Tuesday, January 29, 2013

40 Tahun Karier Hebat Sylvester Stallone


Muncul menerusi lebih 60 buah filem sepanjang bergelar insan seni, pastinya aktor kelahiran New York ini bukan calang-calang pelakon di persada seni Hollywood.


Malah penampilannya dalam setiap filem yang dibintangi bukanlah sekadar memainkan watak tempelan sahaja, sebaliknya tunjang utama filem terbabit.

Bercerita mengenai latar belakang aktor yang terkenal sebagai pelakon yang sinonim dengan genre aksi ini, dia sebenarnya telah melibatkan diri dalam bidang seni sekitar tahun 1970 an lagi.

Meski pun bekas graduan Philadelphia Miami Dade College, University of Miami ini baru sahaja berusia 24 tahun ketika membintangi filem No Place to Hide, namun dia cukup bertuah kerana diterima dalam industri perfileman Hollywood.

Walaupun masih 'hijau' ketika itu, dia diberi kepercayaan untuk menggalas pelbagai peranan di awal kemunculannya memandangkan bakat yang ada dalam dirinya. Antara filem yang melonjakkan namanya ketika itu seperti A Man Called... Rainbo, The Party at Kitty and Stud’s, Death Race 2000, Police Story dan Kojak.

Ternyata lakonan mantap dan bersahaja bapa kepada lima anak ini telah memukau orang-orang kuat industri seni Hollywood sehingga meletakkan dia antara aktor terhebat di negara itu.

Menariknya, meski pun sudah 40 tahun berlalu, pelakon yang diberi nama Michael Sylvester Gardenzio Stallone atau lebih dikenali sebagai Sylvester Stallone ini tetap diminati sehingga ke hari ini. Malah, wajar dikatakan dia antara insan seni yang sentiasa dinantikan kemunculannya menerusi pelbagai filem dalam industri perfileman Hollywood.

Pasti peminat filem dan pengikut setia pelakon berbadan sasa ini mengakui, Stallone sentiasa tampil dengan karya terbaru dari masa ke semasa. Malah pada satu masa yang dipanggil era kegemilangannya sekitar tahun 1982, dia amat terkenal sebagai Rambo.

Ketika itu, ramai yang terpukau kerana lakonan hebatnya membawakan watak tersebut menerusi sekuel filem First Blood yang mendapat sentuhan pengarah Ted Kotcheff ini.

Ketika memainkan peranan tersebut, dia ibarat menjadi diri sendiri dan dilihat begitu hidup menjadi Rambo iaitu seorang tentera dari unit khas United States yang terlibat dalam perang di Vietnam.

Boleh dikatakan, lakonannya menerusi filem itu masih melekat di hati peminat sehingga ke hari ini. Malah menurut Stallone sendiri, menjadi Rambo meninggalkan satu momen indah sepanjang bergelar insan seni.

Kerana kejayaan dan keberkesanannya melakonkan filem box office itu, Stallone juga telah tampil menerusi sekuel seterusnya iaitu, Rambo: First Blood Part II dan Rambo III.

Selain penampilannya sebagai Rambo, Stallone juga amat terkenal dengan watak Barney Ross menerusi filem The Expendables. Baru sahaja muncul menerusi sekuel filem tersebut iaitu The Expendables 2, tahun lalu, nampaknya Stallone kembali mengubati kerinduan peminatnya apabila muncul dalam filem Bullet To The Head pula sebagai pembuka tahun 2013 ini.

Masih selesa dengan genre aksi dan thriller di usianya yang mencecah ke angka 66 tahun, Stallone bagaimana pun gembira apabila masih mendapat kepercayaan pengarah Hollywood.

Jelasnya, mana mungkin dia menghampakan harapan pengarah dan peminat apabila muncul menerusi filem yang menelan belanja sekitar RM167 juta ini.

"Saya semakin berusia namun mereka tetap mengambil saya sebagai pelakon utama. Selain satu penghargaan, saya andaikan filem ini hadiah kepada peminat.

"Lagi pun, wataknya hampir sama dengan filem-filem aksi yang dilakonkan saya. Tiada sebarang perbezaan dan saya masih dikenali menerusi watak sebegini sehingga ke hari ini," katanya memainkan peranan sebagai Jimmy Bobo bagi filem ini.

Dalam pada itu, filem arahan Walter Hill ini turut diadaptasi daripada novel hasil tulisan Alexis Nolent’s iaitu Du Plomb Dans La Tete. Ia berkisarkan sekumpulan detektif muda New York City Police Department (NYPD) yang diketuai oleh Stallone dalam berhadapan dengan pelbagai jenayah di New Orleans.

Selain Stallone, filem ini yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 31 Januari ini turut dibintangi Sung Kang ,Sarah Shahi dan Jason Momoa.

-mStar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon