Sunday, November 25, 2012

Apahal! Jurulatih PLKN Tidak Di Bayar Gaji


“Sejak kisah saya disiarkan, sampai sekarang tiada pihak datang untuk menyelesaikan masalah dihadapi,” kata bekas jurulatih fizikal Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Mohd Abdul Rahman K Azeez, 45, yang mendakwa belum menerima tunggakan gaji kira-kira RM16,000 selepas ditamatkan perkhidmatan, Mei lalu.

Gambar hiasan

Menurutnya, dia kesal kerana tiada mana-mana pihak tampil membantu, malah masing-masing berdiam diri seolah-olah tidak mengambil peduli dengan nasibnya.

“Disebabkan masalah ini tidak dipedulikan, baru-baru ini saya menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). “Saya berharap usaha ini membuahkan hasil kerana tidak mahu lagi berlanjutan tanpa penyelesaian. “Malah, saya juga sudah membuat panggilan di talian Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya ketika membuat aduan di pejabat cawangan Harian Metro di sini, kelmarin.

Pada 29 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan dakwaan Mohd Abdul Rahman yang belum menerima tunggakan gaji kira-kira RM16,000 selepas ditamatkan perkhidmatan. Dia yang kini bernaung di bawah Persatuan Kebajikan Jurulatih Fizikal Malaysia (Pejufim) turut mendakwa lebih 100 ahli persatuan itu di seluruh negara berdepan masalah sama iaitu belum menerima tunggakan gaji antara RM5,000 hingga RM40,000 sejak lebih dua tahun lalu. Mohd Abdul Rahman berkata, dia juga akan mempertimbangkan tindakan mengikut saluran undang-undang, sekiranya dia tidak menerima sebarang jawapan mengenai masalah itu daripada mana-mana pihak berkaitan.

“Buat masa ini, saya akan menunggu maklum balas daripada pihak terbabit dan jika masih tiada jawapan, saya tidak teragak-agak mengambil jalan penyelesaian di mahkamah,” katanya.

-Hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon