Wednesday, December 05, 2012

Pakej Beli Dadah Dapat Pistol Di Kelantan


Pakej membeli dadah dan mendapat senjata api percuma, dikatakan punca berleluasanya kes jenayah membabitkan senjata api di Kelantan, sejak kebelakangan ini.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, siasatan mendapati pakej ini diberikan kepada penjenayah yang menyeludup dadah dari sempadan untuk pasaran tempatan.

Beliau turut menyifatkan jenayah senjata api di Kelantan ketika ini semakin serius namun ketangkasan pihak polis berjaya mengawal keadaan dengan tertangkapnya rangkaian penjenayah paling dikehendaki.

Menurutnya, Polis Kelantan berjaya menembak mati lapan anggota kumpulan samseng manakala seorang lelaki ditahan dalam serbuan di seluruh negeri.

“Masing-masing dua penjenayah ditembak mati ketika bertempur di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Ampang, Selangor dan seorang di Ipoh.

“Terbaru kita berjaya menumpaskan seorang penjenayah di Machang dan menangkap seorang lagi anggotanya bersama isteri di Kota Bharu,” katanya, kelmarin.

Jalaluddin berkata, senjata yang diperoleh juga turut digunakan untuk mengawal pengedar dadah dan mengutip hutang bayaran dadah.

Bukan itu sahaja katanya, senjata ini juga menjadi punca pendapatan sampingan mereka melalui jenayah pecah rumah dan samun.

Beliau berkata, kes senjata api semakin serius sehingga menjadi tren sedangkan kes ini diklasifikasikan sebagai terpencil beberapa tahun dulu.

Menurutnya, kes ini turut menimbulkan persepsi negatif daripada masyarakat seluruh negara, sehingga mempengaruhi bidang pelancongan di Kelantan.

“Kita menjadikan perkara ini sebagai cabaran malah kita berjaya menanganinya dengan baik, apabila tertangkapnya rangkaian penjenayah di seluruh negara.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kesyukuran Polis Bersama Masyarakat Jasamu Dikenang di Pondok Polis Chekok, To’ Uban, anjuran bersama Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

–Sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon