Saturday, July 13, 2013

Tragedi Penghinaan Sistem Demokrasi Di Mesir

Tragedi Penghinaan Sistem Demokrasi Di Mesir

Ketibaan bulan Ramadan yang sepatutnya diraikan dengan penuh rasa kesyukuran bertukar tragedi berdarah di Mesir apabila sekumpulan penyokong Presiden Dr. Mohammed Morsi yang digulingkan daripada jawatannya terkorban.


Seramai 51 orang terbunuh selepas pasukan keselamatan bertindak melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang dikatakan cuba menceroboh Kompleks Pengawal Republikan, lokasi Morsi ditahan pada awal pagi 8 Julai lalu.

Lebih menyedihkan 35 daripada jumlah mangsa yang terbunuh ketika itu sedang menunaikan solat Subuh berjemaah di satu kawasan terbuka berdekatan Masjid Rabiatul Adawiyah yang menjadi tempat perhimpunan para penyokong Morsi.

Selain itu, lebih 400 orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara peserta demonstrasi jalanan dan pihak tentera sekali gus menjadikan krisis pergolakan di Mesir semakin membimbangkan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat para penyokong untuk terus menegakkan keadilan terhadap Morsi yang dipilih secara sah melalui pilihan raya presiden pada Jun 2012.

Mereka bertegas untuk terus mengadakan demonstrasi di jalanan sehingga Morsi yang kini ditahan oleh pihak tentera dikembalikan semula jawatannya sebagai Presiden.

Sebagai Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokrasi, Morsi telah dikritik sebagai diktator dan tidak berjaya menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin negara tersebut. Namun, di mata penyokongnya, beliau dianggap sebagai seorang wira.

"Saya sanggup menempuh perjalanan sejauh 600 kilometer semata-mata untuk menunjukkan sokongan kepadanya. Beliau adalah presiden yang telah diundi secara sah," ujar Essam al-Hawany, seorang guru sekolah tinggi yang menyertai demonstrasi tersebut.

Tambah Essam, pihak tentera telah melakukan penghinaan terhadap demokrasi di Mesir. Justeru, dia tidak akan gentar untuk terus memperjuangkan keadilan buat Morsi.

"Biarlah darah kami tumpah kerana kami sanggup mati dalam perjuangan menentang kebatilan. Jika tidak, kami tidak akan datang ke sini," tegasnya.

Sementara itu, jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad melalui laman sosial Twitter, menggesa rakyat Mesir yang patriotik dan berani agar keluar beramai-ramai untuk mempertahankan negara daripada pengkhianat konspirasi rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Demonstrasi jalanan

"Setiap wilayah akan mengadakan majlis pengkebumian dan demonstrasi. Kami tidak akan mengalah," ujarnya.

Apa yang pasti, pergolakan terus berlaku di Mesir bermula pada 30 Jun lalu iaitu antara puak yang menyokong dan menolak kepimpinan Morsi. Ia menyaksikan beberapa buah bandar utama menjadi lokasi perhimpunan penganjuran demonstrasi jalanan untuk meluahkan pendapat masing-masing.

Bagi ribuan penyokong Morsi, mereka berhimpun di Rabiatul Adawiyah, Nasr City manakala Dataran Tahrir di Kaherah menjadi tempat perhimpunan rakyat yang menolak kepimpinan Morsi.

Menurut pemerhati politik tanah air, Dr. Maszlee Malik, penggulingan Morsi merupakan satu pengkhianatan terhadap aspirasi rakyat Mesir pascarevolusi 25 Januari 2011 yang telah menjatuhkan diktator Hosni Mubarak.

"Apa yang jelas, pihak tentera telah mencabuli demokrasi serta menghina keluhuran undang-undang di bumi Mesir. Keadaan ini boleh dianggap satu tindakan melangkah semula ke belakang iaitu ke tahun 1952.

"Ketika itu, Mesir telah diperintah oleh pihak tentera akibat rampasan kuasa sambil membelakangkan pilihan rakyat melalui kerangka demokrasi. Malangnya, apabila perkara sebegini berlaku, negara-negara Barat yang selama ini melaungkan dan memperjuangkan demokrasi terutama Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) bersikap hipokrit.

"Mereka yang sepatutnya mengecam dan tidak mengiktiraf rampasan kuasa itu, sebaliknya hanya mendiamkan diri dan cuba menyalahkan Morsi," jelas Maszlee sambil memuji sikap Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani mengutuk rampasan kuasa tersebut.

Tambah beliau, apa yang merisaukan adalah mengenai masa depan rakyat Gaza di Palestin memandangkan pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dan Gaza serta antara Gaza dengan dunia luar telah ditutup sejak tentera mengambil alih pemerintahan Mesir.

Mengakui Morsi mempunyai kelemahan terutama dalam aspek memulihkan keselamatan dan ekonomi negara, namun ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya.

"Morsi bekerja dalam keadaan kedua tangannya 'digari'. Saki-baki rejim telah menyukarkan pentadbiran beliau yang baru berusia setahun. Beliau juga tidak mendapat kerjasama daripada pihak keselamatan dan media yang sentiasa memfitnahnya.

"Malah, pihak yang memonopoli perniagaan dan bekalan bahan api sengaja melakukan sabotaj terhadap rakyat. Tetapi, dalam keadaan serba terikat itu, Morsi masih dapat melakukan banyak perubahan walaupun tidak secara menyeluruh. Jadi, mengapa menghukum beliau terlalu awal?

"Hakikatnya, tiada presiden yang mampu mengubah sebuah negara pascarevolusi dalam tempoh sekelip mata," ungkap beliau yang merupakan Pensyarah di Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Selain itu, Maszlee juga berharap rakyat Malaysia dapat mengambil iktibar berhubung isu yang berlaku di Mesir. Ujarnya, sistem demokrasi yang bertujuan menjadi mekanisme untuk menguruskan perbezaan pandangan dan perbezaan ideologi politik perlu dihormati.

"Demokrasi bukan semata-mata keputusan rakyat yang menentukan kemenangan mana-mana parti dalam pilihan raya, bahkan lebih daripada itu.

"Mekanisme untuk semak dan imbang melalui kebebasan media, kebebasan bersuara serta ruang-ruang untuk rakyat melalui masyarakat sivil berpartisipasi dalam proses politik juga adalah sebahagian daripada demokrasi," kata Ma szlee.

Rakyat Malaysia perlu berusaha mempertingkatkan tahap pemikiran dan pendidikan mereka.

Pilihan raya

"Kadar keciciran pelajaran dan buta huruf dalam kalangan rakyat Mesir merupakan antara penyumbang kepada tidak stabilnya negara berkenaan," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Mesir sementara, Adly Mansour berikrar akan mengadakan pilihan raya menjelang awal tahun hadapan sebagai respons terhadap situasi di negara itu.

Mansour telah mengeluarkan dekri yang menetapkan jadual untuk satu referendum terhadap perlembagaan yang telah digubal, sebelum pilihan raya presiden dilaksanakan.

Keseluruhan proses tersebut dikatakan tidak akan mengambil masa melebihi 210 hari. Menurut dekri itu, satu panel yang mewakili parti politik, agama dan perkhidmatan keselamatan akan bersetuju dengan penggubalan akhir perlembagaan dan menjadikan ia sebagai satu referendum dalam tempoh lima bulan.

Di samping itu, Mansour turut menamakan mantan Menteri Kewangan, Hazem el-Bablawi sebagai Perdana Menteri sementara dan melantik bekas Ketua Agensi Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed El-Baradei sebagai timbalan presiden yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal luar negara.

Apa yang pasti, di sebalik kekacauan yang berlaku, para penyokong Morsi tidak melepaskan peluang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di Dataran Rabiatul Adawiyah.

Foto yang memaparkan ribuan umat Islam pro-Morsi menunaikan solat tarawih dan solat tahajud pada malam pertama Ramadan itu telah dimuat naik oleh laman sosial Facebook Mesir Kini.

BACA INI JUGA: Siapa Dalang Di Sebalik Tunjuk Perasaan Di Seluruh Dunia Islam?

[Sumber]

Wednesday, July 10, 2013

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

Amerika Syarikat (AS) meminta parti gerakan bekas pemerintah Mesir, Ikhwan Muslimin menerima penggulingan Presiden Mohammed Mursi sejak lima hari lalu.

Penyokong berhimpun mendesak tentera 
membebaskan Mursi di Dataran Rabia al-Adawiya

Media tempatan melaporkan, seorang ahli tertinggi dari parti gerakan itu berkata, diplomat AS menghubungi pemimpin-pemimpin parti itu untuk memujuk mereka menyertai semula proses politik di Mesir.

“Mereka meminta kami menghalalkan rampasan kuasa. Desakan itu seperti pukulan maut buat kami,” katanya.

Beliau berkata, AS juga cuba melobi dan meracuni fikiran pemimpin Ikhwanul Muslimin dengan menuduh, Mursi hanya ingin memonopoli kuasa dan melebarkan pengaruhnya sahaja.

Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir masih buntu untuk memilih Perdana Menteri sementara selepas Parti al Nour menolak kedua-dua calon dipilih oleh tentera untuk mengisi jawatan tersebut.

Pentadbiran sementara dibentuk tentera untuk membawa negara itu ke pilihan raya awal, mencalonkan peguam Demokratik Sosial; Ziad Bahaa el-Din dan ahli politik liberal; Mohamed ElBaradei.

Namun, kedua-dua calon itu ditolak dan mereka enggan menandatangani pelan tindakan tentera untuk peralihan kuasa.

Mereka juga menarik diri untuk mengadakan rundingan lanjut sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera menembak mati puluhan penunjuk perasaan di Ibu Pejabat Pengawal Republikan.

Jurucakap Parti al Nour Nadder Bakkar berkata, semua rundingan ditarik serta merta selepas lebih 35 maut dan ratusan yang lain cedera di luar bangunan berkenaan, kelmarin.

“Ketua tentera Abdel Fattah al-Sisi kini bertanggungjawab terhadap semua kekecohan dan kematian ini.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin melaporkan, sekurang-kurangnya 50 penyokong terbunuh selepas tentera menggunakan senjata api dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Mursi.

“Jumlah anggota keselamatan bertambah dua kali ganda dari kelmarin. Mereka menyasarkan tembakan terhadap penyokong,” katanya dipetik PressTV

Saksi berkata, beliau melihat ramai orang ditembak askar dan polis selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke udara di bandar Nasr, timur Kaherah.

Dataran Rabia al-Adawiya dan Dataran Al-Nahda berhampiran Universiti Kaherah kini menjadi lokasi perhimpunan penyokong Mursi bagi mendesak pemimpin itu dibebaskan kerana sehingga kini ‘kehilangan’ Mursi terus cetus
tanda tanya selepas ditahan unit komando sejak Khamis lalu.

Mereka juga menyekat jalan utama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Bagi kumpulan anti Morsi mereka berkumpul di Dataran Tahrir, sekitar Istana Ittihadiya dan Iskandariah serta bandar-bandar utama yang lain di seluruh Mesir.

-Bharian

Tuesday, July 09, 2013

Tentera Bunuh Penyokong Morsi Ketika Solat Subuh!

Tentera Bunuh Penyokong Morsi Ketika Solat Subuh!

Rakyat Mesir menyambut ketibaan Ramadan dengan tragedi berdarah selepas 51 terbunuh ditembak askar ketika melakukan protes aman penyokong Muhamed Morsi. Mereka ditembak ketika solat subuh dekat tempat Morsi ditahan pagi semalam.


Dalam kejadian jam 3.30 pagi, semua mangsa ditembak sejurus bangun dari rukuk pada rakaat kedua ketika menunaikan solat berhadapan bangunan Pengawal Republik tidak jauh dari Dataran Raba’ah Al Adawiyah, Madinat Nasr, di sini.

Seorang saksi kejadian, Mohamed Sultan, 45, berkata serangan tentera Mesir berlaku secara mengejut menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan diri.

“Pihak tentera terlebih dahulu melepaskan berpuluh tembakan gas pemedih mata sebelum menghujani tembakan peluru hidup ke arah orang ramai.

”Saya sempat memangku kepala salah seorang pemuda yang mati berlumuran darah selepas dahinya ditembusi peluru hingga mengeluarkan otak.

“Jeritan mangsa dan bunyi tembakan rifel serta senapang patah kedengaran di mana-mana. Ada yang cuba membantu mangsa cedera turut maut ditembak,” katanya.
Katanya, serangan itu turut mengakibatkan ratusan mangsa cedera ditembak di kaki dan perut.

"Sebaik serangan berhenti, mangsa yang bergelimpangan maut dan dan cedera segera diusung ke Masjid Rabiatul Adawiyah,” katanya.

Saksi lain, Dr Mohamad Bar, 40, menyifatkan serangan itu sebagai kezaliman mutlak dan pengkhianatan tentera terhadap rakyat Mesir.

Menurutnya, ada mayat penunjuk perasaan ditemui mati dalam keadaan bersujud malah serangan ini turut mensasarkan kanak-kanak tidak berdosa.

"Kekejaman tentera membunuh orang awam menyamai kezaliman tentera Zionis pada rakyat Palestin. Saya tidak percaya pihak tentera sanggup membunuh kami (rakyat Mesir) kerana mereka sebelum ini menyokong penuh kami ketika revolusi menumbangkan presiden Hosni Mubarak pada 2011.

Katanya penunjuk perasaan yang terselamat dan menyorok di Masjid Mustafa tidak jauh dari bangunan Pengawal Republik turut ditahan tentera.

“Pembunuhan beramai-ramai ini adalah tragedi terburuk sejak Morsi digulingkan tentera Khamis lalu. Sesungguhnya darah mangsa yang mengalir ini akan menjadi laknat kepada mereka (tentera),” katanya.

Katanya, jenazah mangsa yang terkorban disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Rabiatul Adawiyah manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital berhampiran.

Sementara itu tinjauan mendapati beberapa jalan utama menuju ke Dataran Raba'ah Al Adawiyah, di sini, ditutup oleh beratus anggota tentera menggunakan kenderaan perisai.

-Bharian

Friday, July 05, 2013

Kenapa Rakyat Mesir Gulingkan Morsi?

Kenapa Rakyat Mesir Gulingkan Morsi?

Terkejut membaca berita; Presiden Mesir Dr. Mohamed Morsi telah digulingkan! Melalui sumber berita, Morsi telah digulingkan melalui campur tangan pihak tentera sekaligus menyaksikan Mesir kini berada di bawah pemerintahan sementara oleh Tentera. Pihak tentera Mesir juga mengumumkan pelan tindakan masa depan politik negara ini yang bakal dilaksanakan oleh sebuah jawatan kuasa perdamaian nasional.


Mungkin ramai antara kita yang bertanya: “Mengapa ramai sangat yang menentang Presiden Dr Mohamad Morsi dari Gerakan Ikhwan Al-Muslimin, padahal majoriti penduduk Mesir telah mengundi beliau semasa pilihan raya pemilihan Presiden Mesir selepas Revolusi 25 Januari 2011 yang lalu?"

Bukankah ia pelik? Apalagi yang dimahukan oleh Rakyat Mesir?

Berikut beberapa pendapat yang dapat kumpulkan melalui sumber-sumber berita di internet, ia bukanlah pendapat peribadi kami:
  • Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.
  • Kemenangan Presiden Dr.Morsi adalah sebanyak 13 juta undi berbanding calon sengit Ahmad Syafiq yang meraih 12 juta undi dan ini bermakna Dr Mohamad Morsi menang dengan majoriti sebanyak 1 juta undi.
  • Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.
  • Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.
  • Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.
  • Morsi juga terpaksa mengetepikan dikri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.
  • Morsi pernah membuat permohonan bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.
  • Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.
  • Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.
  • Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.
  • Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar.
  • Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.
  • Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.
  • Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.
  • Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.
  • Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan ‘kelemahan’ itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan ‘revolusi kebangkitan rakyat kedua.’
  • Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah ‘kuasa yang diwujudkan’. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.
  • Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Gerakan Penyelamat Mesir

  • Sememangnya kita tidak boleh nafikan beribu-ribu jumlah penentang Dr Mohamad Morsi mengambil langkah protes dengan membunuh beberapa pemuda Ikhwanul Muslimin, membakar pejabat-pejabat operasi Ikhwanul Muslimin dan pejabat-pejabat Parti Kebebasan &Keadilan ( FJP ) di seluruh Mesir baru-baru ini, adalah dari kalangan 12 juta penyokong Ahmad Syafiq. Dengan hasrat, ingin dan mahu menjatuhkan rancangan dan cita-cita besar Presiden Dr Morsi untuk melaksanakan Perlembagaan baru di Mesir.
  • Melalui sokongan Ikhwan Muslimin dan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pemerintah Mesir melancarkan kempen 'Bersama bangunkan Mesir' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, memulihkan sekitar 2,000 buah sekolah dan mewujudkan pasar murah bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.
  • Tetapi malangnya, kesabaran tidak ada kepada parti-parti pembangkang khususnya Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang mendesak supaya revolusi kedua dilancarkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Morsi memenuhi tuntutan mereka dan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh Mesir.
  • Mereka mendakwa tempoh enam bulan di bawah pemerintahan Morsi (ketika protes bermula), ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Sesuatu yang amat malang bagi pemerintah Mesir apabila mereka terpaksa berhadapan dengan puak yang tidak sabar seumpama itu.
  • Beliau bukan sahaja berhadapan dengan kelompok pembangkang yang sentiasa sahaja mahu mencari salah tetapi juga gerakan-gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang merasakan gerakan revolusi yang dilancarkan dua tahun lalu tidak memenuhi kehendak mereka.
  • Oleh itu, mereka terus mengapi-api perasaan rakyat Mesir untuk bangkit menentang Morsi pula selepas berjaya meranapkan riwayat pemerintahan Hosni Mubarak. Mereka memahami peluang itu ada kerana berdasarkan kepada pemilihan Presiden pada Jun lalu, Morsi bukanlah menang dengan selesa.
  • Samseng-samseng upahan dari kumpulan tiga serangkai (kumpulan yang mendakwa mereka adalah “GERAKAN PENYELAMAT MESIR” yang diketuai oleh Amru Musa, Dr.Mohammad El-Baradei dan Hamdin Sobahi (bekas calon Presiden Mesir yang tewas).
  • Ada juga kemungkinan besar, bahawa semua samseng ini mendapat habuan yang tinggi daripada kuasa besar Amerika Syarikat dan Israel. Jika tidak, mana mngkin mereka sanggup membunuh dan membakar? Negara Mesir sememangnya sinonim dengan “PYRAMID” sejak dari zaman pemerintahan Hosni Mubarak lagi.
  • Mengapa dikatakan negara “PYRAMID”? Hal ini kerana bilangan yang kaya raya itu mewakili golongan paling atas bahagian piramid dan terdiri daripada golongan pemerintah, sedangkan bilangan yang sangat miskin itu sangat besar jumlahnya mewakili bahagian paling bawah piramid. Oleh sebab itu, kemungkinan mereka diupah dan ditawarkan dengan jumlah wang yang besar tidak dinafikan.
  • Dan hanya kumpulan 3 serangkai yang menolak perbincangan tersebut iaitu Amru Musa, Hamdin Sobahi sebagai pengasas Gerakan Kebangsaan dan Dr.Mohammad El-Baradei, yang meletakkan syarat Morsi perlu membatalkan dekri yang berkaitan kekebalan dalam semua keputusan Morsi dan perkara berkaitan Presiden berhak mengambil apa-apa langkah bagi memelihara keamanan negara.
  • Penunjuk perasaan meraikan kejatuhan Mohamed Mursi di luar istana presiden di Kaherah Mesir

Apa akan terjadi selepas ini?

  • Dalam masa yang sama, pemimpin utama jihad, Al-Gamaa Al-Islamiya, Tarek El-Zomor memberi amaran kepada lawan-lawan politik Morsi agar tidak menjatuhkan pemerintahan Presiden Mesir itu.
  • ''Jika Presiden Morsi dijatuhkan secara tidak sah, Ikhwan Muslimin yang terkenal dengan sikap damainya akan masuk campur untuk membuka laluan kepada kelompok revolusi Islam menentang kelompok anarkis dan sekular," katanya.
  • Apa pun keadaannya, ternyata perkembangan terkini di Mesir yang memasuki usia dua tahun selepas berlaku Arab Spring masih meletakkan negara itu dalam keadaan tidak menentu.
  • Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.
  • Sikap tidak sabar, memancing emosi rakyat dan menjadikan demonstrasi jalanan sebagai platform untuk melakukan bantahan ternyata menjadi ancaman berterusan kepada pemerintah Mesir yang diyakini oleh diplomat-diplomat asing mampu memulihkan keadaan negara itu.
  • Oleh itu jadikanlah Mesir sebagai contoh bagaimana usaha murni kerajaan tidak akan tercapai jika ada pihak mahu berpolitik sepanjang masa sehingga ia akan memungkinkan negara kucar kacir dan rakyat menderita.

[Sumber]