Tuesday, May 26, 2015

Rohingya Dari Kaca Mata Aktivis Palestin

Rohingya Dari Kaca Mata Aktivis Palestin

“Hundreds of #Rohingya muslims kicked around at sea, denied anywhere to land.”

Rohingya

Inilah kata-kata yang mengiringi karikatur yang dimuatnaik oleh aktivis Palestin, Said Shoaib di akaun twitternya @saidshouib.

Lukisan itu menunjukkan nasib umat Islam Rohingya yang ditendang ke tengah laut oleh pemimpin 5 negara termasuk Malaysia yang dilukis berpakaian baju Melayu, bersongkok dan bersampin biru.

Namun tidak dapat dikenal pasti pelukis sebenar karikatur itu.

Said Shoaib yang lahir di kem pelarian Palestin, aktif berkongsi berita dan pandangannya dalam isu umat Islam khususnya Palestin.

Media melaporkan ribuan pelarian Rohingya menaiki kapal laut dari Myanmar melalui Lautan Andaman dan dihalang memasuki perairan Indonesia, Thailand dan Malaysia dan diarah kembali ke tengah lautan.

Rohingya

Mereka juga dilaporkan telah berlayar selama beberapa bulan dengan bekalan makanan yang kurang.

Sebagai negara Islam dan atas dasar membantu sesama Islam dan dasar kemanusiaan, Malaysia wajar menerima pelarian Rohingya yang dilayan dengan kejam di negara mereka, tanpa perlu rasa terpaksa atau perlu di desak terlebih dahulu seperti sekarang.

Kita mengambil contoh Turki yang menerima pelarian Syria. Kita juga satu masa dahulu menerima pelarian Bosnia dan Vietnam.

Mengapa tidak Rohingya?

BACA INI JUGA: Umat Islam Tidak Berguna, Tidak Bererti dan Tidak Menakutkan Musuh!?

Etnik Rohingya Dibunuh, Tapi Bantu Penganut Buddha Di Nepal

Etnik Rohingya Dibunuh, Tapi Bantu Penganut Buddha Di Nepal

Inilah ajaran Islam yang sebenar! Walaupun warga minoriti Muslim Rohingya dibunuh oleh ekstremis Buddha di Myanmar, namun sedikit pun tiada perasaan dendam umat Islam untuk membalas segala kejahatan tersebut.

Rohingya dibunuh

Itulah yang terjadi di Nepal, saat terjadinya gempa bumi dahsyat yang hampir memusnahkan sebahagian bumi Nepal pada 25 April lalu, umat Islam Nepal tangkas bangun untuk membantu warga Buddha dan Hindu (penduduk majoriti Nepal) dari segi apa yang terdaya.

Memetik laporan Merdeka.com, seorang anggota Masjid Jami Nepal, Mohammad Rizwan, berkata, masjid-masjid yang selamat dari gempa bumi telah dijadikan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan untuk mangsa korban dan ahli keluarga mereka.

Jelas Mohammad lagi, setelah gempa melanda Nepal dengan magnitud 7.8 skala richter, 25 April lalu, seluruh ahli masjid berkumpul, mereka mencari info adakah warga muslim yang terkorban.

Ternyata di sekitar Kathmandu hanya ada dua warga yang meninggal dunia dan belasan yang lain cedera. Tapi majoriti keluarga Islam selamat.

“Oleh sebab itu, kini Masjid Jami menjadi pusat pengumpulan bantuan logistik untuk mangsa korban Buddha dan hindu.

“Beras, air bersih, dan makanan siap disediakan.Ini bantuan yang datang dari komuniti muslim Nepal. Kami mengirim ke manapun warga Nepal yang memerlukannya," katanya.

BACA INI JUGA: Selamatkan Etnik Islam Rohingya, Mereka Sedang Disembelih!

Sumber: Sinarharian.com.my

129 Kubur Rohingya Ditemui Di Sempadan Malaysia!

129 Kubur Rohingya Ditemui Di Sempadan Malaysia!

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam, mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemui dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

129 kubur  Rohingya

Beliau berkata, penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan dan mayat yang reput yang hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dan asing, beliau berkata penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas.

"Pendedahan ini membuktikan kerajaan Malaysia bersikap telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat membabitkan isu pemerdagangan manusia," kata Khalid.

Menurutnya reka bentuk kem berkenaan yang dipagar dan sentri menggambarkan ia dikawal dan orang-orang yang hendak diseludup tidak bebas bergerak.

"Secara fakta kem-kem ini ditemui, ada yang dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.

"Polis masih belum dapat memastikan sama ada semua kubur ini mengandungi mayat manusia atau tidak sehingga semuanya digali," katanya.

Khalid berkata operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia ditemui pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla, baru-baru ini.

Menurutnya kumpulan mayat pertama dijangka dapat dikeluarkan petang ini (kelmarin) oleh pasukan forensik terdiri 31 orang yang memasuki kawasan kem tersebut.

Katanya kawasan pencarian dalam operasi itu di bahagikan kepada sektor A, B dan C sepanjang 59.5 kilometer dari Kampung Wai dekat sini hingga tembok terakhir atau Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Keadaan di sektor A (Tangga 100 ke Wang Kelian) sepanjang 11 kilometer di sebelah Malaysia adalah berbukit dan tebing sangat curam. Dalam sektor inilah semua 28 kem haram ini ditemui tetapi tiada lorong atau kesan dilalui orang.

"Sektor B (Wang Kelian-Kurong Batang) sepanjang 24 kilometer terlalu sukar untuk dimasuki. Sektor C (Kurong Batang-Kampung Wai) pula sepanjang 14.5 kilometer adalah kampung dan sawah. Sebab itu aktiviti hanya berlaku di sektor A," katanya.

Khalid berkata, beberapa tangkapan membabitkan penyeludup tempatan dibuat di Kampung Wai.

Katanya kedudukan kem haram tersebut kira-kira 100 meter dalam kawasan Malaysia dari sempadan Malaysia/Thailand manakala yang ditemui pihak berkuasa Thailand dalam kawasan negara itu antara 300 hingga 500 meter dari sempadan.

Menurutnya, setiap kem itu dibina untuk menempatkan sehingga 200 orang, 10 hingga 20 orang dan ada yang menempatkan dua orang sahaja.

"Maklumat-maklumat yang diperolehi menunjukkan sindiket membawa masuk tahanan mereka ke Malaysia melalui jalan yang sah atau lorong-lorong tikus di Padang Besar atau Wang Kelian selepas mendapat bayaran daripada orang-orang tertentu," katanya.

Ketua Polis Negara berkata mayat yang dikeluarkan nanti akan dibedah siasat untuk menentukan punca kematian dan akan 'disempurnakan' dan diberi penghormatan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata 90 peratus dari 37 orang yang ditangkap tahun ini kerana terbabit dengan pemerdagangan manusia adalah penduduk Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.

Katanya jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin di sempadan Perlis tahun lepas sebanyak 1,914 orang manakala dari Januari hingga April lepas berjumlah 1,305 orang.

"Tangkapan di sempadan Kedah pula berjumlah 2,094 tahun lepas, Kelantan (3,462 orang) dan Perak (966 orang) manakala dari Januari hingga April tahun ini sebanyak 853 orang (Kedah), 498 orang (Perak) dan 88 orang (Kelantan)," katanya.

Sementara itu, Pemerintah Rejimen Ke-9 Thailand Mejar Jeneral Ekaphop Prasitwattanchai yang turut hadir, berkata pihak berkuasa Thailand akan memberi kerjasama penuh termasuk pertukaran maklumat dengan Malaysia.

"Kami juga seperti Malaysia berazam membanteras perbuatan tidak berperikemanusiaan dan pemerdagangan manusia khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara," katanya. -Bernama

BACA INI JUGA: Nasib Rohingya Lebih Teruk Daripada Pelarian Vietnam

Saturday, May 16, 2015

Nasib Rohingya Lebih Teruk Daripada Pelarian Vietnam

Nasib Rohingya Lebih Teruk Daripada Pelarian Vietnam

Bagi generasi muda lahir selepas 1990, pasti tidak pernah tahu Malaysia suatu ketika pernah menjadi negara transit untuk lebih sejuta ‘orang hanyut’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Vietnam selama 20 tahun.

Islam Rohingya

Selain Pulau Bidong di Terengganu, kumpulan PATI ini pernah ditempatkan di sebuah lagi kem sementara di tepi Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban; yang kini menjadi pusat penyiaran Astro dan Taman Teknologi Malaysia.

Bayangkanlah, nama Malaysia pernah popular di persada dunia apabila pelarian IndoChina itu merusuh sambil membakar kem tersebut menyebabkan ada terbunuh hanya kerana marah tiada negara mahu menerima mereka.

Itu cerita pasca zaman perang Vietnam dan kini negara itu sudah menganggotai ASEAN, blok kerjasama politik dan ekonomi 10 negara rantau Asia tenggara yang dianggap antara paling berpengaruh dalam geostrategi dunia.

Anehnya ketika Malaysia menerajui ASEAN dan kebetulan tahun ini merupakan sasaran garis masa Komuniti 1 ASEAN, isu pelarian Rohingya masih menjadi masalah seumpama duri dalam daging kepada organisasi tersebut.

Ceritanya mudah: Myanmar enggan iktiraf etnik Muslim itu dan melabel sebagai PATI meskipun mereka dakwa penduduk asal sejak zaman penjajahan British lagi apabila negara tersebut masih lagi dikenali sebagai Burma.

Isu terus rumit apabila kerajaan Bangladesh pun tidak menerima etnik itu yang mendiami wilayah Arakan yang bersempadan sebelum Myanmar menukar namanya kepada Rakhine dan bertindak mengusir masyarakat ini.

Ironi, berbanding kes pelarian Vietnam, isu Rohingya lebih ‘sadis’ apabila tiada siapa peduli waima pemimpin pembangkang terkenal ikon demokrasi pro-Barat dan penerima anugerah Nobel Keamanan, Aung San Su Kyi.

Kes ini pernah mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menghantar bekas Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar bagi meninjau masalah tersebut tetapi Myanmar pula tetap berkeras.

Biarpun OIC meminta isu itu dilihat neutral dari sudut kemanusiaan berbanding konflik agama, badan-badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) merujuk kes ini lebih sebagai pembersihan etnik.

Tidak hairanlah banyak organisasi luar termasuk Malaysia dihalang memasuki Myanmar bagi memberi bantuan di sebalik berita layanan kejam junta tentera Naypyidaw menghapuskan secara sistematik umat Islam Rohingya.

Mungkin sudah tiba tahap amat marah, kerajaan Malaysia akhirnya pada Jumaat menyatakan, ASEAN mesti beri ‘mesej yang sangat tegas’ kepada Myanmar supaya berhenti menindas kaum minoriti Muslim tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar malah berkata, punca utama masalah pelarian Rohingya yang semakin menjadi-jadi ialah layanan buruk Myanmar terhadap kaum tersebut.

Inilah kenyataan paling keras Putrajaya yang kini memegang kedudukan Pengerusi ASEAN sebagai merujuk sejak minggu lalu, sekurang-kurangnya 2,000 pelarian Rohingya memasuki perairan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Kumpulan hak asasi menyatakan, mungkin ada ribuan lagi pelarian itu yang sedang terkandas di Laut Andaman dan Selat Melaka Utara, atau ditinggalkan ‘orang tengah’ yang mengaut duit cuba menyeludup masuk mereka.

Sejauh ini Malaysia sudah menempatkan puluhan ribu pelarian Rohingya dan hari ini, Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB (UNHCR) mula mendaftarkan sekitar 600 lagi yang tiba di Aceh, Indonesia beberapa hari lalu.

Pegawai Lapangan UNHCR, Mitra berkata: “Ada beberapa yang memang menyatakan mereka cari pekerjaan. Maka kita melakukan pendaftaran untuk memisahkan antara kelompok pencari suaka dan mana yang tidak.”

Seorang pelarian Rohingya berkata: “Sampai sini Alhamdulillah banyak terima kasih. Terus kita tidak mahu pergi mana-mana luar negeri. Kami kena keluar kerana negara kami Buddha banyak, mereka tak bagi duduk tinggal.

“Malaysia sama-sama Indonesia saja dua tempat ini yang nampak Muslim. Kita mahu masuk Malaysia kita tidak dapat masuk. Kita nasib baik sampai sini. Terus kita mahu duduk sini Indonesia. Kita mahu hidup sahaja.”

Kerajaan Malaysia dalam reaksi diplomatik mengulangi gesaan, junta Naypyidaw perlu memperlakukan dengan perikemanusiaan semua penduduk Rohingya dan ‘tidak boleh terlalu menindas’ hanya kerana faktor agama.

Ia menjangkakan isu itu akan diketengahkan tahun ini dalam mesyuarat ASEAN akan datang dan Wan Junaidi menegaskan Malaysia tidak boleh menjadi satu-satunya negara yang bertanggungjawab untuk mengambil mereka.

Ketika ini dianggarkan lebih 1.3 juta etnik Rohingya yang dianggap oleh PBB sebagai salah satu kaum minoriti yang teruk ditindas, masih sabar tinggal di Rakhine, wilayah barat Myanmar bersempadan dengan Bangladesh.

Putrajaya sudah pun sanggup mengambil masuk puluhan ribu pelarian Rohingya, yang menuju ke negara ini kerana menanggapnya sebagai sebuah negara yang lebih makmur dan memiliki majoriti penduduk Muslim.

Malangnya, tidak seperti pelarian Vietnam, nasib Rohingya jauh lebih teruk dan setakat ini tiada negara ketiga tampil mahu menerima mereka hanya kerana etnik ini mengaku beragama Islam. –Agensi

BACA INI JUGA: Umat Islam Tidak Berguna, Tidak Bererti dan Tidak Menakutkan Musuh!?

Friday, February 07, 2014

Selamatkan Etnik Islam Rohingya, Mereka Sedang Disembelih!

Selamatkan Etnik Islam Rohingya, Mereka Sedang Disembelih!

Jarak Yangon dan Kuala Lumpur adalah 1,597.7 kilometer (km) atau 992.8 batu. Masa penerbangan di antara kedua-dua ibu nega-ra itu adalah dua jam 13 minit.

Selamatkan Etnik Islam Rohingya

Ia terlalu hampir dengan negara kita. Terlalu dekat berbanding dengan negara Palestin, Bosnia atau Sudan.

Myanmar ialah rakan Malaysia dalam ASEAN. Kini sesuatu yang menjelekkan sedang berlaku di negara itu.

Etnik beragama Islam Rohingya, agama yang turut dianuti oleh majoriti rakyat negara ini sedang disembelih, dibakar hidup-hidup dan wanita serta kanak-kanaknya diasingkan daripada lelaki dan dibawa ke lokasi rahsia.

Apa yang dilakukan ke atas mereka hanya Allah sahaja yang tahu. Sebagai orang Islam marilah kita doakan keselamatan mereka daripada manusia berhati binatang itu.

Hanya binatang sahaja yang sanggup memperlakukan rakyat sendiri seperti binatang - hanya gara-gara Rohingya beragama Islam, bukan Buddha dan etnik yang berbeza daripada kaum majoriti.

Ya Allah, beruntungnya sesiapa yang menghuni negara Malaysia. Majoriti penduduknya ialah orang yang cukup sabar walaupun sedang diperlakukan dengan macam-macam provokasi, fitnah, prejudis dan prasangka.

Selamatkan Etnik Islam Rohingya [2]

Laporan demi laporan yang dihantar oleh agensi berita antarabangsa dari Myanmar seolah-olah merayu perhatian dunia terhadap apa yang berlaku terhadap etnik itu.

Malangnya, di Malaysia kita sedang sibuk dengan perdebatan mengenai politik picisan. Berita mengenai penghapusan satu bangsa itu oleh kerajaan negara Myanmar sama sekali tidak dipedulikan.

Saya juga tidak nampak satu kesungguhan daripada pihak kerajaan Malaysia sendiri untuk menghantar nota bantahan terhadap apa yang berlaku di negara itu.

Atas semangat agama Islam dan ummah, apa salah campur tangan dalam hal Rohingya ini. Alihkan perhatian rakyat daripada isu politik dalam negara kepada isu Rohingya ini.

Ayuh bangkit Malaysia, kita buat bising untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai umat Islam itu.

Satukan umat Islam di Indonesia, Brunei dan ASEAN untuk bersuara dengan kita.

Walaupun mangsa itu bukan Islam sekali pun kita amat sedih melihat, membaca dan mengetahui mengenai tragedi kemanu¬siaan ini.

Hentikan terus daripada bercakap mengenai Anwar Ibrahim kerana selagi kita terus bercakap mengenainya, negara ini akan terus berpolitik dan dia akan terus segar-bugar.

Kita semua sudah tahu dia ialah seorang yang gilakan perhatian dan publisiti sejak berada dalam kerajaan BN lagi.

Selamatkan Etnik Islam Rohingya [3]

Pedulikan dia. Ayuh alihkan perhatian kepada soal kemanusiaan ini.

Etnik Rohingya sedang disembelih, kampung mereka dibakar. Laporan Agensi Sabtu lalu memetik seorang aktivis Rohingya menyatakan, anggota etnik dilayan seperti haiwan.

"“Saya merasa sangat takut. Kami tidak mempunyai sebarang perlindungan di negara ini. Kerajaan kami sedang menindas kami," katanya seperti dilaporkan laman web akhbar Burma Times.

Etnik Rohingya Islam sering menjadi mangsa penindasan pihak berkuasa Myanmar dengan ada antara wanita dan gadis dirogol serta dibunuh dengan kejam.

Tahun lalu, saluran televisyen BBC melaporkan, kanak-kanak Rohingya Islam dibakar hidup-hidup ketika konflik agama dan etnik itu merebak di tengah Myanmar.

Kebanyakan serangan itu turut dirakam di hadapan anggota polis Myanmar, lapor BBC.

Selamatkan Etnik Islam Rohingya [4]

Laporan terbaharu dari daerah Naypyidaw, Sabtu lalu, menyebut Myanmar memulakan operasi pembersihan etnik Rohingya Islam apabila seorang saksi yang terselamat mendakwa sebanyak 700 wanita dan kanak-kanak dibawa menaiki beberapa trak tentera ke lokasi yang tidak dinyatakan dalam satu kejadian 22 Januari lalu.

Menurut saksi itu, Aisha kepada badan kebajikan Partners Relief Development (PRAD), dia melihat banyak trak tentera membawa askar dan anggota pelampau bersenjata api dan belantan memasuki kampungnya, Killadong Majarpara, di barat Myanmar yang didiami lebih 2,500 orang etnik itu.

Ayuh umat Islam Malaysia, kasihanilah saudara seagama kita di sana. Bersatulah. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Selamatkan Etnik Islam Rohingya [5]

Amnesty International hanya buat bising jika polis kita menyembur air ke atas para pendemo pakatan pembangkang, tapi di mana mereka apabila etnik itu sedang diha¬puskan?

Di mana masyarakat antarabangsa?

Mengapa Amerika Syarikat tidak mahu mengenakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar di atas pembunuhan beramai-ramai itu?

Adakah sekatan ekonomi hanya dikenakan semasa darling Barat yang mereka panggil pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dikenakan tahanan dalam rumah?

Apakah mereka mahu melihat satu lagi Bosnia yang disembelih oleh Serbia tanpa dipedulikan oleh sesiapa?

BACA INI JUGA: Usaha Menghapuskan Minoriti Umat Islam

[Sumber]