Sunday, November 18, 2012

Anwar Bantah DAP Robohkan Rumah Milik Warga Tua


Seorang warga emas hanya mampu mengalirkan air mata melihat sebahagian rumah pusaka keluarganya di Lengkok Sungai Gelugor di sini dirobohkan oleh pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pagi semalam.


Bahagian hadapan rumah Mariam Tahir, 72, yang berusia hampir 100 tahun itu diruntuhkan oleh jentolak penguat kuasa MPPP semasa dia keluar ke pasar kira-kira pukul 9.30 pagi atas alasan dibina tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Menurut Mariam, sebaik pulang dari pasar, dia terperanjat apabila melihat pekarangan rumahnya dipenuhi anggota MPPP serta beberapa anggota polis untuk menjalankan tugas meroboh.

Jelas Mariam, dia amat kecewa dengan sikap pegawai MPPP dan pemimpin kerajaan negeri yang tidak prihatin dengan nasibnya.

“Saya dah tua, anak pula OKU. Kehidupan kami bergantung dengan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) meroboh rumah seorang warga emas tersebut.

Agensi berita nasional itu memetik beliau sebagai mempersoalkan tindakan MPPP itu memandangkan arahan untuk tidak merobohkan rumah berkenaan telah dikeluarkan kerajaan negeri.

“Kalau ada ahli majlis dari Pakatan Rakyat yang terlibat, saya akan tentukan orang seperti ini tidak perlu dilanjutkan kerana dia tidak prihatin permasalahan rakyat,” Bernama memetik Anwar sebagai berkata.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di wacana ‘Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat’ sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini. Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Osman.

Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh menggesa kerajaan negeri menyiasat sama ada terdapat kecuaian di peringkat pegawai atau ahli majlis.

Menurut Bernama lagi, baru-baru ini akhbar melaporkan penguatkuasa MPPP meroboh bahagian depan rumah milik Mariam Tahir, 72, tanpa mengeluarkan sebarang notis terlebih dahulu kerana strukturnya tidak mengikut peraturan ditetapkan.

-Mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon