Tuesday, September 24, 2019

Penyakit Berkaitan Jerebu Yang Anda Wajib Tahu

Penyakit Berkaitan Jerebu Yang Anda Wajib Tahu

Jerebu ialah fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara, yang mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia.

Penyakit Berkaitan Jerebu

Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok, ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi.

Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

Punca Jerebu

Punca utama jerebu adalah akibat daripada:
  • Pembakaran Secara Terbuka.
  • Asap Dari Kilang.
  • Asap Dari Kenderaan.

Indeks Pencemaran Udara (IPU)

IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.

IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut:-

Nilai IPU:-
  • 0-50: Baik
  • 51-100: Sederhana
  • 101-200: Tidak Sihat
  • 201-300: Sangat Tidak Sihat
  • 301-500: Berbahaya

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah-Iangkah pencegahan.

Jerebu Mengancam Kesihatan

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu:-
  • Kanak-kanak.
  • Orang tua.
  • Mereka yang mengalami penyakit asma.
  • Bronkitis.
  • Radang paru-paru.
  • Penyakit paru-paru yang kronik.
  • Jantung.
  • Alahan.
  • Perokok.
  • Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.

Tanda-tanda dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan

Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:
  • Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
  • Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
  • Mata terasa pedih dan berair.
  • Hidung berair dan kerap bersin.
  • Kulit badan terasa gatal-gatal.
  • Terasa sakit dada.

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di hospital atau klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.

Cara Mencegah Penyakit Akibat Jerebu:-
  • Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Penutup hidung (nasal mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi.
  • Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah.
  • Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  • Kurangkan aktiviti sukan di luar rumah.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
  • Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat (iaitu IPU yang melebihi 100).
  • Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: moh


Thursday, June 20, 2013

Komen Tidak Matang Menteri Indonesia Isu Jerebu

Komen Tidak Matang Menteri Indonesia Isu Jerebu

Seorang Menteri Kanan Indonesia mengecam Singapura berkaitan isu jerebu dengan berkata: “Singapura tidak seharusnya bersikap seperti kanak-kanak…”


Menteri Penyelaras Kebajikan Rakyat, Agung Laksono yang bertanggungjawab menyelaras bantuan negara itu dan usaha tindak balas, pada sidang akhbar pada hari Khamis berkata: “rakyat Indonesia juga perlu dijaga, ratusan mereka.”

“Ia bukan apa yang Indonesia mahu, ia adalah masalah alam semula jadi,” katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu pemberita bahawa Singapura tidak berkata apa-apa apabila terdapat udara segar, tetapi mengadu tentang jerebu yang berlaku sekali-sekala.

Agung juga menyangkal kritikan bahawa Indonesia masih belum mengesahkan perjanjian Asean mengenai pencemaran jerebu merentasi sempadan.

“Singapura adalah seperti itu. Isu sempadan belum diselesaikan, begitu juga ekstradisi, rasuah.”

Ditanya mengenai tawaran bantuan, beliau berkata: “Jika ia hanya setengah juta (dolar), lebih baik kami menggunakan bajet kami sendiri.”

Terdahulu pada hari Khamis, Agung mengetuai mesyuarat dengan menteri-menteri berkaitan isu luar, perhutanan dan alam sekitar Indonesia untuk maklumat terkini mengenai situasi jerebu yang meliputi sebahagian besar wilayah Riau.

Ketua Pegawai Eksekutif Singapura National Environment Agency, Andrew Tan juga berada di Jakarta untuk mengadakan pertemuan dengan para pegawai negara berkenaan hari ini.

Agung berkata, pembenihan awan untuk mendorong hujan akan dijalankan secepat mungkin. Garam (untuk pembenihan) sudah siap, kapal terbang berada di tempat, tetapi perlu ada awan, katanya.

“Pembakaran ini bukan sentiasa di atas tanah,” katanya. “Kebanyakan ia adalah di bawah permukaan.”

Dianggarkan seluas 850 hektar tanah telah terbakar beberapa hari kebelakangan ini, dan pegawai-pegawai telah memadamkan kebakaran di kawasan seluas 650 hektar, katanya.

Kerajaan juga menyiasat syarikat-syarikat yang bertanggungjawab, katanya.

“Jika ada (syarikat yang terlibat melakukan pembakaran), ada yang dimiliki oleh (usahawan) Indonesia, Malaysia dan Singapura,” katanya. “Kami akan mengambil tindakan jika mereka didapati bertanggungjawab. Tetapi perlu ada satu proses.”

Pada Rabu, Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa berkata, Indonesia belum mengesahkan perjanjian Asean mengenai memerangi jerebu merentasi sempadan, tetapi berkata dalam realiti, “kami telah mematuhi sepenuhnya apa yang diperlukan dan dijangkakan.”

“Mari kita fokus pada memadamkan api dahulu dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan,” katanya.

(Petikan: Straits Times)

**Rasanya ini bukan isu sesiapa bersikap seperti kanak-kanak…ini isu yang berulang selama puluhan tahun dan melibatkan kesihatan jutaan rakyat di negara selain Indonesia. Sepatutnya ia sudah diselesaikan lama dahulu. Kalau ada syarikat luar yang melakukan pembakaran sehingga terjadi jerebu, ia berlaku di bumi Indonesia…ambilah tindakan yang sewajarnya.

-Mynewshub