Friday, April 26, 2013

Hero Iron Man Bakal Di Gantikan?


Boleh dikatakan peranan Tony Stark yang didukung oleh Robert Downey Jr tidak jauh terpesong dengan diri sebenarnya. Seorang yang hebat, kaya dan juga berpengaruh. Itu realiti kehidupan aktor tersebut.


Sememangnya, Robert merupakan antara pelakon yang hebat dan berpengaruh di Hollywood. Untuk peranan Robert dalam Iron Man 3 sahaja, dia telah dibayar sebanyak AS$50 juta (RM155 juta).

Ironinya, permulaan karier lakonannya tidak begitu menyerlah akibat penyalahgunaan dadah sekitar tahun 1996 hingga 2001 yang membelenggu figura berusia 48 tahun itu.

Namun, semuanya berubah apabila Robert ditawarkan peranan sebagai adi wira alaf baharu, Tony Stark atau dikenali dengan nama Iron Man.

Filem itu telah mengiktiraf Robert sebagai bintang filem pecah panggung apabila ia mengumpul kutipan di seluruh dunia mencecah AS$586 juta (RM1,789 juta).

Disebabkan itu juga, Robert sendiri tidak segan untuk mengiktiraf dirinya sebagai seorang pelakon yang hebat dan meramalkan dia mampu memenangi anugerah Oscar satu hari nanti.

Pengakuan itu didedahkan oleh Robert ketika menjadi penghias muka depan kulit majalah GQ (majalah lelaki keluaran Amerika Syarikat) untuk keluaran Mei tahun ini.

"Setiap pelakon pasti ada perasaan untuk menjadi yang terbaik dan saya merupakan aktor terhebat pada generasi saya.

"Bukan ingin menunjuk-nunjuk, namun pengakuan itu merupakan satu motivasi buat diri saya untuk lebih maju dan berdaya saing dengan barisan pelakon baharu yang memenuhi dunia Hollywood sekarang," ungkapnya jujur.

Robert dicalonkan untuk anugerah Oscar buat pertama kalinya pada 1993 menerusi filem Chaplin dan sekali lagi pada 2009 melalui wataknya dalam filem Tropic Thunder. Begitupun, dia tidak memenangi kedua-dua pencalonan tersebut.

"Walaupun tidak menang, tetapi nama saya pernah dicalonkan dan perkara itu boleh dibanggakan. Tidak mengapa jika saya tidak menang Oscar pada hari ini, tetapi lambat-laun, saya pasti akan memegang trofi tersebut (Oscar). Mungkin ketika saya sudah tua nanti," selorohnya.

Sebelum ini, Robert pernah menyatakan dirinya sangat bertuah dan menyukai peranan Tony Stark dalam Iron Man. Begitupun, menjelang promosi filem Iron Man 3 baru-baru ini, aktor itu mendedahkan ingin berhenti membawa peranan tersebut.

Semuanya gara-gara kecederaan yang dialaminya ketika penggambaran filem tersebut.

Akui Robert, tubuhnya tidak mampu lagi bertahan untuk mengalami kecederaan semula.

Aktor filem aksi itu sudah beberapa tahun memegang peranan sebagai adi wira Komik Marvel itu dan sudah berkali-kali mengalami kecederaan ketika penggambaran.

Bagaimanapun, setelah mengalami kecederaan pada kakinya ketika penggambaran Iron Man 3 dan menyebabkan penggambaran terpaksa ditangguhkan agak lama, Robert tidak pasti berapa lama dia mampu membawa peranan sebagai Tony Stark itu lagi.

Robert memberitahu majalah GQ: "Ia memaksa saya berfikir berapa banyak genre filem yang mampu saya lakukan? Berapa banyak susulan filem yang perlu saya lakukan selepas kejayaan filem tersebut?

Robert juga tidak terkejut jika penerbit enggan memperbaharui kontrak peranan Tony Stark kepadanya yang bernilai RM155 juta itu.

"Buat masa ini, saya tidak mempunyai sebarang kontrak susulan untuk filem Iron Man," ujarnya yang mengakui sukar untuk melepaskan peranan Tony Stark yang disukainya itu.

Perkhabaran tersebut (Iron Man 4 tanpa Robert) pasti akan membuatkan ramai peminat siri tersebut kecewa untuk melihat aktor hebat itu beraksi.

Begitupun, terbaharu, menurut pengarah filem Iron Man, Shane Black, Robert akan kembali membawakan peranan sebagai Tony Stark dalam filem Iron Man 4.

Bercakap pada tayangan perdana filem Iron Man 3 di London baru-baru ini, Black memberitahu The Evening Standard: "Saya fikir dia akan kembali untuk siri Iron Man seterusnya. Saya pasti".

Salah seorang pelakon dalam Iron Man, Sir Ben Kingsley juga mengakui, lakonan Robert yang memegang peranan Tony Stark sangat menakjubkan. Dia mampu membawa watak tersebut dengan cukup berkesan di sebalik 'baju besi' yang menjadi kostum wajibnya.

Selain Robert sebagai Tony Stark, Iron Man 3 turut dibintangi oleh tiga lagi watak utama iaitu Gwyneth Paltrow, Rebecca Hall, Ben Kingsley dan Don Cheadle.

-Kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon