Tuesday, April 05, 2022

Solat Tarawih Pertama Di Hagia Sophia Selepas 88 Tahun!


Pada malam Jumaat, malam Ramadhan pertama tahun 2022 (1443 hijrah), ribuan warga Turki beragama Islam merebut kesempatan menunaikan solat sunat tarawih di Hagia Sophia, yang merupakan solat tarawih pertama di masjid itu sejak 88 tahun yang lalu.

Tarawih Hagia Sophia

Bagi ketua Diyanet (badan awam Turki yang bertanggungjawab memantau rumah-rumah ibadat) Ali Erbas, ia merupakan detik yang tidak dapat dilupakan.

Sepanjang Ramadhan, solat tarawih akan diadakan di Hagia Sophia pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, selain pelbagai acara istimewa sempena bulan Ramadhan akan turut diadakan di situ.

Sebelum ini, umat Islam tidak berkesempatan menunaikan ibadat di Hagia Sophia sejak ia ditukar peranannya daripada muzium kepada masjid pada 2020, berikutan penguatkuasaan peraturan pencegahan Covid-19 termasuk larangan solat berjemaah di situ.

Tetapi, selepas melihat bilangan kes dan kematian Covid-19 menurun dan bilangan pesakit yang pulih meningkat, kerajaan Turki mengambil keputusan membuka semula Hagia Sophia bersempena kehadiran Ramadhan 2022.

Hagia Sophia pada asalnya merupakan sebuah gereja besar yang dibina atas titah Maharaja Rom Timur, Justinian I.

Dibina di atas tapak gereja lama yang telah runtuh, ia siap dibina pada 537 Masihi dan menjadi gereja utama Kristian Ortodoks selama hampir 900 tahun.

Hagia Sophia menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa seperti pertabalan maharaja baru, rampasan kuasa dan penjarahan oleh tentera Salib pada 1204.

Disebabkan statusnya sebagai antara mercu tanda Constantinople dan Rom Timur, ia turut dihiasi mozek figura-figura seperti imej maharaja-maharaja Rom dan figura utama agama Kristian.

Selepas Mehmed II dan angkatan Turki Uthmaniyah menakluk Constantinople pada 1453, peranan Hagia Sophia ditukar daripada gereja kepada masjid.

Ia kemudiannya menjadi kompleks masjid diraja dengan menara-menara masjid dan kubah-kubah ditambah pada bangunan tersebut. Sementara mozek-mozek figura yang dianggap bertentangan dengan prinsip syarak ditutup.

Peranan Hagia Sophia sekali lagi berubah selepas kemunculan Mustafa Kemal Ataturk sebagai pengasas Republik Turki moden pada 1923.

Ataturk mengambil keputusan menukar peranan Hagia Sophia sebagai muzium pada 1934 atas alasan ia merupakan simbol sekularisme dan mewakili masa silam Turki yang kaya dengan budaya pelbagai tamadun.

51 tahun kemudian, Hagia Sophia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Dalam tempoh ia bergelar muzium, wujud perdebatan ramai pihak berkenaan status Hagia Sophia. Ramai warga Turki berharap peranan asalnya sebagai masjid semasa era Turki Uthmaniyah dapat dikembalikan. Bagaimanapun, hujah ini ditolak oleh kelompok sekular yang berkuasa di Turki ketika itu.

Masjid Hagia Sophia

Hanya selepas Recep Tayyip Erdogan muncul di arena politik sebagai Perdana Menteri sebelum bergelar Presiden Turki, barulah idea ini mula direalisasikan.

Akhirnya, pada Julai 2020, Hagia Sophia dikembalikan peranannya sebagai masjid.

Begitupun, ramai mengkritik usaha ini termasuk Paus Francis dari Vatican dan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Bagaimanapun, Turki langsung tidak memperdulikan kritikan pihak luar dan memberi jaminan bahawa semua warisan budaya Hagia Sophia akan terus dipelihara.

Malah, walaupun ia sudah bertukar peranan sebagai masjid, ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon