Friday, November 16, 2018

Kisah Seorang Wanita Belajar Ilmu Dukun Sehingga Dicabut Imannya


Larangan mempercayai pawang, dukun atau bomoh dan mempelajari ilmu daripada mereka disebabkan terselitnya unsur-unsur penipuan dan kebatilan.

Belajar Ilmu Dukun
Gambar hiasan.

Kebanyakan perkhabaran berita, syarat dan bentuk amalan yang ditetapkan oleh mereka merupakan ilham dan bisikan oleh syaitan.

Firman Allah dalam surah as-Syu’ara ayat 221-223:

”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Antara sebab utama ilmu perbomohan dianggap sebagai perbuatan kufur ialah kerana ilmu tersebut berasal dari syaitan.

Ilmu perbomohan menetapkan syarat-syarat yang pelik-pelik, tidak logik dan tiada kaitan dengan sebab dan musabbab.

Syarat-syarat tersebut merupakan helah iblis dan syaitan untuk melihat sejauh mana kepatuhan anak Adam kepada mereka.

Satu kisah yang paling jelas untuk kita hayati ialah sebuah athar yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam kitab Sunan beliau bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata:

“Telah datang kepadaku seorang wanita dari penduduk Daumah Al-Jandal mencari Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda untuk bertanya tentang satu perkara berkaitan mempelajari sihir tetapi tidak beramal dengannya.

Kata wanita ini, “Suamiku telah hilang dariku. Kemudian datang seorang wanita tua lalu aku mengadu hal ini kepadanya. Lalu wanita tua itu berkata: “Sekiranya engkau melakukan apa yang aku suruh, nescaya suamimu akan kembali kepadamu”.

Apabila tiba waktu malam, wanita tua itu datang bersama dua ekor anjing hitam. Maka aku menaiki salah satu anjing itu dan dia menaiki yang seekor lagi. Dalam masa yang sekejap, kami sudah sampai di Babilon. Aku dapati ada dua orang lelaki yang tergantung dengan kakinya.

Lalu lelaki itu berkata, “Apa yang kamu mahu?” Maka aku berkata, “Aku ingin belajar sihir”. Mereka berkata, “Sesungguhnya kami ini fitnah, jangan kamu kufur. Oleh itu, pulanglah”.

Aku tidak mempedulikan nasihat mereka lalu berkata, “Aku tidak akan pulang!” Mereka berdua berkata, “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya. Selepas itu, datanglah kembali”.

Maka aku pun pergi dan aku rasa menggeletar serta takut. Kemudian aku kembali mendapatkan mereka berdua dan aku berkata, “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”.

Mereka bertanya, “Apa yang kamu nampak?”. Aku menjawab, “Aku tidak nampak apa-apa”. Maka mereka berkata, “Engkau berbohong. Engkau belum kencing di situ. Pulanglah ke negeri engkau dan jangan kamu jadi orang yang kufur. Sesungguhnya engkau bertanggungan atas urusan kamu”.

Aku enggan pulang, lalu mereka berkata, “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya”. Lalu aku pun pergi dan kencing padanya. Maka aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku.

Dan aku datang bertemu dengan kedua-duanya lalu aku berkata, “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”. Mereka bertanya, “Apa yang kamu nampak?” Aku menjawab, “Aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku”.

Kedua-duanya berkata, “Engkau benar. Itulah iman telah keluar dari engkau. Sekarang pergilah engkau”.

Maka aku berkata kepada wanita tua itu, “Demi Allah! Aku tidak tahu sesuatu tentang ini dan tiadalah kedua-dua orang itu memberitahu aku sesuatu apa pun”. Maka perempuan tua itu berkata, “Bukan begitu. Tiadalah sesuatu yang engkau inginkan kecuali ia akan menjadi. Ambil biji gandum ini dan semai”.

Maka aku semaikan dan aku berkata, “Tumbuhlah!”Maka tumbuhlah gandum itu. Dan aku berkata lagi, “Membiaklah!” Maka gandum itu berkembang biak. Dan aku berkata, “Tuailah!” Maka iapun tertuai. Dan aku berkata, “Kisarlah!” Maka ia pun terkisar. Dan aku berkata, “Jadilah roti!” Maka ia menjadi roti.

Dan apabila dapati setiap sesuatu yang aku inginkan segera berada ditanganku, maka aku rasa amat menyesal. Dan demi Allah wahai Ummu Mukminin, tiadalah aku melakukan sesuatu dan aku tidak akan melakukannya selama-lamanya.”

Berdasarkan athar di atas, kita akan dapati betapa mudahnya untuk mempelajari sihir. Hanya dengan kencing di bara api, maka wanita itu sudah mempunyai kebolehan yang luar biasa.

***

Perbuatan belajar dari bomoh dan pawang dengan tujuan untuk beramal dengan ilmu tersebut secara jelas mengingkari perintah Nabi SAW.

Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa kita berasa tidak cukup dengan apa yang telah dibekalkan oleh Rasulullah SAW sehingga terpaksa mendapatkan dari sumber yang lain.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mahyuddin09

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon