Hanya kerana £2.50 (RM12), seorang bapa tergamak membunuh bayi perempuannya yang baru berusia lima minggu. Bapa kejam itu, Mark Lackenby, 32, kini menjalani hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan itu selepas tertekan apabila kalah dalam perjudian bola sepak.
Mark Lackenby
Hakim mahkamah Sheffield, Haddon Gua, menjatuhkan hukuman terbabit apabila Lackenby didapati bersalah mencederakan anaknya, Ruby, dengan menggoncang bayinya dengan ganas sehingga menyebabkan kematian.
“Bayi terbabit tidak bersalah walaupun bapanya kalah dalam perjudian bola sepak. Anak kecil itu mengalami kerosakan otak yang teruk dan disahkan mati sehari selepas perbuatan Lackenby. Hukuman ini setimpal dengan kesalahannya itu,” katanya.
Pada waktu kejadian, Lackenby dikatakan menonton perlawanan bola sepak di antara Arsenal dan Barcelona di kediamannya di Goldthorpe, South Yorkshire di mana dia mempertaruhkan Robin Van Persie menjaringkan gol pembukaan.
Jika pemain itu menjaringkan gol pertama dalam perlawanan terbabit, Lackenby akan memenangi £200 (RM800). Namun, gol pertama yang dijaringkan oleh David Villa membuatkan Lackenby menjadi berang dan membuatkan anaknya itu menangis. Lackenby dikatakan tidak dapat mengawal kemarahannya lalu melemparkan rasa geram kepada bayi terbabit.
Pada waktu kejadian, Ruby berada bersebelahan Lackenby iaitu di atas sofa di hadapan televisyen manakala ibunya, Gemma Coates berada di bilik mandi.
Gua berkata, perbuatan Lackenby adalah keji dan tidak patut dicontohi.
“Anda tidak sepatutnya bermain judi. Jika sekiranya anda bermain judi dan kalah, tidak sepatutnya perasaan marah itu dilemparkan kepada anak kecil anda.
“Apapun alasan anda, perbuatan anda itu adalah kejam. Anda seorang yang tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mendatangkan kecederaan parah hingga menyebabkan kematian kepada anak sendiri, walaupun dia masih lagi bayi.
“Kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada bayi terbabit. Namun hasil bedah siasat dan perlawanan bola serta tiket pertaruhan yang ditemui, kami mendapati Lackenby melakukan kekejaman terhadap anak terbabit,” katanya.
Ketika sesi perbicaraan, Lackenby mengaku tidak bersalah. Namun, bukti dan pendedahan forensik menjelaskan bayi terbabit mati kerana kerosakan teruk pada saraf dan kepala akibat daripada gegaran melampau.
Menurut Gua, hukuman berat itu setimpal diberikan kepada Lackenby kerana beliau sepatutnya sempat menyelamatkan anaknya, namun bertindak membohongi jururawat kecemasan.
“Ketika anaknya berhenti bernafas, Lackenby dan isterinya bergegas ke Hospital Kanak-kanak Sheffield. Namun, dia didapati berbohong kepada jururawat dan doktor apabila menyatakan anaknya itu berhenti bernafas secara tiba-tiba.
“Sekiranya dia memberitahu perkara sebenar, mungkin Ruby dapat diselamatkan. Pasukan perubatan melakukan yang terbaik bagi menyelamatkan bayi terbabit namun kerana maklumat yang salah, doktor tidak dapat memberikan bantuan perubatan yang tepat kepada Ruby.
“Perbuatan Lackenby itu pastinya akan membuat ibunya, Gemma dan keluarganya bersedih atas kehilangan bayi comel terbabit hanya kerana sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan Lackenby,” katanya.
Sementara itu, Ketua Inspektor, Detektif Sean Middleton merangkap ketua penyiasat kes terbabit berkata, kes itu adalah antara yang paling menyayat hati.
“Ini adalah satu tragedi. Ia menyedihkan bukan saja ibu mangsa, sebaliknya seluruh keluarga mereka dan komuniti Goldthorpe turut terjejas akibat tindakan Lackenby.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada penduduk Goldthorpe kerana banyak membantu pihak polis bagi menyelesaikan kes ini,” katanya.
Lackenby yang didapati bersalah kini menjalani hukuman penjara 10 tahun.
-Hmetro