Wednesday, July 10, 2013

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

AS Paksa Ikhwan Muslimin Terima Penggulingan Morsi!

Amerika Syarikat (AS) meminta parti gerakan bekas pemerintah Mesir, Ikhwan Muslimin menerima penggulingan Presiden Mohammed Mursi sejak lima hari lalu.

Penyokong berhimpun mendesak tentera 
membebaskan Mursi di Dataran Rabia al-Adawiya

Media tempatan melaporkan, seorang ahli tertinggi dari parti gerakan itu berkata, diplomat AS menghubungi pemimpin-pemimpin parti itu untuk memujuk mereka menyertai semula proses politik di Mesir.

“Mereka meminta kami menghalalkan rampasan kuasa. Desakan itu seperti pukulan maut buat kami,” katanya.

Beliau berkata, AS juga cuba melobi dan meracuni fikiran pemimpin Ikhwanul Muslimin dengan menuduh, Mursi hanya ingin memonopoli kuasa dan melebarkan pengaruhnya sahaja.

Dalam perkembangan lain, kerajaan sementara Mesir masih buntu untuk memilih Perdana Menteri sementara selepas Parti al Nour menolak kedua-dua calon dipilih oleh tentera untuk mengisi jawatan tersebut.

Pentadbiran sementara dibentuk tentera untuk membawa negara itu ke pilihan raya awal, mencalonkan peguam Demokratik Sosial; Ziad Bahaa el-Din dan ahli politik liberal; Mohamed ElBaradei.

Namun, kedua-dua calon itu ditolak dan mereka enggan menandatangani pelan tindakan tentera untuk peralihan kuasa.

Mereka juga menarik diri untuk mengadakan rundingan lanjut sebagai tindak balas terhadap tindakan tentera menembak mati puluhan penunjuk perasaan di Ibu Pejabat Pengawal Republikan.

Jurucakap Parti al Nour Nadder Bakkar berkata, semua rundingan ditarik serta merta selepas lebih 35 maut dan ratusan yang lain cedera di luar bangunan berkenaan, kelmarin.

“Ketua tentera Abdel Fattah al-Sisi kini bertanggungjawab terhadap semua kekecohan dan kematian ini.

Sementara itu, Ikhwanul Muslimin melaporkan, sekurang-kurangnya 50 penyokong terbunuh selepas tentera menggunakan senjata api dan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Mursi.

“Jumlah anggota keselamatan bertambah dua kali ganda dari kelmarin. Mereka menyasarkan tembakan terhadap penyokong,” katanya dipetik PressTV

Saksi berkata, beliau melihat ramai orang ditembak askar dan polis selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke udara di bandar Nasr, timur Kaherah.

Dataran Rabia al-Adawiya dan Dataran Al-Nahda berhampiran Universiti Kaherah kini menjadi lokasi perhimpunan penyokong Mursi bagi mendesak pemimpin itu dibebaskan kerana sehingga kini ‘kehilangan’ Mursi terus cetus
tanda tanya selepas ditahan unit komando sejak Khamis lalu.

Mereka juga menyekat jalan utama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Bagi kumpulan anti Morsi mereka berkumpul di Dataran Tahrir, sekitar Istana Ittihadiya dan Iskandariah serta bandar-bandar utama yang lain di seluruh Mesir.

-Bharian

Tuesday, July 09, 2013

Tentera Bunuh Penyokong Morsi Ketika Solat Subuh!

Tentera Bunuh Penyokong Morsi Ketika Solat Subuh!

Rakyat Mesir menyambut ketibaan Ramadan dengan tragedi berdarah selepas 51 terbunuh ditembak askar ketika melakukan protes aman penyokong Muhamed Morsi. Mereka ditembak ketika solat subuh dekat tempat Morsi ditahan pagi semalam.


Dalam kejadian jam 3.30 pagi, semua mangsa ditembak sejurus bangun dari rukuk pada rakaat kedua ketika menunaikan solat berhadapan bangunan Pengawal Republik tidak jauh dari Dataran Raba’ah Al Adawiyah, Madinat Nasr, di sini.

Seorang saksi kejadian, Mohamed Sultan, 45, berkata serangan tentera Mesir berlaku secara mengejut menyebabkan ramai tidak sempat menyelamatkan diri.

“Pihak tentera terlebih dahulu melepaskan berpuluh tembakan gas pemedih mata sebelum menghujani tembakan peluru hidup ke arah orang ramai.

”Saya sempat memangku kepala salah seorang pemuda yang mati berlumuran darah selepas dahinya ditembusi peluru hingga mengeluarkan otak.

“Jeritan mangsa dan bunyi tembakan rifel serta senapang patah kedengaran di mana-mana. Ada yang cuba membantu mangsa cedera turut maut ditembak,” katanya.
Katanya, serangan itu turut mengakibatkan ratusan mangsa cedera ditembak di kaki dan perut.

"Sebaik serangan berhenti, mangsa yang bergelimpangan maut dan dan cedera segera diusung ke Masjid Rabiatul Adawiyah,” katanya.

Saksi lain, Dr Mohamad Bar, 40, menyifatkan serangan itu sebagai kezaliman mutlak dan pengkhianatan tentera terhadap rakyat Mesir.

Menurutnya, ada mayat penunjuk perasaan ditemui mati dalam keadaan bersujud malah serangan ini turut mensasarkan kanak-kanak tidak berdosa.

"Kekejaman tentera membunuh orang awam menyamai kezaliman tentera Zionis pada rakyat Palestin. Saya tidak percaya pihak tentera sanggup membunuh kami (rakyat Mesir) kerana mereka sebelum ini menyokong penuh kami ketika revolusi menumbangkan presiden Hosni Mubarak pada 2011.

Katanya penunjuk perasaan yang terselamat dan menyorok di Masjid Mustafa tidak jauh dari bangunan Pengawal Republik turut ditahan tentera.

“Pembunuhan beramai-ramai ini adalah tragedi terburuk sejak Morsi digulingkan tentera Khamis lalu. Sesungguhnya darah mangsa yang mengalir ini akan menjadi laknat kepada mereka (tentera),” katanya.

Katanya, jenazah mangsa yang terkorban disembahyangkan selepas solat zuhur di Masjid Rabiatul Adawiyah manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital berhampiran.

Sementara itu tinjauan mendapati beberapa jalan utama menuju ke Dataran Raba'ah Al Adawiyah, di sini, ditutup oleh beratus anggota tentera menggunakan kenderaan perisai.

-Bharian

Anwar Kutuk Pembangkang Tidak Hormati Pilihan raya Mesir!

Anwar Kutuk Pembangkang Tidak Hormati Pilihan raya Mesir!

Berikut adalah kenyataan Anwar Ibrahim sejurus selepas Mesir menyaksikan kejatuhan Presiden Morsi:


“Pemimpin yang dipilih secara demokratik melalui pilihan raya bebas dan adil tidak seharusnya digulingkan sebegitu rupa. Tidak kira apa pengakhirannya, caranya adalah tidak wajar.”

Anwar nampaknya tidak dapat menerima rampasan kuasa oleh tentera Mesir kerana menyifatkannya sebagai tidak menghormati keputusan pilihanraya yang meletakkan Presiden Morsi di puncak kuasa. Anwar juga menganggap tindakan merampas kuasa tanpa melalui pilihanraya adalah tidak wajar kerana menyalahi demokrasi.

Tetapi, berikut pula adalah laporan oleh Free Malaysia Today serta dipetik oleh AltThaiNews http://altthainews.blogspot.com/2013/05/us-prepares-to-overthrow-malaysian.html pada 15 Mei 2013, bertajuk “BN Akan diTumbangkan Tahun Ini”:

Pakatan Rakyat berikrar akan menggulingkan kerajaan BN melalui jalanraya. Jurucakap di dalam forum yang berlangsung semalam sebulat suara bersetuju bahawa menunggu 5 tahun lagi untuk pilihanraya adalah terlalu lama dan berikrar akan menggulingkan kerajaan BN melalui kekerasan.

Tambah laporan itu lagi:

Hishamuddin Rais menyatakan bahawa tiada gunanya membawa ketidakpuasan hati mereka ke mahkamah kerana sistem perundangan dikawal oleh kerajaan. “Kerana itulah kita mesti membawanya ke jalanraya. Kita mesti keluar. Apa yang Najib suka adalah salah dan apa yang dia tidak suka, itulah yang kita mesti lakukan. Kita akan gerakkan kumpulan yang besar ke jalanraya. Ini bukan ugutan, ini adalah janji!”

Dan ini pula laporan dan wawancara Anwar dengan Interpress Service News Agency http://www.ipsnews.net/2012/02/malaysians-must-vote-out-corruption-racism/ pada 24 Februari 2012:

BANGKOK, Feb 24 2012 (IPS) – Pemimpin pembangkang Malaysia yang berkarisma, Anwar Ibrahim, menyentuh semangat ‘Arab Spring’ bagi menamatkan 55 tahun pemerintahan UMNO dan parti komponennya di negara Asia Tenggara itu.

“Malaysia tidak boleh tersisih dari apa yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya dunia Islam,” kata ketua Parti Keadilan Rakyat yang berumur 64 tahun itu. “Bagi kami di Malaysia, ini adalah tanda yang meyakinkan: trend ke arah demokrasi, kebebasan dan lebih ketelusan di dunia Arab.”

Dan: “Arab Spring, adalah berguna bagi kami di dunia Islam dalam hal ini. Ia mempunya impak bagi erti demokrasi.”

Nampaknya ketika mengutuk rampasan kuasa yang berlaku di Mesir, Anwar telah dengan tidak sengaja mengutuk diri sendiri. Mungkinkah Anwar lupa bahawa beliaulah yang ke hulu ke hilir meragam tidak mahu menerima keputusan pilihanraya dan beliau jugalah yang menggerakkan ‘lembu dan kambingnya’ ke jalanraya kerana ingin melakukan rampasan kuasa.

Walaupun sering menafikan yang beliau ingin merampas kuasa melalui keganasan, tetapi perkataan Arab Spring yang dipilih oleh Anwar itu sendiri sudah cukup untuk membuktikan yang beliau ingin mencetuskan anarki.

Arab Spring sehingga kini telah menyaksikan hampir 130,000 kematian di semua negara yang terlibat. Paling ramai adalah di Syria iaitu hampir 100,000, tetapi dikhuatiri lebih ramai lagi yang belum dilaporkan. Diikuti Libya 30,000 dan beberapa ratus atau ribu lagi di Mesir, Tunisia, Algeria, Yemen dan lain-lain.

Justeru, bagaimana Anwar boleh menjadikan Arab Spring sebagai sumber inspirasi tetapi di masa yang sama menafikan ingin mencetuskan anarki?

Bagaimana Anwar mengutuk rampasan kuasa melalui kekerasan tetapi di masa yang sama turut ingin melakukannya? Bagaimana Anwar meminta orang lain menerima keputusan pilihanraya sedangkan beliau sendiri tidak mahu menerimanya?

Kesimpulannya, benarlah kata orang-orang di keliling Anwar, bahawa Anwar sudah gila.

[Sumber]

Monday, July 08, 2013

Boneka AS Bakal Perdana Menteri Mesir

Boneka AS Bakal Perdana Menteri Mesir

Sejak hari pertama penggulingan Presiden Mohamed Mursi, khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan nama ejen Amerika Syarikat (AS) Mohamed ElBaradei bakal tersenarai dalam kerajaan sementara Mesir sebagai Presiden atau Perdana Menteri.

Mohamed ElBaradei

Namun kini segalanya terus menjadi persoalan apabila pemenang Anugerah Nobel Keamanan dan bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu mungkin bergelar Perdana Menteri selepas berjaya dilobi AS dengan alasan untuk meredakan dan menangani krisis di negara itu selepas bergolak sepanjang minggu lalu.

Ketika perkara itu terus menjadi persoalan, Dataran Tahrir dan Dataran Raba’ah masih bermandi darah. Kumpulan anti Mursi didalangi pergerakan Tamarod yang suatu ketika dahulu pernah menggulingkan bekas Presiden diktator Hosni Mubarak pada 2011 meneruskan protes hingga puluhan nyawa terkorban dan ribuan cedera.

Agensi berita Mena dan beberapa sumber pegawai mengesahkan, pelantikan ElBaradei dibuat selepas Presiden sementara Adly Mansour mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin dalam barisan kerajaan sementara termasuk tentera semalam.

Penasihat dan jurucakap presiden sementara, Ahmed al-Muslimani yang baru dilantik kelmarin berkata, ElBaradei adalah pilihan logik dan terkuat,” menurut laporan itu.

Sebelum lantikan dibuat, Angkatan Tentera Mesir diketuai Jeneral Abdel Fattah al Sisi sedaya upaya meyakinkan ‘parti atas pagar’ Salafi Al-Nour untuk serta menyokong pelantikan itu.

Kini, Angkatan Tentera Mesir, pergerakan Tamarod, Parti Penyelamat Negara dan penyokong anti Mursi bersorak di Dataran Tahrir dan di hadapan Istana Ittihadiya bagi menyokong pelantikan tersebut. Sementara, jutaan penyokong Mursi mengalirkan air mata dan masih terus berkabung atas penggulingan insan bergelar Hafiz itu.

Usaha penyokong Mursi untuk melihat pemimpin itu dibebaskan masih dilakukan dengan jutaan pengikutnya berhimpun melakukan solat Hajat dan berkhemah di luar Masjid Rabaa al-Adawiya, Kaherah dengan ulama terkemuka Mesir, Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan kenyataan meminta jutaan rakyat Mesir meneruskan sokongan ke atas Mursi.

AS mengaku desak Mursi meletak jawatan sejam sebelum digulingkan

Penasihat kanan Mursi yang juga diarahkan untuk perintah berkurung ketika penangkapan Presiden itu, Essam al Haddad mendedahkan, sejam sebelum Mursi digulingkan, Penasihat Keselamatan AS Susan Rice menghubungi Mursi memaklumkan rampasan kuasa oleh tentera akan berlaku sekiranya beliau terus berdegil enggan meletakkan jawatan.

“Menteri Luar Arab sebagai wakil kepada AS telah menghubungi Mursi mendesak supaya melepaskan jawatannya itu bagi mewujudkan peralihan baru dalam Kabinet atau tentera akan melakukan rampasan kuasa,” katanya.

Essam berkata, ketika itu beliau ada bersama Mursi di rumah Pengawal Keselamatan Republikan dan Mursi terus berkeras enggan melepaskan jawatan itu dan bersumpah untuk terus menyelamatkan Mesir.

“Mursi kemudiannya menghubungi Duta AS ke Mesir Anne W Patterson dan menyatakan pendirian beliau sebagai tidak akan melepaskan jawatan itu dan jangan masuk campur dalam urusan negara,” katanya.

Anne W Patterson

Menurutnya, selepas Mursi selesai menghubungi Patterson, Rice kemudiannya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur sindiran.

“SMS berbunyi: ‘Ibu Amerika baru menghubungi kami, permainan ini akan tamat dalam tempoh sejam’-- (Ibu Amerika merujuk kepada gelaran sinis Mesir bagi kuasa Barat yang telah bertahun-tahun menyokong dan memberi berbilion dana kepada tentera Mesir). Sejam kemudian, SAH! Abdel Fattah mengumumkan penggulingan Mursi dan tentera mengambil alih kuasa,” katanya.

Campur tangan AS jelas

Jika disingkap, punca penggulingan dan desakan menjatuhkan Mursi melalui protes besar-besaran memang didalangi oleh AS dan tuduhan itu adalah jelas.

Pentadbiran Mursi selama setahun lima bulan itu goyah selepas dua kumpulan dalam pentadbiran beliau sering berselisih pendapat.

Ini kerana semua barisan penentang beliau terdiri daripada individu mempunyai hubungan rapat dengan AS manakala kumpulan penyokong beliau terdiri daripada gerakan Ikwanul Muslimin yang telah bertapak di Mesir lebih 80 tahun.

Sejak Mursi melantik Abdel Fattah sebagai komander tertinggi negara, Mursi selalu dituduh memonopoli kuasa dengan memberikan jawatan tertinggi kepada ahli Ikwanul Muslimin.

Essam berkata, lantikan Abdel Fattah merupakan kejutan kepada gerakan itu tetapi mereka menerima lantikan tersebut dengan hati terbuka selepas diberi keyakinan oleh Mursi apabila menggelar Jeneral itu sebagai ‘orang boleh dipercayai’.

“Ketika saya dan Mursi menghadiri mesyuarat di Washington Disember lalu, Barrack Obama mendesak supaya melantik wakil pembangkang untuk membarisi Kabinet. Setiausaha Negara, John Kerry pula pernah mencadangkan ElBaradei patut dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi cadangan itu ditolak mentah oleh Mursi,” katanya.

Kini jelas, segala episod drama penggulingan Mursi tercatat dan dirancang dari awal oleh sekutu AS yang selama ini menjadi 'musuh dalam selimut' kepada pentadbiran MOHAMED MURSI...

Pembangkang Mesir bertelagah

Pemilihan pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei sebagai pemangku Perdana Menteri Mesir menimbulkan pertikaian dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini menentang pemerintahan Presiden Mohammed Morsi.

Agensi berita rasmi MENA melaporkan pelantikan ElBaradei oleh pemangku Presiden, Adly Mansour tetapi pejabatnya kemudian menafikan bahawa keputusan muktamad telah dibuat mengenai isu tersebut.

Pelantikan ElBaradei ditentang oleh golongan Salafi yang menyokong tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi pada Rabu lalu.

Terdahulu, jurucakap Presiden, Ahmed Al-Muslimani berkata, ElBaradei yang merupakan bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merupakan calon paling layak bagi jawatan tersebut.

"Beliau berada di tempat teratas senarai pendek kami," katanya.

Namun, selepas rundingan pusingan kedua berakhir semalam seorang ahli politik kanan yang mewakili pengikut Salafi, Nader Bakkar memberitahu bahawa mereka tidak akan menerima ElBaradei.

"Pendirian kami mudah. Terdapat dua sebab kami menolak ElBaradei iaitu pertama, kita perlu tokoh teknokrat untuk memulihkan ekonomi dan menamatkan polarisasi rakyat Mesir," katanya.

"Kedua, kita tidak boleh bercakap mengenai perdamaian kebangsaan seterusnya melantik seteru Morsi sebagai Perdana Menteri," tambahnya.

Morsi yang ditahan sejak Rabu lalu telah menyeru para penyokongnya supaya mempertahankan pemilihannya sebagai Presiden Mesir yang sah dalam ucapan yang direkodkan dan disiarkan sejurus selepas kejatuhannya.

Dalam pada itu, keganasan yang bermula pada Jumaat lalu masih berterusan dengan bandar raya ini dan Iskandariah paling teruk terjejas.

Pertumpahan darah berterusan kelmarin dengan sekumpulan lelaki bersenjata membunuh seorang paderi Kristian Qibti di Semenanjung Sinai.

Kumpulan militan di Sinai turut meletupkan saluran paip gas ke Jordan buat kali pertama sejak hampir setahun lalu.

Pemerintahan setahun Morsi tergugat selepas beliau dituduh memberikan kuasa kepada pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin dan gagal memulihkan ekonomi.

Morsi memenangi pilihan raya Presiden Mesir selepas kejatuhan diktator Hosni Mubarak pada 2011 dengan sokongan Ikhwanul Muslimin.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan bahawa AS tidak menyokong mana-mana parti politik di Mesir selepas penyingkiran Morsi.

"AS menolak dakwaan palsu disebarkan oleh beberapa pihak bahawa kami sedang bekerjasama dengan parti politik atau pergerakan tertentu untuk menentukan hala tuju proses peralihan kuasa di Mesir," katanya.

"Hanya rakyat Mesir yang berhak menentukan masa depan negara mereka," tambah Obama.

[Sumber]

Sunday, July 07, 2013

Demokrasi Hanyalah Alasan Pihak Barat Untuk Melakukan Huru-hara

Demokrasi Hanyalah Alasan Pihak Barat Untuk Melakukan Huru-hara

Saya membaca berita penahanan bekas Al-Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Muhammad Mehdi Akif oleh tentera Mesir dengan penuh kesal dan simpati.

Ratusan ribu penunjuk perasaan bertempur di Iskandariah.

Beliau yang sudah berusia lebih 80 tahun sewajarnya tidak perlu ditahan sedemikian rupa, apalah sangat kudrat seorang tua yang sudah uzur untuk menentang kekuatan tentera Mesir?

Teringat saya pertemuan dengan beliau ketika beliau menziarahi kami di Kelantan tahun lepas. Pada waktu itu turut menyambut beliau ialah Almarhum Ustaz Yahya Othman yang juga telah uzur namun menggagahkan dirinya untuk meraikan kehadiran orang penting di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin tersebut.

Hakikatnya inilah dia wajah sebenar Amerika Syarikat (AS) dan Israel. Merekalah yang melaungkan demokrasi dan merekalah yang menodainya.

Morsi ditabalkan sebagai presiden melalui pilihanraya yang sah bukan melalui revolusi jalanan, sewajibnya beliau diberikan peluang untuk mentadbir sehingga tamat penggal.

Namun, musuh-musuhnya tidak senang duduk dan tidak mungkin dapat membiarkan pentadbiran Mursi berjalan lancar.

Justeru tidak pelik jika AS yang kononnya selama ini menjadi juara demokrasi tiba-tiba menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera di Mesir.

Tidak terkecuali pihak yang memberikan sokongan ialah negara-negara yang terkenal selama ini menjadi alat AS di Timur Tengah.

ALLAH SWT seringkali mengingatkan kita di dalam Surah al-Fatihah yang kita baca di dalam solat bahawa golongan Yahudi dan Nasrani ialah golongan yang sesat dan dimurkai.

Padahal ALLAH SWT boleh menggunakan kalimah Yahudi dan Nasrani di dalam surah tersebut, namun ia tidak berlaku. ALLAH SWT menggunakan kalimah yang menandakan sifat mereka iaitu golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai.

Ia jelas menunjukkan bahawa sekalipun Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW telah pupus namun sifat mereka diwarisi oleh anak cucu mereka sehingga ke hari kiamat.

Israel mewakili Yahudi dan AS mewakili Nasrani sentiasa beruasaha memadamkan cahaya ALLAH SWT. Mereka lupa bahawa kebangkitan Islam ini umpama air yang mengalir deras.

Jika disekat di tepi, ke tengahlah ia mengalir, jika dihalang di tengah, ia menerobos ke atas dan ke bawah. Jika semua arah ia ditahan, ia akan menunggu untuk menghancurkan banteng penghalang.

Hari ini, rampasan tentera di Mesir hanya akan menyaksikan kebangkitan lebih besar rakyat Mesir menghancurkan gerombolan sekular yang berhajat untuk kembali ke tampuk kuasa.

Saya yakin, AS dan Israel akan berterusan memainkan jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan demokrasi namun apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka akan mencabul demokrasi.

Lihat sahaja, adakah mereka menghormati pilihan rakyat di Algeria ketika FIS digulingkan?

Adakah mereka menghormati pilihan rakyat ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk berkuasa di Turki?

Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat ketika Hamas memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada prinsip demokrasi?

Itulah Yahudi dan AS. Justeru, mereka yang tidak menghormati pilihan rakyat secara demokrasi dan berusaha menggulingkan kerajaan sah dengan membeli wakil rakyat dan sebagainya adalah saudara mara kepada Yahudi dan AS.

Tidak ketinggalan juga yang melakukan penipuan besar-besaran di dalam pilihan raya lalu mendakwa inilah demokrasi, pun tergolong dalam golongan yang sama.

Berdoalah. Semua pencinta Islam wajib berdoa agar dikembalikan semula pemerintahan Mesir kepada yang berhak.

Salam hormat.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (Pas)

BACA INI JUGA: 10 Penipuan Terbesar Yahudi

Friday, July 05, 2013

Yahudi Paling Gembira Disebalik Kejatuhan Morsi?

Yahudi Paling Gembira Disebalik Kejatuhan Morsi?

Mohamed Morsi, pemimpin berjiwa rakyat dan juga seorang hafiz, diangkat sebagai Presiden Mesir melalui pilihan raya bebas pertama dalam sejarah negara itu akhirnya digulingkan, dalam rampasan kuasa kedua di Mesir, kelmarin.


Tarikh itu genap setahun beliau dipilih sebagai presiden, 30 Jun tahun lalu, selepas protes besar-besaran rakyat menggulingkan Hosni Mubarak yang memimpin Mesir secara kuku besi selama 30 tahun pada Februari 2011.

Morsi menerima undi 13.2 juta, iaitu 51 peratus undian semasa pilihan raya tahun lalu, menewaskan pesaingnya, Ahmed Shafik yang juga perdana menteri era pemerintahan Mubarak.

Persoalannya, adakah rakyat dahulunya menyokong Morsi dan partinya Ikhwanul Muslimin berpaling tadah terhadap pemimpin mereka?

Atau adakah Morsi menjadi mangsa terbaru dalam percaturan politik kuasa luar di bawah pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang disalurkan melalui pemberontakan berterusan rakyat Mesir dengan sokongan tentera negara itu?

Arab Spring jadikan AS selesa

Tatkala pengumuman penahanan Morsi tersebar, pastinya AS dan sekutunya berasa lega dan memikirkan tindakan selanjutnya.

Nasib Morsi dan penyokong Ikhwan Muslimin belum diketahui, kebangkitan rakyat sudah pasti tercetus, kematian akan berlaku malah bumi Mesir terus bergolak dan bermandikan darah.

Setiap hari pasti ada tragedi baru menimpa Mesir. Tetapi semua pergolakan bercirikan Arab Spring menjadikan AS negara paling selesa.

Seorang pegawai pemerhati di Pentagon menyatakan, hubungan AS dengan Mesir berdasarkan kerjasama keselamatan. Kedua-duanya dilihat berada dalam kancah bahaya.

Keutamaan tentera Mesir dalam hal ehwal dalaman masih dalam catuan. Sekiranya kebangkitan rakyat terus berlaku maka AS menjadikan ia sebagai peluang untuk campur tangan.

Drama Pentadbiran Obama mengikut skrip lama ketika pemerintahan Hosni. AS berusaha meletakkan dirinya sebagai orang tengah dalam pentadbiran Mesir dan kemudiannya meninggalkan negara itu kucar kacir.

Pergolakan di Mesir menarik perhatian banyak pihak kerana situasi berlaku mempunyai hubungan rapat dengan nasib dunia Islam.

Namun, adakah lawatan Obama ke Mesir dengan membawa misi dunia Barat sebagai sandiwara supaya dapat mengembalikan hubungan rapat antara Barat dengan Islam melalui kerajaan Mesir, iaitu teraju proksinya di Timur Tengah.

AS pernah cuba berbaik dengan masyarakat Islam dengan mahu berkhutbah di Universiti Kaherah namun hasrat itu tidak tercapai.

Jika diamati, sejarah hubungan Mesir dengan Barat, keadaannya tidak banyak berubah. Pertembungan antara dua tamadun berpunca daripada konflik dalaman negara berterusan.

Situasi yang wujud sebenarnya adalah permusuhan antara dua proksi berbeza budaya. Pergolakan dalaman negara Islam itu sendiri antara golongan pro-Barat dengan pro-Islam tidak akan ada titik noktahnya.

Masing-masing menganggap fahaman, pendekatan, dan amalan politik yang mereka canangkan adalah paling hampir kepada amalan demokrasi tulen.

Obama dalam ucapan sulung sejurus penggulingan Morsi berazam membantu menyelamatkan negara-negara yang berada dalam keadaan huru-hara.

Beliau menggesa tentera Mesir melepaskan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih secara demokrasi dan menentang menangkap Morsi tetapi masih memberikan dana AS$1.5 bilion (RM4.7 bilion) bagi membantu ekonomi dan ketenteraan setiap tahun.

“Perkongsian AS dan Mesir adalah berdasarkan kepentingan bersama dan kami akan terus bekerjasama denganMesir untuk memastikan peralihan Mesir ke arah demokrasi,” katanya.

Campur tangan AS bermula ketika Obama menasihati Morsi mendengar suara rakyat ketika kali pertama protes tercetus di negara itu, tiga bulan selepas beliau menjadi Presiden.

Kongres AS menjadi sumber tuntutan penyaluran bantuan buat pembangkang rejim dan setiap kali protes rakyat tercetus Obama dengan mengkritik dasar pemimpin yang tidak mahu mendengar tuntutan rakyat. Walaupun beliau tidak menyatakan siapa atau di mana namun berulang kali ingatan itu disuarakan.

Buktinya, media Barat menyatakan pendirian Obama menyokong ‘kerajaan Mesir’. Namun, kerajaan terdahulu atau kerajaan sementara yang dibuat dengan tergesa-gesa, semalam?

“Kami mengambil kedudukan di belakang kerajaan ini dan akan membantu untuk bergerak ke hadapan. Kami bersedia menyalurkan bantuan ketenteraan jika mereka inginkan bantuan. Mungkin kumpulan individu yang ditahan akan bangkit bersama kuasa lain. Oleh itu kita perlu berhati-hati demi keselamatan rakyat ,” antara ucapan beliau di Washington, semalam.

Jika benar, sokongan Obama berpihak kepada 'kerajaan sementara Mesir' maka beliau layak digelar sebagai manusia bertopengkan syaitan atau talam dua muka kerana melakukan usaha berterusan untuk menjatuhkan umat Islam dan negara Islam sejagat.

Boneka AS bakal jadi presiden?

Jika dilihat semula perkembangan politik di negara itu, selepas kejatuhan Hosni, negara Barat menyokong pembangkang Mesir, Mohamed El Baradei untuk diangkat sebagai Presiden.

Kini, khabar angin mula bertiup kencang mengenai kemungkinan El Baradei dilantik sebagai Presiden Mesir selepas kejatuhan Morsi.

Media melaporkan, Ketua Tentera Abdel Fattah al-Sissi bertemu dengan El Baradei, Ketua Ulama Masjid Al-Azhar dan Ketua Paderi negara untuk membincangkan perjalanan politik Mesir beberapa jam sebelum kata dua diberikan tentera kepada Morsi tamat, kelmarin.

El Baradei, pemenang Anugerah Nobel Keamanan pernah mengetuai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memang diketahui sebagai pilihan utama AS.

Malah, Timbalan Pengerusi Ikhwanul Muslimin, Khairat al-Shater awal tahun ini memaklumkan AS menggesa Morsi melantik El Baradei sebagai perdana menteri.
Beberapa persoalan perlu dijawab bagi merungkai faktor sebenar kejatuhan Mesir.

Bagaimanakah campur tangan AS selaku wakil dunia Barat dalam mengambil kesempatan pemberontakan rakyat di Mesir?

Apakah kepentingan AS dengan kerajaan yang ada di Mesir? Benarkah tercetusnya pemberontakan disebabkan masalah ekonomi melanda Mesir sejak akhir-akhir ini?

Apakah kebangkitan rakyat Mesir tiada kaitan sama sekali dengan kebangkitan kuasa Islam di Palestin yang begitu rapat dengan gerakan Ikhwanul Muslimin dan Jamaah Islamiyah di Mesir?

[Sumber]

Kenapa Rakyat Mesir Gulingkan Morsi?

Kenapa Rakyat Mesir Gulingkan Morsi?

Terkejut membaca berita; Presiden Mesir Dr. Mohamed Morsi telah digulingkan! Melalui sumber berita, Morsi telah digulingkan melalui campur tangan pihak tentera sekaligus menyaksikan Mesir kini berada di bawah pemerintahan sementara oleh Tentera. Pihak tentera Mesir juga mengumumkan pelan tindakan masa depan politik negara ini yang bakal dilaksanakan oleh sebuah jawatan kuasa perdamaian nasional.


Mungkin ramai antara kita yang bertanya: “Mengapa ramai sangat yang menentang Presiden Dr Mohamad Morsi dari Gerakan Ikhwan Al-Muslimin, padahal majoriti penduduk Mesir telah mengundi beliau semasa pilihan raya pemilihan Presiden Mesir selepas Revolusi 25 Januari 2011 yang lalu?"

Bukankah ia pelik? Apalagi yang dimahukan oleh Rakyat Mesir?

Berikut beberapa pendapat yang dapat kumpulkan melalui sumber-sumber berita di internet, ia bukanlah pendapat peribadi kami:
  • Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.
  • Kemenangan Presiden Dr.Morsi adalah sebanyak 13 juta undi berbanding calon sengit Ahmad Syafiq yang meraih 12 juta undi dan ini bermakna Dr Mohamad Morsi menang dengan majoriti sebanyak 1 juta undi.
  • Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.
  • Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.
  • Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.
  • Morsi juga terpaksa mengetepikan dikri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.
  • Morsi pernah membuat permohonan bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.
  • Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.
  • Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.
  • Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.
  • Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar.
  • Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.
  • Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.
  • Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.
  • Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.
  • Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan ‘kelemahan’ itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan ‘revolusi kebangkitan rakyat kedua.’
  • Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah ‘kuasa yang diwujudkan’. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.
  • Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.

Gerakan Penyelamat Mesir

  • Sememangnya kita tidak boleh nafikan beribu-ribu jumlah penentang Dr Mohamad Morsi mengambil langkah protes dengan membunuh beberapa pemuda Ikhwanul Muslimin, membakar pejabat-pejabat operasi Ikhwanul Muslimin dan pejabat-pejabat Parti Kebebasan &Keadilan ( FJP ) di seluruh Mesir baru-baru ini, adalah dari kalangan 12 juta penyokong Ahmad Syafiq. Dengan hasrat, ingin dan mahu menjatuhkan rancangan dan cita-cita besar Presiden Dr Morsi untuk melaksanakan Perlembagaan baru di Mesir.
  • Melalui sokongan Ikhwan Muslimin dan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pemerintah Mesir melancarkan kempen 'Bersama bangunkan Mesir' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, memulihkan sekitar 2,000 buah sekolah dan mewujudkan pasar murah bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.
  • Tetapi malangnya, kesabaran tidak ada kepada parti-parti pembangkang khususnya Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang mendesak supaya revolusi kedua dilancarkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Morsi memenuhi tuntutan mereka dan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh Mesir.
  • Mereka mendakwa tempoh enam bulan di bawah pemerintahan Morsi (ketika protes bermula), ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Sesuatu yang amat malang bagi pemerintah Mesir apabila mereka terpaksa berhadapan dengan puak yang tidak sabar seumpama itu.
  • Beliau bukan sahaja berhadapan dengan kelompok pembangkang yang sentiasa sahaja mahu mencari salah tetapi juga gerakan-gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang merasakan gerakan revolusi yang dilancarkan dua tahun lalu tidak memenuhi kehendak mereka.
  • Oleh itu, mereka terus mengapi-api perasaan rakyat Mesir untuk bangkit menentang Morsi pula selepas berjaya meranapkan riwayat pemerintahan Hosni Mubarak. Mereka memahami peluang itu ada kerana berdasarkan kepada pemilihan Presiden pada Jun lalu, Morsi bukanlah menang dengan selesa.
  • Samseng-samseng upahan dari kumpulan tiga serangkai (kumpulan yang mendakwa mereka adalah “GERAKAN PENYELAMAT MESIR” yang diketuai oleh Amru Musa, Dr.Mohammad El-Baradei dan Hamdin Sobahi (bekas calon Presiden Mesir yang tewas).
  • Ada juga kemungkinan besar, bahawa semua samseng ini mendapat habuan yang tinggi daripada kuasa besar Amerika Syarikat dan Israel. Jika tidak, mana mngkin mereka sanggup membunuh dan membakar? Negara Mesir sememangnya sinonim dengan “PYRAMID” sejak dari zaman pemerintahan Hosni Mubarak lagi.
  • Mengapa dikatakan negara “PYRAMID”? Hal ini kerana bilangan yang kaya raya itu mewakili golongan paling atas bahagian piramid dan terdiri daripada golongan pemerintah, sedangkan bilangan yang sangat miskin itu sangat besar jumlahnya mewakili bahagian paling bawah piramid. Oleh sebab itu, kemungkinan mereka diupah dan ditawarkan dengan jumlah wang yang besar tidak dinafikan.
  • Dan hanya kumpulan 3 serangkai yang menolak perbincangan tersebut iaitu Amru Musa, Hamdin Sobahi sebagai pengasas Gerakan Kebangsaan dan Dr.Mohammad El-Baradei, yang meletakkan syarat Morsi perlu membatalkan dekri yang berkaitan kekebalan dalam semua keputusan Morsi dan perkara berkaitan Presiden berhak mengambil apa-apa langkah bagi memelihara keamanan negara.
  • Penunjuk perasaan meraikan kejatuhan Mohamed Mursi di luar istana presiden di Kaherah Mesir

Apa akan terjadi selepas ini?

  • Dalam masa yang sama, pemimpin utama jihad, Al-Gamaa Al-Islamiya, Tarek El-Zomor memberi amaran kepada lawan-lawan politik Morsi agar tidak menjatuhkan pemerintahan Presiden Mesir itu.
  • ''Jika Presiden Morsi dijatuhkan secara tidak sah, Ikhwan Muslimin yang terkenal dengan sikap damainya akan masuk campur untuk membuka laluan kepada kelompok revolusi Islam menentang kelompok anarkis dan sekular," katanya.
  • Apa pun keadaannya, ternyata perkembangan terkini di Mesir yang memasuki usia dua tahun selepas berlaku Arab Spring masih meletakkan negara itu dalam keadaan tidak menentu.
  • Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.
  • Sikap tidak sabar, memancing emosi rakyat dan menjadikan demonstrasi jalanan sebagai platform untuk melakukan bantahan ternyata menjadi ancaman berterusan kepada pemerintah Mesir yang diyakini oleh diplomat-diplomat asing mampu memulihkan keadaan negara itu.
  • Oleh itu jadikanlah Mesir sebagai contoh bagaimana usaha murni kerajaan tidak akan tercapai jika ada pihak mahu berpolitik sepanjang masa sehingga ia akan memungkinkan negara kucar kacir dan rakyat menderita.

[Sumber]

Wednesday, July 03, 2013

Wartawan Wanita Dirogol Penunjuk Perasaan Di Mesir!

Wartawan Wanita Dirogol Penunjuk Perasaan Di Mesir!

Seorang wartawan menjadi mangsa rogol beramai-ramai ketika rakyat Mesir turun ke jalan raya pada malam yang turut menyaksikan 44 serangan ganas lain ke atas wanita, dengan lima lelaki dilaporkan menyerang wartawan kelahiran Belanda itu menyebabkan mangsa “cedera parah” dan perlu dibedah untuk menyelamatkannya.

Morsi dibunuh

Laporan lain menyatakan, selain wartawan berusia 22 tahun itu, seorang nenek dan kanak-kanak berusia tujuh tahun turut menjadi mangsa serangan seksual.

Seorang saksi kejadian berkata, mangsa dipercayai wartawan pelatih dan diserang ketika merakamkan gambar penunjuk perasaan di Kaherah.

Pengarang Timur Tengah BBC, Jeremy Bowen berkata: “Sedih melihat suasana revolusi di Dataran Tahrir kehilangan adab, manakala serangan seksual menjadi lazim.

"Tiada polis kelihatan di situ."

Berjuta-juta orang turun ke jalan raya di sekitar Dataran Tahrir pada tahun 2013 lalu, untuk mendesak Presiden Mohamed Morsi berundur.

Bapa saya dibunuh - Abdullah Morsi [Kemaskini]

Anak lelaki bekas Presiden Mesir, Mohammed Morsi mendakwa Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan beberapa individu lain 'membunuh' bapanya, pada Jun 2019 yang lalu.

Abdullah menamakan bekas Menteri Dalam Negeri, Mahmoud Tawfiq dan Magdy Abdel Ghaffar, hakim Shirin Fahmy, Shaaban al-Shami dan Ahmed Sabry serta Peguam Negara, Nabil Sadek dan Ketua Perkhidmatan Risikan, Abbas Kamel yang digelar sebagai 'rakan kongsi' al-Sisi dalam pembunuhan bapanya.

Morsi yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2013 meninggal dunia selepas jatuh pengsan di dalam kandang kaca kalis bunyi ketika perbicaraan di Kaherah atas dakwaan melakukan pengintipan.

Kematian pemimpin Gerakan Ikhwanul Muslimin yang menjadi presiden pertama dilantik menerusi proses demokrasi pada 2012 itu didakwa banyak pihak termasuk kumpulan hak asasi manusia dan pemerhati bebas sebagai bermotifkan politik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com