terhadap serangan senjata kimia dekat Damsyik pada minggu lepas.

Washington dijangka mendedahkan kepada umum laporan tentang serangan itu, yang mengorbankan lebih 1,300 rakyat Syria.

Apabila ditanya tentang keputusan sama ada AS akan mengambil tindakan ketenteraan akan melibatkan pelancaran peluru berpandu, Obama berkata: ''Saya masih belum membuat keputusan.''

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa tindakan ketenteraan AS akan dibuat untuk memberi amaran keras supaya Syria tidak lagi mengulangi penggunaan senjata kimia.

Obama mengaku serangan terhad yang dirancang oleh White House tidak akan menghentikan pembunuhan orang awam di Syria tetapi penglibatan negara ini dalam perang saudara di negara itu yang menyaksikan lebih 100,000 orang maut tidak akan membantu keadaan.

Pemimpin AS itu yang mahu legasi diingati sebagai menamatkan perang dan tidak memulakan perang melibatkan negara-negara asing, menegaskan bahawa adalah penting untuk menghantar mesej jelas bukan sahaja kepada Syria tetapi kepada seluruh dunia.

Terdahulu, Washington secara jelas menyatakan bahawa resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung pemberian asas undang-undang untuk mengambil tindakan ketenteraan cadangan Britain, tidak akan berjaya ekoran penentangan Rusia.

''Kami tidak melihat kejayaan usaha ini ekoran penentangan Rusia terhadap sebarang tindakan bermakna Majlis Keselamatan PBB terhadap Syria,'' kata Timbalan Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf. -AFP/Reuters

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon