Sunday, November 11, 2012

Laman Web Jual Produk Perangsang Seks Disekat


Kira-kira 96 laman web tempatan menjual pelbagai produk perangsang seks dan pelangsing tubuh haram `gulung tikar’ apabila Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM) dibantu polis antarabangsa (Interpol) menyekat semua laman web itu baru-baru ini.


Semua laman web itu dikesan melakukan penipuan apabila menjual produk tidak mendapat kelulusan KKM dan didapati mengandungi racun berjadual kepada pengguna internet di negara ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM), Mazlan Ismail, berkata, semua laman web itu berjaya dijejaki hasil operasi bersama 100 negara lain dalam memerangi penjualan ubat-ubatan haram melalui internet sejak 25 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat dan menutup laman web menjual produk haram itu.

“Antara produk haram yang cuba dijual adalah Vimax, Vig-Rx, Super Magic Power dan pelbagai produk lain yang dipercayai diseludup dari luar negara,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat diperoleh itu, pihak BPF turut melakukan siasatan terhadap 1, 260 bungkusan pos dan kurier yang disyaki dihantar pihak sindiket kepada pelanggan yang membuat pembelian melalui internet.

“Operasi bersepadu dipanggil Pangea V itu diselaraskan oleh Interpol bertujuan menyekat aktiviti penjualan ubat-ubatan haram, palsu atau tidak sah di seluruh dunia.

“Aktiviti sindiket itu dianggap berbahaya berikutan pihak sindiket mampu menghantar ubatan-ubatan terlarang atau beracun ini hampir di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Menurutnya, operasi turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan organisasi yang ada kaitan dalam perdagangan berasaskan internet.

“Satu pusat kawalan operasi diwujudkan di Ibu pejabat sekretariat Interpol di Lyon, Perancis. Sepanjang tempoh operasi bermula 25 September lalu, beberapa serbuan dilakukan di alamat premis yang dikaitkan dengan penjualan ubat melalui internet.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon