Monday, November 26, 2012

Microsoft Perkenal TV Dalam Cermin Mata


Jika sebelum ini gergasi Internet, Google dan juga syarikat gajet elektronik, Apple mengumumkan tentang produk inovatif cermin mata khas mereka, kini Microsoft pula merancang memiliki peralatan yang hampir sama.


Rancangan Microsoft itu sebenarnya sudah dibuat sejak tahun lalu, namun berita itu hanya diketahui baru-baru ini, selepas maklumat tentangnya diperolehi daripada Bahagian Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (AS).

Produk Microsoft itu digambarkan berlainan daripada cermin mata khas Google dan Apple kerana ia berfungsi menyediakan maklumat tambahan ketika seseorang menonton siaran langsung perlawanan sukan.

"Selain menayangkan siaran langsung perlawanan, alat itu juga boleh menyampaikan maklumat tentang perlawanan termasuk maklumat pemain dan pungutan mata," menurut sumber.

Lakaran menunjukkan bagaimana pengguna menonton rancangan besbol dan cermin mata itu berfungsi menyediakan statistik dan maklumat tambahan bagi memberi nilai tambah kepada penonton perlawanan tersebut.

Menurut sumber, dalam permohonan paten, Microsoft tidak menyatakan tentang penggunaan alat tersebut untuk pemakaian harian, tidak seperti cermin mata Google dan Apple.

"Maklumat akan dibentangkan pada paparan alat tersebut tanpa mengganggu tontonan siaran langsung," menurut sumber itu.

Peralatan itu dijangka berfungsi sama ada melalui komputer yang dipakai pada lengan, melalui pergerakan anak mata atau arahan suara.

Sebaliknya, projek yang diumumkan oleh pengasas bersama Google, Sergey Brin, dipasarkan sebagai peralatan yang mempunyai pelbagai fungsi.

Alat tersebut mempunyai paparan kecil pada bahagian kiri yang membolehkan pengguna melayari laman web, membuat panggilan video, mendengar muzik dan mengambil nota.

-AGENSI

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon