Thursday, December 06, 2012

Negara EU Umpama Tikus Rayu Israel


Duta Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat semalam bagi membincangkan kemungkinan menulis surat kepada Israel dan menyatakan rasa kurang senang berikutan projek pembinaan penempatan di wilayah Palestin.

Pekerja pembinaan bekerja di penempatan Maaleh Adumim 
di pinggir Baitulmaqdis Timur. Seorang jurucakap kerajaan 
Israel berkata Tel Aviv akan meneruskan rancangannya 
membina dua lagi penempatan besar di wilayah itu.

Pada mesyuarat yang diadakan di ibu negara Belgium itu juga, kumpulan duta berkenaan menimbang satu lagi kemungkinan iaitu memanggil duta Israel untuk berunding seperti yang sudah dilakukan lima negara EU sebelum ini.
Bagaimanapun tiada keputusan rasmi dibuat ketika mesyuarat dan isu berkenaan akan dibincangkan lebih lanjut esok.

“Kita sudah bersetuju agar satu cadangan dikemukakan, jadi ia bukan wajib,” kata seorang diplomat EU yang enggan namanya didedahkan.

Eropah berbelah bagi sejak konflik Israel dan Palestin tercetus minggu lalu, apabila 27 negara anggota EU gagal mencapai kata sepakat untuk mengiktiraf kedudukan Palestin daripada negara pemerhati kepada negara pemerhati bukan anggota di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Empat belas kerajaan Eropah menyokong perubahan status itu, 12 negara berkecuali manakala Republik Czech, menjadi satu-satunya negara EU yang menentang.

Bagaimanapun beberapa negara EU bimbang tekanan yang lebih keras ke atas Israel akan menjejaskan hasrat pertubuhan itu mengukuhkan kuasa dan bersuara lebih lantang di pentas diplomatik di Asia Barat.
EU adalah penyumbang bantuan luar terbesar bagi penduduk Palestin, menyediakan mereka kira-kira 300 juta euro (RM1.194 bilion) setahun daripada belanjawannya.

Dana terbabit digunakan untuk membantu pelarian dan pembinaan negara Palestin.

Pegawai EU bertelagah sama ada pembinaan negara Palestin di Tebing Barat mampu membantu usaha antarabangsa untuk menyelesaikan konflik dengan Israel.

Bagaimanapun pengaruh EU ke atas Israel adalah terhad manakala bantuannya ke atas Palestin jauh lebih kecil berbanding sokongan ekonomi dan ketenteraan yang diberikan Washington kepada Tel Aviv.

-Reuters

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon