Tuesday, March 19, 2013

Julia Perez Mula Jalani Hukuman Penjara Selama 3 Bulan


Penyanyi dangdut dan pelakon Julia Perez pada Selasa menjalani hukuman penjara tiga bulan di Penjara Pondok Bambu di sini kerana kesalahan mencederakan rakan artis, Dewi Persik.


Artis seksi yang popular dengan nama Jupe itu dilihat mengenakan pendakap leher ketika dibawa ke penjara itu tengah hari ini dari Pejabat Pendakwa Raya Daerah Jakarta Timur, di mana beliau ditempatkan sementara sejak malam tadi.

Jupe atau nama sebenarnya Yuli Rahmawati, dibawa ke Pejabat Pendakwa Raya dari kediamannya di kawasan perumahan Raffles Hills Cluster Spring, Cibubur, Jakarta Timur, malam tadi.

Artis kontroversi itu sebelum ini dua kali gagal menyerah diri ke pejabat itu pada 14 Feb dan 25 Feb lalu untuk menjalani hukumannya.

Jupe dihukum penjara tiga bulan oleh mahkamah selepas didapati bersalah mencederakan penyanyi dangdut Dewi Persik (nama popular Depe) di lokasi penggambaran filem Arwah Goyang Kerawang pada 2010.

Perbuatan itu dilakukan ketika mereka berdua sedang melakonkan satu adegan pergaduhan dalam filem seram itu.

Dewi Persik yang turut dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh mahkamah kerana terlibat dalam pergaduhan itu, belum lagi menjalani hukumannya.

-BERNAMA

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon